Sejarah PNS Ghazi

1. Asalnya merupakan sebahagian daripada kapal selam milik Angkatan Laut Amerika yang dilancarkan pada tanggal 1 Disember 1944 dan Leftenan Komander Gordon Graham Mathson menjadi kepten pertamanya.

Nama yang diberikan adalah USS Diablo yang bermaksud Syaitan dalam bahasa Sepanyol.

2. USS Diablo digunakan dalam era Perang Dunia Kedua oleh Angkatan Laut USA dari tahun 1945 sehingga ke tahun 1963 sebelum ianya dipinjamkan kepada Angkatan Laut Pakistan di bawah perjanjian SAP iaitu Security Assistance Program yang dimeterai antara pemerintahan Ayub Khan dan pemerintahan John F.Kennedy.

3. USS Diablo menyertai Angkatan Laut Pakistan dan berlabuh di pelabuhan Karachi pada tanggal 4 September 1964.

USS Diablo ditukar nama kepada PNS Ghazi yang bermaksud Pahlawan Suci.

4. Pihak India memandang PNS Ghazi merupakan ancaman terbesar bagi mereka kerana ianya merupakan kapal selam berkelajuan tinggi jarak jauh yang dilengkapi sistem persenjataan yang canggih beroperasi buat pertama kalinya di Asia Selatan.

Walaupun pihak lain memandang PNS Ghazi sebagai ‘clockwork mouse’ dan ianya hanya digunakan untuk sesi latihan tetapi pihak India memandang penyertaaan PNS Ghazi ke dalam pihak Pakistan sebagai ‘raksasa besi’ yang menunggu masa untuk membaham mereka.

5. Akhirnya kerisauan pihak India mula terlihat apabila pihak Pakistan menggerakkan PNS Ghazi ketika pasca Perang India-Pakistan yang bermula pada tahun 1965.

Persenjataan Dan Kemampuan Pns Ghazi

1. Kelajuan:

a. Di permukaan kelajuannya mencapai 37.50 km/jam (23.30 mph).

b. Di dalam laut kelajuannya mencapai sekitar 16.21 km/jam (10.07 mph).

Pernah menyelam sejauh 400 kaki dari dasar laut (120m) dan boleh melakukan pelayaran sejauh 11,000 mil Nautika (20,000 km) dan 16,000 mil Nautika (30,000 km).

2. Senjata.

a. Mempunyai 10 pelancar torpedo, enam lubang di hadapan dan dua lubang di belakang yang berkeluasan lebar 533 m.

Menggunakan torpedo jenis Mark 14 (torpedo anti-kapal). Jenis peluru ini digunakan oleh pihak Angkatan Laut USA ketika pertempuran di dalam Perang Dunia Kedua.

Berat peluru ini mencapai sekitar 1,490 kg, panjang 6.25 m dan lebarnya adalah 530 mm.

Kapal selam Ghazi mampu menembak torpedo ini sejauh 4,100 m pada kelajuan rendah iaitu 85 km/jam dan sejauh 8,200 m pada kelajuan tinggi iaitu 57 km/jam.

b. Kapal selam Ghazi juga dilengkapi senjata jenis Machine Gun M1919 Browing dan Oerlikon 20 mm Cannon.

c. Membawa periuk api jenis Ranjau Laut Labuhan

 

Kronologi Peristiwa Hancurnya Pns Ghazi

1. Pasca Perang India-Pakistan 1971, pada bulan Ogos 1971.

Angkatan Laut India meletakkan kapal pengangkut pesawatnya yang utama dan digeruni oleh pihak Pakistan iaitu INS Vikrant di pelabuhan Angkatan Laut India di Timur iaitu Visakhapatnam (berdekatan dengan Pakistan Timur).

Dengan perpindahan INS Vikrant ke Visakhapatnam membuatkan pihak Angkatan Laut Pakistan mengubah haluan operasi bagi kapal selamnya, PNS Ghazi.

Pada waktu ini jumlah anggota pegawai dan pelaut di Pakistan Timur tidak ramai dan wilayah di sini tidak mempunyai posisi yang kuat untuk mempertahankan diri menghadapi kekuatan Angkatan Laut India.

