Sejak saya masuk semester 2 UIA Kuantan, saya sebenarnya dah kurang menonton anime sebab semakin sibuk dan juga waktu tu JoJo’s Bizarre Adventure: Diamond is Unbreakable baru tamat musimnya. Ini menyebabkan semua anime dalam watchlist saya, terjeda daripada ditonton sebab masih tak boleh move on dengan JoJo. Gila kau, ni antara anime genre shonen paling bagus pernah saya tonton selain Boku no Hero Academia. Mungkin saya akan ceritakan tema falsafah JoJo di lain hari kerana buat masa sekarang, saya nak membedah anime Youjo Senki atau dalam judul Inggerisnya, Saga of Tanya the Evil.

Dipendekkan cerita, saya telah dicadangkan oleh beberapa sahabat untuk menonton dan menilai isi anime ini. Saya sebenarnya tak meletakkan harapan yang tinggi kerana studio yang mengadaptasi anime ini masih baru tapi disebabkan kakitangannya terdiri daripada bekas pekerja studio Madhouse (One Punch Man, Overlord, Parasyte, No Game No Life), saya tahu animasi anime ini adalah sama bagus seperti Madhouse. Maka, bermulalah sesi marathon saya dalam menonton Youjo Senki. Saya harus katakan, anime ini melebihi jangkaan saya. Watak dan perwatakannya unik. Protagonis bersifat antagonis dan antagonis macam protagonis. Sekiranya anda sukakan anime perang berfalsafah berat seperti Code Geass dan FMAB, maka Youjo Senki ini sesuai untuk anda.

Youjo Senki adalah anime tentang seorang ahli korporat yang telah mati dibunuh pekerjanya dan dihidupkan kembali sebagai kanak-kanak perempuan bernama Tanya, pada zaman Perang Dunia Pertama dengan tetapan fantasi sederhana, di dunia alternatif.

TUHAN DAN REALITI

Sebelum dia mati dilanggar keretapi, ahli korporat tersebut telah berhadapan dengan Tuhan yang dijelmakan dalam bentuk alam sekeliling. Apa yang saya maksudkan di sini ialah Tuhan tersebut bukan jenis antromorfik yang boleh menjelma sebagai manusia, tak, bukan begitu. Tuhan dalam cerita ini, atau disebut sebagai Entiti X oleh ahli korporat ini, ialah Tuhan yang bercirikan Pantheism, yakni Tuhan itu alam, alam itu Tuhan. Saya tak nak cerita tentang Wahdatul Wujud kerana ini akan menjadikan perbincangan di ruang komen menjadi terlampau berat.

Dalam falsafah Pantheism, Tuhan adalah segala-galanya, dan segala-galanya ialah Tuhan. Menurut salah seorang tokoh Pantheist terkenal, Baruch Spinoza, Tuhan ini ialah sejenis ‘bahan’. Melalui bahan ini, realiti dicipta dan ini menjadikan alam itu juga Tuhan kerana kedua-duanya berasal daripada benda yang sama. Sebagai pembeza pemahaman, konsep realiti Islam adalah menetapkan Tuhan itu realiti, tapi bukanlah Tuhan. Ini bermakna, realiti hanyalah sekadar projeksi Pengetahuan Mutlak Tuhan. Sebagai contoh (SEBAGAI CONTOH, BUKAN SECARA LITERAL) realiti ini seperti mimpi dan pemikiran bagi manusia. Oleh itu, Tuhan ialah realiti tapi realiti bukan Tuhan. Cukup setakat ini sahaja saya sentuh tentang konsep realiti dalam Islam.

