Teknologi Mengubah Suai Genetik Bayi Anda

475

Dalam bidang sukan perlumbaan, sesebuah kenderaan itu, sama ada motosikal atau kereta yang ‘baru keluar kilang’, pasti akan diubah suai mengikut spesifikasi yang diingini.

Dan pengubahsuaian tersebut dilakukan demi mencapai matlamat sama ada dari segi kelajuan maksimum, kemudahan mengawal jentera, boleh beroperasi dalam masa yang lama dan juga dari segi penjimatan bahan api.

Namun kini bidang sains telah melangkau satu peringkat baharu, lebih-lebih lagi dalam bidang genetik. Hal ini demikian kerana telah muncul satu kaedah atau terma lebih sesuai iaitu prosedur, yang mana embrio bayi itu boleh diubah suai genetiknya.

Dalam erti kata lain, prosedur tersebut berpotensi untuk menjadikan bayi yang genetiknya diubah suai itu mempunyai ciri-ciri ‘idaman’ ibu bapa seperti berikut:

– Mempunyai IQ yang tinggi.

– Mempunyai kekuatan fizikal.

– Wajah yang tampan atau cantik.

– Kebal dari HIV.

– Mencegah penyakit genetik seperti kanser.

– Dan pelbagai lagi ‘kebolehan’ yang lain.

Semua ini bermula apabila seorang saintis dari China mengejutkan dunia perubatan dan sains secara amnya apabila beliau mengumumkan bahawa ‘projek’ bayi yang diubah genetiknya itu berjaya dilaksanakan.

He Jiankui, penyelidik yang terlibat dalam pengubahsuaian genetik bayi kembar Lulu & Nana

Saintis tersebut ialah He Jiankui yang bekerja dan menjalankan eksperimen tersebut di Southern University of Science and Technology yang terletak di Shenzhen, China.

Beliau yang dalam temu bual bersama pihak agensi berita Associated Press memberitahu bahawa sepasang bayi kembar yang telah diubah suai genetiknya telah lahir dalam bulan November 2018 yang lalu.

Selain itu, beliau juga mengakui bahawa beliau terlibat secara langsung dalam ‘projek’ tersebut dengan mengubah suai kedua-dua genetik bayi berkenaan menggunakan teknologi CRISPR.

Sedikit latar belakang mengenai He Jiankui. Beliau yang dilahirkan di daerah Hunan menerima pendidikan awal di University of Science and Technology China yang berakhir pada tahun 2006. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Rice University. Seterusnya, beliau merupakan penyelidik pasca doktoral di University Stanford.

Pada tahun 2012, He Jiankui telah direkrut oleh kerajaan China untuk menjadi sebahagian dalam “Thousand Talents Plan”. Matlamat pelan tersebut adalah untuk mengumpulkan pakar dalam bidang sains dan teknologi di negara tembok besar itu.

Pendedahan Awal Teknologi CRISPR

Pengubahsuaian genetik ini sebenarnya sudah lama didedahkan ‘ideologinya’ kepada manusia. Bagi anda yang pernah menonton filem Jurassic Park, pasti anda akan mengingati babak dalam filem tersebut, iaitu sebahagian turutan gen dinosaur itu telah diubah suai oleh saintis serta digantikan dengan DNA katak, justeru membolehkan saintis ‘mencipta’ kembali dinosaur.

Seterusnya sebelum teknologi CRISPR, para saintis telah pun menggunakan enzim yang dikenali sebagai Zinc Finger Nucleases (ZFN). Seperti CRISPR juga, ia digunakan untuk membuang gen yang rosak atau menggantikan gen rosak dengan gen yang sihat. Walau bagaimanapun, kos penggunaan kaedah enzim ZFN ini sangat mahal dan prosedurnya sukar untuk dilaksanakan serta hasilnya juga boleh dikatakan tidak optimal.

Kaedah CRISPR semasa awal penemuannya pertama kali disebut dalam sebuah artikel jurnal perubatan iaitu pada tahun 1987. Dalam kajian tersebut, saintis dari Jepun telah membuat penemuan ‘ulangan DNA’ yang menjadi asas kepada teknologi CRISPR dalam sampel bakteria yang dikenali sebagai Escherichia coli @ E.coli

Bagi manusia pula, ‘kejayaan’ He Jiankui dalam mengubah suai genetik bayi kembar serta kelahiran kedua-dua bayi tersebut merupakan ‘peristiwa’ kelahiran CRISPR yang pertama di dunia!

