Teori-Teori Konspirasi Berkaitan Kehilangan MH370

3,923

Bagi setiap tragedi atau insiden pelik berlaku, ada saja teori-teori yang dibangkitkan untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku walaupun teori tersebut kadang-kadang bersifat tidak masuk akal. Misalnya, jika kapal karam atau pesawat terh3mpas di Lautan Atlantik, ramai menuding jari ke arah Segi Tiga Bermuda.

Dalam kes MH370, pelbagai teori dikemukakan untuk menjelaskan apa yang berlaku. Memandangkan laporan rasmi yang dibentangkan oleh pasukan ICAO Annex 13 pada Julai 2018 tidak menyatakan punca sebenar kehilangan pesawat itu, ini mendorong sesetengah pihak mengemukakan teori-teori kehilangan MH370 walaupun tahu teori-teori berkenaan bersifat kontroversi.

  • Rampasan oleh krew

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Australia Tony Abbott mendedahkan ramai pihak dalam kerajaan Malaysia ketika itu berpandangan insiden kehilangan MH370 ialah insiden pembvnvhan beramai-ramai-bvnvh diri membabitkan Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Apabila berita tersebut diketahui oleh waris-waris mangsa MH370, ramai merasa marah dengan pendedahan tersebut dan mempersoalkan mengapa Abbott tidak melakukan apa-apa semasa menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Jadi sebelum kita melenting tak tentu pasal, apakah kemungkinan sebegini wujud? Rampasan yang dibuat oleh krew bukan sesuatu yang baru dan disokong oleh beberapa kes kemalangan pesawat seperti  LAM Mozambique Airlines Flight 470 (2013) dan  Germanwings Flight 9525 (2015).

Justeru, apabila pesawat MH370 hilang pada 8 Mac, sudah pasti kemungkinan ini akan dipertimbangkan oleh pihak berkuasa. Ini mendorong siasatan teliti dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk latar belakang Kapten Zaharie sendiri.

Bagi yang mengikuti kisah kehilangan MH370, pasti sedia maklum cerita-cerita kurang manis yang dikaitkan dengan dia. Katalah cerita apa, semua ada. Antara cerita yang timbul ialah masalah rumahtangga berantakan, tuduhan dia mempunyai perempuan simpanan dan sokongannya terhadap seorang tokoh politik.

Bagi geng teori konspirasi, setiap masalah ini yang diperkatakan ini sebagai punca yang mendorong Kapten Zaharie berbuat demikian. Malah, ada juga yang mengaitkan masalah ini dengan simulasi penerbangannya yang dilihat persiapan untuk menjatuhkan pesawatnya itu.

Justeru, bila laporan akhir ICAO Annex 13 dibentangkan pada Julai 2018, pasukan penyiasat melihat tiada sebarang unsur negatif yang mempengaruhi perilaku Kapten Zaharie sebagai juruterbang pesawat malang itu. Bagi keluarganya, itu merupakan satu berita baik kerana dapat membersihkan nama Kapten Zaharie dari semua tuduhan berkenaan.

  • Diego Garcia

Ada pula mendakwa pesawat MH370 tidak terhempas ke laut seperti yang dinyatakan tetapi ia dibawa ke pangkalan tentera Amerika Syarikat/Britain di Diego Garcia. Diego Garcia merupakan sebuah pulau yang dikawal kerajaan British yang terletak di Lautan Hindi.

Mengikut teori geng konspirasi, pesawat itu ditahan oleh pihak tentera dan dibawa ke Diego Garcia atau diarah mendarat di situ selepas diarah berbuat demikian. Khabar ini dibangkitkan pihak media dalam satu sidang media harian di Rumah Putih pada 18 Mac 2014.

Bila ditanya tentang soalan itu, Setiausaha Akhbar Rumah Putih Jay Carney menjawab, “Saya akan menolak teori itu.” Penafian yang dibuat Amerika Syarikat bagaimanapun tidak menghalang lebih ramai orang menjaja teori mereka ini.

Mereka menjadikan satu laporan akhbar Daily Mirror sebagai bukti teori mereka. Laporan itu memetik Kapten Zaharie dikatakan sudah berlatih mendarat di landasan-landasan terbang yang pendek di sebuah pulau Lautan Hindi.

Berdasarkan simulasi itu, dia dikatakan berlatih mendaratkan pesawat di lima lokasi termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Male, Maldives dan Diego Garcia.

Bagaimanapun, selepas simulasi komputer itu disemak oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI), pihak biro menyimpulkan mereka tidak menemui apa-apa yang mencurigakan dan menyifatkan laporan Daily Mirror itu sebagai tidak berasas.

