Tenggelamnya Kapal Titanic

232

Siapa dapat melupakan filem arahan James Cameron, Titanic yang ditayangkan di Malaysia pada 18 Disember 1997 yang telah menyentuh hati jutaan penontonnya di seluruh dunia.?

Pastinya detik menusuk kalbu perpisahan watak Rose DeWitt Bukater lakonan Kate Winslet dengan Jack Dawson lakonan Leonardo DiCaprio di penghujung filem berkenaan akan bermain diingatan setiap seorang penonton yang menyaksikan filem berkenaan.

Sehinggakan, ada di antara penonton berpendapat, watak Rose dan Jack berkenaan memang benar wujud akibat lakonan berkesan dua pelakon muda pada ketika itu. Hakikatnya, watak berkenaan telah dicampur aduk dengan penumpang sebenar kapal yang digelar oleh arkitek pembinaan kapal berkenaan, Thomas Andrews sebagai “unsinkable ship”.

RMS Titanic telah dibina di limbungan Harland and Wolff di Belfast, Ireland dan dimiliki oleh White Star Line yang berpengkalan di Southampton, England. Sebenarnya, kapal ini dibina bagi menyaingi Lusitania dan Mauretania yang dimiliki oleh pesaing White Star Line, Cunard Line.

Pada asalnya, kapal ini dinamakan Giganic setelah mengambil kira saiznya pada ketika itu. Namun nama ini tidak digemari oleh Pengarah Urusan White Star Line, J. Bruce Ismay yang merasakan nama berkenaan tidak mempunyai nilai komersial yang baik. Atas persetujuan bersama Thomas Andrews, nama Titanic dipilih setelah mengambil kira saiz dan sejarah Titan yang dianggap sebagai mitos terhebat masyarakat barat.

Untuk rujukan, kapal berkenaan mempunyai keberatan 52,310 tan dengan 269 meter panjang dan mempunyai kelebaran seluas 28 meter. Tinggi kapal ini dari paras air ke geladak adalah 18 meter dan dilengkapi 4 serombong pegudaraan. Menurut laporan media pada ketika itu, hanya 3 serombong pengudaraan berkenaan yang berfungsi manakala serobong keempat pula sengaja diadakan bagi menampakkan “kegagahan” kapal berkenaan berbanding pesaingnya.

Dibiayai oleh J. P. Morgan menerusi syarikatnya, International Mercantile Marine Co., kapal ini sebenarnya adalah satu projek mega syarikat berkenaan bagi menampakkan kemampuan syarikat berkenaan melabur dalam industri perkapalan.

RMS Titanic digerakkan dua enjin bersetentangan empat silinder, tiga pembesaran, enjin wap tebalik dan satu turbin Parsons bertekanan rendah yang menggerakan tiga kipas. Ianya turut dilengkapi dengan 29 dandang yang dipanaskan oleh 159 pendiang arang batu dan mampu menghasilkan kelajuan sehingga 23 knot atau 43kilometer sejam.

Apa yang menariknya, RMS Titanic mempunyai kolam renang, gimnasium, mandian Turki, perpustakaan dan gelanggang squash. Bagi bilik umum kelas pertama pula, ia dihiasi dengan panel kayu yang luas, perabot mahal dan dihiasi indah seperti menginap di sebuah hotel mewah pada ketika itu.

Bagi kelas kedua dan ketiga pula, tidak banyak yang boleh dibanggakan dengan kelas ketiga hanya dilengkapi dengan sebuah meja dan dua buah katil dua tingkat di setiap biliknya. Untuk membolehkan penumpang kelas kedua dan ketiga naik ke dek utama, RMS Titanic dilengkapi dengan 3 buah lif dan lebih 30 buah laluan bertangga yang boleh dilalui pada bila-bila masa.

Pada 10 April 1912, RMS Titanic telah memulakan pelayaran menuju Pelabuhan New York, Amerika Syarikat dari Pelabuhan Southampton, England. Pelayaran sulung ini diketuai oleh Kapten Edward J. Smith yang dikatakan telah mengumumkan persaraannya dari melakukan sebarang pelayaran, sebulan sebelum RMS Titanic memulakan pelayaran.

Namun, hasrat Kapten Smith ini tertangguh setelah J. Bruce Ismay sendiri datang memujuk untuk menangguhkan persaraannya. Alasan yang diberikan Ismay adalah, tiada seorang pun kapten yang ada di bumi England yang mampu mengendalikan kapal sebesar ini dan mempunyai pengalaman melakukan pelayaran ke New York pada ketika itu.

Satu perkara yang tidak didedahkan di dalam filem Titanic dan jarang diperkatakan adalah, sebelum RMS Titanic melakukan pelayaran terus ke New York, kapal berkenaan singgah di Cherbourg, Perancis bagi mengambil dan menurunkan penumpang.

