Tengok Muka Dah Tahu Penjenayah!

676
Rajah 1: Kulit muka hadapan Criminal Man.

Bukan mudah untuk mengenalpasti seseorang itu penjenayah atau sebaliknya. Ini kerana mereka yang mempunyai rekod ini sentiasa berusaha menyembunyikan apa saja yang membuatkan diri mereka dikenali oleh pihak berkuasa. Tetapi satu masa dahulu, ada yang berpandangan seseorang itu memang sejak azali lagi merupakan seorang penjenayah termasuk mempunyai ciri-ciri fizikal tertentu yang membezakan mereka dengan kelompok bukan penjenayah.

Idea ini datangnya daripada seorang tokoh yang dianggap bapa bidang kriminologi, Cesare Lombroso pada awal tahun 1870-an. Ketika itu, beliau melakukan bedah siasat ke atas mayat seorang pencuri dan pembakar bernama Giuseppe Villella. Semasa memeriksa mayat Villella, Lombroso mendapati wujud bahagian lekuk pada kepala mayat yang menyerupai kepala beruk.

Bila menulis dalam bukunya yang terkenal, Criminal Man yang diterbitkan pada tahun 1876, beliau mendapati lekukan itu mendedahkan si mati mempunyai naluri kebinatangan yang dahsyat termasuk kecenderungan menyertai orgi dan melibatkan diri dalam dunia jenayah. Lombroso turut mendedahkan antara ciri yang dimiliki seseorang penjenayah ialah tulang pipi yang tinggi dan rahang yang besar.

Rajah 2: Cesare Lombroso

Apa yang dilakukan Lombroso ini mengubah sudut pandang cendekiawan dan pihak berkuasa terhadap jenayah. Selalunya, para cendekiawan berhujah jenayah berlaku atas kehendak diri sendiri.

Tetapi dengan Lombroso, mereka berhujah sudah wujud penjenayah yang memang mempunyai keinginan melakukannya sejak azali lagi berbanding keperluan untuk memperbetulkan mereka kembali ke pangkal jalan. Tetapi tidak ramai tahu, tokoh kriminologi Itali ini menggabungkan dua jenis pseudosains iaitu frenologi dan fisionomi yang kononnya menjelaskan wujud kaitan antara tengkorak dan ciri wajah dengan personaliti dan tingkah laku seseorang.

Dan seperti mana kebanyakan tokoh dan cendekiawan abad ke-19, kecenderungan perkauman tidak boleh lari dalam mana-mana analisis mereka termasuk Lombroso.

Beliau turut menggunakan stereotaip perkauman untuk mengukuhkan analisisnya seperti kelopak mata oblik yang dimiliki orang Mongol atau muka dan rahang rendah yang dimiliki orang kulit hitam sebagai petunjuk seseorang itu merupakan penjenayah.

Dari segi ciri muka pula, Lombroso menyatakan antara ciri yang harus dilihat ialah janggut dan rambut nipis, kening yang tebal dan rapat serta hidung kemek. Bagi perogol pula, beliau menyatakan antara ciri yang patut dilihat ialah mata yang menawan, telinga capang, mata besar dan mempunyai badan yang lemah atau bongkok.

Pasti sesiapa yang membaca kenyataan di atas ini berpandangan sama ada Lombroso ini memang orang gila atau terpengaruh dengan teori-teori konspirasi pada abad berkenaan. Hakikatnya, tokoh kriminologi ini dianggap tokoh ilmuan ulung di Itali di mana beliau pernah mengajar psikiatri dan antropologi di Universiti Pavia sebelum menjadi pengarah rumah orang gila Pescaro dari 1871 hingga 1873.

Selepas Criminal Man diterbitkan, Lombroso menjadi profesor perubatan forensik di Universiti Turin dan bagi kebanyakan pihak berkuasa, beliau menjadi rujukan utama mereka ketika itu. Menurut penulis Diana Bretherick, Lombroso mendapat sanjungan sedemikian kerana menjadikan jenayah dan penjenayah sebagai satu bentuk kajian spesifik dan merupakan orang pertama yang mengulas jenayah yang dilakukan oleh kaum Hawa.

Idea Lombroso ini tersebar ke Amerika Syarikat dan Eropah sebagai Darwinisme Sosial dan mendapat tempat menjelang akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Antara yang terpengaruh dengan idea beliau ialah ahli sosiologi terkenal, Charles A. Ellwood yang kemudiannya menjadi Presiden Persatuan Sosiologi Amerika pada tahun 1924.

Pada tahun 1912, Ellwood memuji Criminal Man yang menyumbang kepada pembangunan sains kriminologi di Amerika dan ia seharusnya menjadi koleksi simpanan buku hakim mahkamah jenayah, peguam dan pelajar kriminologi.

Idea tokoh kriminologi Itali ini turut digunakan sebagai asas kepada teori-teori mengarut saintis berkenaan jenis penjenayah yang boleh dicari menerusi ciri biologi. Ahli antropologi Earnest A. Hooton mengukur lebih 17,000 orang untuk satu eksperimennya di Universiti Harvard dan membuat kesimpulan penjenayah lebih lemah berbanding orang awam. Sementara Sir Francis Galton yang dikenali menerusi terma eugenik yang dipergunakan oleh rejim Nazi Jerman pula pernah cuba menghasilkan ciri biologi penjenayah tetapi itu juga berakhir dengan kegagalan.

Dan idea Lombroso ini turut mendapat tentangan ramai. Selepas bertemu dengannya pada satu ketika, penulis Rusia, Leo Tolstoy membakulsampahkan teori penjenayah azali Lombroso ini menerusi novelnya, Resurrection yang diterbitkan pada tahun 1899. Sementara penyelidik biometrik dan pegawai polis Perancis, Alphonse Bertillon yang bertanggungjawab memperkenalkan sistem ukuran penjenayah dan gambar penjenayah turut menolak idea berkenaan dan menganggap kaitan biologi dengan aktiviti jenayah sebagai sesuatu yang mengarut.

Melihat kepada idea di sebalik teori Lombroso ini, tidak hairanlah mengapa ahli fizik Jerman, Georg Christoph Lichtenberg memberi amaran kepada pakar-pakar perubatan agar tidak mengambil serius fisionomi kerana ia berpotensi mencetuskan diskriminasi dalam kalangan kanak-kanak dan berpotensi menyebabkan mereka dihukum atas sesuatu yang tidak dilakukan mereka.

Dan jika ia diteruskan sehingga ke hari ini, pihak berkuasa pasti tidak akan perasan kelibat penjenayah merbahaya seperti Ted Bundy, John Wayne Gacy dan Jeffrey Dahmer dan jenayah mereka sudah pasti akan berterusan tanpa sebarang tangkapan. Atas sebab itulah, bidang kriminologi menolak sekeras-kerasnya teori penjenayah azali yang dikemukakan Lombroso kerana jujurnya, ia memang mengarut!

SUMBER

Little, Becky. (2019). What Type of Criminal Are You? 19th-Century Doctors Claimed to Know by Your Face. History. https://www.history.com/news/born-criminal-theory-criminology

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.