2. Pemerintahan Yahya Khan menekan pihak Angkatan Laut Pakistan untuk menghantar PNS Ghazi ke Pakistan Timur untuk melindungi wilayah itu tetapi pihak Angkatan Laut Pakistan tidak mahu kerana ianya diumpamakan menghantar senjata terbaik ke dalam rumah musuh.

3. Akhirnya pihak Angkatan Laut Pakistan terpaksa mengakur setelah didesak oleh pemerintah Pakistan.

Pada tanggal 14 November 1971, PNS Ghazi menyelam dengan senyapnya melintasi Laut Arab dan melalui semenanjung India dan menuju ke Pakistan Timur.

4. PNS Ghazi yang diketuai oleh Komando Zafar Muhammad bersama 10 orang pegawai dan 82 orang pelaut membawa misi rahsia yang bakal mengubah nasib mereka semua.

5. PNS Ghazi menghantar mesej ke Angkatan Laut Pakistan Timur di pelabuhan Chittagong untuk menyediakan minyak gred khusus yang digunakan secara ekslusif oleh kapal selam jenis diesel-elektrik.

Tetapi mesej ini berjaya dipintas oleh Angkatan Laut India dan mereka tahu pada waktu itu hanya satu sahaja kapal selam milik Pakistan yang mampu melakukan perjalanan yang jauh dari pelabuhan Karachi iaitu PNS Ghazi.

6. Pada tanggal 16/11/1971, Angkatan Laut India melaporkan telah mengesan keberadaan PNS Ghazi yang sejauh 400 km dari Bombay.

7. Pada tanggal 19/11/1971 dikatakan PNS Ghazi dikesan di perairan Sri Lanka sebelum ianya memasuki perairan Teluk Bengal.

8. Pada tanggal 20/11/1971, ketika PNS Ghazi memasuki perairan Teluk Bengal maka, komando Zafar Muhammad membuka fail rahsia yang mengandungi dua misi, iaitu:

a. Misi utamanya adalah mengesan kedudukan INS Vikrant dan menghancurkannnya pada tanggal 23/11/1971.

Tujuan utama Angkatan Laut Pakistan untuk memusnahkan INS Vikrant supaya pihak Pakistan dapat memegang kuasa sepenuhnya di Teluk Bengal dengan memudahkan Angkatan Laut Pakistan berhubung dengan Pakistan Timur melalui jalur laut.

b. Misi kedua adalah meletakkan beberapa buah periuk api jenis Moore (wayar panjang) di perairan Teluk Bengal.

Misi kedua ini tetap dilakukan jika misi pertama berjaya atau gagal.

9. Apabila mengetahui keberadaan PNS Ghazi di perairan Teluk Bengal maka Naib Laksamana N.Krishnan yang berpengkalan di Angkatan Laut India Timur mengarahkan INS Vikrant digerakkan secara rahsia ke suatu lokasi rahsia iaitu ‘Port X-Ray’ yang berada di antara kepulauan Andaman dan Nicobar.

Digelar Port X-Ray (atas sebab keselamatan) oleh Naib Laksamana N.Krishnan di dalam bukunya ‘No Way But Surrender: An Account of the Indo Pakistani War in the Bay of Bengal 1971’ sebagai sebuah pangkalan rahsia yang terputus hubungan dengan dunia luar.

10. N.Krishnan yang dapat membaca strategi pihak Pakistan yang menghantar PNS Ghazi untuk memusnahkan kapal miliknya terus merancang suatu perangkap untuk memerangkap PNS Ghazi.

N.Krishnan turut meminta bantuan dari para nelayan yang menangkap ikan di sekitar pantai Visakhapatnam untuk melaporkan kepadanya jika melihat kapal selam atau sebarang benda yang dianggap mencurigakan di kawasan terbabit.

11. Pada tanggal 30/11/1971, PNS Ghazi telah terlewat selama 10 hari untuk sampai ke perairan pantai Visakhapatnam.

Maka misi pertama untuk memusnahkan INS Vikrant gagal.

(Pada masa ini, INS Vikrant dilaporkan berada dengan selamat di lokasi rahsia itu).

12. Pada tanggal 1/12/1971, N.Krishnan mengeluarkan arahan supaya kapal penjajap milik India pada masa Perang Dunia Kedua iaitu INS Rajput digerakkan dari pelabuhan Visakhapatnam untuk menjadi umpan menggantikan INS Vikrant.