Kapal ini sekali lagi berhenti di Queenstown, Ireland sebelum meneruskan pelayaran bersama-sama 2,223 orang penumpang. Melihat kepada angka penumpang yang berada di dalam RMS Titanic ini, ia sama sekali telah menyangkal sebarang dakwaan kononnya kapal berkenaan membawa lebihan penumpang.

Ini kerana, kapal berkenaan mampu memuatkan 2,435 orang penumpang dan angka yang berada di dalam kapal berkenaan lebih rendah dari sasaran awal White Star Line yang menjangkakan, kapal berkenaan mampu membawa jumlah penuh pada hari pelayaran pertama.

Dalam pelayaran sulung ini, antara penumpang tersohor yang turut menaiki kapal berkenaan adalah jutawan John Jacob Astor dan isterinya Madeleine Force Astor, pemilik kilang yang berjaya, Benjamin Guggenheim, Pemilik Macy, Isador Straus dan isteri, jutawan Denver, Margaret “Molly” Brown, Sir Cosmo Duff-Gordon dan isteri Lady Lucille Duff-Gordon, wartawan hebat, William Thomas Stead dan Countess of Roth merangkap pembantu Presiden Amerika Syarikat, Archibald Butt.

Turut sama berada di dalam kapal berkenaan adalah pengarah Broadway, Henry dan Irene Harris, pelakon wanita bisu, Dorothy Gibson, Pengarah White Star Line, J. Bruce Ismay dan arkitek pembinaan RMS Titanic, Thomas Andrews. (Maaf, tiada nama Rose DeWitt Bukater dalam senarai penumpang elit kapal berkenaan).

Selama 4 hari, kapal berkenaan langsung tidak mempunyai sebarang masalah semasa melakukan pelayaran. Semuanya berada dalam keadaan baik dan cukup tenang. Sehinggalah pada malam 14 April 1912 apabila suhu lautan menurun ketahap hampir beku.

Apa yang menariknya, sehari sebelum hari kejadian, Kapten Smith telah diberikan amaran oleh beberapa buah kapal menerusi wireless bahawa terdapat beberapa ketulan aisberg berada di sepanjang laluan RMS Titanic. Bertindak atas amaran ini, beliau telah mengubah sedikit haluan kapal ini ke arah lebih Selatan kerana beranggapan, ianya lebih selamat berbanding meneruskan perjalanan lebih utara.

Pada hari kejadian, pada jam 1.45 petang, sebuah kapal wap Amerika telah menghantar amaran bahawa terdapat seketul aisberg besar berada di laluan RMS Titanic. Namun amaran ini tidak dihantar ke dek kawalan. Beberapa jam kemudian satu lagi amaran yang sama dari kapal Mesaba dan sekali lagi amaran ini gagal dihantar ke dek kawalan.

Pada jam 11.40 malam, ketika kapal ini berlayar di Selatan Grand Banks di Newfoundland, dua orang pemantau, Frederick Fleet dan Reginald Lee telah melihat satu ketulan besar aisberg berada betul-betul di hadapan RMS Titanic. Panik dengan keadaan ini, Fleet telah membunyikan loceng kecemasan dan menghubungi dek kawalan bagi menyampaikan amaran berkenaan.

Pada ketika itu, Pegawai Pertama Murdoch sedang bertugas bagi menggantikan Kapten Smith yang sedang berehat. Bertindak atas laporan Fleet ini, Murdoch telah mengarahkan pusingan mengejut kearah kiri dan mengarahkan enjin dihentikan sebelum ianya dihidukan kearah belakang dalam kelajuan yang maksima.

Namun usaha berkenaan nyata telah terlewat apabila bahagian tepi sebelah kanan kapal berkenaan bergesel dengan ketulan besar aisberg berkenaan dan mengakibatkan kimpalan rivert di bawah paras air bocor sepanjang 91 meter. Ini sekaligus menyebabkan bahagian bawah dek kapal berkenaan di masuki air dengan cukup pantas dan telah mengorbankan pekerja bawahan dek ini serta merta.

Mujur juga tindakan pantas Murdoch yang menutup pintu kedap air mampu melenggahkan kerosakan dan kebocoran yang dialami oleh RMS Titanic. Pada masa yang sama, Kapten Smith turut sama naik ke dek kawalan untuk melihat sendiri kerosakan hasil dari perlanggaran berkenaan.

Beliau adalah antara orang yang menyedari bahawa RMS Titanic tidak mungkin dapat diselamatkan. Beliau pantas mengarahkan kesemua 20 bot penyelamat yang diturunkan bagi memindahkan seberapa ramai penumpang dari kapal berkenaan. Pada masa yang sama, panggilan kecemasan mula di hantar dengan harapan ada kapal berada berhampiran dengan lokasi RMS Titanic berada.

