Teknologi Memendekkan Masa

1,037

Adakah anda merasakan seolah-olah masa berlalu dengan cepat? Ramai yang mengalami situasi ini terutamanya ketika sedang melayari internet, bermain permainan video ataupun menonton video di Youtube. Kita berasakan seolah-olah masa berlalu dengan sangat pantas. S

elain itu, ketika kita baru sahaja ingin menikmati cuti hujung minggu, tiba-tiba kita sudah perlu untuk masuk kerja. Kita berasakan seolah-olah banyak lagi perkara yang kita tidak selesaikan. Sebenarnya perkara ini telah lama disabdakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. sejak 1400 tahun dahulu.

Semasa saya mengikuti satu kuliah daripada guru yang saya muliakan Al Fadhil Ustaz Fawwaz Md Jan, beliau telah mensyarahkan satu hadis akhir zaman yang agak mendalam bagi saya iaitu berkenaan masa.

Dalam satu hadis akhir zaman yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

Tidak tiba hari kiamat sehingga masa berdekatan. Setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu seperti sehari, sehari seperti satu jam, satu jam seperti percikan api. (Riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda yang bermaksud: “Waktu akan semakin singkat, harta melimpah ruah, fitnah akan menyebar dan banyak terjadi pembunuhan. Dapat kita lihat disini bahawa tanda dekatnya kiamat adalah dengan singkatnya waktu dan perkara ini kita dapat rasakan pada zaman sekarang.

Ramai ulama’ seperti Imam Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari telah membahaskan berkenaan hadis ini bahawa yang disebut sebagai singkatnya waktu bukanlah waktu iu secara zahir menjadi pendek ataupun bumi berputar semakin laju tapi maksud sebenar hadis ini adalah hilangnya keberkatan dan ini merupakan tanda hampirnya kiamat. Al Fadhil Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam juga turut mensyarahkan hadis ini di dalam kitabnya 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman dengan syarahan yang sama.

Namun begitu, guru yang saya muliakan al Fadhil Ustaz Fawwaz Md Jan, telah mensyarahkan berkenaan hadis ini dengan sedikit berbeza berdasarkan beberapa tafsiran ulama yang membawa maksud, berlakunya kepesatan kemajuan teknologi telah menyebabkan masa dirasakan pendek. Berdasarkan hadis tersebut sebenarnya masa bukannya berkurang. Hakikatnya masa tetap 24 jam. Yang dimaksudkan dengan masa dirasakan pendek adalah berlaku kemajuan teknologi sehingga masa dirasakan bagaikan air yang mengalir.

Sebenarnya perkara ini telah dibuktikan berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh ahli psikologis yang menunjukkan bahawa penggunaan teknologi yang berterusan telah menyebabkan otak kita lebih efisien dalam memproses maklumat menyebabkan kita terpedaya dalam memikirkan masa berlalu dengan pantas. Ini secara tidak langsung menyebabkan persepsi masa kita turut berubah sehingga menganggap bahawa masa sedang berjalan dengan lebih pantas berbanding kelajuannya yang sebenar.

Menurut Aoife McLoughlin, seorang ahli psikologi dari kampus Singapura Universiti James Cook, menyatakan beliau telah menemui beberapa buah petunjuk bahawa berinteraksi dengan teknologi dan masyarakat yang berpusatkan teknologi telah meningkatkan sejenis perentak dalam diri kita. Beliau berkata walaupun hal ini mungkin dapat membantu kita supaya bekerja dengan lebih cepat, ia juga menyebabkan kita berasa tertekan akibat (lajunya) masa.

Kajian beliau adalah tertumpu pada kelompok-kelompok manusia yang sentiasa berhubung dengan teknologi dan kelompok-kelompok manusia yang jarang menggunakannya lalu membandingkan bagaimana persepsi setiap individu dari kedua-dua buah kelompok itu berkenaan peredaran masa. McLoughlin telah menemukan bukti bahawa persepsi kita terhadap (pergerakan) masa kini semakin cepat dengan adanya telefon pintar. Beliau mendapati bahawa orang-orang yang sentiasa berada di atas talian atau leka dengan komputer atau telefon pintar, mereka ini menganggap jumlah masa yang telah berlalu jauh lebih panjang berbanding individu yang jarang menggunakan teknologi.

Kelompok yang leka dengan teknologi semasa duduk di dalam sebuah bilik akan menganggap bahawa satu jam telah berlalu walaupun pada hakikatnya baru hanya 50 minit. Perbezaan persepsi itu boleh membuatkan mereka berasa tertekan kerana mereka lebih cenderung merasakan bahawa masa berlalu dengan begitu pantas, lebih pantas berbanding rakan-rakan mereka yang tidak menggunakan teknologi.

Dan hal ini juga tidak hanya berlaku pada individu yang sering menggunakan teknologi. Perkara-perakara yang berkaitan dengan teknologi juga akan membuatkan kita berasa yang sama. McLoughlin mendapati bahawa orang yang membaca iklan tentang keluaran iPad terkini turut merasakan bahawa masa berlalu lebih cepat jika dibandingkan dengan individu yang membaca petikan (iklan) daripada (atau berbentuk) yang bukan teknologi.

“Keadannya hampir seakan-akan kita cuba meniru teknologi dan cuba menjadi lebih cepat dan lebih cekap,” kata McLoughlin kepada ScienceAlert. “Ia seolah-olah ada sesuatu tentang teknologi itu sendiri yang menyebabkan kita meningkatkan deria perentak (pacemaker) dalam diri kita, deria yang mengukur kadar peredaran masa.”

Penemuan ini menyokong nasihat-nasihat lazim di televisyen dan juga radio yang mencadangkan supaya kita semua mengambil sedikit masa untuk merehatkan diri dari (penggunaan) media sosial dan internet dalam setiap minggu untuk melambatkan deria perentak tersebut.

