Teori Ekonomi Imam al-Ghazali

125

Sebut saja nama Imam al-Ghazali, pasti ramai maklum akan kemahsyurannya sebagai seorang ahli teologi, filsuf dan ahli tasawuf. Dan antara karyanya yang terkemuka ialah Ihya Ulumuddin yang menjadi rujukan umat Islam dari dahulu hingga sekarang. Tetapi tidak ramai tahu, beliau juga mempunyai pelbagai teori menarik tentang soal ekonomi. Dan sesetengah teori ini bukan saja ada persamaan teori ahli-ahli kewangan moden tetapi juga masih diaplikasikan sehingga ke hari ini.

Wang

Imam al-Ghazali mengemukakan beberapa pandangan menarik berkenaan fungsi wang dalam ekonomi. Pertama, beliau melihat fungsi wang sebagai ‘qiyam al-dunya’ atau alat yang digunakan untuk mengukur nilai barang dan membandingkan dengan barangan lain. Al-Ghazali telah membuat perumpamaan wang dengan sebuah cermin yang tidak mempunyai warna tetapi mampu menunjukkan warna-warna yang lain. Ini menunjukkan bahawa wang tidak mempunyai nilai tersendiri tetapi berfungsi untuk mengukur dan menilai barangan lain. Oleh kerana peranan wang untuk mengukur dan menilai barangan lain, maka layaklah mata wang digelar ‘hakim mutawasit’ atau hakim yang adil dalam menentukan harga barang. Ini merupakan salah satu sebab wang dicetak dan diedarkan dalam pasaran untuk digunakan masyarakat dalam aktiviti ekonomi.

Fungsi wang kedua ialah at-tabadul atau al-mu’awidah yang bermaksud wang sebagai perantara dalam pertukaran barang. Fungsi ini juga mempunyai hubungan dengan fungsi qiyam al-dunya. Selanjutnya, fungsi mata wang yang lain menurut al-Ghazali ialah alat untuk mendapatkan barangan lain dan tujuan-tujuan tertentu. Sebenarnya, fungsi mata wang sebagai alat untuk mendapatkan barangan adalah berbeza dengan fungsi sebagai alat pertukaran. Ini disebabkan wang dinyatakan sebagai wang membeli barangan tetapi barang tidak membeli wang. Contohnya jika seseorang memiliki sepotong pakaian, maka dia hanya memiliki sepotong kain itu sahaja. Manakala, jika seseorang memiliki sejumlah wang, maka individu berkenaan boleh memiliki dan membeli apa sahaja barangan yang senilai dengannya.

Imam al-Ghazali bersikap tegas dalam soal ini menerusi penetapan beberapa peraturan yang ketat dalam mata wang emas dan perak. Berdasarkan pandangan al-Ghazali berkaitan kewangan, pakar kewangan Dato’ Aidit Ghazali berpandangan prinsip kewangan yang dijelaskan al-Ghazali ini bertujuan memastikan kestabilan mata wang emas dan perak, sekaligus mengelakkan berlaku perubahan nilai mata wang ini dari menjadi terlalu tinggi atau rendah. Perubahan nilai yang radikal sebegitu rupa sudah pasti akan memberi impak besar kepada mata wang sebagai alat pertukaran, penyimpan nilai, dan unit ukuran nilai. Oleh sebab itu, beliau mewajibkan setiap wang yang dikeluarkan perlu mempunyai sandaran nilai emas dan perak bagi mengukuhkan fungsi wang dalam pasaran.

Sistem barter

“Manusia memerlukan bermacam-macam bahan dalam hal keperluan hidup dan keperluan lain. (Tetapi) kadang-kadang ia tidak mampu mencari keperluan-keperluan tersebut sedangkan saat itu ia memiliki barang yang sedang tidak ia perlukan. Oleh itu diperlukan adanya suatu alat tukar (wang) dan alat pengukur nilai bagi benda-benda yang akan dipertukarkan. Kerana tidak mungkin seseorang yang memiliki unta menyerahkan untanya hanya untuk memiliki za’faran. Lagi pun tidak ada korelasi (hubungan) antara za’faran dengan unta yang dapat menunjukkan perbandingan harga antara keduanya.” (Imam al-Ghazali/Ihya Ulumuddin)

Jika kita baca dengan teliti petikan ini, terserlah penolakan tegas Imam al-Ghazali terhadap sistem barter atau pertukaran barang. Beliau menyifatkan sekiranya sistem berkenaan satu-satunya sistem digunakan dalam ekonomi, ia sudah pasti mengundang kesulitan kepada peniaga dan pengguna. Antara masalah dalam sistem barter ini ialah kesukaran mendapatkan keinginan yang sama antara pembeli dan penjual. Seterusnya, ia juga mencetuskan kesukaran menentukan nilai sesuatu barangan contohnya adakah sekilo beras mempunyai nilai seekor lembu ataupun memerlukan pembahagian bahagian-bahagian tertentu. Sistem barter juga akan mencetuskan isu kehendak atau pilihan penjual dan pembeli kepada pihak-pihak tertentu serta barangan tertentu. Oleh yang demikian, penggunaan wang merupakan satu keperluan yang utama dalam urusan ekonomi yang bukan sahaja menyelesaikan masalah ekonomi malahan mewujudkan perubahan yang sesuai dengan perubahan masa yang praktikal sehingga masa kini.