Bila teori pendaratan tersebut gagal, geng teori konspirasi mendakwa pesawat itu ditembak jatuh berhampiran Diego Garcia. Teori ini terus dijaja lebih-lebih lagi selepas penemuan flaperon MH370 di Pulau Reunion pada tahun 2015 sebagai bukti perkara tersebut berlaku walaupun pakar-pakar mengatakan sebaliknya.

  • S3rangan pengganas

Apabila berita kehilangan pesawat MH370 diumumkan, teori pertama sudah pasti s3rangan pengganas. Dan dalam tempoh seminggu, ada saja teori-teori dibentangkan. Misalnya pada 9 Mac, taikun media terkenal Rupert Murdoch menuduh kehilangan pesawat MH370 didalangi pengg4nas yang cuba membuat kacau di China.

Pada hari sama, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Chinese Martyrs Brigade mengumumkan bertanggungjawab atas kehilangan pesawat MH370. Tindakan mereka dibuat bagi membalas d3ndam terhadap respon Beijing dalam menangani s3rangan pisau di Stesen Keretapi Kunming dan meneruskan kempen memerdekakan Xinjiang daripada kawalan China.

Sesiapa yang termakan dengan dakwaan ini patut buat pemeriksaan mata. Berdasarkan pemeriksaan pakar surat yang dihantar kumpulan itu, surat tersebut disahkan sebagai palsu dan disebabkan oleh beberapa faktor.

Pertama, kumpulan tersebut tidak tahu nasib yang menyelubungi pesawat malang berkenaan. Kedua, nama kumpulan itu sendiri tidak konsisten dengan nama kumpulan-kumpulan pemisah Uighur. Ini kerana mereka merujuk Xinjiang sebagai Turkistan Timur dan identiti mereka sebagai Muslim, bukan orang China seperti didakwa.

Teori Murdoch sendiri turut dit3mbak jatuh oleh penulis dan wartawan terkenal Shiv Malik. Menerusi satu laporan yang ditulis dalam The Guardian, Malik menyifatkan ciapan taikun media itu penuh dengan teori konspirasi.

Sebulan selepas itu, akhbar Moskovskij Komsomolets yang berpangkalan di Moscow mendakwa pesawat MH370 dirampas oleh pengg4nas sebelum diterbangkan ke Afghanistan. Dari situ, kumpulan itu bertanggungjawab menahan semua krew dan penumpang yang terlibat dengan harapan mahu berunding dengan US atau China.

Namun, seperti juga teori Chinese Martyr Brigades, ini juga dianggap teori konspirasi dan tidak disokong oleh bukti-bukti kukuh.

Promosi Buku DTT
  • Dit3mbak jatuh

Tidak lama selepas pesawat MH370 hilang, wujud satu dakwaan kontroversi pesawat itu dit3mbak jatuh. Teori ini dinyatakan oleh pengulas politik Amerika Rush Limbaugh semasa ditemubual di CNN pada 22 Mac 2014.

Isu ini bukan perkara baru kerana pernah melibatkan Iran Air Flight 655 yang dit3mbak jatuh US pada 1988, KAL 007 oleh Kesatuan Soviet (1983), pesawat MAS MH17 (2014) dan terbaru, Ukraine International Airlines Flight 752 oleh Iran pada tahun 2020.

Namun, ramai pakar menyifatkan teori tersebut sebagai tiada asas kerana tidak wujud bukti yang membuktikan perkara tersebut berlaku. Ini turut disokong komander operasi udara TUDM ketika itu, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad yang menyifatkan amat mustahil bagi TUDM men3mbak jatuh pesawat berkenaan.

Di sebalik ketegasan ramai pihak menafikan perkara itu berlaku, masih ramai yang menjaja kisah ini. Seawal Mei 2014, sebuah buku bertajuk Flight MH370: The Mystery yang dikarang oleh Nigel Cawthorne diterbitkan.

Cawthorne mendakwa pesawat MH370 itu dit3mbak jatuh dalam satu latihan ketenteraan bersama membabitkan US dan Thailand. Dia turut mendakwa pasukan pencari sengaja dilencongkan ke tempat lain bagi memastikan perkara itu tidak diketahui ramai.

Namun, buku tersebut mendapat kritikan keras ramai pihak kerana dipenuhi pelbagai teori mengarut dan menghina usaha murni pasukan pencari yang giat mencari pesawat berkenaan. Malah, waris-waris mangsa MH370 turut menyelar Cawthorne dan menyifatkan buku tersebut sebagai tidak sensitif dan mengambil kesempatan daripada tragedi berkenaan.

  • MH17 = MH370?

Beberapa bulan selepas kehilangan MH370, dunia dan negara dikejutkan dengan insiden pesawat MAS MH17 dit3mbak jatuh di ruang udara Donbass semasa krisis antara kerajaan Ukraine dengan pemisah pro-Rusia. Insiden tersebut meng0rbankan 298 orang krew dan penumpang.

