Jika disebut acara lari pecut, pasti muka-muka seperti Usain Bolt, Justin Gatlin, Tyson Gay dan ramai lagi pelari pecut handalan dunia terpapar pada fikiran penggemar sukan ini. Kalau dalam negara pula, nama-nama seperti Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Watson Nyambek pasti terpapar dalam minda bila disebut sahaja tentang sukan lari pecut.

Mereka semua ini jelas telah menunjukkan pencapaian gemilang di persada antarabangsa. Akan tetapi, ada seorang individu yang tidak begitu dikenali ramai. Tan Sri Dr. Jegathesan Manikavasagam atau lebih popular dengan nama ‘The Flying Doctor’ yang telah berjaya mencipta nama dalam sukan ini pada era 60-an.

Permulaan Hidup

Tan Sri Dr. Jegathesan dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak. Beliau telah mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Batu di ibu kota dari tahun 1950 hingga tahun 1954. Kemudiannya, beliau meneruskan pelajaran ke peringkat menengah di SMK Victoria (Victoria Institution) selama setahun pada tahun 1955. Beliau seterusnya menyambung pelajaran masih di peringkat menengah di Anglo Chinese School di Singapura dari tahun 1956 hingga 1961.

Beliau telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Singapura dari tahun 1962 hingga tahun 1967 dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Perubatan & Pembedahan. Beliau juga merupakan pemegang Diploma Perubatan & Kebersihan Tropikal daripada Bangkok dan Diploma Patologi Klinikal daripada Universiti London.

Kejayaan Dalam Lari pecut

Nama Jegathesan ini telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dengan memenangi banyak pingat dalam acara lari pecut di temasya-temasya yang besar seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan temasya terulung iaitu tidak lain dan tidak bukan Sukan Olimpik. Prestasi beliau yang membanggakan telah menaikkan nama Malaysia di mata dunia pada ketika itu.

Dr. Jegathesan atau ‘The Flying Doctor’ merupakan pemegang rekod kebangsaan terdahulu bagi ketiga-tiga acara lari pecut yakni 100 meter, 200 meter dan 400 meter. Catatan 10.38s dalam acara 100 meter hanya berjaya dipecahkan oleh Watson Nyambek 30 tahun selepas rekod itu dicipta pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Kuantan pada tahun 1996. Sama seperti rekod 200 meter-nya iaitu dengan catatan 20.92s yang berjaya dipegang beliau selama 49 tahun sebelum dileburkan oleh Khairul Hafiz Jantan pada tahun 2017 di kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia.

Beliau telah beraksi dalam tiga temasya Sukan Olimpik secara berturut-turut iaitu pada Sukan Olimpik Rom 1960, Sukan Olimpik Tokyo 1964 dan Sukan Olimpik Mexico 1968. Ini jelas menunjukkan yang beliau merupakan seorang atlet yang sangat konsisten dari segi aksi di atas trek perlumbaan. Sebagai tambahan, beliau merupakan atlet Malaysia yang pertama yang berjaya melayakkan diri dalam acara 220 yard (kini dikenali 200m). 

Sepanjang kerjaya beliau sebagai atlet lari pecut, beliau telah merasai pelbagai pingat di pelbagai temasya berprestij di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh, beliau merupakan pemegang bagi 4 kalung pingat emas di temasya Sukan Asia iaitu 1 daripada temasya Sukan Asia Jakarta 1962 dalam acara 100 meter dan selebihnya daripada temasya Sukan Asia Bangkok 1966 dalam acara 100 meter, 200 meter dan 4 x 100 meter. Untuk dibanggakan lagi, beliau telah menerima Anugerah Atlet Amatur Asia atas kejayaan beliau dalam menjadi salah seorang daripada 6 atlet terbaik Asia sepanjang zaman.

Dr. Jegathesan Setelah Bersara

Beliau tidak terus senyap dan duduk goyang kaki setelah bersara daripada menjadi atlet lari pecut. Dr. Jegathesan telah melibatkan diri dalam Kesatuan Atlet Amatur Malaysia sebagai penasihat perubatan. Selain itu, beliau juga memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping Majlis Olimpik Malaysia dari tahun 1993. Ini menunjukkan yang ‘The Flying Doctor’ ini sangat komited dengan penglibatan beliau dalam sukan tanah air terutamanya sukan olahraga.

Ia tidak terhenti di situ, beliau juga melibatkan diri dalam persatuan sukan antarabangsa. Ini dibuktikan dengan beliau merupakan seorang ahli dalam Suruhanjaya Perubatan Persekutuan Sukan Komanwel. Bukan itu sahaja,  beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Persatuan Olahraga Amatur Asia. 

Untuk menghargai jasa beliau dalam bidang sukan, Dr. Jegathesan telah dikurniakan darjah kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Perak oleh Tuanku Sultan Perak pada tahun 1992. Pengurniaan darjah ini dilaksanakan baginda atas sumbangan Dr. Jegathesan atau ‘The Flying Doctor’ dalam mengharumkan bukan sahaja nama negeri Perak malahan negara Malaysia yang tercinta ini.

Ulasan Penulis

Di sini dapat kita lihat yang rakyat Malaysia juga mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Jadi, kejayaan-kejayaan Dr. Jegathesan ini amatlah relevan dan bagus untuk diterapkan dalam jiwa anak-anak muda masa kini supaya mereka lebih bersemangat untuk mengharumkan nama mereka, keluarga, bangsa, agama dan negara di peringkat antarabangsa suatu hari nanti, Insyallah. 

RUJUKAN:

1. Arkib Negara (1998). Dato’ Dr. M. Jegathesan. http://www.arkib.gov.my/en/web/guest/420

2. Harian Metro (2017). Pantas lagi.  https://www.hmetro.com.my/arena/2017/07/246136/pantas-lagi

3. Orang Perak (2019). Anak Perak, Pelari Paling Pantas Asia Tahun 1966.  https://www.orangperak.com/anak-perak-pelari-paling-pantas-asia-tahun-1966.html 

4. Story of the Malaysian Sports History (2009). M. Jegathesan. http://thesportsmuseum.blogspot.com/2009/06/datuk-dr-mani-jegathesan-atau-lebih.html

Artikel dikirimkan oleh Sang Taming Marhaen untuk The Patriots.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.