Sejam selepas perlanggaran, bot pertama telah diturunkan dengan memuatkan seramai 28 orang. Sedangkan, menurut Thomas Andrews, bot penyelamat berkenaan mampu memuatkan seramai 50 hingga 60 orang pada satu-satu masa. Malah, menurut perkiraan kasar, seramai 1,178 orang mampu diselamatkan menerusi 20 buah bot keselamatan yang ada di dalam RMS Titanic.

Jumlah ini hanya setengah sehaja dari jumlah keseluruhan penumpang RMS Titanic. Apa yang menyedihkan, menurut mereka yang terselamat, penumpang kelas ketiga gagal sampai ke geladak utama kerana hampir kesemua laluan untuk mereka sampai ke geladak berkenaan dikunci oleh anak kapal.

Pada keadaan yang serba cemas ini, dua orang operator radio, Jack Phillips dan Harold Bride sibuk menghantar isyarat CQD ke semua kapal yang berada berhampiran RMS Titanic. Isyarat kecemasan ini disahut oleh kapal Mount Temple, Frankfurt dan Olympic. Namun, apa yang menyedihkan, kesemua kapal ini berada agak jauh dari lokasi RMS Titanic berada.

Hanya RMS Carpathia milik Curnard sahaja yang berada paling dekat dengan RMS Titanic. Itupun pada jarak 93 kilometer dan hanya sampai selepas 2 jam RMS Titanic tenggelam sepenuhnya.

RMS Titanic mula tenggelam di bahagian hadapan. Apa yang memburukkan keadaan adalah, ada di antara penumpang kelas pertama menganggap, kejadian yang menimpa RMS Titanic ini hanyalah satu latihan kecemasan. Ada diantara mereka sibuk bersiap untuk hadir makan lewat malam dan ada diantaranya mahu menghadiri majlis koktail di beberapa lokasi di dalam kapal berkenaan.

Tidak hairanlah apabila 2 buah bot penyelamat yang berpatah balik mencari mangsa yang masih terselamat kira-kira 2 jam selepas RMS Titanic tenggelam mendapati, ramai daripada mereka mengenakan pakaian mahal dan gaun yang cantik.

Tambah Thomas lagi, RMS Titanic mula menjunam 90 darjah kira-kira 2.15 minit pagi dengan hampir 50 orang berada di belakang kapal berkenaan semasa ianya mula menjunam dengan lajunya kedasar laut. Tepat jam 2.20 pagi, 15 April 1912, daratan terapung dan “unsinkable ship” yang amat dibanggakan oleh White Star Line, tenggelam sepenuhnya ke dasar laut.

Daripada 2,223 orang penumpang kapal ini, hanya 706 orang penumpang sahaja yang terselamat manakala bakinya menemui ajal di tengah lautan yang berada pada suhu -2 darjah selsius pada ketika itu. Dua buah bot telah kembali ke lokasi kejadian, dua jam selepas tenggelamnya RMS Titanic dan hanya mampu menyelamatkan 5 orang yang mana dua orang daripadanya menemui ajal beberapa jam selepas diselamatkan.

Inilah sebuah kisah klasik yang tidak pernah jemu untuk diperkatakan dari satu generasi ke satu generasi. Pelbagai kisah timbul setelah tenggelamnya RMS Titanic yang mana majoritinya enggan mempercayai, sebuah kapal yang didakwa paling selamat dalam sejarah, tenggelam hanya disebabkan seketul aisberg besar.

Kemalangan ini nyata memberi kesan yang cukup yang mendalam terhadap penduduk Southampton. Menurut laporan Hempshire Chronicle yang diterbitkan pada 20 April 1912, hampir 1,000 keluarga tempatan terjejas secara langsung. Hampir setiap jalan di daerah Chapel kehilangan lebih dari satu penduduk dan hampir 500 rumah kehilangan anggota keluarga.

Malah, kemalangan ini turut mendorong kepada Persidangan Antarabangsa Keselamatan Jiwa di Laut di London pada 12 November 1913. Pada 20 Januari 1915, satu persetujuan ditandatangani dari persidangan berkenaan untuk mewujudkan Peronda Ais Antarabangsa yang sehingga hari ini masih berfungsi untuk memantau dan melaporkan sebarang lokasi aisberg yang ada di Lautan Atlantik.

RUJUKAN:

* Beveridge & Hall 2004

* Titanic historical Society

* Encyclopedia Titanica

* Titanic Archive

Artikel disumbangkan oleh Samurai Biru untuk The Patriots.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.