saja perkara yang mengacau tumpuan seperti perlawanan bola sepak, kekasih hati dan bengang dimarahi bos atau pasangan. Bagi seorang pencipta pada 1925, dia percaya alat ini boleh menjadi solusi terbaik kepada gangguan tumpuan: The Isolator.
Semasa diperkenalkan dalam majalah Science and Invention tahun berkenaan, The Isolator dilihat cara terbaik mengekalkan tumpuan pemakainya. Ini kerana si pencipta percaya walaupun seseorang itu berada dalam ruang dalaman yang terasing, dia akan tetap terganggu dengan bunyi yang mengganggu tumpuan dan kreativiti mereka.
Topi keledar pertama The Isolator dibuat daripada kayu sebelum ditutup dengan gabus dan dilapik dengan felt. Pada bahagian mata pemakai, ia dipasang tiga lapis kepingan kaca dengan sesekat dipasang pada bahagian mulut. Sesekat membenarkan pemakai The Isolator bernafas tetapi menghalang bunyi keluar.
Walaupun The Isolator gagal menghalang sebahagian bunyi daripada mengganggu pemakainya, ia masih dianggap berkesan dengan keberkesanan sebanyak 75%. Antara sebab model awal ini berkesan kerana ia menggunakan kayu padu sebagai bahan binaan topi keledarnya.
Bagi menambahbaik keberkesanan The Isolator, penciptanya menghasilkan model kedua yang mengandungi ruang udara khas. Ruang ini menghalang bunyi sebanyak 90 hingga 95% daripada mempengaruhi si pemakai tetapi membuatkan si pemakainya merasa mengantuk. Sebabnya mudah, ruang khas ini mengakibatkan si pemakai merasa tidak cukup oksigen untuk bernafas.
Untuk mengatasi masalah tersebut, sebuah tangki oksigen kecil dipasang pada topi keledar itu. Dengan pemasangan tangki tersebut, si pencipta berharap ia dapat meningkatkan kadar oksigen diperlukan si pemakai semasa melakukan tugasnya. Begitupun, si pencipta terlupa mengambil kira kepentingan mengeluarkan karbon dioksida (CO2) semasa bernafas.
Menurut Dr Daniel Funnell, seorang pakar anestetik dari Hospital Medway, UK, manusia memerlukan aliran oksigen mencukupi untuk setiap nafas masuk ke dalam sistem yang dikenali sebagai Sistem Pernafasan Mapleson. Jika itu tidak berlaku seperti kes pemakai The Isolator, pemakai terpaksa menghirup oksigen dan CO2 serentak untuk nafas seterusnya. Ini mengakibatkan kadar CO2 dalam aliran darah bertambah dan berpotensi membawa ma.ut.
Selain itu, Dr Funnell turut mengenalpasti satu lagi masalah. Pemakai The Isolator perlu menggantikan tangki oksigen mereka sekiranya ia habis dan ia memakan kos yang banyak. Melihat kepada faktor-faktor ini, beliau menganggap ciptaan sebegini sebagai bermasalah, membuang masa dan membazir wang.
Di samping isu pernafasan, pengguna juga perlu berdepan dengan hakikat penglihatan mereka dihalang. Ini kerana kaca yang dipasang pada bahagian mata telah dicat dengan warna hitam. Selain itu, dua garisan mendatar turut diletakkan pada bahagian kaca dengan tujuan memastikan penggunanya mengalami penglihatan terowong. Pencipta melihatnya sebagai satu cara untuk menghentikan mata daripada diganggu perkara yang mengganggu perhatian seperti wanita cantik atau perokok.
Tak mahu terganggu? Mainkan saja senarai lagu pilihan anda bila bekerja atau belajar. Ia jauh lebih baik daripada ciptaan aneh ini!
RUJUKAN:
Funnell, R. (2021). In 1925, Inventors Created “The Isolator” To Increase Focus And Block Distractions. IFLScience.
Sumber gambar: Perpustakaan Universiti Syracuse