The Platform: Filem Terbaru Di Netflix

2,533

“The Platform” adalah sebuah alegori yang memaparkan sosial manusia dalam keadaan paling lapar dan paling gelap.

– Memaparkan sifat tabii manusia itu jahat tidak kira keadaan
– Memaparkan kelaparan tidak dapat dikenyangkan dengan pengetahuan
– Mengkritik sistem kelas dan kapitalism
– Memaparkan orang muda sebagai mesej & harapan untuk mengubah sistem
– Setiap watak mempunyai simboliknya sendiri

1. Apa sebenarnya sifat tabii manusia mempunyai pelbagai perdebatan. Tetapi filem ini memaparkan sifat tabii manusia itu jahat dan mementingkan diri.

Idea ini sering dipromosikan oleh aliran legalism dan Thomas Hobbes dalam usaha untuk membina kerajaan yang ketat dan keras.

Menurut Hobbes, manusia sifatnya bukanlah makhluk yang suka hidup bermasyarakat. Manusia sejenis haiwan yang didorong menurut kepentingan dirinya oleh nafsu makan dan syahwat.

Manusia jahat boleh berada di mana-mana kelas. Dalam filem ini, kelas atas terkenal dengan sifat kurang belas kasihan dan kelas bawah terkenal dengan kepentingan dirinya.

Tetapi manusia di kelas atas yang selesa berpotensi untuk menjadi baik dan menahan diri daripada menjadi jahat seperti yang dilakonkan oleh watak Trimagasi. Secara saintifiknya, kadar jenayah memang lebih tinggi dalam kalangan kelas bawahan berbanding kelas atasan kerana pelbagai faktor persekitaran yang buruk mendorong ke arah perbuatan tersebut.

“No man can worship God or love his neighbor on an empty stomach.”

2. Dalam filem ini, setiap banduan boleh bawa apa saja ke dalam “The Platform”. Watak utama, Goreng (Ivan Massague) membawa buku.

Goreng dipaparkan sebagai watak yang baik dan buku yang dibawa mungkin boleh menjadi simbol bahawa buku dapat menyelamatkan dirinya daripada kegilaan yang didorong persekitaran yang berkecamuk.

Tetapi akhirnya, Goreng sendiri terpaksa makan setiap helaian bukunya untuk mengenyangkan perutnya. Tidak peduli apa terjadi pada bukunya sebagai simbolik tidak pentingnya pengetahuan pada saat ini, dia harus makan untuk hidup.

Apabila kita mahu menyelamatkan orang miskin, pengetahuan dan buku bukanlah asas yang perlu diutamakan, tetapi keperluan asas mereka seperti makanan yang perlu didahulukan.

Bagi mereka kenyang dahulu sebelum kita sembang ilmu sampai ke Bulan. Secara saintifiknya, keselesaan hidup memberikan kelebihan untuk manusia menjadi lebih cemerlang dalam pengetahuan berbanding sebaliknya.

“Poverty is not lack of character. Poverty is lack of cash.”

3. Goreng dan Baharat (Emilio Buale Coka) berhasrat untuk keluar daripada “The Platform” dan mereka diberitahu sistem perlu diubah melalui simbol. Akhir sekali mereka menemui anak kecil yang masih berada dalam keadaan begitu baik, cuma lapar. Anak kecil ini mesej.

Terbaru: Fiksyen Mahakarya

Walaupun saya tidak begitu setuju, saya faham anak ini adalah mesej untuk mengubah sistem sebagai simbol orang muda adalah pemicu dan penggerak pada perubahan.

Ataupun boleh jadi, anak ini merupakan mesej bahawa yang menjadi mangsa sebenar dalam mana-mana sistem yang lemah ialah anak kecil.

4. Apakah metafora bagi setiap watak dalam filem “The Platform”?

Goreng – pada saya Goreng ialah watak simbolik yang menunjukkan golongan yang baru melangkah ke alam dewasa. Yang masih belum mengenali bagaimana dunia sebenar berfungsi. Masih idealistik dan banyak mempersoalkan persekitaran di sekelilingnya.

Dia bawa buku kerana orang muda sering diberikan candu bahawa ilmu adalah satu-satunya peralatan yang boleh menyelamatkan pelbagai keadaan walaupun hakikatnya tidaklah betul sepenuhnya.

Trimagasi – watak seorang tua yang telah makan asam garam. Orang yang dah kenal dengan dunia. Watak ini adalah golongan yang menerima realiti seadanya dan beradaptasi dengan realiti tersebut. Trimagasi agak pesimis dan tidak begitu optimistik apabila digesa untuk melakukan perubahan.

Kalau ada orang muda yang berjuang untuk melakukan perubahan, mereka akan berhadapan dengan golongan seperti Trimagasi. Dia akan cakap, “Aku dah makan asam garam, kau baru setahun jagung, benda ini tak boleh pakai.”

Imoguiri – watak yang menyokong dan mempromosi (advocate) tentang suatu ideologi tetapi jahil dengan kelemahan ideologi tersebut.

Dalam filem ini, Imoguiri adalah penyokong pentadbiran “The Platform” dan dia pernah bekerja dengan petadbiran (the administration) merupakan simbolik bahawa seolah-olah di betul-betul memahami suatu ideologi tersebut tetapi apabila diaplikasikan pada realiti, baru dia sedar akan kelemahannya.

Orang macam ini di mana-mana. Mereka yang kuat berpegang suatu ideologi akan jahil akan kelemahan ideologi tersebut.

Miharu – watak yang memaparkan mangsa sebenar keadaan. Tiada orang percaya bahawa bahawa dia tengah cari anaknya dan anggap dia sedang berdelusi. Mangsa begini adalah mangsa dalam pelbagai keadaan dan persekitaran.

Pengarah filem ini, Galder Gaztelu-Urrutia menyatakan dalam temu ramahnya bahawa, dia membiarkan penonton berimaginasi sendiri apa yang kita boleh dapat daripada filemnya. Ketika ditanya, dia memang banyak tidak jawap kenapa begitu dan kenapa begini.

IMDb: 7/10
Rotten Tomatoes: 84/100
Metacritic: 73/100

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.