Gambar 1: Konfrontasi di antara ahli korporat dan Entiti X dalam bentuk alam

Oleh kerana Tuhan itu ialah realiti dan realiti itu Tuhan (dalam Pantheism), maka Tuhan adalah lemah kerana kedudukan antara keduanya adalah sama taraf. Sekiranya kita perhatikan sifat Entiti X dalam anime ini, kita tahu bahawa Dia berkuasa, tapi terhad. Dalam perbahasaan antara mereka, Entiti X mengatakan menjadi kerja Tuhan itu memenatkan (I’m already at my limit by overseeing 7 billion people – Episode 2). Perbahasaan selanjutnya juga memberikan kita maklumat bahawa Entiti X ini barangkali Tuhan berkonsepkan ajaran Hindu-Buddha kerana konsep kelahiran semula diguna pakai oleh Entiti X bagi menghukum manusia berdasarkan karma mereka. Oleh disebabkan keengganan ahli korporat berkenaan dalam mengakui Ketuhanan Entiti X, dia telah dihukum supaya hidup semula sebagai kanak-kanak perempuan di dunia yang galak dengan peperangan di antara ‘bukan Empayar Jerman’, ‘bukan Empayar British’ dan ‘bukan Amerika Syarikat’.

EKSISTENSIALISME ATHEISTIK

Dalam dialognya dengan Entiti X, ahli korporat tersebut mengkritik kelemahan Entiti X. Sekiranya Tuhan itu adil, pasti Tuhan takkan benarkan dia mati dibunuh oleh bekas pekerjanya. Entiti X mengatakan ahli korporat berkenaan layak mati sebegitu kerana kezaliman dan sifat tak berperikemanusiaan dek dasar Darwinisme sosialnya. Sebagai balasan, ahli korporat itu bersuara, dia cuma mengikuti sistem kehidupan sahaja, maka dia tak bersalah. Oleh kerana bekas pekerjanya itu tak cekap, maka dia layak ditendang keluar meskipun keluarganya menghadapi masalah kewangan.

Pada mulanya Entiti X mahu menghukum ahli korporat itu supaya tak dilahirkan kembali namun melihatkan keangkuhan lelaki berkenaan, maka Entiti X menarik segala nikmat yang diberikan kepadanya dan dilahirkan kembali sebagai budak perempuan bernama Tanya Deguracheff (sebagai penghinaan terhadap status lelaki alfa) di dunia yang penuh sengsara. Entiti X mencabar lelaki berkenaan supaya hidup dan mati dengan cara aman. Sekiranya dia mati akibat dibunuh atau ditimpa malapetaka, maka Entiti X akan hapuskan kewujudan ahli korporat/Tanya daripada alam realiti. Bermula dari sini, saya akan merujuk watak utama kita sebagai Tanya.

Melalui dialog ini, kita dapat melihat falsafah eksistensialisme atheistik dalam rupa falsafah Satre dan Nietzsche. Eksistensialisme ialah fahaman berkenaan pemberian maksud terhadap kewujudan manusia. Dalam bahasa mudah, apakah erti kehidupan? Sudah tentu kalau ikut acuan agama, erti kehidupan ialah mengabdikan diri kepada Tuhan. Falsafah eksistensialisme pada awalnya juga merujuk pada hal ini (Asal falsafah ini ialah falsafah Kristianiti.) Namun, Eksistensialisme akhirnya berkembang menjadi falsafah atheisme dengan kemunculan tokoh eksistensial seperti F. Nietzsche dan Jean Paul Sartre.

Setiap pengikut Eksistensialisme tak semestinya seorang atheist, tapi setiap atheist semestinya seorang Eksistensialis. Hal ini kerana segala apa yang wujud dalam dunia ini adalah lebih mudah diterangkan sekiranya kita menganggap Tuhan tak wujud. Menurut Nietzsche, beliau mempersoalkan apakah yang akan terjadi sekiranya Tuhan mati? Apa yang akan jadi pada nilai moral kita? Bukankah nilai moral berasal daripada agama? Hal yang sama turut disoal oleh Sartre.

Menurut mereka, apa yang tertinggal hanyalah ruang kosong. Jadi, dari mana kita dapat nilai sekiranya tiada panduan? Jawapannya ialah cipta sendiri panduan tu. Dari sinilah datangnya frasa ‘the meaning of life is to give life its meaning’. Seluruh nilai dan kefahaman kita tentang alam itu adalah relatif dan subjektif. Nilai-nilai yang terkandung di dalam kitab agama hanyalah sekadar tulisan semata-mata. Sebagai contoh, penganut agama samawi mengatakan kanibalisme itu salah. Walau bagaimanapun, sesetengah kaum pagan menganggap kanibalisme itu normal. Jadi siapa yang betul dan siapa yang salah? Kedua-duanya mengikut panduan agama mereka. Dari sini, kita dapat lihat subjektiviti dan juga permasalahan nilai moral dalam agama. Oleh itu, seorang eksistensialis perlu membina semula nilai moral dari asas dengan acuan humanisme dan logik akal. Tanya sebagai contoh menolak sebarang indoktrinasi agama dalam dunia barunya. Jadi, dari mana dia mendapat nilai moralnya? Daripada diri sendiri. Oleh sebab itulah pengikut Eksistensialisme mengatakan masalah di dunia ini lebih mudah diterangkan dan diselesaikan kalau kita anggap Tuhan tak wujud.