Namun, penggunaan teknologi CRISPR terhadap embrio manusia ini sebenarnya pertama kali dibuat oleh penyelidik dari Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, embrio yang diuji dan diubah suai genetiknya itu tidak melangkaui ke ‘fasa seterusnya’ iaitu dengan memasukkan embrio tersebut ke dalam rahim lalu menjadikannya bayi.

Sebab apa? Hal ini demikian kerana Kongres Amerika Syarikat sendiri menghalang sebarang cubaan ‘penciptaan’ bayi yang embrionya telah diubah suai secara genetik. Perkara ini adalah berdasarkan rang undang-undang yang diusulkan oleh Department of Health and Human Services, mengharamkan ujian klinikal tersebut daripada berlaku.

Apa Itu Teknologi CRISPR?

CRISPR ialah singkatan untuk “Clustered Regularly Interspaced Short Palindromic Repeats”. Secara asasnya, ia membolehkan para pengkaji dan saintis dengan mudah mengubah suai (“edit”) turutan DNA, justeru mengubah fungsi genetik itu sendiri.

CRISPR (*sebutan crisper) adalah singkatan kepada terma asalnya iaitu “CRISPR-Cas9”. CRISPR merujuk kepada bahagian istimewa DNA. Manakala protein “Cas9” itu berfungsi sebagai ‘gunting molekular’ yang berupaya membuang atau mengubah suai ‘bebenang’ DNA yang ‘tidak diingini’ atau rosak.

Teknologi CRISPR ini diadaptasi daripada kebolehan sistem pertahanan semula jadi bakteria. Berdasarkan hasil kajian saintis pada tahun 1987 seperti yang dinyatakan di atas, saintis mendapati bahawa sampel bakteria E.coli yang sedang dikaji itu menyimpan DNA virus.

Jadi saintis pun peliklah, kenapa bakteria simpan DNA virus? Masa terus berlalu, iaitu pada tahun 2005, saintis bernama Eugene Koonin membuat hipotesis seperti berikut:

1. Apabila bakteria terselamat daripada serangan virus, ia akan ‘memotong’ serta menyimpan sebahagian kecil DNA virus tersebut di dalam genome nya.

2. Hal ini dilakukan sebegitu supaya bakteria segera mempersiapkan langkah-langkah untuk mempertahankan diri serta ia akan lebih mudah untuk mengenali virus tadi apabila diserang kembali pada masa akan datang.

*Seperti pihak polis yang menyimpan data penjenayah dengan menggunakan cap jari.

Hipotesis Koonin terbukti benar. Hal ini demikian kerana apabila bakteria tersebut didedahkan semula kepada serangan virus yang sama, ia serta-merta mengenali virus tadi dengan ‘cap jari’ yakni DNA virus yang disimpan. Justeru menghasilkan ‘pertahanan’ spesifik.

Rajah Mekanisme Crispr-Cas9 & Fungsi lain

‘Pertahanan’ itu ialah komponen terbitan asid ribonukleik-CRISPR(RNA) dan pelbagai protein Cas termasuk Cas9. Ia dilakukan dengan ‘menggunting’ DNA daripada virus yang cuba menyerang, menyerap DNA virus tersebut sebelum memusnahkan virus secara total.

Walaupun penemuan kepada mekanisma pertahanan bakteria ini sudah cukup menarik dengan sendirinya, namun apa yang dilakukan kemudian oleh seorang saintis adalah lebih menakjubkan.

Jennifer Doudna

Pelopor kepada teknologi CRISPR-Cas9 untuk mengubah suai genetik ini dibuat oleh Jennifer Doudna pada tahun 2012. Beliau merupakan seorang saintis dari Universiti of California, Berkeley yang terletak di Amerika Syarikat.

Beliau mendapati bahawa CRISPR berpotensi besar dalam pelbagai kegunaan perubatan seperti memperbaiki genetik yang rosak penyebab penyakit, merawat atau mencegah penyakit berjangkit dan juga berpotensi membantu dalam industri agrikultur dan pertanian.

