Pada 18 Mei 1991, angkasawan Soviet Sergei Krikalev dihantar ke stesen angkasa lepas Soviet iaitu Mir. Tanpa beliau sedar, semasa berada di sana selama berbulan-bulan, negara yang menghantarnya tidak lagi wujud sekaligus menjadikan dirinya sebagai warga Soviet terakhir.

Rajah 1: Sergei Krikalev

Krikalev merupakan anak jati Leningrad (kini St Petersburg) dan mempunyai latar belakang sebagai jurutera. Malah, beliau juga terlibat dalam banyak projek angkasa lepas Soviet termasuk misi menyelamat stesen angkasa lepas Salyut 7 yang gagal berfungsi pada 1985. Tidak lama selepas itu, Krikalev terpilih sebagai angkasawan dan menjalani latihan selama bertahun-tahun daripada membaiki stesen angkasa lepas hinggalah berjalan di ruang angkasa.

Pada 18 Mei, beliau bersama dua orang angkasawan termasuk angkasawan Britain pertama Helen Sharman ke stesen angkasa lepas Mir. Permulaan misi mereka mula diuji apabila sistem sasaran kapal angkasa gagal mensasarkan Mir. Ini memaksa Krikalev memandu kapal secara manual dan berhati-hati semasa hendak berlabuh. Sebarang kesilapan semasa ini berlaku boleh mengundang bencana kepada para angkasawan.

Tetapi itu tidak berlaku dan Krikalev berjaya membawa kapal dengan selamat ke Mir. Semasa berada di situ, ia dianggap satu tempoh yang menyeronokkan lebih-lebih lagi bila bergerak tanpa graviti. Padanya, perasaan itu seperti burung yang dapat terbang ke udara.

Tatkala Krikalev dengan tugasnya di Mir, di Kesatuan Soviet lain pula ceritanya. Dari hari ke hari, negara itu ibarat re.ta.k menanti be.la.h di sebalik pelbagai usaha pemimpin utamanya ketika itu, Mikhail Gorbachev untuk mengekalkan Soviet.

Bagi mengelak Kazakhstan keluar dari Kesatuan Soviet dan mengisytiharkan kemerdekaan, Gorbachev bersetuju memilih seorang angkasawan berdarah Kazakh sebagai pengganti Krikalev. Walaupun tawaran tersebut menarik bagi kerajaan berkenaan, malangnya mereka tidak mempunyai angkasawan terlatih menggantikan beliau. Ini memaksa Krikalev berada di Mir untuk tempoh yang lebih lama.

Beliau mempunyai sebab yang baik untuk tidak mahu berada terlalu lama di angkasa lepas. Krikalev tahu antara risiko yang perlu dihadapi ialah risiko kekuatan fizikalnya berkurangan dan kekurangan keupayaan beradaptasi dengan tempoh lama di situ untuk menyempurnakan misi.

Pada Oktober 1991, rakan-rakan angkasawan kembali ke bumi selepas menghabiskan masa selama empat bulan di Mir. Krikalev terpaksa kekal selepas pihak Soviet tidak mempunyai calon angkasawan yang berpengalaman menguruskan Mir menggantikannya dan kekangan kewangan. Untuk beberapa bulan berikutnya, beliau berusaha memastikan stesen tersebut terus beroperasi mengelilingi bumi.

Keretakan yang menyelubungi Kesatuan Soviet akhirnya membawa kepada kejatuhan Tirai Besi pada 25 Disember 1991. Dengan masalah kewangan terus membelenggu pengganti Kesatuan Soviet iaitu Rusia, negara itu tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk menggerakkan misi membawa pulang Krikalev. Kejatuhan Soviet turut mengakibatkan beliau diberi gelaran ini – warga Soviet terakhir.

Satu-satunya pilihan ialah dengan menggunakan kapsul Soyuz untuk melepaskan diri. Tetapi jika ia dilakukan, maka Mir tidak lagi akan wujud. Dengan isu kewangan terus membelenggu Moscow, Krikalev terpaksa bersabar walaupun sedar risiko terlalu lama di angkasa lepas terhadap kesihatannya.

Tetapi pada akhirnya, beliau dapat pulang semula ke bumi pada 25 Mac 1992 selepas berada di Mir selama 311 hari berturut-turut. Semua ini terjadi selepas Rusia dan Amerika Syarikat bersetuju membiayai program angkasa lepas diperlukan untuk menghantar angkasawan ke angkasa lepas.

Jika ada menyangka perkara ini melunturkan semangatnya untuk kembali ke angkasa lepas, sangkaan mereka meleset. Tidak lama selepas kembali ke bumi, Krikalev kembali menyambung latihan sebagai angkasawan dan seterusnya mencipta rekod sebagai angkasawan paling lama berada di angkasa lepas.

Rekod tersebut ialah 803 hari di angkasa lepas. Dan jika mengikut teori relativiti dan pengembangan masa, Krikalev sebenarnya telah melangkah ke masa hadapan dengan kelajuan 0.2 saat!

RUJUKAN:

Felton, James. (2020). A Cosmonaut Was Left Stranded In Space When The Soviet Union Collapsed. IFLScience. Diambil dari https://www.iflscience.com/space/when-the-soviet-union-collapsed-a-cosmonaut-was-left-stranded-in-space/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.