Terdapat sebuah benteng gergasi yang melindungi Pergunungan Altai dari serangan gasar di utara, ujar ketua pasukan arkeologi Profesor Andrey Borodovsky. Kompleks tembok yang kini hampir terselindung sepenuhnya dari mata kasar ini dipercayai dibina pada era di mana Tembok Besar China dan Tembok Hadrian didirikan.

Di sebalik lapisan-lapisan rumput yang tebal, saintis menemukan batu-batuan besar binaan manusia. Enam baris tembok selari ini berfungsi untuk mengehadkan laluan keluar-masuk ke Gunung Altai dari arah utara melalui lembah di Sungai Katun. Ukuran lebar tembok ini kira-kira 10 meter sementara tingginya pula mencecah 8 meter.

Lokasi Tembok Altai

Sejarahwan masih belum mengetahui siapakah yang bertanggungjawab membina benteng gergasi ini.

“Di bahagian timur tembok ini terdapat sebuah gerbang yang luas. Gerbang ini dihimpit pada lereng gunung oleh sebuah lagi tembok, yang membentuk laluan timur-barat lembah Katun.”

Secara keseluruhan, terdapat sembilan buah tembok yang bersambungan di lereng gunung berkenaan. Profesor Andrey Borodovsky berkata, “Tembok-tembok ini jelas sekali dibuat untuk menyekat pergerakan manusia dan melorongkan mereka ke laluan yang dikehendaki oleh pembinanya.”

Tembok Besar Siberia

Dengan demikian, akses dari steppe ke kawasan gunung yang merupakan kediaman bagi sejumlah tamadun purba, seperti kaum Pazyryk, dapat dikawal.

Sebahagian tembok ini telah musnah akibat pembinaan jalan raya Chuya pada zaman tzar, di mana kawasan tersebut menjalani modenisasi di bawah pemerintahan Stalin. Bahagian barat benteng ini turut musnah apabila kampung moden Souzga dilebarkan.

“Bukan mudah untuk dapatkan gambar tembok ini dalam keadaan yang boleh dilihat,” kata Andrey Borodovsky. “Gambar-gambar satelit juga tidak banyak membantu.”

Menjalankan penyelidikan di lokasi tertentu tembok berkenaan

Apapun, Prof Borodovsky bertegas melaksanakan analisa geofizikal di mana imbasan yang dibuat menunjukkan bahawa struktur yang ada di situ adalah binaan manusia. Beliau mengumumkan perancangan untuk melaksanakan penyelidikan lanjut pada tahun hadapan (2018) di tapak berkenaan, tapak yang bernilai dan signifikan buat sejarah (walaupun keluasannya tidaklah besar, dengan ukuran panjang sekitar 1km setakat yang telah dikenal pasti).

Kedudukan beberapa buah tembok yang kekal bersebelahan dengan Jalan M52

“Analisa geofizik sudah jelas mengesahkan bahawa tembok Souzga dibina oleh manusia,” kata ketua penyelidik kepada The Siberian Times.

Setakat ini, bukti arkeologi berupa rangka manusia di kawasan sekitar tembok berkenaan merujuk kepada rangka milik manusia di zaman pertengahan. Namun, penyelidik dari Institusi Arkeologi dan Etnografi di Novosibirsk mempercayai bahawa bukti yang dapat mengesahkan usia pembinaan tembok itu yang jauh lebih awal akan ditemui kelak.


Data dari analisa geofizik

“Bukan mudah untuk menentukan usia pembinaan struktur sebegini, atau masa tepat di mana ia dibina. Namun, saya percaya tembok ini dibina sekitar milenium pertama Sebelum Masihi – permulaan era baru. Iaitu Zaman Besi atau mungkin Zaman Gangsa. Namun, saya lebih cenderung mengatakan ianya Zaman Besi. Saya mendasarkan kenyataan ini pada hakikat bahawa ia merupakan zaman di mana banyak pembinaan dilakukan di seluruh dunia, misalnya Tembok Hadrian. Masalah yang kami hadapi sekarang adalah satu-satunya penemuan arkeologi yang dapat kami peroleh di kawasan sekitar tembok setakat ini berusia tidak lebih dari zaman pertengahan.

“Namun, saya percaya bahawa pada Zaman Pertengahan, tiada komuniti yang cukup besar di kawasan ini yang mampu membina tembok seampuh ini. Lagipun, tidak wujud sebarang keperluan untuk membangunkan benteng pertahanan seperti ini kerana pada Zaman Pertengahan, bermacam-macam komuniti kecil berselerakan di merata tempat.”

Tembok Hadrian

Pertama sekali, kehadiran sumber manusia yang banyak pada era ini, berikutan perkembangan ekonomi penghasilan. Kedua, konflik ketenteraan yang semakin memburuk dan peningkatan signifikan pada skalanya. Ketiga, pembentukan negara besar dan entiti-entiti proto negara, yang mempunyai sempadan ekonomi, budaya dan politik dan kesemua sempadan ini adalah untuk… memisahkan dunia mereka dari orang asing.”

Andrey Borodovsky berkata, “Kesemua tembok pertahanan yang mengagumkan di Eurasia dibina pada permulaan milenium pertama Sebelum Masihi sehingga awal separuh pertama milenium pertama Masihi. Era ini dikenali sebagai Zaman Gangsa Lewat dan Zaman Besi Awal, antara lain melibatkan era suku kaum Hun yang berada di ambang Perpindahan Besar. Pembinaan benteng sebegini berkemungkinan disebabkan beberapa faktor.

Tembok Besar China

Tidak tinggal juga antara yang kita kenang adalah struktur pertahanan ampuh seperti Tembok Ular yang terbentang di Ukraine, bermula dari bandar Zmiiv di timur hingga ke Podolia di barat, di mana pembinaannya dimulakan pada Zaman Gangsa Lewat.”
“Kita kenal benar Tembok Besar China yang dibina selama beberapa kurun, di mana batu asasnya dimulakan pada kurun ke-3SM. Begitu juga dengan Tembok Hadrian di Britain yang dibangunkan pada zaman kemunduran Empayar Rom.

TERJEMAHAN:

Anna Liesowska. (16 Ogos 2017). Discovered: The Great Wall of Siberia Dating to 1st millennium BC. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/discovered-great-wall-siberia-dating-1st-millennium-bc-008613


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.