Tentang Perempuan…

0
1343
views

“Perempuan melahirkan penciptaan.” -Mevlana Rumi-

Seorang Sultanul Awliya’ berkata,

Dalam Islam wanita dihormati.

Wanita bukan hamba – tetapi dia seperti seorang ratu dan suaminya seperti seorang raja. Bagaimana seorang raja menghormati isterinya, seperti inilah layanan yang betul dalam keluarga islam.

Tetapi orang yang jahil tidak menghormati perempuan, hanya orang yang jahil tidak reti menghormati. Seorang lelaki harus menghormati isterinya dan isteri harus menghormati suaminya seperti seorang raja dan ratu. Inilah cara yang benar. Raja tidak pernah mengkasari ratu, sedang ratu tidak pernah biadab kepada raja. Inilah keadaan sebenar bagi keluarga dalam Islam.

Pandangan Rumi terhadap perempuan bersifat sederhana. Adil, tidak berat sebelah.

Satu aspek, Rumi mengangkat kelebihan perempuan.

Satu aspek lain, Rumi mengkritik kelemahan perempuan.

Sememangnya demikianlah manusia, memiliki kelebihan dan kelemahan.

Kelebihan Perempuan:

Manusia pertama memeluk Islam ialah perempuan, iaitu Sayyidah Khadijah. Wali Allah berdarjat Sultanul Awliya’ yang pertama ialah perempuan,iaitu Sayyidah Fatimah. Syuhada’ pertama berkorban buat Islam ialah perempuan, iaitu Sayyidah Sumayyah.

1. Seorang ibu lebih berhak dijawab panggilan dan 3 kali ganda lebih berhak disantuni daripada ayah.
2. Yang paling berhak haknya terhadap perempuan adalah suaminya. Dan yang paling berhak terhadap seorang lelaki adalah ibunya.
3. Perempuan yang melaksanakan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya, serta taat berkhidmat kepada suaminya, semua makhluk Allah akan beristighfar untuknya. Baginya pintu neraka akan tertutup dan masuklah dia ke syurga dari mana mana pintu yang dia kehendaki tanpa hisab.
4. Syurga di bawah telapak kaki ibu.
5. Perempuan yang melayani suaminya dengan baik, yang pulang ke rumah dalam keadaan letih, akan mendapat pahala jihad.
6. Perempuan yang melihat suaminya dengan penuh kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan penuh kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat.
7. Seorang perempuan yang mengandungkan janin dalam rahimnya maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya setiap hari 1000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1000 kejahatan.
8. Perempuan yang melahirkan anak akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa, Allah mengurniakan satu pahala haji bagi setiap kesakitan pada satu uratnya, dan keluarlah darinya dosa-dosa seperti keadaan ketika ibunya melahirkannya.
9. Apabila seseorang perempuan mula berasa sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad di jalan-Nya.
10. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, kemudian dia meninggal dalam masa 40 hari setelah itu, dia kan dianggap mati syahid.
11. Apabila wanita telah melahirkan anak, lalu anaknya disusui maka pada setiap tegukan air susunya diberi satu kebaikan dan pahala dari setiap titis susu.
12. Kebaikan terbaik selepas takwa ialah Isteri yang menyenangkan bila dipandang, yang taat bila diperintah. Jika suami memberikan sesuatu dia menerimanya, jika suami tiada di rumah, dia mampu menjaga diri dan harta.
13. Perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan diredhai oleh suami, terus masuk syurga.

Kelemahan Perempuan:

Manusia yang paling ramai di neraka ialah perempuan, manusia yang paling ramai mengikut dajjal ialah perempuan. Fitnah terbesar kepada lelaki ialah perempuan.
1. Perempuan jatuh kufur bila menafikan nikmat Allah. Iaitu apabila seseorang berbuat baik kepadanya sepanjang tahun, kemudian satu masa dia terlihat keburukan orang tersebut dan berkata:“ Aku tidak pernah melihat kebaikan darimu sedikit pun.”
2. Perempuan ramai di neraka kerana apabila diminta sesuatu kepadanya, bakhil. Apabila dia meminta, banyak menuntut dan apabila diberi, tidak pandai berterima kasih.
3. Solat isteri tidak diterima apabila derhaka kepada suami.
4. Perempuan yang berpakaian seksi seolah-olah berbogel dan berjalan dengan gaya menggoda tidak dapat mencium haruman syurga.
5. Rasulullah tidak mengaku umat, perempuan yang melampau dalam meratapi kematian seakan-akan tak dapat menerima takdir.
6. Perempuan yang gemar menyakiti temannya dengan lidah (bergosip, menfitnah, batu api) dijanjikan neraka, meskipun rajin beramal qiamullail di malam hari dan puasa di siang hari. Dia akan disiksa sejak di alam kubur lagi.
7. Laknat Allah kepada perempuan yang suka menyerupai lelaki.
8. Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening.
9. Malaikat melaknat isteri yang enggan melayan suami tanpa alasan.
10. Isteri orang apabila berzina termasuk daripada dosa besar.
11. Seorang perempuan setelah melahirkan anak, terus mencapai maqam wali Allah, tetapi apabila lidahnya mengumpat, maqam tersebut dibatalkan serta merta.
12. Perempuan yang memakai wangian ketika keluar rumah, lalu dihidu bau harum tersebut oleh lelaki bukan mahram di jalanan, dijatuhkan dosa zina.
13. Perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan dimurkai oleh suami, akan masuk neraka.

Perempuan mengajar apa itu Sabar.

1 Akal. 9 Nafsu.

Frasa ini mendefinisikan ahwal perempuan.

Nafsu yang dimaksudkan bukanlah yang biasa kita fahami. Bukan menggambarkan khusus pada nafsu maksiat. Ia merangkum makna yang lebih umum. Iaitu kehendak diri. Keinginan hati.

Dalam ilmu Tasawwuf, nafsu itu sendiri mempunyai 7 jenis. Ia berbeza mengikut tahap iman dan mujahadah. Setiap manusia, peringkat nafsunya berbeda-beda.

Menurut risalah ‘Mengenal Diri & Wali Allah’:

1. Nafsu Ammarah (أماره ). Peringkat paling rendah. Selalu terdedah kepada keinginan buruk dan syaitan terlaknat. Sentiasa menyuruh kepada kejahatan. Dosa pahala tiada beza. Sampaikan boleh jadi bila berbuat jahat merasa gembira pula.
2. Nafsu Lawwamah (لوامه ). Nafsu yang selalu mengkritik diri sendiri atau mencela diri sendiri apabila terlanjur melakukan dosa. Merasa gelisah bila terlanggar perintah Allah. Selalu memohon ampun dan beristighfar meskipun diri berlumur dosa.
3. Nafsu Mulhamah (ماهمه ). Nafsu yang telah menjalani tazkiyatun nafs, iaitu proses penyucian hati. Terbuanglah lintasan-lintasan fikiran kotor atau khuatir-khuatir syaitan dan diganti dengan ilham yang benar.
4. Nafsu Mutmainnah (مطمءنه ). Nafsu yang teguh di atas jalan hakikat & makrifatullah. Melekat di hatinya sifat-sifat terpuji dan terkikis sifat tercela. Permulaan darjat wali kecil.
5. Nafsu Radhiah (راضيه ). Nafsu tahap wali. Nafsu yang kekal dalam keredhaan pada takdir Allah. Tetap tenang mengingati Allah dengan sabar dan syukur dalam musibah dan nikmat. Musyahadah pada alam ini dengan cermin ihsan.
6. Nafsu Mardhiah (مرضيه ). Nafsu yang segala kelakuannya diredhai Allah. Martabat wali Allah yang khawas al-khawas. Mewarisi elok budi pekerti seperti Nabi.
7. Nafsu Kamil (كامل ). Peringkat paling tinggi. Menghimpun kesempurnaan zahir dan batin, syariat dan hakikat. Rohnya kekal bersama Allah walau jasadnya bersama manusia. Maqam awliya’ yang besar seperti Syeikh Abdul Qadir Jailani dan Khawaja Syeikh Bahauddin Naqsyabandi.