Pada masa ini INS Rajput sepatutnya telah dilucut tauliah daripada sebarang bentuk pertempuran kerana kondisinya yang sudah lama, tetapi N.Krishnan menggunakan kesempatan ini untuk menghidupkan kembali INS Rajput.

13. INS Rajput memancarkan gelombang isyarat radio yang kuat ketika berada di perairan Teluk Bengal untuk mengalih perhatian dan mengumpan PNS Ghazi mendekati INS Rajput.

PNS Ghazi disyaki berada di sekitar kawasan perairan Madras (Chennai) atau Visakhapatnam.

14. Setelah gagal untuk mengesan lokasi INS Vikrant, Komander Zafar Muhammad meneruskan misi yang seterusnya iaitu meletakkan periuk api di perairan Visakhapatnam (di jalur laluan yang berkemungkinan akan dilalui oleh INS Vikrant).

Ini bertujuan untuk menghancurkan INS Vikrant atau untuk menyekat kapal perang India berhubung dengan pangkalan laut India Timur di Visakhapatnam.

15. Sepatutnya Komander Zafar Muhammad melaporkan misinya pada Pusat Angkatan Laut Pakistan pada tanggal 26/11/1971 tetapi laporan mengenai status PNS Ghazi tidak diterima.

Pada waktu ini, PNS Ghazi masih berkeliaran di bawah laut sekitar perairan Visakhapatnam.

16. Pada tanggal 3/12/1971, Komander Zafar Mohammad mengesyaki keberadaan INS Vikrant di perairan pantai Visakhapatnam dan bersedia untuk meletakkan periuk api buat kali kedua di kawasan ini. Kapten Zafar Mohammada telah terpancing dengan isyarat gelombang milik INS Rajput.

Padahal waktu ini, pihak India melaporkan bahawasanya dari catatan Naib Laksamana N.Krishnan, beliau mengarahkan INS Rajput keluar ke perairan Visakhapatnam untuk memastikan keberadaan PNS Ghazi pada pukul 11:40 pm.

17. Kapten Inder Singh beserta krewnya belayar di atas INS Rajput di perairan pantai Visakhapatnam sebelum PNS Ghazi dikesan berada di kawasan itu.

18. Kapten Inder Singh yang dapat mengetahui keberadaan PNS Ghazi yang tidak jauh dari lokasi mereka akhirnya memerintahkan untuk menembak peledak kedalaman (depth charge) anti-kapal selam sebanyak dua biji ke arah titik yang dikenalpasti laluan yang akan dilalui oleh PNS Ghazi.

19. Selang beberapa minit, kedengaran letupan yang kuat dari bawah laut yang mengegarkan suasana malam bumi Visakhapatnam.

Hasil laporan, bunyi letupan ini didengari oleh penduduk tepi pantai Visakhapatnam.

20. Pada pagi hari tanggal 4/12/1971, PNS Ghazi dilaporkan tenggelam di perairan pantai Visakhapatnam dan menenggelamkan seramai 92 orang termasuk Komander Zafar Mohammad.

Dilaporkan Angkatan Laut India menghantar kapal selam INS Karanj untuk melihat kawasan tragedi.

21. Di dalam catatan ‘The Story of the Pakistan Navy’ pada tahun 1991 melaporkan pihak India memerlukan sebanyak 6 hari dari tanggal 4/12/1971 sehingga tanggal 9/12/1971 untuk mengesahkan PNS Ghazi karam di perairan pantai Visakhapatnam.

Kapten Inder Singh beserta para krewnya diberikan Pingat Kehormatan diatas jasa mereka mempertahankan negara dan menenggelamkan kapal selam musuh yang menjadi ancaman paling bahaya buat India melalui jalur laut.

22. Di atas memperingati kejayaan mereka ini, pihak kerajaan India membina Tugu Kemenangan berdekatan lokasi tenggelamnya PNS Ghazi.

Misteri Tenggelamnya Pns Ghazi

Tragedi tenggelamnya PNS Ghazi diperdebatkan antara kedua belah pihak diantara pihak India dan pihak Pakistan. Perdebatan di antara penulis sejarah India dan Pakistan berlangsung begitu lama mengenai misteri penyebab tenggelamnya PNS Ghazi.

a. Pihak India.