McLoughlin juga sedang mengkaji sama ada fenomena ini mempunyai sebarang kesan positif atau negatif jangka panjang terhadap kehidupan kita. Kajian beliau yang lain telah membuktikan bahawa penggunaan teknologi dapat membantu kita memproses maklumat dengan lebih cekap, dan sebenarnya menjadi lebih cepat dalam melaksanakan tugas sekaligus hal ini dapat membantu kita menjimatkan waktu dalam jangka panjang.

“Pada sisi positif, kadar kelajuan pemprosesan yang lebih cepat mungkin merupakan sebuah kelebihan dalam banyak keadaan,” kata McLoughlin. Tetapi, beliau turut melakukan kajian tentang kesan jangka panjang bagi kadar kelajuan tersebut.

“Saya rasa ia akan membawa kepada peningkatan ketertekanan (stress) yang berfaktorkan masa, yang mana (stress ini) dikaitkan dengan penyakit jantung,” katanya lagi. “Tekanan-berfaktor-masa yang tinggi juga berhubung rapat dengan kemurungan bagi kaum lelaki dan perempuan di samping turut berkait rapat dalam meningkatkan tahap kemurungan kepada wanita yang bekerja di luar rumah.”

Kalau kita lihat dari sudut pandang Islam, sebenarnya singkatnya masa itu disebabkan keberkatan masa itu telah ditarik sedikit demi sedikit daripada kita. Apakah yang dimaksudkan dengan berkat? Berkat ini bahasa mudahnya bermaksud bertambah dan berkembang. Istilah ini adalah untuk menunjukkan kebaikan yang banyak sebagaimana kita dapat lihat pada kehidupan para salafus soleh terdahulu, bagaimana ibadah dan amalan mereka. Sebagai contoh kita ambil Imam Nawawi rhm.

Imam Nawawi merupakan seorang ulama’ yang terkenal dengan keilmuannya yang tinggi. Namun begitu, beliau dikurniakan umur yang pendek tetapi penuh berkah. Beliau meninggal semasa berumur tidak sempat mencecah 45 tahun, namun jumlah karyanya jika diikutkan melebihi hayat hidupnya iaitu sekitar 40 kitab. Begitu juga dengan Imam al-Ghazali yang meninggal ketika berumur 55 tahun. Perlu difahami bahawa kitab-kitab karangan mereka ada yang setebal beratus halaman dan memakan sehingga berjilid-jilid.

Imam kita dalam akidah ahlus sunnah wal jamaah Imam Abu Hasan al Asya’ari juga pernah menulis tafsir sebanyak 600 jilid yang kini disimpan di perpustakaan an Nizamiah di Baghdad. Selain itu, kita boleh lihat juga amalan para sahabat dan salafus soleh yang mana mereka boleh mengkhatamkan al-Quran dalam masa satu malam dan melakukan solat sunat beratus rakaat. Semuanya adalah kerana mereka telah diberikan karamah oleh Allah S.W.T. untuk beribadah kepada-Nya dan diberikan masa yang berkat lagi bermanfaat.

Pada zaman sekarang, kita dapat lihat manusia tidak dapat dipisahkan dari teknologi sehingga terdapat sekelompok manusia yang digelar nomophobia yang membuatkan mereka tidak dapat dipisahkan dengan telefon pintar mereka. Teknologi juga telah menyebabkan manusia menjadi kurang produktif menyebabkan mereka tidak dapat melakukan perkara lain kecuali bermain telefon pintar.

Ada yang kerja seharian mereka terganggu disebabkan ketagihan permainan video game. Perkara ini sangat parah jika tidak dibendung kerana ia akan memberikan masalah terhadap kesihatan kita. Walaupun denagn status kita sebagai umat yang sangat dekat dengan akhir zaman, kebanyakkan daripada kita masih leka dalam mengingati Allah S.W.T. Kepesatan teknologi telah menyebabkan kita lalai dalam mengerjakan suruhan Allah S.W.T. Tanpa kita sedari, keberkatan masa kita ditarik sedikit demi sedikit.

Kesimpulannya, masa pada hakikatnya tidaklah bergerak dengan lebih pantas (berbanding biasa) – ia hanya persepsi otak kita sahaja. Dan berita buruknya pula adalah kita terlalu sibuk menggunakan teknologi sehingga tidak berpeluang menghargai masa lapang yang telah dirugikan untuk melakukan pelbagai lagi perkara yang berfaedah. Betapa ironinya, kerana teknologi sepatutnya memendekkan masa kita namun membuatkan kita tidak dapat melakukan banyak perkara. Ini bukan bermaksud kita tidak perlu menggunakan teknologi tetapi kita seharusnya perlu berpada-pada agar tidak membawa mudarat kepada kita.

RUJUKAN:

Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman.

Chris Draper. (2015). Technology is making our perception of time flow quicker, according to new study. Glitch News. https://glitch.news/2015-11-25-technology-is-making-our-perception-of-time-flow-quicker-according-to-new-study.html

Elizabeth Knowles. (2015). Technology is Speeding Up Our Perception of Time. The Science Explorer. http://thescienceexplorer.com/technology/technology-speeding-our-perception-time

Fiona Macdonald. (2015). Science Says That Technology Is Speeding Up Our Brains’ Perception of Time. Science Alert. https://www.sciencealert.com/research-suggests-that-technology-is-speeding-up-our-perception-of-time

Jonathan Wells. (2015). Technology is ‘speeding up our sense of time’. Telegraph.co. https://www.telegraph.co.uk/men/the-filter/technology-is-speeding-up-our-sense-of-time/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.