Frasa ini bermakna, seseorang perempuan itu memiliki potensi untuk mencapai maqam kewalian dengan cepat, tetapi dalam masa yang sama juga cepat untuk jatuh ke dalam keadaan yang paling bawah. Perempuan mudah naik membersihkan hatinya, tetapi apabila tidak dijaga lidah iaitu kelemahan utama perempuan, dengan segera hati membusuk semula. Kesusahan menghadapi dua kutub ekstrem ini menuntut sebenar-benar sabar. Sebab inilah, tidak mudah menjadi perempuan. Pergolakan di dalam dirinya amat besar. Dia sentiasa melawan perasaan di dalam diri. Sama ada mahu ke kanan atau ke kiri. Meski zahirnya tenang, batinnya bergelombang. Tidak memahami hati perempuan melainkan perempuan. Bahkan kadangkala perempuan pun tidak mampu memahami hatinya sendiri. Berubah-ubah seperti gelombang ombak di lautan luas.

Rasulullah bersabda :

“Wahai wanita, aku tidak pernah melihat orang yang kurang akal dan agama mampu melumpuhkan hati seorang lelaki melebihi kamu. Mereka bertanya : Apakah kekurangan akal dan agama kami, ya Rasulullah SAW? Rasulullah SAW bersabda : Bukankah persaksian wanita sama dengan setengah lelaki? Mereka menjawab : Benar. Rasulullah SAW bersabda : Maka disitulah letaknya kekurangan akal. Bukankah wanita ketika haid tidak boleh solat dan puasa ? Mereka menjawab : Benar. Rasulullah SAW bersabda : Maka disitu letaknya kekurangan agamanya.”

(HR Bukhari)

Syeikh Faisal Mawlawi mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan kurang itu adalah dari sudut kuantiti, bukan kualiti. Bahkan boleh jadi dalam perlumbaan untuk meningkatkan ibadah, mereka boleh mendahului antara satu sama lain.

“Perempuan adalah lautan, bila kita tidak kuat merenangi, kita akan ditelannya.” Tulis HAMKA di dalam karyanya, Merantau Ke Deli.

Sememangnya, bukan mudah menjadi perempuan.

‘Terjaga agama dengan akal’, demikian pesan Imam Ghazali yang diterangkan oleh Dr Muhanna di Masjid al-Azhar Sharif.

Sayyidatina Asma’ binti Yazid Anshari Rhadiyallahu ‘anha adalah seorang shahabiyah. Suatu ketika ia mendatangi Baginda Nabi Shallallahu ‘alaihiwasallam dan berkata,

“Ya Rasulullah, ayah dan ibuku kukorbankan untukmu, aku datang sebagai utusan kaum wanita. Sungguh engkau utusan Allah Subhaanahu wata’ala bagi kaum laki-laki dan juga wanita. Untuk itu, kami sebagai kaum wanita telah beriman kepada Allah dan kepadamu. Kami kaum wanita, selalu tinggal di dalam rumah, dibatasi oleh hijab-hijab, dan sibuk berkhidmat kepada suami. Kami mengandung anak-anak mereka, sedangkan kaum laki-laki dapat melakukan amalan yang memborong pahala. Mereka dapat menghadiri Shalat Jum’at, dapat berjamaah shalat lima waktu, dapat menjenguk orang sakit, menyertai jenazah, pergi haji, dan yang paling utama, mereka dapat berjihad di jalan Allah Subhaanahu wata’ala. Jika mereka sedang mengerjakan haji, umrah atau jihad, kamilah yang menjaga harta mereka, menjahitkan baju mereka, dan memelihara anak-anak mereka. Maka, apakah kami tidak mendapatkan pahala yang sama dengan mereka?”

Beliau langsung berpaling seluruh wajah kepada para sahabatnya dan bersabda, “Pernahkah kalian mendengar sebuah pertanyaan agama yang lebih baik daripada pertanyaan wanita ini?”

Para shahabat Rhadiyallahu ‘anhum berkata, “Ya Rasulullah, bahkan kami tidak menduga bahwa kaum wanita akan bertanya seperti itu.”