Hasil daripada laporan, titik lokasi tenggelamnya PNS Ghazi merupakan titik lokasi peledak kedalaman anti-kapal selam yang dilepaskan dari INS Rajput.

Pengesahan dari pihak India ini diumumkan pada tanggal 9/12/1971 dengan kenyataan yang PNS Ghazi karam terkena peledak kedalaman anti-kapal selam yang ditembakkan oleh INS Rajput.

Catatan ini juga dilaporkan oleh Naib Laksamana G.M Hiradani di dalam bukunya, ‘The Offical History of the Indian Navy: Transition to Triumph’, yang menjelaskan keterangan tentang tenggelamnya PNS Ghazi bersangkut paut dalam operasi rahsia ketenteraan Angkatan Laut India yang menghantar INS Rajput untuk memusnahkan PNS Ghazi. INS Rajput dihantar dari pelabuhan Visakhapatnam ke kawasan yang disyaki keberadaan PNS Ghazi. Laporan letupan yang didengari oleh penduduk Visakhapatnam dan waktu tenggelamnya PNS Ghazi adalah sama.

Tetapi Hiradani juga menyatakan tenggelamnya PNS Ghazi juga ada hubungannya dengan letupan dalaman yang berlaku di dalam PNS Ghazi.

(Penyebab ini boleh dibahaskan, jelasnya).

Pada tahun 2003, Angkatan Laut India menghantar para penyelamnya untuk melakukan siasatan lagi ke atas bangkai PNS Ghazi dan menemui beberapa objek penting seperti buku catatan perang PNS Ghazi (war log), data dari komputer dan beberap fail dokumen yang mengandungi misi rahsia yang dibawa oleh PNS Ghazi pada masa itu.

Dari laporan para penyelam ini, dinyatakan punca PNS Ghazi juga disebabkan letupan dalaman yang berlaku disebabkan letupan gas hidrogen ketika bateri kapal selam diisi-ulang di bawah laut.

Pada tahun 2010, Leftenan Jeneral J.F.R Jacob menulis artikel berkenaan tragedi PNS Ghazi yang menyatakan peristiwa tenggelamnya PNS Ghazi disebabkan kerosakan dalaman seperti catatan dan laporan yang direkodkan. Terdapat banyak pandangan dari penulis India yang menyatakan tentang letupan dalaman yang berlaku dalam PNS Ghazi.

Pada tahun 2011, Laksamana Arun Prakash melaporkan di dalam Pertemuan Keamanan Negara, tragedi tenggelamnya PNS Ghazi tidak bersangkut paut dengan serangan INS Rajput seperti yang disahkan oleh pihak mereka pada ketika itu.

b. Pihak Pakistan.

Di pihak Pakistan, Angkatan Laut Pakistan melaporkan menolak dakwaan pihak India yang mengesahkan tenggelamnya PNS Ghazi disebabkan oleh serangan INS Rajput melainkan PNS Ghazi tenggalam disebabkan letupan dalaman yang berlaku di bahagian bateri ataupun Komander Zafar Mohammad tersilap percaturan.

Tersilap percaturan di sini bermaksud PNS Ghazi tersilap langkah ketika waktu ingin menyerang INS Rajput yang disangkakan INS Vikrant dan secara tidak sengaja terlanggar salah satu periuk api milik mereka yang diletakkan di kawasan itu.

Pada tahun 2012, pihak Pakistan yang masih tidak berpuas hati dengan dakwaan pihak India melakukan siasatan kembali ke atas bangkai PNS Ghazi dengan menggunakan sinaran sonar dan lakaran PNS Ghazi dan menyatakan: “Letupan berlaku dari Forward Torpedo Room (FTR) dan inilah yang menyebabkan kehancuran PNS Ghazi”.

Kenyataan ini dilaporkan di dalam India Today dan ianya dikongsikan oleh pakar pertahanan, Sandeep Unnithan.

– TAMAT –

Sumber Rujukan:

1. Pakistan’s Crisis in Leadership, Maj. General Fazal Muqeem Khan, 1972.

2. No Way but Surrender: An Account of the Indo Pakistan War in the Bay of Bengal 1971, Vice Admiral N.Krishnan.

3. The Ghazi Attack: All You Need to Know About PNS Ghazi, India Today, 2017.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Leave A Reply