Kesimpulannya, teknologi CRISPR boleh diibaratkan seperti fungsi “Cut, Copy, Paste” yang ada dalam Microsoft Word.

Rajah Mekanisme Crispr-Cas9 & Fungsi lain

Apakah Faedah lain Teknologi CRISPR?

• Menghasilkan Organ Transplan

Susah sebenarnya untuk mendapatkan penderma organ yang sepadan. Oleh itu, terdapat kajian di mana buah pinggang khinzir itu boleh digunakan sebagai ganti buah pinggang manusia yang rosak.

Namun risikonya juga tinggi seperti pendedahan terhadap virus iaitu Porcine Endogenous Retrovirus (PERV). Dengan menggunakan teknologi CRISPR, saintis dapat menghasilkan khinzir yang bebas virus.

• Menggantikan Suntikan Insulin Pesakit Diabetes

Saintis berupaya menghasilkan cantuman kulit yang telah diubah suai gennya supaya berupaya untuk menghasilkan hormon GLP-1 (Glucagon Like Peptide-1) yang mencetus pelepasan insulin sekiranya terdapat kandungan tinggi glukosa dalam darah.

• Mencegah Penyakit Jantung

Dengan teknologi CRISPR, saintis berjaya ‘memadamkan’ gen yang menjadi penyebab kepada penyakit jantung dalam eksperimen yang dilakukan kepada embrio manusia. Embrio tersebut walau bagaimanapun tidak ‘dilepaskan’ ke bahagian seterusnya iaitu menjadi bayi.

• Menghapuskan Bakteria Yang Mempunyai Ketahanan Antibiotik

Tahukah anda bahawa ia diramalkan menjelang tahun 2050, lebih ramai manusia akan mati disebabkan oleh jangkitan bakteria yang mempunyai ketahanan terhadap antibiotik daripada penyakit lain?

Oleh itu, saintis menggunakan ‘musuh ketat’ bakteria yakni virus dan mengubah suai genetik virus itu supaya lebih mudah membunuh bakteria serta menghentikan kebergantungan manusia terhadap antibiotik.

Berbalik kepada bayi kembar ‘ciptaan’ He Jiankui, beliau dilaporkan berkata bahawa pengubahsuaian genetik yang dilakukan adalah bukan untuk menyembuhkan sebarang penyakit atau cubaan beliau untuk menghasilkan ‘bayi sempurna’ seperti memiliki IQ yang tinggi dan sebagainya.

Tetapi eksperimen itu menurut beliau lagi sebenarnya adalah untuk menjadikan kedua-dua bayi tersebut kebal atau imun daripada jangkitan HIV (Human Immunodeficiency Virus) penyebab penyakit AIDS.

Illustrasi HIV menjangkiti sel.
Kiri- disebabkan ada protein CCR5, terjadinya infeksi.
Kanan- disebabkan tiada protein CCR5, TIADA infeksi HIV berlaku.

Sebelum saya terangkan lebih mendalam, anda perlu terlebih dahulu tahu tentang bagaimana sesebuah virus menyerang sel.

– Pertama, virus itu akan memasukkan DNA atau informasinya ke dalam sel.

– Seterusnya, DNA virus itu akan ‘memberi arahan’ kepada sel yang telah dijangkiti tersebut untuk menghasilkan komponen virus baharu.

– Kesudahannya menyaksikan lebih banyak virus terhasil dan sel yang dijangkiti itu akhirnya mati.

– Virus yang baharu terhasil itu pula seterusnya akan menjangkiti sel baharu.

Proses He Jiankui Melakukan Eksperimen

Kesemua lelaki yang dipilih sebagai peserta dalam eksperimen ini merupakan pesakit HIV, manakala peserta wanita pula merupakan individu bebas HIV. Matlamatnya adalah bukan untuk meminimumkan atau mengurangkan kebarangkalian (%) transmisi jangkitan HIV, tetapi mencegah transmisi kepada zuriat sepenuhnya.

Selain itu, turut dinyatakan bahawa bagi pihak lelaki (bapa) pula, infeksi jangkitan HIV mereka dalam keadaan terkawal dengan ubatan “standard” HIV.

He Jiankui merekrut para peserta dan pasangan bagi menjalankan eksperimen ini daripada sebuah kumpulan sokongan AIDS yang dikenali sebagai “Baihualin”.