Kemudian beliau berpaling kembali kepada Sayyidatina Asma’ Rhadiyallahu ‘anha dan bersabda,

“Dengarkanlah, dan perhatikanlah dengan seksama, kemudian sampaikanlah kepada para wanita muslimah yang mengirimmu ke sini. Apabila istri selalu berbuat baik kepada suaminya, dan membahagiakannya, maka kalian akan mendapatkan pahala yang sama dengan yang diamalkan oleh suami kalian.”

Mendengar jawaban Baginda Nabi Shallallahu ‘alaihiwasallam itu, Sayyidatina Asma’ Radhiyallahu ‘anha sangat gembira. Kemudian ia segera kembali.

Waqaf Saham

( Usudul Ghabah)

Jangan diremehkan akal perempuan. Sayyidah Aisyah, isteri kesayangan Nabi. Rujukan sahabat di Madinah selepas pemergian Rasulullah. Ulama’ yang banyak meriwayatkan hadis. Menurut Azzahabi, sebanyak 2210 hadis dikumpulkan Aisyah. Jika islam meremehkan akal perempuan, nescaya banyak hadis daripada tradisi Islam akan luput. 9 nafsu & 1 akal itu cuma perbandingan. Apabila kebijaksanaan perempuan mengalahkan keinginan diri, perempuan mampu mengalahkan lelaki yang mempunyai 1 nafsu & 9 akal.

Asalkan sentiasa mengutamakan taqwa dan bijak meletak diri pada tempatnya.

Perempuan mengajar apa itu Pengorbanan.

Isterinya menghampiri dengan cara menidakkan diri. “Aku debumu,” dia berkata, bukan (layak menjadi) isteri wanita (yang bersopan) mu.

Jasad dan roh dan segala-galanya yang ialah aku, milikmu
Keseluruhan kuasa dan perintah kepunyaanmu.

Sekiranya kerana kemiskinan, hatiku telah menganjal daripada kesabaran, ia bukan untuk diriku sendiri, tetapi untukmu.

Kamu telah menjadi penawarku semasa penderitaan-penderitaan
Aku tidak sanggup yang kamu harus tidak berduit langsung.

Demi rohmu, ini bukan demi diriku sendiri
Pelolongan dan peraunganku ini disebabkanmu

Demi Allah bahawa pada setiap saat, diriku akan rela mati untuk dirimu sebelummu.

-Mathnawi-

Perempuan diuji ketika tiada apa-apa. Lelaki diuji ketika ada segala-galanya.
Tanpa pengorbanan, perempuan tidak mampu menanggung tanggungjawab sebagai ibu. Meruntuhkan ego ialah rukun penting dalam cinta. Sedang cinta yang begitu ulung dalam dunia, ialah cinta seorang ibu kepada anaknya.

Betapa agung pengorbanan seorang ibu. Sampaikan diabadikan Allah dalam rukun haji & umrah. Tahukah anda, berlari-lari anak daripada Saffa dan Marwa itu bukan dibuat tanpa sebab. Ia adalah manifestasi pengorbanan Siti Hajar kepada bayinya Nabi Ismail.

Iktibar Siti Hajar begitu besar.

Ia bukan sekadar soal berlari 7 kali antara dua tempat. Ia soal pengorbanan seorang ibu. Tentang betapa seorang ibu tidak mempedulikan penat lelah demi anaknya. Peluh mengalir membasahi tubuh, air mata tidak berhenti menitis, sambil kaki ligat berlari. Rasa letih, lesu, jerih dikalahkan oleh rasa kasih-sayang di dalam dada. Luluh hati ibu mendengarkan tangisan anak. Mundar mandir Siti Hajar mencari air. Meskipun beberapa kali tempat yang sudah didatangi kelihatan tiada air, dia tetap datang lagi. Mana tahu akan dijumpai. Betapa seorang perempuan masih memegang harapan, meskipun dalam malam yang paling hitam. Tidak berputus asa. Pengorbanan Siti Hajar dipandang Allah. Keletihannya tidak sia-sia. Dari hentakan Nabi Ismail yang merengek dahaga, terpancarlah air zam-zam. Lihat! Allah boleh saja pancarkan ia sekelip mata. Tetapi, Allah ingin melihat sebesar apa pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya. Terbuktilah cinta ibu itu seperti lautan. Dalam, dan tidak bertepian.

