Teori Saintifik Tidak Sama Dengan “Teori” Yang Kalian Bayangkan

444
views

Aku sebenarnya agak alergik dan ‘irritate’ apabila dibentangkan teori saintifik, ramai duk canang, “Ini cuma sekadar teori.”

Mari aku perkenalkan empat istilah ini,

i. Fakta (fact)
ii. Hipotesis (hypothesis)
iii. Teori (theory)
iv. Hukum (law)

Fakta ini adalah apa yang kita perhatikan dan rasa secara langsung dengan deria kita. Di luar panas, air sejuk, orang itu sakit, air laut masin.

Inilah dia fakta.

Hipotesis pula?

Hipotesis adalah percubaan awal untuk menjelaskan kenapa di luar rumah itu panas? Kenapa air itu sejuk? Kenapa orang ini sakit? Kenapa air laut masin?

Ya, inilah hipotesis. Kau cuma main agak-agak apa penjelasan disebalik fenomena ini semua. Inilah yang kau orang duk canang “Ini cuma sekadar teori.”

Tapi sebenarnya INI BUKAN TEORI!

Ia cuma sekadar hipotesis. Tak sampai ke peringkat teori pun. Jauh sekali. Daripada satu fenomena itu, boleh buat macam-macam hipotesis. Kau nak datangkan 10 hipotesis pun tak ada masalah.

Tapi cuma sekadar hipotesis ajelah. Ia tak memberikan apa-apa makna.

Teori konspirasi cuma paras-paras hipotesis ajelah, tak boleh ‘challenge’ dengan teori saintifik.

Teori macam mana pula?

Lepas kau buat hipotesis, kau buat eksperimen untuk membuktikan hipotesis kau itu betul. Eksperimen ini bukan buat sekali, tetapi banyak kali dengan pelbagai pemboleh-ubah dan parameter.

Kalau keputusan eksperimen tidak menepati hipotesis, kau kena datangkan semula hipotesis yang baru kemudian buat lagi eksperimen.

Tetapi boleh juga daripada eksperimen, kau hasilkan teori yang baru, berbeza dengan hipotesis tadi.

Hukum ini apa pula?

Hukum ini menjawab bagaimana fenomena itu berlaku. Ia menjawab persoalan ‘how’ dan mempunyai ‘measurements’. Hukum dapat mengira kelajuan planet beredar mengelilingi Matahari.

Berbezanya hukum dengan teori adalah teori ini menjawab persoalan ‘why’ dan mengapa. Teori menjawab kenapa planet beredar mengelilingi Matahari.

Jangan disamakan teori saintifik dengan teori-teori yang cuma berkhayal macam teori konspirasi. Orang sains dah lama tinggalkan kaedah ini sejak zaman Aristotle lagi.

Teori boleh dicabar dengan pembuktian dan eksperimen berkali-kali.

Kalau teori konspirasi, bolehlah kau nak sebut ‘Ini sekadar teori’ sebab teori ini memang banyak berkhayal.