Ilustrasi In Vitro Fertilisation (IVF). Proses persenyawaan sel ovum dan sperma di dalam tabung uji.

Pengubahsuaian gen tersebut berlaku semasa proses IVF (In Vitro Fertilisation).

1. Pertama sekali, sperma tulen didapatkan dengan proses ‘basuhan’ air mani. Air mani merupakan salah satu daripada cecair badan, di mana HIV itu boleh berada.

2. Hanya 1 sel sperma ‘diperkenalkan’ kepada 1 ovum wanita untuk mempersenyawakannya justeru menghasilkan embrio.

3. Enzim atau protein CRISPR-Cas9 diperkenalkan kepada embrio untuk mengubah suai genetiknya.

4. Apabila embrio berumur 3-5 hari, beberapa sel diambil kemudian diperiksa untuk melihat jika ada sebarang perubahan kepada gen telah berlaku.

5. Embrio tersebut kemudian diimplankan ke dalam rahim untuk fasa seterusnya iaitu proses kehamilan.

Gen apa yang telah diubah suai He Jiankui?

He Jiankui menutup @ membuang gen yang bertanggungjawab menghasilkan protein CCR5. CCR5 adalah singkatan kepada protein Cysteine-Cysteine Chemokine Receptor Type 5. Protein CCR5 ini hadir di permukaan sel darah putih iaitu di permukaan sel limfosit CD4T.

Jadi apa maksudnya di sini?

Penutupan gen tersebut adalah kerana protein CCR5 diketahui bertindak sebagai ‘pintu masuk’ untuk virus HIV itu memasuki dan menjangkiti sel CD4T. Jadi dengan menutup gen yang menjadikan ia tidak berupaya menghasilkan protein CCR5 (tiada pintu masuk) memberi imuniti @ kekebalan terhadap HIV kepada manusia.

Ketiadaan protein CCR5 juga turut diketahui berlaku secara semula jadi disebabkan oleh terdapat mutasi genetik pada sesetengah individu yang dikenali sebagai “Delta 32-Mutation”. Seterusnya, selain perlindungan kepada HIV, penutupan gen yang menghasilkan protein CCR5 juga mempunyai potensi memberi perlindungan kepada penyakit taun yang disebabkan oleh bakteria Vibrio cholera dan virus penyakit smallpox.

*HIV menjangkiti sel darah putih CD4T. Sebab itulah ia dinamakan “immunodeficiency”. Jangkitan virus akan mengakibatkan sistem imun manusia lemah dan mudah terdedah pada jangkitan lain.

Dalam temu ramah bersama Associated Press itu juga, He Jiankui turut menyatakan bahawa beliau telah ‘menutup’ gen yang menghasilkan protein CCR5 kepada embrio yang didapatkan daripada 7 pasangan dan 1 daripada 7 embrio tersebut berjaya menjadi bayi yakni kembar itu.

Kebimbangan terhadap Eksperimen He Jiankui

Walaupun ‘di atas kertas’ mempunyai imuniti terhadap HIV ini boleh dikatakan bagus dan sesuatu yang positif, namun begitu ramai pakar perubatan mengkritik serta memberi amaran terhadap perubahan yang dilakukan He Jiankui, serta fakta bahawa ia tidak terlebih dahulu didedahkan dalam “peer reviewed journal” dan terus kepada media.

Hannah Brown, seorang pakar biologi reproduktif dari South Australian Health and Medical Research Institute yang tidak terlibat dalam eksperimen He Jiankui memberitahu bahawa pengubahsuaian yang dilakukan beliau merupakan sesuatu yang tidak perlu, berikutan sudah terdapat langkah-langkah pencegahan jangkitan HIV yang berkesan.

Brown turut menyatakan tentang kebimbangan beliau bahawa penyelidikan tanpa pengawasan dan “secara koboi” ini merosakkan hubungan antara sains dengan masyarakat. Selain teknologi CRISPR ini masih pada tahap eksperimental, lebih-lebih lagi eksperimen yang menggunakan embrio manusia dan ia tidak diketahui sepenuhnya kemungkinan untuk terjadinya kesan sampingan.