Menjadi perempuan bermaksud siap menanggung sakit.

Saat bersalin, perempuan menanggung sakit. Saat pertama kali bersama suami, perempuan menanggung sakit. Saat keluar darah haidh dan senggugut, perempuan menanggung sakit.

Menjadi perempuan bermaksud tiada pilihan selain menjadi kuat.

Kerana inilah Allah menetapkan lahir anak-anak Adam daripada Hawa. Perempuan apabila bertambah sakit, cintanya tidak berkurang. Sakit menjadi sakti. Kesakitan mengajar perempuan nilai setiap sesuatu dalam kehidupan. Harga yang mahal untuk hadiah yang bernilai. Hinggakan sakit menghilang dan menjadi kemanisan hidup. Perempuan merasai sakit seperti lelaki, tetapi sakitnya menciptakan sakti dalam jiwa yang mengatasi lelaki. Kajian psikologi membuktikan, perempuan mampu tolerate kesakitan dengan lebih baik berbanding lelaki. Manakan tidak, jika tidak mampu tolerate, pasti bayi yang baru dilahirkan nanti dicekik-cekik. Kesabaran perempuan mampu mengatasi lelaki. Sebab itulah perempuan mampu menjadi ibu. Bukan sembarangan.. Istimewa dan pilihan.

Perempuan mengajar apa itu Cinta.

“Allah menciptakan perempuan untuk membahagiakan lelaki.” -Rumi-

Dari Abdullah bin Amr, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita sholihah”. (HR. Muslim)

Syeikh Hamza Yusuf menuturkan, setiap perempuan dikurniakan Allah bahagian tubuh bernama rahim (رحيم ). Bahasa arab dan hebrew juga meletakkan nama yang sama. Rahim berkait dengan kalimat rahmat (رحمة ). Perempuan ialah tajalli Allah dalam asma’ ar-Rahim (الرحيم ). Allah ialah tuhan yang Maha Penyayang, pemberi kenikmatan yang di luar jangkaan. Allah memberikan perempuan bahagian rahim sebagai wasilah melahirkan kasih-sayang-Nya di atas dunia. Melalui perempuan, manusia belajar kasih sayang. Memuliakan perempuan bermakna mengangkat kasih sayang. Menghina perempuan bermakna membuang kasih sayang. Sehinggakan dalam islam, kasih sayang kepada perempuan ialah standard yang menunjukkan sesempurna makna akhlak dan iman seorang lelaki.

Nabi Muhammad bersabda, “Orang yang imannya paling sempurna diantara kaum mukminin adalah orang yang paling bagus akhlaknya, dan sebaik-baik kalian adalah yang terbaik akhlaknya terhadap istrinya”. (HR At Tirmidzi)

Adam tidak mampu berpisah dengan Hawa. Mana mungkin dia bisa hidup.

Meskipun seorang lelaki memiliki keberanian setara pahlawan, dia tetap memerlukan isterinya.

Sedangkan Rasulullah sendiri rajin memujuk isterinya dengan panggilan manj ‘Humaira’.

Andai air dituang ke atas api, api akan terpadam. Air dengan daya kekuatannya tampak gah. Tetapi, cuba letakkan air di atas bekas. Jika bekas menjadi halangan antara api dan air, api akan mengeringkan air, menukarkannya menjadi udara.
Sekiranya secara zahir kamu menguasai isterimu seperti air, secara batin kamu sebenarnya dikuasai isterimu.

-Mathnawi-

Lelaki ialah api. Perempuan ialah air. Sepanas-panas amarah lelaki, akan lembut jua bila disejukkan oleh kelembutan perempuan. Kerana ini, mempunyai pasangan hidup yang lemah lembut ialah anugerah paling indah dalam hidup. Perempuan menyimpan keanggunan dan pesona yang tersendiri. Sajak secara semulajadi.

Sifat Sabar, Pengorbanan dan Cinta adalah makna diri seorang perempuan.

Unik seorang perempuan.

