Tentera Terracotta – Pengawal Abadi Makam Qin Shi Huang

1052
views

Bagi petani-petani China di Shaanxi pada tahun 1974, musim bunga tahun berkenaan dianggap mencabar kerana sungai ketika itu kering dan perigi yang ada tidak mampu lagi digunakan untuk keperluan pertanian dan ternakan. Justeru, petani-petani ini mula mengorek perigi baru dan pada Mac, tiada siapa menyangka apa yang dikerjakan mereka itu membawa kepada penemuan arkeologi terhebat abad ke-20 yang disahkan pada Julai tahun sama: makam Maharaja Qin Shi Huang dan tentera terracottanya!

Selepas pasukan arkeologi dari Beijing mula melakukan kerja ekskavasi, apa yang disangka hanya beberapa anggota tentera terracotta sebenarnya membawa kepada sejumlah besar tentera terracotta yang dicipta oleh pembina makam baginda sebagai pengawal makamnya. Menurut Jane Portal, seorang kurator Muzium British untuk Pameran Maharaja Pertama berpandangan makam maharaja pertama China itu dibina bagi membolehkan Qin Shi Huang terus berkuasa walaupun selepas meninggal dunia. Walaupun kerja ekskavasi sudah mencecah 40 tahun dan ribuan jam dihabiskan untuk kerja berkenaan, ramai pakar arkeologi berpandangan masih banyak perkara tersembunyi berkenaan makam baginda ini.

Maharaja pertama China

Pada tahun 221 Sebelum Masihi (BC), Qin Shi Huang atau nama sebenarnya Ying Zheng muncul sebagai pemenang dalam konflik peperangan yang melanda China selama 250 tahun. Semasa era dekad perluasan kuasanya, baginda bukan saja mengilhak wilayah-wilayah seperti Chu malah berjaya menundukkan kerajaan Zhao yang menjadi duri dalam daging kepada kerajaan Qin yang diperintahnya ketika itu. Selepas berjaya menyatukan semua wilayah di bawah satu pemerintahannya, Shi Huang merasakan gelaran Raja Qin itu tidak sesuai dengan kekuasaan wilayah yang dikuasainya. Justeru, gelaran maharaja diwujudkan dan baginda merupakan maharaja pertama dari maharaja-maharaja China yang memerintah sehingga tahun 1930-an.

Semasa era pemerintahan Shi Huang, baginda bertanggungjawab mengeluarkan standard mata wang, ukuran dan berat. Baginda juga bertanggungjawab menyambung wilayah-wilayah pemerintahannya melalui pembinaan jalan-jalan dan terusan-terusan serta membina versi pertama Tembok Besar China. Bagaimanapun, tempoh ini turut menyaksikan pelbagai kekejaman dilakukan demi memelihara kesatuan wilayah pemerintahan baginda. Antara peristiwa yang dianggap penting semasa era Shi Huang ialah peristiwa pembakaran buku dan pembunuhan filsuf-filsuf China (213-212 BC). Dalam peristiwa itu, 460 atau 700 orang cendekiawan mati dibunuh kerana ditanam hidup-hidup. Bagaimanapun, peristiwa ini diragui ramai cendekiawan moden dan mereka beranggapan ia berkemungkinan satu bentuk fitnah oleh Dinasti Han terhadap Dinasti Qin dan Shi Huang.

Dan seperti digambarkan secara fiksyen dalam The Mummy: Tomb of the Emperor (2008), baginda juga amat obses dengan kehidupan bersifat abadi dan ini didorong oleh motivasi terlepas dari menjadi sasaran tiga cubaan pembunuhan. Bukan seorang dua cendekiawan dihantar untuk mengkaji cecair yang memanjangkan hayat dan ada juga dihantar menyeberangi Laut Timur untuk mencari Penglai atau bumi orang yang hidup abadi. Tetapi semua usaha itu berakhir dengan kegagalan dan Shi Huang memilih membina sebuah kompleks makam yang besar untuk dirinya. Projek tersebut sudah mula digerakkan pada tahun-tahun awal pemerintahannya.

Untuk menjayakan usaha ini, sebuah daerah baru dibuka dan 30,000 keluarga dipaksa berpindah ke wilayah kita kenali sebagai Shaanxi. Mereka diberi satu tugas: laksanakan pembinaan makam diraja terbesar yang pernah disaksikan dalam sejarah China. Tetapi dengan masa terus berjalan, Shi Huang sedar pembinaan makam ini tidak akan selesai mengikut tempoh yang dimahukannya. Ini mendorong baginda mengarahkan lebih ramai buruh paksa diambil untuk menyelesaikan pembinaan makam ini. Yang pasti, Shi Huang akan diingati lama selepas kemangkatan baginda menerusi makamnya dan tentera terracotta yang menjadi pengawal kompleks berkenaan.

