The Boot Room – Teras Falsafah & Intelektual Liverpool

79

“Orang yang bijak akan upah orang yang lebih bijak daripada mereka.” (Jurgen Klopp)

Agak lucu bila mendengarnya tapi bila kita lihat kata-kata jurulatih yang dikenali dengan gaya gegenpressing, ia sebenarnya mengimbau satu zaman yang amat dirindui penyokong Liverpool. Satu zaman di mana Liverpool menjadi kuasa besar Eropah pada tahun 60-an, 70-an dan 80-an terima kasih kepada individu-individu ini: Bob Paisley, Joe Fagan, Ronnie Moran dan Tom Saunders. Mereka membentuk satu legenda yang dikenali sebagai The Boot Room.

Sebut pasal Shankly, pengurus legenda ini bertanggungjawab mengembalikan semula kelab kembali seperti sediakala pada tahun 1959 termasuk mengasaskan pusat latihan Melwood yang masih digunakan sehingga hari ini. Walaupun tidak secanggih apa yang digunakan pemain-pemain The Reds hari ini, ia dipenuhi individu-individu yang menjadi tulang belakang kejayaan pasukan berkenaan.

The Boot Room bermula pada pertengahan 60-an apabila Fagan yang turut bekerja sambilan sebagai jurulatih pekerja kilang arak Guinness di Aughton, utara Liverpool. Sebagai bayaran khidmatnya sebagai jurulatih, beliau dibayar dengan beberapa bekas botol stout dan ia disimpan dalam satu biik yang mempunyai almari dua pintu untuk menyimpan but para pemain. Bilik yang terletak di bawah tangga Anfield itu menjadi tempat permulaan The Boot Room. Dan biasanya selepas latihan, Paisley bersama Fagan, Moran dan Saunders bermesyuarat dalam bilik but itu untuk membincangkan pemain, taktik permainan dan cabaran yang menanti Liverpool. Walaupun sesetengah idea itu datang kepada Shankly, beliau bukan sebahagian daripada kumpulan tersebut dan merasakan lebih baik untuk tidak masuk campur.

Bagi yang pernah melihat imej asal The Boot Room, ia kelihatan biasa saja. Pada dindingnya terpampang kalendar model wanita bogel, karpet biasa dan sebuah cerek. Dan bagi yang tidak biasa melihat mereka di Anfield, pasti menyangka Paisley dan rakan-rakannya itu hanya sebahagian daripada kumpulan penjaga stadium berkenaan. Ini kerana mereka sentiasa dilihat membawa banyak kunci di mana kebanyakannya tergantung kepada seluar mereka.

Selepas Shankly bersara dari bola sepak pada tahun 1974 akibat keletihan, kerusi panas Liverpool kini diisi oleh Paisley. Dan tradisi The Boot Room tetap diteruskan tetapi lewat sedikit bagi membolehkan beliau membuat panggilan-panggilan biasa sebagai pengurus termasuk penerima taruhannya. Dan dalam salah satu sesi berkenaan, mereka melihat corak permainan The Reds perlu diubah sedikit jika bermain di tempat lawan. Dan menurut bekas anggota pasukan yang memenangi Piala Eropah tahun 1981, mereka perlu bermain lebih perlahan-lahan dan berhati-hati. Nampak seperti tidak mencabar dan berisiko rendah tetapi pendekatan ini membantu The Red mencapai kejuaraan peringkat benua sebanyak empat kali, sesuatu yang gagal dilakukan pada era Shankly sebelum ini.

Bekas pengurus Liverpool Roy Evans menyertai kelab sebagai pengurus pasukan simpanan pada tahun sama Paisley dilantik sebagai pengurus. Pada usia 25 tahun dan diberi peluang menyertai The Boot Room merupakan satu peluang yang tidak dapat ditolak. Evans amat menyukai mesyuarat pada hari Ahad kerana selepas melihat tahap kecergasan atau kecederaan pemain dan menyusun kit untuk kegunaan hari seterusnya, inilah peluang untuk melakukan refleksi pasca-perlawanan yang berlangsung pada hari Sabtu sebelumnya.

Peraturan The Boot Room:

  1. Semua orang tahu kedudukan masing-masing dalam The Boot Room dari segi struktur kejurulatihan, tugas dan tempat duduk dalamnya. Contoh, menjadi peranan isteri penolong pengurus untuk mencuci kit pasukan simpanan.
  2. Pemain tidak dibenarkan masuk dalam The Boot Room kecuali sekiranya dijemput (pada dasarnya tiada siapa dapat jemputan) atau mengambil but bagi tugasan pasukan kebangsaan.
  3. Jika ada yang berbuat bising di luar The Boot Room terutama pemain muda, jangan terkejut jika ada kepala yang menonjol keluar dari pintu dan berkata, “Berambus atau diam.”

Salah satu kegunaan bilik berkenaan ialah menulis sesi latihan pasukan secara terperinci dalam satu buku nota berwarna hitam yang dipanggil ‘Anfield bibles’. Buku-buku sebegini sentiasa dipegang oleh Paisley dan Moran sejak dari era Shankly lagi. Antara maklumat yang terkandung di dalamnya ialah sesi latihan, maklumat kecederaan dan maklumat pihak lawan. Bagi bola sepak moden hari ini, semua maklumat sebegini disimpan dalam satu pangkalan data atau lebih terperinci, stor memori kolektif. Apa yang dilakukan kedua-duanya bukanlah asing bagi pengurus seperti Klopp kerana ia juga pernah dilakukan mentornya di Mainz, Wolfgang Frank.

