Moving Forward As One

The Crucible: Dari Novel Ke Filem Yang Menggegarkan Perundangan Korea Selatan

1,753

Silenced merupakan filem Korea Selatan tahun 2011 berdasarkan novel The Crucible karya Gong Ji Young, dilakonkan oleh aktor terkenal Korea Selatan Gong Yoo dan aktres Jung Yu Mi. The Crucible merupakan sebuah novel berdasarkan kisah sebenar yang berlaku di Korea Selatan, satu jenayah berprofil tinggi yang melibatkan sebuah sekolah untuk pelajar bisu dan pekak.

Kisah ini berlaku di Gwangju Inhwa School, diasaskan pada 1961 di Gwangju, Korea Selatan. Sekolah ini kelihatan normal dan biasa di mata orang luar, sehingga pada tahun 2005 yang mendedahkan penderaan kepada para pelajar. Berdasarkan siasatan pihak polis Gwangju pada tahun 2005, enam orang guru termasuk seorang pengetua telah didakwa melakukan serangan amang seksual dan merogol sekurang-kurangnya sembilan orang pelajar pekak-bisu sekitar tahun 2000-2003.Seorang guru yang baru berpindah telah menimbulkan isu penderaan berterusan kepada aktivis kemanusiaan, di mana dia kemudian dipecat dari kerjanya. Sembilan orang mangsa penderaan membuat laporan. Disusuli lebih ramai mangsa yang turut tampil memberi kerjasama berkenaan penderaan yang dialami.

Empat bulan kemudian barulah polis memulakan penyiasatan selepas salah seorang alumni dan mangsa Gwangju Inhwa School memberi pendedahan di kaca televisyen. Para guru dan ibu bapa berdiri dan protes di hadapan bangunan pejabat Gwangju dan sekolah tersebut kerana tidak berpuas hati.

Akhirnya, keenam-enam guru tersebut dibicarakan. 4 orang guru menerima hukuman penjara, manakala dua lagi dibebaskan kerana jenayah mereka telah melepasi statute of limitation. Mahkamah Daerah menjatuhkan hukuman kepada pengetua dengan penjara 5 tahun manakala yang lain pula dijatuhkan hukuman berat.

Malang seribu kali malang, Mahkamah Rayuan mengurangkan hukuman dengan meminta pengetua sekolah tersebut hanya membayar denda sebanyak 3 juta won dan diawasi oleh pihak polis. Guru-guru yang lain menerima hukuman yang lebih ringan dan dua daripada mereka dibebaskan daripada penjara kurang dari yang ditetapkan mahkamah iaitu kurang dari setahun. Guru-guru yang dibebaskan ditawarkan kembali untuk mengajar di sekolah yang sama.

Disebabkan tindakan mendadak itu, aktivis kemanusiaan dan mangsa mengecam sekerasnya tindakan mahkamah atas pembebasan penjenayah-penjenayah itu. 4 tahun kemudian, pada tahun 2009, Gong Ji-Yong menerbitkan The Crucible berdasarkan kisah di Gwangju Inhwa School. Di dalam buku itu terselit penderaan, jenayah rogol, rasuah, salah guna kuasa dan kelemahan sistem mahkamah. Pada 2011, Pengarah Hwang Do Hyuk telah mengadaptasi novel ini menjadi filem yang pecah panggung sehingga meraih 4.7 juta penonton termasuklah Presiden Korea Selatan, Lee Myung Bak.

Masyarakat Korea Selatan menggesa agar pihak polis membuka kembali kes ini, dan menyiasatnya kembali. Seorang bekas guru didakwa dipukul dan dipaksa untuk berhenti sekolah oleh pengetua dan adik pengetua tersebut (timbalan pengetua ) pada 1968 kerana melihat dua pelajar dipukul dan dibiarkan kelaparan sehingga dikebumikan secara rahsia pada 1964. Seorang lagi alumni membuat dakwaan bahawa anak kepada lembaga pengarah sekolah telah memaksa dua pelajar perempuan berbogel dan melukis lukisan bogel mereka pada 1975. Dua bulan selepas itu, sekolah itu secara rasminya ditutup selamanya.

Beberapa guru yang sebelum ini dibebaskan dipanggil semula, termasuklah seorang pengarah berumur 63 tahun yang kemudian dihukum penjara 12 tahun selepas melakukan serangan seksual pada pelajar 18 tahun pada tahun 2005.

Disebabkan kes ini semakin serius, kerajaan Korea Selatan menggubal undang-undang di mana statute of limitations tidak terpakai bagi kes jenayah seksual kepada remaja 13 tahun ke bawah dan wanita kurang upaya, serta menaikkan lagi hukuman jenayah serupa.

Sesiapa yang menonton filem The Silenced dinasihatkan bersabar dengan tindakan mahkamah yang sangat lemah dan penuh korupsi, serta melihatkan mangsa-mangsa dera dan rogol yang sangat menyayat hati dan perasaan. Penulis juga sangat mengesyorkan anda menonton filem ini kerana filem ini lain dari yang lain.

Artikel dikirimkan oleh Miran untuk The Patriots. 

Ruangan komen telah ditutup.