Moving Forward As One

Teori Ekonomi Yang Digunakan Thanos Untuk Justifikasi Tindakannya

1,468

Ya, saya serius. Thanos The Mad Titan dari Marvel Cinematic Universe dan bukannya mana-mana ahli ekonomi. Saya amat tertarik tujuan Thanos mengumpul Akik Saujana (Infinity Stone) dan tujuannya merupakan salah satu daripada isu ekonomi yang pernah dibincangkan suatu ketika dahulu. Bagi mereka yang tidak pernah menonton siri filem Avengers, Thanos mengumpul Akik Saujana untuk memadam separuh makhluk dari alam semesta ini. Hal ini bertujuan untuk mengatasi masalah penduduk berlebihan (overpopulation).

Thanos bukanlah orang yang pertama mengesan kebobrokan jika berlaku penduduk berlebihan. Seorang ahli ekonomi British abad ke-18 yang bernama Thomas Maltus berpendapat pertumbuhan penduduk merupakan malapetaka yang boleh mengakibatkan kemiskinan. Malthus berhujah dorongan keinginan syahwat manusia mengakibatkan populasi manusia berkembang dengan pantas.

Hal ini akan menyebabkan pengeluaran makanan tidak mampu menampung pertambahan penduduk pada kadar yang laju sesuai dengan hukum pulangan berkurangan (law of diminishing returns). Hal ini kerana tanah yang terhad untuk penghasilan makanan adalah tidak mencukupi untuk penduduk yang semakin bertambah. Maka berlakulah ketidakseimbangan antara populasi dan bekalan makanan.

Bak kata Thanos…

“It’s a simple calculus. The universe is finite, its resources finite. If life is left unchecked, life will cease to exist.”

Maksudnya: “Ianya Matematik mudah. Alam ini terbatas, begitu juga sumbernya. Jika kehidupan(makhluk) dibiarkan, kehidupan akan lenyap”

PERANGKAP MALTHUS

Selain kebuluran, pertukaran kadar kelahiran dan kematian juga mampu menghalang manusia daripada mencapai taraf hidup yang lebih tinggi. Bayangkan anda seorang raja yang menguasai sebuah negeri. Pada suatu hari, anda menjajah tanah baru yang tidak berpenghuni. Hal ini merupakan suatu rezeki yang besar kerana terdapat tanah lebih untuk tujuan penghasilan makanan dan tentunya lebih banyak makanan untuk rakyat anda.  Hasil daripada penemuan tersebut, rakyat anda bertambah sihat dan kadar kematian pun berkurang. Akhirnya, rakyat anda mencapai taraf hidup yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.

Hal ini membolehkan rakyat anda membiak dengan lebih ramai. Impaknya, populasi semakin bertambah sampai ke satu tahap, negeri anda miskin semula kerana bekalan makanan tidak mencukupi untuk kadar populasi yang pantas. Inilah yang dipanggil Perangkap Malthus.

Perangkap Malthus menyatakan taraf hidup yang lebih tinggi selalu dihalang oleh pertumbuhan populasi. Hal ini demikian kerana populasi manusia berkembang secara geometri tetapi pengeluaran makanan hanya berkembang secara aritmetik. Oleh itu, manusia tidak akan kekal berada pada taraf hidup yang baik disebabkan akan sampai satu tahap makanan tidak mencukupi dan kebuluran akan berlaku kerana pertumbuhan manusia.

KRITIKAN TERHADAP PERANGKAP MALTHUS

Teori Perangkap Malthus menerima banyak kritikan, antaranya:

  1. Malthus mengatakan bahawa, “populasi manusia berkembang secara geometri tetapi bekalan makanan hanya berkembang secara aritmetik”. Pendapat Malthus ini tiada asas dan hanya retorik. Hal ini demikian kerana tiada bukti yang menyatakan populasi manusia berkembang secara geometri dan bekalan makanan berkembang secara aritmetik.
  2. Kebimbangan Malthus makanan tidak mencukupi kerana pertambahan populasi. Sebenarnya kebimbangan Malthis telah berjaya diatasi oleh teknologi. Teknologi hari ini mampu menghasilkan lebih banyak makanan dengan keluasan tanah yang ada. Bahkan teknologi hari ini juga mampu meningkatkan produktiviti penghasilan makanan untuk menampung permintaan pasaran.
  3. Malthus juga mengatakan bahawa keinginan syahwat manusia mengakibatkan populasi manusia berkembang dengan pantas. Hal ini tidak tepat dalam situasi negara maju. Hal ini demikian kerana di negara maju, rakyatnya terdedah dengan kaedah-kaedah pencegahan kehamilan. Jadi walaupun nafsu mereka besar, tetapi populasi mereka terkawal.
  4. Malthus juga bimbang populasi manusia berkembang dengan pantas dan berganda. Dalam konteks tahun 1961-2019, hanya beberapa kali pertumbuhan populasi tahunan dunia melepasi angka 2%. Bukan itu sahaja, trend pertumbuhan populasi tahunan dunia juga mengalami penurunan. Andaikan Malthus masih hidup tentu dia berasa lega.
  5. Malthus berpendapat populasi perlu dikawal agar kemiskinan dapat dielakkan. Hal ini sangat tidak tepat. Hal ini demikian kerana tanah kelahiran Malthus sendiri iaitu Britain berkali ganda lebih besar ketika ini berbanding di zaman Malthus tetapi ekonomi Britain merupakan antara yang terbesar ketika ini. Maka tidak semestinya pertumbuhan penduduk semata-mata mengakibatkan kemiskinan kerana banyak lagi pemboleh ubah lain yang perlu dilihat.

Ada banyak lagi kritikan-kritikan terhadap dakwaan-dakwaan Malthus. Walaupun populasi manusia hampir mencapai 8 bilion orang tetapi masih tidak terdapat kebuluran besar-besaran. Namun begitu, kajian demi kajian perlu dijalankan agar kemajuan demi kemajuan dapat dicapai supaya kesan buruk pertambahan penduduk tidak berlaku. Manusia hanya terselamat daripada andaian pesimistik Malthus disebabkan kemajuan teknologi dan pendidikan.

Kesimpulan

 Tuntasnya, usaha Thanos untuk mengawal populasi dunia selari dengan sarjana ekonomi abad ke-18 Thomas Malthus. Namun begitu, setakat ini andaian Malthus agak tersasar. Oleh itu, saya berpendapat belum masa Thanos memetik jarinya untuk memadam separuh daripada makhluk di alam ini. Bagaimana pula pendapat anda, adakah patut Thanos memadam separuh daripada makhluk di alam ini?

RUJUKAN

(2014). The economics book: Big ideas simply explained. Dorling Kindersley.

Malthus, T. R. (1999). An essay on the principle of population. Oxford University Press, USA.

Russo, J., & Russo, A. (Directors). (2018). Avengers: Infinity War [Film]. Marvel Studios.

Russo, J., & Russo, A. (Directors). (2019). Avengers: Endgame [Film]. Marvel Studios.

Ruangan komen telah ditutup.