Sejarahlah ilmu yang sering diancam dan dicemuh. Orang sering memandang rendah dan sinis terhadap keupayaan ilmu sejarah dalam menghadapi kemajuan dan pemodenan. Sejarah itu “omong kosong”, “apa guna mempelajari sejarah”, “sejarah hanya belajar mengenai orang yang sudah mati”, “apa gunanya belajar perkara yang dah lepas”, dan akhir sekali teori “sejarah sudah mati”.

Akhirnya, sejarah hanya milik sejarawan. Hanya bermakna kepada mereka yang benar-benar membaca dan mengikuti isu-isu sejarah. Itu belum lagi kita merenung sebanyak manakah sudah karya sejarah yang benar-benar bertepatan dengan falsafah, kaedah dan penyelidikan sejarah. Belum lagi kita melihat betapa banyaknya buku-buku popular di pasaran yang sudah dicampur aduk unsur mitos dan khayalan yang merencatkan perkembangan sejarah sebagai ilmu yang berpaksikan kepada kesahihan fakta dan ketulenan sumber.

Persoalan berkenaan relevensi sejarah bukanlah satu isu yang baru. Ia dibahas sarjana barat terutamanya yang gemar sekali membahaskan ‘what is history for?’, hatta persoalan mendasar seperti ‘what is history?’ itu dibincangkan dalam banyak buku berkenaan disiplin sejarah.

Antara buku yang patut dibaca oleh peminat sejarah ialah apa yang telah ditulis oleh EH Carr dalam bukunya ‘what is history’. Carr memulakan bukunya dengan memberikan asbab mengapa persoalan ‘apakah sejarah?’ itu sebagai persoalan yang bukanlah diada-adakan. Bukan juga persoalan yang harus dibakul-sampahkan. Ia wajar dikupas dan diwacana dengan tuntas.]

Antaranya Carr memberi misal yang baik bagaimana ahli sejarah itu berinteraksi dengan fakta sejarah. Kata Carr segala apa yang telah berlaku itu tidak semestinya menjadi sejarah. Penentuan mengenai sesuatu peristiwa itu menjadi sejarah atau tidak ia terpulang kepada pengangkatan dan nilaian ahli sejarah itu.

Selalunya sesuatu peristiwa itu nak diangkat menjadi sejarah ia memerlukan tempoh. Misalnya selama ini kita tidak pernah membicara tentang kematian sultan kedah yang terkenal itu. Orang tidak pernah peduli. Tapi apabila kuburnya telah dijumpai, maka segala yang berkaitan dengan Sultan Kedah itu dibicara bahkan ditulis oleh ahli sejarah. Padahal sebelum itu tidak pernah dihairankan.

Voltaire orang yang pertama memperkenalkan istilah ‘philosophy of history’. Sejak itu, pelbagai buku-buku telah mewacanakan konsep falsafah sejarah, terutama pada penghujung abad ke 19 hingga abad ke-20. Antara yang menarik perhatian ialah tulisan R.G Collingwood yang kelihatan telah menambah baik apa yang ditulis oleh Carr dan Voltaire.

Saya masih ingat pada hari raya tahun lepas, seorang guru veteran bertanyakan kepada saya soal “siapakah sebenarnya pejuang kemerdekaan?”. Saya tidak berupaya menjawab persoalan itu sebaik mungkin kerana lidah saya sedang asyik menikmati juadah hari raya. Tidak mampu memerah otak saya untuk menjawabnya dengan tangkas.

Seorang kawan saya mencelah, “buat apa kita nak tahu sejarah-sejarah ini, bincang benda dah mati, ilmu sejarah ini dah mati macam ilmu falsafah, kita harus fikir kedepan”. Lalu saya tidak bercadang untuk meneruskan topik, saya diam seribu bahasa kerana rendang tok dan nasi impit itu memalingkan saya daripada fokus kepada isu itu. Walaupun dalam hati memberontak.
Ramai orang tidak sedar mereka sedang berhadapan dengan realiti yang sedang diulang dari masa lampau. Mereka sangka perkara yang berlaku adalah sesuatu yang baru. Yang mana kita sedang berhadapan dengan realiti baru yang jelas tidak sama dengan realiti lampau.