Kompleks makam Shi Huang

Kompleks makam baginda sebenarnya merupakan sebuah kompleks makam beberapa tingkat dengan keluasan 38 hingga 60 kilometer persegi. Buat masa ini, makam Shi Huang belum lagi diekskavasi tetapi dengan kehadiran tentera terracottanya, ia menjadikan makam baginda sebagai makam terhebat di dunia. Makam baginda yang sebenar merupakan sebuah piramid tiga tingkat dengan ketinggian 60 meter dan dikelilingi oleh dua tembok berganda.

Menurut legenda, Shi Huang turut menyimpan khazanah yang hebat dalam makamnya tetapi turut menyelitkan pelbagai jenis perangkap bagi sesiapa yang cuba menghampirinya. Sima Qian mencatatkan dalam karya Shijinya, “Lebih 700,000 banduan dipaksa bekerja di situ. Mereka menggali tiga kolam, mengisinya dengan cecair perak dan memastikan makam terpelihara. Rumah-rumah, pegawai-pegawai, barangan berharga dan ganjil dipindah masuk ke dalamnya. Shi Huang turut mengarahkan golongan artisan menghasilkan busur silang yang boleh diaktifkan menerusi mekanisme tertentu di mana sesiapa yang melaluinya akan dipanah terus. Mereka turut menggunakan merkuri untuk menghasilkan sungai-sungai dan laut yang beredar secara mekanikal. Pada bahagian siling ialah objek-objek cakerawala manakala objek di lantai pula merujuk kepada mercu tanda tempatan.”

Lantai kompleks dengan model geografi dan alam semesta yang dicat simbolik dengan statusnya sebagai anak syurga dan wakil dewa-dewi di bumi. Menerusi catatannya, Qian mendapati gundik-gundik Shi Huang turut ditanam bersama maharaja berkenaan. Golongan artisan dan buruh-buruh yang terlibat turut ditanam bersama bagi mengelakkan rahsia khazanah Shi Huang terus kekal sebagai rahsia selama-lamanya.

Bagi tentera terracotta pula, mereka seharusnya diletakkan dalam empat lubang tetapi hanya satu lubang saja yang diisi dengan tentera terracotta yang berukuran dua meter tinggi. Menurut Portal, ini berlaku berikutan makam berkenaan tidak dapat disiapkan selepas 40 tahun kemangkatan Shi Huang ditambah dengan gelombang ketidakstabilan politik yang melanda China antara 210 hingga 206 BC. Berdasarkan rekod ekskavasi, mereka menemui 8,000 figura terracotta (7,000 tentera dan 800 kuda) dengan kebanyakannya dihasilkan secara besar-besaran dari tanah liat.

Walaupun dihasilkan secara besar-besaran, setiap tentera terracotta unik dari segi penampilan termasuk bentuk tubuh badan, bulu muka dan gaya ikatan rambut. Mereka dihasilkan mengikut pangkat masing-masing dari tentera infantri biasa hingga birokrat. Selain diberi lapisan cat lakuer, tentera ini turut dicat dengan warna-warna cerah seperti merah, hijau dan kuning. Tentera-tentera terracotta ini turut dilengkapkan dengan senjata sebenar seperti pedang, anak panah, lembing dan tombak yang diperbuat daripada gangsa. Tetapi kebanyakan senjata berkenaan hilang sama ada dicuri atau digunakan dalam pemberontakan petani yang berlaku antara 210 hingga 206 BC.

Musuh-musuh Shi Huang juga turut mengambil kesempatan dengan menyerang makam berkenaan termasuk membakar dan merosakkan tentera terracotta serta merompak mana-mana khazanah yang boleh diambil. Atas sebab itulah, sesetengah patung terracotta yang ditemui pakar arkeologi dalam keadaan tidak sempurna akibat kerosakan api, asap dan ditimbus tanah.

SUMBER

1. Snow, Dan. (2018). HistoryExtra. Uncovering China’s Terracotta Army. https://www.historyextra.com/period/uncovering-china-terracotta-army/

2. Cartwright, Mark. (2017). Ancient History Encyclopedia. Terracotta Army. https://www.ancient.eu/Terracotta_Army/

Previous articleHidangan Tahun Baru Cina Di Dunia
Next articleSong Ci – Pelopor Sains Forensik Moden
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE