Tengku Ampuan Mariam: Permaisuri Berjiwa Seni

866
views
Sumber: Ganutalgia

Nama baginda mungkin tidak begitu dikenali dan agak asing dalam kalangan masyarakat di Malaysia, namun, bagi rakyat Terengganu, baginda Al-Marhumah Tengku Ampuan Hajjah Mariam binti Al-Marhum Sultan Ahmad Mua’zzam Shah merupakan insan yang banyak mengubah budaya kesenian di negeri Terengganu Darul Iman. Baginda adalah anak kelahiran Pahang, puteri bongsu yang menjadi kesayangan kepada Sultan Ahmad Mua’zzam Shah, iaitu Sultan Pahang pertama yang memerintah di antara tahun 1882 hingga 1914. Nama sebenar baginda adalah Tengku Mariam dan telah diputerikan di istana ayahandanya di Pekan, Pahang pada tahun 1889.

Sejarah Awal

Tengku Mariam merupakan puteri bongsu kepada Sultan Ahmad Mua’zzam Shah daripada isteri ketiga baginda, iaitu Che’ Zubaidah, atau lebih dikenali sebagai Che Bedah. Tengku Mariam banyak menghabiskan zaman kanak-kanaknya di istana ayahandanya di Pekan bersama kekanda-kekandanya yang lain. Malah baginda juga telah mendapat pendidikan awal Al-Quran dan mengaji ketika berada di istana. Bermula pada tahun 1905, ketika usianya mencecah 16 tahun, Tengku Mariam telah memulakan pendidikan awalnya secara formal dengan memasuki Sekolah Melayu Pekan.

Bergelar sebagai puteri bongsu dalam keluarga diraja, baginda Tengku Mariam amat dikasihi dan sering dimanjakan oleh kekanda-kekandanya yang lain iaitu Tengku Long, Tengku Mahmud, Tengku Dalam, Tengku Ali dan Tengku Abdullah. Kekanda baginda, iaitu Tengku Long pernah bergelar isteri kepada Sultan Zainal Abidin III, iaitu Sultan Terengganu yang ke-11 pada tahun 1885, namun perkahwinan tersebut tidak kekal lama dan mereka telah bercerai pada pertengahan tahun 1895.

Tengku Mariam, sebagai seorang puteri kelahiran Pahang mempunyai keistimewaan dan minat baginda yang tersendiri dalam bidang kesenian dan penulisan. Baginda begitu menghargai warisan seni gamelan Pahang yang akhirnya dibawa oleh baginda hingga ke Terengganu ketika bergelar sebagai Sultanah Terengganu. Tengku Mariam turut dikenali sebagai seorang puteri yang amat santun dan lemah lembut sesuai dengan gelarannya sebagai puteri kesayangan Sultan Pahang.

Perkahwinan Dan Perlantikan Sebagai Sultanah

Tatkala usia baginda mencecah 24 tahun, Tengku Mariam telah disunting untuk menjadi isteri kepada Tengku Sulaiman Shah, iaitu putera kedua kepada Sultan Zainal Abidin III dan Cik Aisha binti Ismail. Tengku Sulaiman Shah telah diputerakan pada Disember, 1895, dan telah diberi gelaran sebagai Tengku Muda Sulaiman. Meskipun berbeza jarak usia sebanyak enam tahun, (Tengku Mariam enam tahun lebih tua berbanding Tengku Sulaiman), namun baginda tetap menerima pinangan dan akhirnya berkahwin dengan Tengku Sulaiman Shah pada 21 Julai 1913.

Apa yang menariknya, perkahwinan ini sebenarnya telah menjadi suatu rahmat dan permulaan yang baru kepada pemulihan hubungan di antara negeri Terengganu dan Pahang. Hubungan dingin antara kedua-dua negeri Pahang dan Terengganu bermula apabila retaknya status perkahwinan di antara Sultan Zainal Abidin III bersama puteri Sultan Ahmad, iaitu Tengku Long yang juga merupakan kekanda kepada Tengku Mariam, pada sekitar tahun 1895. Majlis perkahwinan ini juga menjadi titik tolak kepada perubahan kedudukan Tengku Mariam daripada seorang puteri kerabat diraja Pahang kepada isteri kepada Tengku Muda negeri Terengganu, iaitu bakal pengganti kepada Sultan.

Baginda Tengku Mariam yang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penulisan pernah mencatatkan kisah mengenai majlis perkahwinannya bersama Tengku Sulaiman Shah dalam bentuk puisi yang indah. Dalam puisi ini yang dinamakan sebagai Syair Ingatan Kahwin (Jilid 1 & 2), baginda telah menceritakan dengan jelas bagaimana proses majlis perkahwinan baginda dijalankan, bermula dengan peralatan yang digunakan, istiadat yang dilakukan serta kronologi setiap peristiwa yang berlaku sepanjang majlis perkahwinan berkenaan. Puisi ini boleh dianggap sebagai satu lambang kasih dan cinta baginda terhadap Tengku Sulaiman Shah serta tanda setia baginda kepada seluruh kerabat diraja pada waktu itu.

Pada 22 Februari 1921, Tengku Sulaiman Shah telah ditabalkan sebagai Sultan Terengganu yang ke-13, dan bergelar sebagai Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah selepas kekandanya, iaitu Sultan Muhammad II turun daripada takhta pada tahun 1920. Upacara pertabalan baginda telah dilangsungkan oleh Tengku Sri Utama Raja Tengku Ngah Omar bin Abdul Rahim, iaitu ayahanda sepupu kepada Tengku Sulaiman Shah dan merupakan kerabat akrab diraja, serta wazir dan Menteri Besar Terengganu. Selaras dengan pertabalan baginda sebagai sultan, maka Tengku Mariam telah dianugerahkan gelaran Tengku Ampuan dan bergelar sebagai Sultanah Terengganu.

Bonda Gamelan Terengganu

Setahun setelah perkahwinannya bersama Tengku Sulaiman Shah, iaitu pada tahun 1914, ayahanda Tengku Mariam, iaitu Sultan Ahmad Mua’zzam Shah telah mangkat di istananya di Pekan, Pahang. Bonda Tengku Mariam, iaitu Che Zubaidah akhirnya mengambil keputusan untuk mengikut puterinya dan menetap di Terengganu. Tengku Mariam bersama bondanya amat terkenal dengan kecenderungan mereka dalam bidang kesenian, terutamanya seni gamelan, malah Tengku Mariam sendiri mempunyai bakat dan telah dilatih dalam seni joget Pahang.

Setelah kemangkatan ayahandanya, tiada pewaris takhta yang menunjukkan kecenderungan bagi memelihara tradisi joget Pahang serta seni gamelan, maka bondanya, Che Zubaidah telah membawa bersama set gamelan miliknya ke Terengganu. Hasratnya pada waktu itu adalah bagi menyuburkan kembali seni warisan gamelan dan joget Pahang sehingga ke Terengganu. Minat dan kecenderungan yang ditunjukkan oleh Tengku Mariam ini sebenarnya banyak mendapat sokongan daripada suaminya sendiri, iaitu Tengku Sulaiman Shah yang juga mempunyai minat yang mendalam terhadap muzik gamelan.

Selepas Tengku Sulaiman Shah ditabalkan sebagai Sultan Terengganu pada tahun 1921, baginda mempunyai hasrat yang besar untuk menubuhkan kumpulan gamelan Terengganu yang khusus buat seluruh rakyat di negeri Terengganu. Hasrat baginda ini akhirnya menjadi kenyataan apabila baginda meminta khidmat daripada bekas pemuzik Pahang bagi memberi latihan buat pemuda-pemuda Terengganu untuk bermain gamelan, manakala Tengku Ampuan Mariam sendiri berbesar hati untuk memimpin latihan bagi gadis-gadis Terengganu untuk mempelajari seni joget Pahang. Seni tari ini akhirnya dikenali sebagai tari gamelan Terengganu. Pada tahun 1936, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan Tengku Ampuan Mariam telah memiliki set gamelan mereka sendiri dan sejak itu persembahan gamelan sering diadakan di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

Walau bagaimanapun, gamelan Terengganu telah mengalami zaman gelap apabila Perang Dunia Kedua menular ke Tanah Melayu pada tahun 1941, diikuti dengan kemangkatan penaungnya, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada tahun 1942. Sejak itu, set gamelan baginda tersimpan rapi di Istana Kolam, yang menjadi kediaman Tengku Ampuan Mariam. Pada tahun 1973, set gamelan di Istana Kolam ini telah diserahkan kepada kerajaan Pahang dan kini dipamerkan di Muzium Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang. Set gamelan inilah yang menjadi rujukan bagi instrumentasi asas gamelan Melayu iaitu keromong, gambang, saron kecil, saron besar, gendang, gong kecil dan gong besar serta tiga biji kenong.

Penulis Diraja

Selain daripada seni gamelan dan joget Pahang, baginda Tengku Ampuan Mariam turut mempunyai keistimewaan yang tersendiri dalam bidang penulisan, malah baginda merupakan salah seorang daripada beberapa orang penulis diraja Terengganu yang lain seperti Tengku Dalam Kalthum binti Tengku Wok Khazaki (penulis bagi Syair Tawarikh Zainal Abidin Yang Ketiga) yang banyak menyumbang kepada catatan sejarah mengenai Kesultanan Terengganu. Tengku Ampuan Mariam telah menghasilkan banyak manuskrip, puisi serta bahan-bahan penulisan berkaitan dengan seni gamelan, kisah-kisah baginda di istana serta kisah-kisah lawatan baginda ke luar negeri bersama Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Antara karya baginda yang terkenal ialah manuskrip yang mengandungi huraian serta lakaran mengenai tarian gamelan, yang kini menjadi rujukan sejarah dan tradisi gamelan Melayu. Selain itu, karya baginda yang paling diingati adalah Syair Ingatan Kahwin (Jilid 1 & 2), sebuah syair dan puisi yang ditulis khusus bagi memperingati dan mengenang kembali majlis perkahwinan baginda bersama Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Karya-karya baginda yang lain pula adalah seperti Syair Perkahwinan Dahulu Kala, Syair Pelayaran Ke Negeri Siam dan Syair Pelayaran Ke Tanah Jawa.

Kesemua syair dan puisi ini merupakan intipati rasa yang diekspresikan oleh Tengku Ampuan Mariam berdasarkan setiap kronologi peristiwa yang baginda alami sepanjang bergelar sebagai Sultanah Terengganu. Malah, sebagai seorang Sultanah Terengganu, baginda sering mengiringi baginda Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah bagi upacara-upacara rasmi dan tidak rasmi, dan kisah-kisah sepanjang perjalanan tersebut telah dimanfaatkan oleh baginda melalui pelbagai catatan manuskrip.

Salah satu karya Tengku Ampuan Mariam yang berkaitan dengan kisah-kisah baginda sepanjang mengiringi baginda Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ialah Buku Lawatan Yang Maha Mulia dan Tengku Ampuan. Meskipun karya ini memakai nama sebagai ‘buku’, namun ia adalah merupakan sebuah catatan harian atau diari milik Tengku Ampuan Mariam. Ada pendapat yang menyatakan bahawa mungkin juga Tengku Ampuan Mariam sendiri tidak bermaksud untuk menghasilkan sebuah karya yang diangkat sebagai karya kreatif, tetapi lebih kepada berhasrat untuk mencatatkan segala peristiwa yang dialaminya sepanjang perjalanan sebagai pasangan diraja.

Karya ini hadir dalam tempoh di mana pada waktu itu ramai pengarang dan penulis Melayu masih menghasilkan penulisan Melayu yang berbentuk prosa serta syair dalam penyampaian sesuatu sejarah. Karya Tengku Ampuan Mariam ini amat istimewa kerana baginda menjadikan tarikh sebagai asas utama dalam pembentukan setiap kisah yang disampaikannya. Disebabkan inilah, banyak pendapat yang menyatakan bahawa karya ini lebih merupakan sebuah diari istimewa mengenai perjalanan Tengku Ampuan Mariam bersama Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Antara contoh kisah yang dicatatkan di dalam karya ini ialah:

“13 Zulhijjah 1350, bersamaan 19 April 1932. Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman pergi ke Kelantan kerana membuka jalan baru di antara Besut dengan Kelantan. Tinggal semalam di Kelantan.” (halaman 4, Buku Lawatan Yang Maha Mulia dan Tengku Ampuan).

Apa yang menarik mengenai karya ini adalah ia merupakan sebuah catatan bertulisan jawi tangan yang ditulis oleh Tengku Ampuan Mariam di dalam sebuah buku latihan atau buku tulis sekolah yang bergaris 20 baris. Secara asasnya, Tengku Ampuan Mariam telah menyusun setiap catatan baginda berdasarkan kronologi, iaitu dari satu tarikh ke satu tarikh yang berikutnya. Karya ini turut menggunakan bahasa yang ringkas dan padat sesuai dengan catatan sebagai diari. Istimewanya, Tengku Ampuan Mariam turut menyelitkan petikan daripada ucapan yang disampaikan sewaktu majlis jamuan teh di Istana Maziah pada tahun 1939, serta nama-nama individu yang pernah menjawat jawatan Gabenor Singapura dan Penasihat British di Terengganu ketika era pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Selain itu turut disenaraikan nama doktor dan komisioner polis di Terengganu.

Kesemua hasil penulisan dan manuskrip yang dihasilkan oleh Tengku Ampuan Mariam ini jelas menunjukkan kredibiliti dan kemampuan baginda sebagai seorang penulis Melayu pada awal abad ke-20. Malah hasil karya yang dihasilkan oleh baginda juga telah dianggap sebagai suatu catatan sejarah yang amat berharga dalam menelusuri kembali kisah-kisah yang berlaku dalam Kesultanan Terengganu.

Kemangkatan Tengku Ampuan Mariam

Tengku Ampuan Mariam telah mangkat di Kuala Terengganu pada 12 Disember 1975, pada usia 86 tahun. Kemangkatan baginda dianggap sebagai satu kehilangan yang besar kepada seni gamelan serta penulisan sejarah di Terengganu. Namun, Tengku Ampuan Mariam telah banyak meninggalkan jasa serta sumbangan buat seluruh rakyat Terengganu. Antaranya ialah penubuhan Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam, bertempat di Jalan Tengku Ampuan Mariam, Kuala Terengganu, hasil kurniaan baginda pada tahun 1937. Sehingga kini, sekolah ini masih teguh berdiri dengan jumlah pelajar serta guru yang semakin bertambah.

Kesimpulan

Tengku Ampuan Mariam akan sentiasa dikenang dan diingati oleh seluruh rakyat Terengganu di atas jasanya dalam menyuburkan kembali seni tari gamelan serta hasil penulisan baginda yang menyingkap kembali sisi hidupnya sebagai seorang permaisuri. Tengku Ampuan Mariam telah berusaha mendukung jatidiri Terengganu yang mana menyerap kebudayaan luar dengan pengembangan budaya berkenaan dengan rupa bangsa dan rupa jiwa Terengganu, selari dengan kebudayaan dan seni masyarakat tempatan. Semoga semangat yang ada pada Tengku Ampuan Mariam dapat disemarakkan dalam mempertahankan rupa bangsa Terengganu yang kita kenali dahulu menuju ke akhir zaman.

Rujukan

Abdul Rahman Embong. (2012). Terengganu Merentasi Tiga Abad: Kesultanan, Politik, Ekonomi, Agama dan Budaya. Yayasan Diraja Sultan Mizan: Kuala Terengganu.
Dato’ Setia Jasa Haji Muhammad Saleh Haji Awang (Misbaha). (1992). Sejarah Darul Iman Hingga 1361H = 1942M (Edisi Ketiga). Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu: Kuala Terengganu.
Jelani, H. (2015). Syair Tawarikh Zainal Abidin Yang Ketiga Sebuah Karya Agung Terengganu. International Journal of the Malay World and Civilisation, 3(2), 3–15.
Mardiana, N., & Muhamad Safwan, M. A. (2014). Manuskrip “Buku Lawatan Yang Maha Mulia dan Tengku Ampuan”: sebuah catatan harian Raja Melayu (Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, 1920-1942, Terengganu).
Muhammad Fazli Taib, S., & Agus, C. (2016). The Inheritance of Malay Palace Dance in Malaysia and Yogyakarta Classical Dance in Indonesia. Journal of Arts Research and Education, 16(1), 75–86. https://doi.org/10.15294/harmonia.v16i1.6145
Muhammad Yusoff Hashim. (1991). Terengganu Darul Iman: Tradisi Persejarahan Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.