Tentera Kanjeng Nabi Muhammad: Gerakan Yang Tertubuh Akibat Dari Kes Penghinaan Nabi

157

Satu gerakan yang dinamakan Tentera Kanjeng Nabi Muhammad telah ditubuhkan oleh pemimpin Sarekat Islam di Jawa pada tahun 1918 akibat dari satu penghinaan ke atas Nabi Muhammad ص .

Pada 11 Januari 1918, Marthodarsono dan Jojodikoro yang berfahaman sekular kejawen telah menulis satu artikel dalam akhbar Djawi Hiswara bahawa Nabi Muhammad seorang peminum arak dan penghisap candu.

Artikel ini membangkitkan kemarahan umat Islam. Oleh itu pemimpin-pemimpin Sarekat Islam iaitu Umar Said Cokroaminoto, Syeikh Robaya, Sosrokardono dan lain-lain menggerakkan satu gerakan umat Islam. Maka pada 6 Februari 1918, sekitar 35,000 umat Islam berkumpul di Surabaya bagi menuntut Marthodarsono dan Jojodikoro dihukum.

Dari sini tertubuhlah satu gerakan dinamakan Tentera Kanjeng Nabi Muhammad yang ditubuhkan bagi tujuan membela setiap penghinaan terhadap Rasulullah ص.

Setelah itu, berlakunya tunjuk perasaan serentak pada 24 Februari 1918 di 42 tempat di serata Jawa dan Sumatera. Tunjuk perasaan ini dihadiri seramai sekitar 150,000. Tentera Kanjeng Nabi Muhammad ini walaupun tidak melancarkan sebarang perang bersenjata, namun tindakan ketenteraan hampir saja berlaku.

Ini satu sejarah kebangkitan umat di Nusantara disebabkan penghinaan ke atas Nabi ص. Penghinaan ke atas Nabi ini satu perkara yang sangat sensitif bagi umat Islam sehingga mampu membentuk satu gerakan ketenteraan. Semoga pihak berkuasa dapat mengambil iktibar dari kejadian ini.

Gambar : Tunjuk perasaan oleh 35,000 umat Islam di Surabaya pada tahun 1918 akibat dari satu artikel penghinaan ke atas Nabi Muhammad ص sehingga membentuk gerakan Tentera Kanjeng Nabi Muhammad.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.