Menimbun wang/’money hoarding’

Imam al-Ghazali menolak sekeras-kerasnya aktiviti penimbunan wang kerana selain menjejaskan fungsi wang dalam ekonomi sesebuah negara, ia juga menjejaskan usaha para peniaga untuk mendapatkan modal bagi memulakan atau mengembangkan lagi perniagaan mereka. Selain itu, aktiviti sebegini juga akan mengakibatkan pengurangan dari segi produktiviti kerja dan wang hanya berlegar dalam kalangan pihak tertentu sahaja.

“Jika seseorang menimbun dirham dan dinar, dia telah berdosa besar. Dinar dan Dirham selalunya tidak memiliki kegunaan pada dirinya. Dinar dan dirham dicipta supaya diagihkan dari tangan ke tangan, untuk mengatur dan memudahkan pertukaran, sebagai simbol untuk mengetahui nilai barang dan kelas. Siapa pun yang mengubahnya menjadi peralatan-peralatan emas dan perak biasanya tidak bersyukur kepada penciptanya, dan lebih buruk berbanding penimbun wang. Orang yang mengubah emas seolah-olah memaksa pemerintah untuk melakukan apa yang tidak sepatutnya seperti mengenakan cukai. Menimbun wang adalah lebih baik berbanding mengubahnya kerana terdapat logam, tembaga, peruggu, besi, dan tanah liat yang dapat digunakan untuk membuat (barangan atau perhiasan). Namun, logam lain (tembaga, tanah dan sebagainya) tidak dapat untuk menggantikan fungsi dijalankan dirham dan dinar.” (Imam al-Ghazali/Ihya Ulumuddin)

Menurut beliau, larangan menimbun ini bersifat mutlak dan berkait dengan dua aspek utama iaitu jenis harta yang ditimbun dan waktu ia ditimbun. Jenis harta yang dilarang ditimbunkan ialah makanan ruji seperti gandum dan padi sementara jenis harta lain masih dibincangkan oleh para ulama. Dalam masalah penimbunan wang ini, sudah wujud dalil yang menjelaskan larangan aktiviti ini. Antara dalil larangan aktiviti penimbunan harta ialah firman Allah s.w.t dalam ayat 180, Surah Ali Imran mafhumnya, “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?” Menurut al-Maududi, tindakan mengumpul dan menimbun wang bukan saja meletakkan manusia itu dalam dilema moral tetapi juga melakukan satu bentuk kezaliman yang besar kepada masyarakat.

Menurut al-Ghazali, matlamat larangan menimbun wang wujud kerana tindakan berkenaan boleh saja menghilangkan fungsi-fungsi wang. Beliau menyatakan tujuan wang diwujudkan adalah sebagai alat transaksi agar ia beredar dalam masyarakat dan bukannya dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja. Sekiranya ia dibiarkan berlaku, ia seolah-olah menghalang pemerintah dari melakukan penambahbaikan ekonomi sesebuah negara dan pada masa sama, membuka ruang kepada kegiatan kezaliman berleluasa.

Mata wang palsu

Selain menolak kegiatan menimbun wang atau barangan, Imam al-Ghazali turut menolak penggunaan mata wang bercampur (al-zaif) atau dalam konteks hari ini, wang palsu. Menurut beliau, tindakan mengedarkan wang palsu ini sebenarnya mencetuskan lebih banyak kerosakan kepada ekonomi sesebuah negara dan menzalimi rakyat negara berkenaan. Al-Ghazali turut menambah peredaran satu dirham (mata wang zamannya) buruk lebih buruk daripada mencuri seribu dirham kerana tindakan mencuri hanya satu dosa apabila dilakukan, tetapi wang buruk yang diedarkan merupakan satu tindakan yang mempengaruhi banyak pihak yang menggunakan wang tersebut dalam transaksi mereka. Ini jelas menunjukkan ketegasan al-Ghazali dalam masalah wang bercampur kerana penggunaan mata wang sebegini bukan saja dianggap berdosa, bahkan boleh mengakibatkan dan kerosakan besar dalam ekonomi masyarakat.

Para ulama mempunyai beberapa pandangan berkenaan masalah wang yang bercampur ini. Pertama, wang bercampur dan yang asal telah bercampur digunakan dalam pasaran sehingga tidak dapat dibezakan. Dalam keadaan ini, orang ramai boleh saja menggunakan wang tersebut. Kedua, sekiranya mata wang tersebut masih boleh dikenali dan dibezakan, maka ada beberapa pandangan menurut Abu Ya’ala. Pertama, dilarang menggunakan wang bercampur yang beredar dalam pasaran dan ini dikemukakan oleh Muhammad Ibn Urakin, al-Haris, Yusuf Ibn Musa, dan Ja’far Ibn Muhammad. Kedua, dibenarkan menggunakan campuran tersebut tetapi hukumnya makruh dan ini dikemukakan oleh Qiran Ibrahim Ibn Haris. Pendapat kedua ini membenarkan penggunaan mata wang campuran walau dalam apa keadaaan sekali pun. Menurut pandangan pengikut mazhab Syafie, jika mata wang yang tulen lebih banyak berbanding mata wang palsu di pasaran, maka harus menggunakan mata wang campuran tersebut. Manakala jika sebaliknya, mereka mempunyai pandangan berbeza apabila mata wang bercampur lebih banyak berbanding mata wang asal. Ada sesetengah yang membenarkan manakala satu pandangan lagi melarang menggunakannya.

Dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mengesyorkan beberapa cara sekiranya wujud masalah ini:

Dan hendaknya diketahui bahawa dalam masalah al-zaif (wang buruk) terdapat lima perkara yang harus dilakukan. Pertama, jika seseorang mendapatkan wang campuran atau diberi oleh orang ramai, maka hendaklah dia membuangnya sehingga tidak memungkinkan lagi orang lain mengambilnya. Atau orang tersebut dapat memberikan kepada orang lain atau dapat dimusnahkan wang tersebut sehingga tidak dapat digunakan lagi. Kedua, bagi pedagang (atau aktiviti ekonomi lain) wajib mengetahui tentang wang campuran ini, bukan kerana tujuan kepentingan sendiri tetapi agar tidak mengedarkannya kepada orang lain yang tidak tahu sehingga ia menanggung dosa. Ketiga, jika seseorang menyerahkan wang kepada orang lain dengan memberitahunya terlebih dahulu. Ia tidak bererti dia telah terlepas daripada dosa. Hal ini adalah kerana tindakan itu sama dengan mengedarkan wang palsu kepada orang lain. Namun, jika dia tidak mempunyai tujuan demikian, orang itu hanya menanggung dosa yang dilakukan (tidak akan menanggung dosa akibat peredaran wang tersebut). Keempat, jika seseorang mengambil wang campuran dengan tujuan untuk dimusnahkan, maka hal itu sangat digalakkan. Kelima, yang dimaksudkan dengan wang buruk ianya tidak dibuat daripada emas tulen tetapi hanya sepuhan atau campuran sahaja. Namun, jika sesuatu negara secara rasmi membenarkan sah laku wang daripada campuran, maka ia dibenarkan.”

Perdagangan mata wang

Aktiviti perdagangan mata wang ditolak keras oleh Imam al-Ghazali atas alasan ia hampir sama dengan perbuatan menimbun wang. Berdasarkan kitab Ihyanya, sekiranya aktiviti tersebut dibenarkan berlaku, ia akan mengakibatkan pengurangan wang dalam masyarakat dan wang hanya berlegar dalam kalangan golongan tertentu iaitu golongan berada yang melakukan aktiviti sedemikian. Oleh yang demikian, ia dianggap satu kezaliman.

Bagaimanapun, al-Ghazali membenarkan jual beli wang yang diperbuat daripada jenis bahan yang berlainan contohnya dinar dengan dirham. Ini kerana kedua-dua diperbuat daripada bahan yang berbeza dan berbeza dari pelbagai segi seperti kualiti dan rupa bentuk. Tambahan pula, pertukaran wang yang berbeza sangat diperlukan untuk aktiviti ekonomi seperti disebut dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, “Janganlah kalian berjualbeli emas dengan emas dan perak dengan perak kecuali dengan timbangan yang setara. Dan juallah emas dengan perak dan perak dengan emas mengikut kehendak kalian.” Menurut kebanyakan fuqaha, emas dan perak merupakan barangan ribawi yang jelas dilarang pertukaran yang sama kerana boleh mengakibatkan riba nasi’ah lebih-lebih lagi dalam urusan jual beli yang bersifat tangguh atau tidak serentak.

Pemerintah dan ekonomi

Menurut Imam al-Ghazali, kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk melaksanakan atau melantik badan tertentu untuk menguruskan hal ehwal kewangan dalam ekonomi seperti institusi perbankan. Beliau turut melarang seandainya kuasa mencetak dan mengendalikan mata wang ini dilakukan oleh sesuatu pihak tanpa mendapat kebenaran daripada pemerintah. Berasaskan kepada prinsip ekonomi Islam, campur tangan pemerintah dalam ekonomi sesebuah negara mestilah berlandaskan akidah yang mendorong kepada tindakan yang produktif, sekaligus menjadi kaedah utama yang dilaksanakan untuk membentuk masyarakat yang produktif. Hal ini menjadi kewajipan bagi semua lapisan masyarakat mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pemerintah bagi memastikan terbentuknya kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat. Ini bersesuaian dengan petikan firman-Nya dalam ayat 59, Surah An-Nisa, “Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin (pemerintah) antara kamu.”

SUMBER

Borhan, Joni Tamkin, Mohamed Yusof, Mohd Faiz dan Romli, Norhanani. (2016). International Journal of Islamic and Civilizational Studies. https://www.researchgate.net/publication/312432855_PEMIKIRAN_EKONOMI_AL-GHAZALI_DALAM_TEORI_KEWANGAN

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.