Sekiranya kita analisa falsafah hidup Tanya, anda akan mendapati dia mempunyai nilai Moraliti Tuan. Dalam falsafah Niezsche, beliau mengguna pakai gelaran Moraliti Tuan dan Moraliti Hamba bagi membezakan dua jenis kelompok manusia. Sebelum itu, saya rasa saya patut terangkan erti moraliti menurut Nietzsche. Pada pandangan beliau, moraliti ialah nilai yang diperoleh daripada sekelompok manusia sebagai produk sejarah. Dalam pandangan yang lebih praktikal, moraliti ialah:

• Hasil daripada akibat perbuatan manusia
• Berfungsi sebagai pencantum kelompok manusia
• Boleh menjadi lapuk dan ketinggalan zaman.

Sekiranya nilai moraliti itu sudah lapuk dan ketinggalan zaman, maka kita perlu menukar dan menambah baik nilai tersebut. Sekiranya kita terus menerus mengikut nilai yang sudah lapuk, maka kita ialah manusia bermentaliti hamba. Nietzsche mengkritik orang Eropah pada zamannya kerana bermentaliti hamba. Menurut hematnya, orang Rom pada asalnya bermoraliti tuan. Mereka merupakan orang yang gagah dan hidup berlandaskan falsafah tersendiri. Di bawah mereka ialah golongan hamba yang lemah. Ajaran Kristian yang lemah lembut telah menarik ramai golongan hamba untuk menganut agama tersebut. Niezsche menuduh golongan hamba ini telah menggunakan ajaran Kristianiti sebagai alat untuk menundukkan tuan mereka melalui konsep baik dan buruk Kristianiti. Keperkasaan digantikan dengan kesantunan. Kebudayaan Rom ditukar dengan kebudayaan terbatas Kristianiti. Ini adalah ironik kerana Nietzsche menganggap Nabi Isa sebagai figura ubermensch, yakni manusia super bermoraliti tuan. Akibat kesan saduran budaya Kristianiti ke dalam tamadun Rom, nilai dan budaya mereka menjadi semakin lemah. Sekadar fakta tambahan, Nietzsche menganggap orang Islam (merujuk kepada Turki Uthmaniyah pada zaman tersebut) mempunyai moraliti tuan kerana nilai estetika dan budaya mereka yang tinggi.

Gambar 2: Tanya sewaktu ujian penilaian kuasa magik. Melihatkan bakat luar biasanya, dia telah diserap ke dalam sekolah latihan tentera Empayar.

Perkara ini kita dapat lihat pada personaliti Tanya. Dia merupakan seorang prodigi yang sejak lahir dan kebolehan magiknya menyebabkan dia dimasukkan ke sekolah tentera ‘bukan Empayar Jerman’ pada usia yang muda. Tak lama selepas itu, dia telah dihantar untuk belajar di universiti tentera dan berjaya menyiapkan tesisnya berkenaan logistik ketenteraan, di mana hasil kerjanya dipandang serius oleh pihak atasan di atas kebergunaannya. Dia melakukan semua hal ini pada usia 9 tahun.