Bila The Boot Room mencapai status legenda atau mistik dalam kalangan penyokong atau pasukan lawan, ia mengundang rasa ingin tahu sesiapa saja yang dijemput mereka. Penyanyi legenda Sir Elton John pernah diberi peluang berada dalam The Boot Room semasa membawa pasukan miliknya Watford bertandang ke Anfield. Beliau pernah bertanya, “Anda ada gin merah jambu?” Paisley lebih suka menjawab, “Maaf, kami hanya ada Export.”

Bagi yang dijemput, ia satu peluang bersama individu di sebalik kejayaan Liverpool. Tetapi bagi Paisley dan rakan-rakannya, ia sebenarnya peluang bagi mereka menambahbaik pasukan termasuk mengambil nota kejayaan pasukan lawan. Dan ini pernah berlaku kepada pengurus legenda Southampton, Lawrie McMenemy semasa dijemput menyertai mereka dalam The Boot Room. McMenemy menyifatkan Paisley dan rakan-rakannya orang paling baik dalam sukan bola sepak tetapi kemudiannya sedar di sebalik tawaran bir dan perbualan kecil, ia sebenarnya satu misi mencari maklumat. Jarang bagi pengurus atau jurulatih pihak lawan menggunakan The Boot Room untuk mencari maklumat The Reds kecuali seorang, pengurus legenda Arsenal Don Howe.

The Boot Room terus menjadi tulang belakang kejayaan Liverpool semasa era Paisley dan Fagan. Dan walaupun ia tidak lagi sehebat dulu selepas kelab diambil alih Sir Kenny Dalglish pada tahun 80-an, ia masih dikekalkan. Pada Dalglish sendiri, tuduhan yang menyatakan beliau merobek kepentingan The Boot Room merupakan satu tuduhan melulu. Beliau menambah, “The Boot Room merupakan satu institusi, sesuatu di mana saya tidak akan campurinya. Tetapi saya tak pernah masuk dalam bilik berkenaan selepas perlawanan berakhir atas satu sebab – saya tak berapa cerdik sangat. Saya tahu apa Ronnie (Moran) dan Roy (Evans) lakukan terhadap para pelawat dari kelab-kelab lain yang dijemput selepas perlawanan. Mereka akan duduk di The Boot Room, berbual-bual sebentar dan menghidangkan minuman kepada jurulatih dan pengurus pasukan pelawat. Tetapi ia memang licik.”

Dan tidak ramai sedar, suasana bola sepak di England sudah berubah pada tahun 80-an dan 90-an. Ia tidak lagi terikat dengan suasana sosialisme seperti yang dirasai The Boot Room, sebaliknya ia bersifat kosmopolitan dan antarabangsa. Justeru, sebarang bentuk latihan atau diet juga amat berbeza. Pada ketika itu, The Boot Room hanya tinggal sekadar nama terutama selepas Graeme Souness mengambil alih sebagai pengurus menggantikan Dalglish pada tahun 1991. Masih ramai yang menyalahkan Souness kerana keputusan merobohkan The Boot Room. Tetapi menurut beliau, ia sebenarnya diputuskan oleh kelab bagi membolehkan bilik media di Anfield dapat dibesarkan mengikut standard Liga Perdana Inggeris.

Hari ini, The Boot Room merupakan sebuah kafe-bar yang bersebelahan dengan Muzium Liverpool F.C di Anfield. Tetapi kepentingannya dalam sesebuah kelab yang kaya dengan tradisi dan sejarah seperti Liverpool terus diperkatakan. Tidak perlu lihat jauh, lihat bagaimana Manchester United bergelut selepas persaraan Sir Alex Ferguson. Walaupun sudah membelanjakan berjuta-juta paun dari segi pembelian pemain dan menyokong pengurus, United terus bergelut sehingga hari ini. Mungkin atas sebab itulah, Manchester City berusaha mengelak situasi Fergie berulang kepada mereka dengan memastikan falsafah kelab sampai dari peringkat akar umbi hinggalah pasukan utama sekiranya Pep Guardiola meninggalkan kelab atau bersara dari Stadium Etihad.

Sementara bagi Liverpool pula, semangat The Boot Room dikembalikan semasa era Klopp. Walaupun mengalami kehilangan Zeljko Buvac pada akhir musim lepas, ia dilihat tidak menjejaskan sedikit pun The Boot Room era Klopp kerana setiap staf mempunyai peranan tersendiri seperti anggota kumpulan muzik dengan Klopp sebagai konduktor yang memastikan perjalanan muzik berjalan lancar.

SUMBER

Herbert, Ian. (2018). Daily Mail. The legend of Liverpool’s Boot Room: Secretive brains trust met in a scruffy Anfield hideaway – filled with crates of Guinness and calendars of topless models – and conquered Europe over and over… so, can Jurgen Klopp follow in their hallowed footsteps? https://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-5757489/The-legend-Liverpools-Boot-Room-Klopp-follow-Liverpools-secretive-brains-trust.html

 

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.