Berkenaan kesan sampingan itu pula, terdapat dua kajian yang dijalankan berasingan oleh Novartis dan juga Institut Karolinska, memfokuskan gen p53 yang diketahui berperanan besar menghalang terjadinya tumor atau ketumbuhan dengan bertindak sebagai ‘pembunuh sel’ yang rosak DNAnya.

Berdasarkan kajian sebelum ini, sel tumor itu tidak mampu hidup jika gen p53 ini berfungsi dengan baik. Pakar juga turut menamakan gen p53 ini sebagai ‘penjaga genome’.

Malangnya, gen p53 ini turut bertindak sebagai penjaga kepada sebarang pengubahsuaian genetik yang dibuat oleh CRISPR-Cas9. Hal ini demikian kerana apabila saintis mencuba untuk mengubah suai genetik menggunakan CRISPR-Cas9, gen p53 ini dengan segera bertindak menghapuskan sel yang telah diubah genetiknya itu.

Kalau gen p53 berjaya menghalang, jadi bagaimana pula jika pengubahsuaian genetik dengan CRISPR-Cas9 itu berjaya?

Ia akan menyebabkan gen p53 tidak berfungsi dengan baik. Hasilnya boleh mengakibatkannya berupaya menjadi punca kepada kanser seperti kanser ovari, kanser kolon, kanser esofagus dan kanser rektum.

“Dengan mengambil sel yang telah diperbaiki genetiknya menggunakan teknologi CRISPR, secara tidak sengaja mungkin kita akan terambil sel yang tidak memiliki gen p53 yang berfungsi.” Kata salah seorang daripada saintis dari Institut Karolinska iaitu Emma Haapaniemi.

Tambah beliau lagi, “Jika terdapat sel tanpa gen p53 yang berfungsi [secara tidak sengaja] diberikan kepada pesakit yang mewarisi penyakit keturunan bagi menjalani rawatan terapi gen, sel tersebut boleh menyebabkan terjadinya kanser, justeru timbulnya kebimbangan terhadap keselamatan dalam terapi gen berasaskan CRISPR.”

Namun begitu, menurut Bernhard Schmierer, seorang ahli biokimia dalam kajian yang dijalankan Institut Karolinska, “Orang ramai tidak perlu risau akan keberkesanan teknologi CRISPR kerana eksperimen gen p53 ini turut diakui pada tahap awal dan keputusan yang diperoleh juga boleh dikatakan pada permulaannya sahaja.”

Selain itu, kedua-dua pihak dalam kajian ini juga turut mengakui bahawa kajian mereka tidak membuktikan bahawa CRISPR-Cas9 merupakan sesuatu yang buruk dan berbahaya, cuma penggunaan teknologi CRISPR dalam kajian perlu diteruskan dengan lebih berhati-hati.

Tambah beliau lagi, “Ia juga masih tidak dapat dipastikan lagi sama ada daripada hasil kajian yang dijalankan diterjemahkan kepada sel yang digunakan dalam kajian-kajian klinikal lain.

(Bermaksud, banyak pemboleh ubah. Sebab tak semestinya semua hasil kajian eksperimen ini sama. Lain sel, lain kesannya)

Dari kajian ini juga mendapati bahawa, walaupun Cas9 ini enzim atau protein yang popular digunakan dalam teknologi CRISPR, masih terdapat satu lagi enzim yang boleh digunakan iaitu enzim Cpf1. Dan penggunaan Cpf1 ini ke atas sel manusia tidak diketahui lagi kesan nya, sama ada ia akan mengganggu gen p53 seperti enzim Cas9.

Kecaman Dari Komuniti Saintifik

Selain daripada kritikan, eksperimen He Jiankui turut berdepan dengan pelbagai kecaman komuniti saintis. Ratusan saintis China kemudian bertindak menandatangani petisyen dan melabel eksperimen He Jiankui itu sebagai ‘gila’ serta menggesa pihak kerajaan China supaya mengharamkan eksperimen mengimplan embrio yang telah diubahsuai genetiknya ke dalam rahim seterusnya menjadikan ia bayi.

Akibat dari tekanan daripada ramai saintis lain, kerajaan China mengambil inisiatif untuk menjalankan penyiasatan terhadap kajian He Jiankui secara menyeluruh. Beberapa institusi dan hospital yang ‘dikatakan’ terlibat dalam eksperimen itu turut berdepan penyiasatan kerana membenarkan eksperimen itu dijalankan di fasiliti mereka.

