Pada 24 April 1865, beratus-ratus veteran dan tahanan perang Kesatuan menaiki kapal stim Sultana. Kebanyakan mereka dalam keadaan berdarah, keletihan dan kelaparan. Tetapi tidak seperti 600,000 rakan seperjuangan mereka yang bertempur dalam Perang Saudara, mereka masih hidup. Mereka terselamat mengharungi pertarungan sengit dan ditahan di kem-kem terkenal seperti Andersonville dan Cahaba. Tetapi kebanyakan mereka tidak akan pulang menemui keluarga di kampung halaman gara-gara ketamakan pemilik kapal dan gejala rasuah membabitkan pegawai-pegawai Kesatuan.

Tatkala semua tentera ini menaiki kapal yang berlabuh di Vicksburg, Mississippi, sesetengah daripada mereka boleh mendengar kerja-kerja pembaikan yang dilakukan dalam bilik enjin. Kerja-kerja tersebut dilakukan untuk menampal kebocoran pada salah satu daripada empat dandang yang mula bocor semasa dalam perjalanan ke Sungai Mississippi dari New Orleans. Untuk mengetahui sejauh mana kerosakan dandang tersebut, kapten Sultana merangkap pemilik bot, J. Cass Mason memanggil pembuat dandang dari Vicksburg, R.G Taylor untuk memeriksa kerosakan tersebut. Selepas pemeriksaan, Taylor menjelaskan untuk memastikan dandang tersebut beroperasi dengan baik, ia memerlukan pembaikan selama tiga atau empat hari.

Bagi Mason, ini sesuatu yang tidak boleh diterima kerana ini pasti akan menggugat kos operasi Sultana. Semasa Perang Saudara, Jabatan Perang mengikat kontrak dengan pengendali kapal stim tempatan untuk mengangkut tentera iaitu $5 bagi setiap anggota dan $10 bagi setiap pegawai. Tidak mahu terlepas meraih laba segera ini, Taylor dan krewnya diarahkan membuat penampal sementara pada dandang yang rosak dan proses pembaikan akan dijalankan sebaik Sultana tiba di Cairo, Illinois.

Gejala rasuah membabitkan kapten kapal stim dan pegawai tentera Kesatuan untuk membawa penumpang ke kapal mereka bukanlah sesuatu yang asing. Antara individu yang aktif melakukannya ialah Ketua Kuartermaster Tentera Kesatuan di Vicksburg, Reuben Hatch. Hatch yang diberi tugas mengendalikan urusan kontrak pengendali kapal stim ini pernah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah pada tahun 1861 tetapi tuduhan tersebut digugurkan hasil campur tangan abangnya sendiri, Setiausaha Negeri Illinois Ozias Hatch yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Abraham Lincoln. Dan dua bulan sebelumnya, lembaga pemeriksaan kerajaan mendapati Hatch tidak layak berkhidmat sebagai kuartermaster. Namun terima kasih kepada hubungan politik yang dibina, Hatch masih kekal dilindungi.

Terdorong dengan bayaran rasuah yang disediakan oleh Mason, Hatch menggerakkan 2,400 penumpang ke Sultana. Bagaimanapun, ini sudah menimbulkan kebimbangan sesetengah penumpang kerana Sultana hanya berkemampuan membawa 376 penumpang sementara dua lagi kapal masih lagi kosong. Korporal George M. Clinger berkata, “Kami dihalau seperti kumpulan khinzir sehinggalah setiap kaki bilik dipenuhi.” Berikutan bilangan penumpang yang terlalu ramai sehingga menyebabkan dek menjadi melandut, krew Sultana terpaksa mengukuhkan dek dengan rasuk untuk mengelakkan dek tersebut runtuh. Apabila Sultana tiba di Helena, Arkansas, kapal tersebut hampir terbalik berikutan ramai askar pergi ke sebelah tepi kapal untuk sesi bergambar bersama seorang jurugambar.

Selepas krew memunggah 250 tong gula dan 97 bekas wain di Memphis, kapal masih lagi dalam keadaan bahaya. Masih membawa kapasiti penumpang enam kali ganda melebihi kapasiti yang dibenarkan, Sultana terus bergelut mengharungi arus Mississippi menjelang awal pagi 27 April. Dengan keadaan banjir dan berat para penumpang, ia memberi tekanan kepada dandang-dandang kapal semasa ia berusaha bergerak ke kawasan hulu. Pada pukul 2.00 pagi, tiga dandang kapal tiba-tiba meletup dan membuka lubang besar pada dek, sekaligus membunuh beratus-ratus penumpang. Prebet Benjamin Johnston berkata, “Bunyi letupan yang saya dengar mengatasi bunyi mana-mana artileri yang saya pernah dengar. Dan saya ada mendengar bunyi artileri jauh lebih kuat di Gettysburg.” Arang batu yang panas menghujani Sultana dan ia menyebabkan kapal tersebut terbakar.