Punca utama kenapa Entiti X menghukumnya sebegitu adalah untuk memaksa Tanya bertaubat melalui cara ditimpa musibah. Tanya yang tak mahu mengaku Ketuhanan Entiti X, dia mencipta kod survivalnya sendiri. Oleh itu, Tanya merupakan seorang yang sangat licik dalam memanipulasikan keadaan demi survivalnya. Sebagai contoh, dia telah memujuk supaya seniornya di universiti tentera supaya terus berkhidmat sebagai tentera berbanding sambung belajar. Menggunakan retorik keselamatan keluarga seniornya dan juga suara anak kecil yang mendayu, dia berjaya memujuk pelajar berkenaan, sekaligus memberi tempat kepada Tanya untuk menjadi pelajar elit kerana kekosongan posisi yang ditinggalkan seniornya. Hal ini akan memberikan Tanya peluang yang lebih cerah dalam menempah tempat kerja dalam jabatan tentera yang tak perlu terlibat dengan peperangan. Ingat, survivalnya ialah hal terpenting menurutnya.

Gambar 3: Sisi manipulatif Tanya dalam memujuk seniornya dengan sifat keanak-anakan

Gambar 4: Sisi sebenar Tanya

Ironinya, disebabkan Tanya merupakan tentera yang sangat berbakat, maka dia telah terpilih untuk terlibat secara langsung di medan perang. Inilah benda yang paling Tanya tak mahu terlibat kerana nyawanya akan menjadi lebih terancam. Tanya menjadi semakin berang apabila dia terpaksa menggunakan mantera yang berasaskan pujian terhadap Entiti X bagi mengelakkan batu magiknya yang tak stabil daripada meletup. Hal ini menyebabkan dia terpaksa bermula dari bawah dalam usahanya untuk memperoleh kerja yang tak terlibat dalam peperangan, yakni melalui kenaikan pangkat melalui ekspedisi ketenteraan.

Gambar 5: Kuasa magik Tanya yang sudah pun cukup kuat tanpa perlu menggunakan sebarang mantera pujian terhadap Entiti X.

Falsafah hidupnya telah diguna pakai dalam batallion miliknya apabila dia telah diberikan tugas untuk membentuk sekumpulan tentera elit magik sebagai unit udara. Tentera yang biasanya perlu dilatih selama 2 tahun, hanya mengambil masa 2 bulan sahaja di bawah kelolaan Mejar Tanya. Sebagaimana pengalamannya semasa menjadi bos korporat, dia mengguna pakai sistem yang sama bagi melatih tenteranya menjadi elit dengan cekap. Hasilnya, kohort tenteranya bernama Imperial Army 203rd Air Mage Battalion (V601) digeruni dan ditakuti musuh sepanjang konflik peperangan.

Kecekapan Tanya dalam memimpin peperangan juga menjadi konflik buat beberapa anak buahnya kerana Tanya lebih suka menggunakan akal rasional berbanding empati manusia. Sebagai contoh, dia menyuruh Leftenen Muda Vooren Glanz mengebom kota Arene yang dipenuhi tahanan perang dan orang awam. Mendengarkan penjelasan Tanya, bandar itu hancur dibomnya sekalipun dengan berat hati. Hal ini adalah berdasarkan hasil penggemblengan minda di antara pegawai strategi atasan berkenaan tesis Tanya dalam memanipulasi undang-undang peperangan. Menyerang orang awam itu merupakan jenayah peperangan, tapi kalau kita sendiri sudah isytihar dan menawarkan perlindungan kepada orang awam tapi ditolak, maka orang awam tersebut secara automatik dianggap musuh sekiranya mereka kalah perang. Oleh itu, secara teknikalnya mereka dibenarkan untuk dibunuh mengikut perundangan. Alasan lain bagi Tanya ialah Arene dipenuhi loyalis ‘bukan Republik Perancis’. Sekiranya kita biarkan orang awam semua hidup, maka mereka akan kembali memberontak. Dari sini, kita akan dapat bahawasanya Tanya merupakan ubermensch ‘Lawful Evil’, sama seperti watak Father dalam Fullmetal Alchemist: Brotherhood. Mereka membuang sifat kemanusiaan bagi mengukuhkan akal rasional mereka. Ini kontradik dengan matlamat asal ubermensch, yakni manusia bermoraliti tuan yang membantu manusia lain berevolusi bersama.

Gambar 6: Reaksi Leftenen Muda Vooren Glanz apabila disuruh untuk mengebom orang awam.

Gambar 7: Skuad altileri mengebom bandar Arene.