Institusi dimana He Jiankui bekerja dan menjalankan eksperimen itu juga iaitu di Southern University of Science and Technology bertindak mengeluarkan kenyataan pada 26 November 2018, bahawa eksperimen He Jiankui itu dijalankan ‘diluar pengetahuan universiti’ serta menyalahi etika dan norma akademik. Walau bagaimanapun, di dalam borang “consent” pesakit yang diterbitkan dalam talian, menunjukkan bahawa universiti tersebut merupakan penaja kepada eksperimen ini.

Manakala Shenzhen Harmonicare Women’s and Children Hospital tempat dimana He Jiankui didakwa memasukkan embrio tersebut kepada pesakit wanita juga menafikan bahawa prosedur itu berlaku di dalam hospital mereka. Ini menyebabkan pihak hospital mengatakan bahawa pihak mereka akan membuat laporan polis terhadap dakwaan He Jiankui.

Seterusnya, walaupun di sebalik kebimbangan dan kecaman pakar perubatan lain mengenai eksperimen ini, saintis dari Harvard Medical School iaitu George Q. Daley memberi amaran jika berlaku penutupan kajian teknologi CRISPR yang berpotensi tinggi ini.

Beliau dilaporkan berkata: “Walaupun kajian He Jiankui ini tersilap langkah, teknologi pengubahsuaian gen bagaimanapun telah maju dalam masa 3 tahun ini.” Beliau kemudian mengatakan, sampai bila komuniti saintifik ingin ‘menjerumuskan kepala masing-masing di dalam pasir’ dengan mengabaikan potensi serta faedah teknologi [CRISPR] ini yang berupaya melenyapkan penyakit.

Kesimpulannya

Pada masa ini kita semua harus sedar bahawa teknologi itu akan berkembang dengan lebih laju dan laju lagi sama ada manusia itu sendiri bersedia ataupun tidak.

Jika pada sebelum ini, eksperimen menggunakan teknologi CRISPR hanya dijalankan pada tahap embrio sahaja dan tidak melepasi ke tahap dimana terdapat bayi berjaya diubahsuai genetiknya dilahirkan ke dunia, kini dengan dakwaan wujud nya bayi kembar ‘ciptaan’ He Jiankui, seolah telah meletakkan penanda aras baru di dalam bidang kajian teknologi CRISPR.

Justeru ia menimbulkan persoalan kepada kita semua sama ada..

1. Adakah penciptaan bayi yang telah diubahsuai genetiknya bakal menjadi prosedur arus perdana @ mainstream?

2. Atau prosedur teknologi CRISPR ini akan terus dihalang dari terus berkembang?

RUJUKAN:

Scientist Claims The First CRISPR Gene-Edited Babies Have Already Been Born. Retrieved from: https://www.sciencealert.com/one-scientist-is-claiming-the-first-babies-from-crispr-edited-embryos-have-already-been-born

Chinese researcher claims first gene-edited babies. Retrieved from: https://www.apnews.com/4997bb7aa36c45449b488e19ac83e86d

Chinese genomics scientist defends his gene-editing research in first public appearance. Retrieved from: https://www.washingtonpost.com/world/chinese-genomics-scientist-defends-his-gene-editing-research-in-first-public-appearance/2018/11/28/b99b5eba-f2e1-11e8-9240-e8028a62c722_story.html?utm_term=.f748a9b07af5

A simple guide to CRISPR, one of the biggest science stories of the decade. Retrieved from: https://www.vox.com/2018/7/23/17594864/crispr-cas9-gene-editing

There Could Be a Dangerous Problem With Using CRISPR on Humans, New Research Shows. Retrieved from: https://www.sciencealert.com/new-studies-show-there-could-be-a-deadly-problem-with-using-crispr-on-humans

Statement on the research on genetic editing of human embryos by Associate Professor He Jiankui. Retrieved from: http://www.sustc.edu.cn/news_events_/5524

We Have an Official Update From The University Behind The CRISPR Baby Scientist. Retrieved from: https://www.sciencealert.com/the-southern-university-of-science-and-technology-has-distanced-itself-from-the-crispr-twins-scientist

CCR5: From Natural Resistance to a New Anti-HIV Strategy. Retrieved from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3185609/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.