Yang mana tidak boleh berenang terpaksa memilih sama ada mati akibat kebakaran atau lemas dalam arus Sungai Mississippi. Perjuangan untuk terus kekal hidup menyaksikan semua penumpang dan krew terpaksa menyelamatkan diri. Ramai terpaksa bergantung kepada serpihan kayu, tilam dan mayat yang terbakar sambil melawan arus dan suhu sejuk. Dan sebaik satu-satunya bot penyelamat Sultana berada di sungai itu, berpuluh-puluh orang cuba berpaut pada bot tersebut menyebabkan bot tersebut terbalik dan tenggelam ke dalam sungai. Dan tambah menyayat hati, seorang askar menyerang seorang wanita dalam cubaan mendapatkan jaket keselamatan miliknya. Prebet John Walker menulis, “Naluri kebinatangan manusia timbul apabila cuba menyelamatkan dirinya tanpa mengambil kira nyawa orang lain.”

Untuk hari-hari berikutnya, pasukan penyelamat mengambil mayat dari pokok-pokok berhampiran dengan zon letupan dan menarik mayat keluar dari sungai sehingga ke sebelah selatan di Vicksburg, 200 batu dari zon tersebut. Sejarawan percaya lebih 1,800 penumpang terbunuh dalam insiden tersebut. Walaupun digelar Titanic versi Amerika, tragedi kapal stim Sultana meragut 300 nyawa lebih daripada bilangan penumpang dan krew Titanic yang terbunuh pada tahun 1912 itu. Malah, tragedi Sultana masih lagi dianggap tragedi maritim paling berdarah dalam sejarah Amerika Syarikat.

Bagaimanapun tidak seperti Titanic, tragedi tersebut tidak lagi menjadi bualan orang ramai. Ini kerana laporan tenggelamnya kapal stim itu gagal mengatasi liputan berita penyerahan kalah Jeneral Tentera Konfederasi, Joseph Johnston sehari sebelumnya. Pengumuman Johnston turut menandakan penyerahan kalah besar-besaran pernah disaksikan dalam Perang Saudara. Dan berita tragedi Sultana turut ditenggelamkan dengan berita penamatan usaha memburu pembunuh Lincoln, John Wilkes Booth.

Andrew Caroll, penulis buku ‘Here Is Where: Discovering America’s Great Forgotten History’ melihat kehilangan nyawa yang ramai dalam Perang Saudara mengurangkan unsur kejutan kepada khalayak awam yang sudah lali melihat jumlah kematian yang ramai. “Terdapat banyak pertempuran di mana ribuan tentera terbunuh, jadi secara jujurnya, 1,800 kematian itu dilihat tidaklah dianggap menyedihkan.” Selepas 11 hari tragedi Sultana berlaku, akhbar Memphis Argus melaporkan, “Kita sebagai rakyat yang sudah biasa melihat penderitaan dan kegilaan sejak beberapa tahun lepas sehingga sudah kehilangan dan melupakan rasa belas kasihan yang seharusnya ada dalam diri. Beberapa hari lepas, 1,500 orang mati akibat air dan api, dalam lingkungan jarak penglihatan bandar ini. Tetapi sehingga sekarang, tragedi ini jarang disebut kerana ada berita lain yang lebih menggamit perhatian.”

Pakar-pakar teori konspirasi mengesyaki perisik-perisik Konfederasi telah memasang bom pada lantai kapal sebagai tindakan sabotaj. Bagaimanapun punca sebenar letupan berpunca dari dandang yang bocor itu. Kapal yang mengambil penumpang melebihi kapaisit muatan yang membawa kepada kegagalan dandang beroperasi dan meletup turut menyumbang kepada bilangan kematian yang ramai. Tiga suruhanjaya siasatan ditubuhkan untuk menyiasat tragedi tersebut tetapi tiada sebarang pendakwaan dikenakan kepada mana-mana pihak terlibat termasuk Hatch. Walaupun dikenakan sepina sebanyak tiga kali untuk memberi keterangan kepada suruhanjaya, dia tidak mengendahkan langsung semua permintaan itu dan tidak pernah berdepan pendakwaan. Hatch direhatkan dari tugasnya pada Jun 1865 dan menetap di Pittsfield, Illinois sebelum meninggal dunia pada tahun 1871. Sementara Mason pula tenggelam bersama kapalnya itu.

Bagi mangsa-mangsa yang terbunuh, mereka pada mulanya dipindahkan dari kubur asal mereka ke Perkuburan Kebangsaan Memphis untuk dikebumikan mengikut adat tradisi ketenteraan. Kebanyakan keranda sudah dicatatkan nama dengan kapur tetapi semasa proses pemindahan berlaku, hujan lebat memadamkan semua tulisan kapur tersebut. Dan sebaik tiba di kawasan perkuburan, ini memaksa semua mangsa ini dikebumikan pada setiap deret kubur yang tidak bernama. Caroll menganggap insiden ini satu lagi ketidakadilan kepada mangsa-mangsa Sultana.

SUMBER

  1. Ambrose, Stephen. (2002). National Geographic. Remembering Sultana. https://news.nationalgeographic.com/news/2001/05/0501_river5.html
  2. Klein, Christopher. (2015). History.com. The Forgotten Story of America’s Titanic. https://www.history.com/news/the-forgotten-story-of-americas-titanic

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.