Walaupun kebanyakan pegawai strategi atasan ‘bukan Empayar Jerman’ juga bermoraliti tuan, hakikatnya mereka masih lagi tak lengkap. Setelah ‘bukan Republik Perancis’ berjaya dijajah sepenuhnya, Republik berkenaan meminta gencatan senjata diadakan. Bagi golongan tentera elit, ini bermakna mereka telah berjaya sepenuhnya. Apabila sebuah negara yang tidak lagi mempunyai wilayah mengadakan gencatan senjata, negara tersebut rugi kerana tak mempunyai apa-apa bahan dan tenaga kerja untuk dikumpul kembali bagi melawan. Kesilapan Empayar di sini ialah mereka lupa, kalau sesuatu negara itu mempunyai tanah jajahan yang besar, pasti negara yang terdekat akan rasa tak senang. Tanya yang berfikiran jauh memberi amaran kepada pegawai atasannya kerana takutkan Perang Dunia bakal berlaku. Dek kerana mabuk kemenangan, amaran Tanya dilayan mentah-mentah melainkan Leftenen Kolonel Erich. Namun, amaran tersebut sudah basi. Baki-baki loyalis Republik akhirnya memeterai perjanjian kuasa di antara ‘bukan Empayar British’ dan ‘bukan A.S’. Ini sekaligus mewujudkan blok Kuasa Bersekutu (Allied). Nak taknak, ‘bukan Empayar Jerman’ (ok, jenaka ‘bukan negara’ ni patut dah boleh dihentikan) terpaksa melawan kesemua kuasa dunia ini.

Perkara ini telah menyebabkan Tanya sentap. Selama ini dia mengggunakan segala kudratnya dalam menghadapi ‘existential dread’ yang diberi Entiti X. Dia akhirnya pasrah. Dia menerima hakikat bahawa manusia ini sememangnya makhluk yang tak rasional. Ini menambahkan lagi kebenciannya terhadap Entiti X yang dirasakan terlalu masuk campur dalam hal perseteruan mereka. Semasa batallion miliknya dalam persediaan untuk menyerang Afrika Utara, dia telah berpidato dengan lantang;

Gambar 8: Pidato Tanya sebelum memulakan ekspedisi di Afrika Utara.

“Sekiranya ada Tuhan yang memerintah dunia ini, Dia ialah Tuhan yang tegas, benar dan baik. Entiti yang sangat sempurna. Pada masa yang sama, Dia memaksa kita dengan takdir yang kejam kerana itulah hukum alam! Oh Tuhan…akanku cincang Kau dan biar diratah babi! Medan tempur ini bukanlah tempat untuk si jahanam bernama Tuhan! Aku rasa, sudah tiba masanya kita ambil alih tugas Tuhan. Ya, kita akan ambil tugas-Nya. Mari kita terajang Tuhan keluar dari tempat-Nya! Baiklah soldadu sekalian..Masa untuk berperang!”

Dari sini, kita dapat melihat Tanya bukan lagi merupakan seorang atheist, bahkan anti-theist. Seorang atheist tak mempercayai kewujudan Tuhan, tapi tak bermakna dia membenci Tuhan. Sartre dan Nietzsche sendiri menganggap agama tetap penting. Sekiranya seseorang itu tak mempercayai Tuhan dan juga membenci-Nya, maka dia menjadi anti-theist. Terminologi ini penting bagi saya untuk dijelaskan kerana tak ramai yang reti beza antara dua perkataan tersebut. Dari sifat anti-theism inilah radikalisme anti agama akan dilahirkan. 

Bagi kes Tanya, hal ini boleh difahami kerana sifat Entiti X yang tak rasional kerana sanggup mencetuskan Perang Dunia semata-mata untuk menyuruh Tanya bertaubat. Tuhan jenis apakah yang sanggup mengorbankan ciptaan-ciptaan-Nya semata-mata untuk taubat seorang atheist? Haa, ni dah masuk falsafah Teodisi (Permasalahan Kejahatan). Saya takkan sentuh falsafah ini buat masa sekarang. Oleh sebab sudah lebih 3 artikel falsafah berat saya tulis berkenaan Falsafah Tuhan, maka eloklah saya sentuh falsafah Teodisi untuk artikel seterusnya, yakni Berserk.

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.

Leave A Reply