Ya, zaman memang telah berubah, lalu realiti turut berubah. Tetapi realiti sekarang tidak mungkin berlaku jika tidak dibentuk oleh masa lampau. Masa lalu adalah cerminan kepada realiti hari ini. Untuk berhadapan dengan realiti kita harus menoleh kebelakang untuk melihat pengalaman lalu. Jika kita memandu kereta lalu mahu memasuki simpang kalau tidak memandang cermin pandang belakang, kemungkinan kita terpaksa untuk menoleh kepala kita. Jika tidak menoleh, kemungkinan besar kita akan dilanggar oleh kereta belakang.

Hamka ketika menyentuh tentang keruntuhan kota Melaka dalam penulisannya. Lalu ada orang bertanya “kenapa tuan menulis tentang sejarah, sedangkan sejarah tidak pernah akan berulang?”. Jawab Hamka, “Ya, benar sejarah tidak berulang, tetapi watak manusia tidak pernah berubah!”

Sejarah itu bukan angka tahun, nama tempat dan nama tokoh yang perlu dihafal membuta tuli. Tetapi sejarah adalah pengajaran atau ibrah. Ramai orang mengenal sejarah melalui hafalan sudah mula lelah dalam mempelajari sejarah. Ini kerana mereka perlu menghafal banyak benda lalu mata mereka tertutup dari menyedari kepentingan hakiki mempelajari sejarah.

Saya antara orang yang berpendapat soalan peperiksaan yang terlalu fokus kepada ‘knowledge’ dan mengabaikan pengajaran yang harus dikutip daripada naratif sejarah telah membunuh ilmu sejarah secara perlahan-lahan. Saya tidak menafikan kepentingan mengingat tahun, tokoh dan tempat. Cuma ini bukanlah objektifnya.

Akhirnya, pelajar dari peringkat sekolah hingga universiti hanya mampu menghafal sejarah lalu memuntahkan kembali ke atas kertas peperiksaan. Mereka tidak mampu berfikiran kritis. Misalnya, pelajar tahu tarikh kejatuhan Melaka pada 1511, tetapi gagal untuk memahami bagaimana peristiwa kejatuhan Melaka itu dengan sebab musabab yang perlu untuk dihayati agar tidak diulangi lagi.

Ada orang anggap, penghayatan itu tidak perlu kerana realiti Melaka tidak sama dengan realiti sekarang. Tetapi mereka lupa sikap manusia suka masuk lubang biawak sebanyak dua kali. Jika watak sepertimana yang disebut oleh Hamka itu tidak dapat diubah. Maka. kita akan mengulang sejarah. Ya, mungkin plot atau jalan ceritanya berlainan. Tetapi kesan dan akibat yang dibuat oleh manusia tetap sama. Kata Mat Rofa, “siapa yang enggan mempelajari sejarah, maka sejarah akan mengajar mereka!”

Sebenarnya segala peristiwa masa lalu bukanlah kesemuanya boleh dianggap sebagai sejarah secara objektifnya. Sejarah akan menulis hal-hal yang mustahak yang boleh dijadikan iktibar. Misalnya cerita Pak Mat mengajar monyet memanjat pokok itu tidak menjadi sejarah. Tetapi jikalau monyet mengajar Pak Mat memanjat pokok, maka itu barulah menjadi sejarah.

Lantaran itu, orang selamanya tak akan nampak kepentingan sejarah jika ‘orang sejarah’ tak menjalankan tanggungjawabnya. Bermula daripada guru sekolah hingga ke para sarjana di universiti harus menjadikan sejarah itu hidup di tengah-tengah laman pengajaran sejarah. Jangan hanya mementingkan soal konten semata-mata. Tetapi semangat inkuiri harus dimantapkan supaya sejarah masa lalu tak kelihatan lesu dan tak bermaya.

Rujukan
Carr, EH, 1965. What is history. Harmondsworth, Middlesex: Penguin Books
Muhd Yusof Ibrahim, 2013. Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian, Kaedah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ahmad Faizal Bin Basir. Anak muda kelahiran Tanjong Malim Perak ini merupakan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah), Universiti Pendidikan Sultan Idris.

1 Comment

Leave A Reply