Rajah 1: Insiden MH17 yang dit3mbak jatuh disangka geng teori konspirasi sebagai pesawat MH370. Sumber: https://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/europe/russia/12080470/Dutch-investigators-to-study-British-citizen-journalism-probe-into-MH17.html

Tatkala tuding-menuding terus berlaku sehingga hari ini antara kedua-dua pihak yang membawa kepada perbicaraan suspek pen3mbakan MH17 di Belanda minggu ini, geng teori konspirasi pula sibuk menanam teori baru.

Teori mereka ialah pesawat yang dit3mbak jatuh dengan p3luru berpandu Buk itu sebenarnya pesawat MH370 yang hilang itu. Mereka mendakwa ini berdasarkan gambar struktur pesawat yang dilihat hampir sama dengan pesawat MH370.

Namun, teori kumpulan ini disanggah oleh ramai pakar yang menyifatkan satu-satunya persamaan MH370 dan MH17 ialah kedua-dua pesawat dimiliki oleh syarikat penerbangan MAS.

  • MH370 = QZ8501?

Agaknya lepas dimarahi ramai kerana tidak sensitif dengan perasaan waris-waris MH370 dan MH17, geng teori konspirasi mengalihkan teori mereka kepada satu lagi insiden kemalangan pesawat membabitkan syarikat penerbangan Air Asia iaitu QZ8501.

Pada Disember 2014, pesawat Air Asia Indonesia QZ8501 terhempas ke Laut Jawa dan meng0rbankan 162 penumpang dan krew. Di sebalik tragedi pilu yang melanda Indonesia dan Malaysia ini, ada saja cerita konspirasi yang dijaja.

Rajah 2: Kemalangan QZ8501 dan MH370 dianggap tanda konspirasi jahat terhadap syarikat-syarikat penerbangan Malaysia.

Misalnya, geng teori konspirasi menyifatkan pesawat QZ8501 bernasib malang kerana berkongsi nasib sama dengan MH370 berikutan kedua-duanya dimiliki syarikat penerbangan Malaysia dan hilang komunikasi dengan pengawal trafik udara.

Malah, ada juga yang menyifatkan ia merupakan satu konspirasi untuk menjejaskan kedudukan syarikat-syarikat penerbangan Malaysia. Bagaimanapun, laporan-laporan tersebut diragui ramai dan berkemungkinan diubah bagi menyesuaikan dengan naratif yang dibawa mereka.

  • Lubang hitam?!

Ah, teori yang paling tidak masuk akal. Semasa ditemubual oleh CNN, Don Lemon mendakwa pesawat MH370 hilang kerana ditelan oleh lubang hitam. Sejak itu, teori Lemon dikecam berbakul-bakul oleh ramai pihak seperti hos terkenal Jon Stewart dan bekas pegawai tinggi Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat, Mary Schiavo.

Dalam satu undian yang dijalankan CNN, 9% responden percaya kehilangan MH370 berpunca daripada lubang hitam, diculik pengembara masa, makhluk asing atau makhluk dari dimensi berbeza.

  • S3rangan siber

Idea bahawa MH370 merupakan mangsa s3rangan siber bukan cerita baru. Idea ini dibangkitkan pada tahun 2018 oleh bekas penasihat saintifik UK, Sally Leivesley. Leivesley mencadangkan penggodam menggodam sistem pengurusan penerbangan pesawat tersebut sehingga mengakibatkan ia hilang.

Idea Leivesley ini turut disokong oleh aplikasi godaman yang dibuat oleh Hugo Teso pada tahun 2013. Namun, idea s3rangan siber ini dianggap tidak logik kerana sistem yang digodam Teso jauh berbeza berbanding perisian dan sistem yang digunakan dalam pesawat.

RUJUKAN:

Richards, Chris. (2014). MH370 ‘hijacked and in Afghanistan’: Russian intelligence source claims all passengers and crew are alive but held hostage. Daily Mirror. https://www.mirror.co.uk/news/world-news/mh370-hijacked-afghanistan-russian-intelligence-3407468

Stableford, Dylan. (2014). CNN anchorman asks: Could a ‘black hole’ explain MH370 mystery?. Yahoo News. https://news.yahoo.com/cnn-black-hole-malaysia-flight-370-theories-144151381.html

Thomas, Pierre. (2014). FBI Finishes Probe into Malaysia Airlines Captain’s Flight Simulator. ABC News. https://abcnews.go.com/blogs/headlines/2014/04/no-clues-to-missing-malaysia-airlines-plane-in-captains-flight-simulator/

Ruangan komen telah ditutup.

PROMO

LAWATI LAMAN SESAWANG UNTUK MELIHAT HARGA PROMOSI JUALAN KECEMASAN COVID-19.

 

https://www.thepatriots.store

16108