Kamu bercerita tentang perpisahan yang pahit
Lakukanlah apa jua yang kamu kehendaki
Tetapi jangan lakukan ini. -Mathnawi-

Dalam divan karya Mevlana Rumi ini, merakamkan kata-kata perempuan yang berlapis-lapis. Perempuan bila bercakap, ada yang tersirat. Boleh jadi kata mahu memang mahu. Boleh jadi kata tidak mahu memang tidak mahu. Kadang kata mahu, maknanya tidak mahu. Kadang kata tidak mahu, maknanya mahu.

Dia yang dengan kejelitaannya, lelaki dihambakan, bagaimana agaknya apabila dia mula bermainan peranan hamba?

Dia kerana keangkuhannya hatimu sedang menggigil, bagaimana akan kamu bertindak apabila dia jatuh menangis di depanmu?

Dia yang daripada penghinaannya hati dan rohmu berdarah, bagaimana agaknya apabila dia berpaling terhadap perayuan?

Dia yang daripada kezaliman dan kekejamannya kami trrperangkap, apa rayuan yang kami ada, apabila dia bangkit untuk merayu?

Diperhiaskan untuk lelaki
Tuhan telah mengaturnya
Bagaimana mereka hendak lepaskan diri daripada apa yang Tuhan telah aturkan?

-Mathnawi-

Kelemahan lelaki ialah perempuan.
Kelemahan perempuan ialah harta.
Lelaki tergoda dengan rupa.
Perempuan tergoda dengan kata.

Lantaran ini, iman dan taqwa harus mendahului apa saja. Takut-takut fitrah menjadi fitnah, andai tidak terarah. Kelemahan, jika diurus dengan ilmu bisa menjadi kekuatan. Bacalah sejarah. Di sebalik lelaki yang hebat, di belakangnya ada seorang perempuan yang setia. Seperti Rasulullah dengan Khadijah dan Ali dengan Fatimah. Di sebalik pengurusan rumahtangga yang terkawal, ada seorang perempuan yang bijak mengurus ekonomi. Biasa bagi suami memberi wang kepada isteri untuk diuruskan. Jika isteri bijak, stabillah rumahtangga. Jika isteri boros, luluhlah rumahtangga. Dalam masa sama, check & balance serta saling memberi itu perlu. Saling memerlukan antara satu sama lain.

Duhai gadis berpipi merah, mengapa dikau menutup wajah
Tak seperti sangkaanmu, dalam hijab aku terlihat, tanpanya aku ghaib.

Jami-

Perempuan signifikan dengan kecantikan. Keindahan jiwa perempuan lebih cantik daripada keindahan rupa. Sering kali, keindahan rupa menutup mata hati dari melihat secantip apa wajah jiwa. Oleh kerana ini, perempuan bukan semata-mata bibir mawar, alis busar panah atau rambut sehitam malam. Perempuan lebih daripada rupa luaran. Untuk melihat kecantikan sebenar perempuan, seperti kata Jami, ialah melihat dengan hijab. Tanpa mempedulikan rupa yang tidak abadi, melihat kepada kecantikan hati. Cantik hati ialah cantik sebenar seorang perempuan.

Lelaki yang gentleman, berhubung dengan perempuan secara baik.
Amat jauh sekali dibandingkan dengan lelaki dayus.
Kerana perempuan ialah ibu, dilahirkan untuk cinta.

Disebaliknya, lelaki-lelaki yang jahil mengatasi perempuan kerana mereka garang dan biadab dalam tingkah laku mereka.

Kasih-sayang dan kelembutan ialah sifat manusia
Kemarahan dan keberahian ialah sifat haiwan.

-Mathnawi-

SELAMAT HARI IBU kepada semua perempuan yang berjasa.
Tanpamu, tiadalah manisnya dunia.

Rujukan:
• Al-Quran.
• Hadis Nabawi.
• Mathnawi. Mevlana Jalaluddin Rumi. Terjemahan Sayyid Ajmal al-Aidrus.
• Fundamental of Rumi’s Though. Sefik Can.
• http://perubatan.org/artikel/445-wanita-dalam-kaca-mata-islam