Teknologi Kaolin Dalam Combat Medic

524

Baru-baru ini saya ditanyakan sebuah soalan mengenai meletakkan serbuk pada luka seseorang askar atau anggota keselamatan yang mengalami kecederaan di medan tempur. Ini sebenarnya merupakan satu soalan yang sangat bagus. Jadi, artikel hari ini ditulis untuk merangkan mengenai salah satu teknik perubatan yang digunakan oleh anggota-anggota keselamatan di Amerika Syarikat ini.

Dalam filem Hollywood juga, kita dapat lihat, apabila seseorang itu luka, dia akan mengoyakkan sesuatu yang berada di dalam paket berupa serbuk dan kemudiannya menuangkan serbuk tersebut di atas luka, sambil meletakkan gauze untuk menghentikan pendarahan. Jadi, adakah perkara ini logik?

Baik, sebelum itu, mari kita lihat sedikit asas dan fungsi fisiologi badan kita untuk membolehkan darah membeku. Jika anda lihat dalam gambar pertama, ya, anda mungkin akan berasa keliru, anda sedang melihat apakah ini? Begini, gambar ini dinamakan sebagai coagulation cascade, dan di atas belah kiri gambar ini, anda akan dapati ada perkataan yang tertulis ‘damaged surface’ dan dibawahnya ada XII dan menjadi XIIa.

Baik, jangan risau. Doktor perubatan juga mengalami masalah untuk mengingati dan memahami segala carta berselirat dalam gambar di atas. Jadi, senang cerita, gambar itu merujuk kepada faktor 12 dan nombor-nombor dalam angka roman itu merujuk kepada faktor-faktor, iaitu sejenis bahan kimia yang berada di dalam badan kita untuk memulakan respons pembekuan darah. Apa yang penting adalah faktor ini perlu diaktifkan untuk membolehkan darah membeku.

Jika anda lihat, perkataan damaged surface, iaitu kecederaan akan menyebabkan pengaktifan faktor 12 dan bertukar menjad12a, dan kemudiannya mengaktifkan faktor 11 dan seterusnya bukan? Jadi, samalah, ketika seseorang itu cedera, pengaktifan faktor ini akan berlaku. Namun, apa yang menjadi masalah adalah pengaktifan ini memakan masa yang agak panjang yang boleh membahayakan nyawa seseorang terutama sekali jika kita sedang bercakap mengenai satu luka yang besar.

Lagi cepat kita boleh aktifkan proses ‘coagulation cascade’ ini, lagi cepat darah akan membeku. Dan apabila darah membeku, kemungkinan besar pendarahan juga akan berhenti. Jadi, satu lagi perkara yang anda perlu tahu adalah saya sedang menerangkan mengenai luka luaran, atau external bleeding. Konsep luka yang berada di atas kulit ini, serta teknologi yang dibangunkan dalam bidang penyelidikan dan perubatan membolehkan seseorang itu menghentikan pendarahan luaran secepat mungkin.

Gambar kedua pula adalah sejenis mineral yang dipanggil sebagai kaolinite, yang mana batu batan ini dipanggil sebagai ‘kaolin’ yang juga dikenali sebagai china clay. Jadi, apa pula perkaitannya?

Begini, 2 institut terbesar di Amerika Syarikat, yang mana banyak membuat penyelidikan mengenai teknologi perubatan dalam ketenteraan seperti US Naval Medical Research Institute dan Army Institute for Surgical Research berjaya menemui kesan kaolin ini, yang apabila dicampurkan bersama dengan gauze atau serbuk ini sendiri boleh menghentikan darah dengan cepat.

Mineral ini tidak mempunyai struktur protein yang mana amat baik kerana apabila sesetengah bahan itu mempunyai kandungan protein, ada kebarangkalian bahawa pengguna yang terkena sentuhan apa-apa protein ini dengan darah boleh menyebabkan kesan alahan (allergic reaction). Ini sekaligus memberitahu kita bahawa kaolin merupakan sebuah bahan yang amat baik dalam penggunaannya untuk merawat mangsa yang sedang mengalami pendarahan.

Jadi, kaolin ini mengaktifkan faktor 12 dengan begitu cepat sehinggakan tahap pembekuan darah ini (clotting time) boleh membeku melebihi 5 kali ganda lebih cepat berbanding dengan jika tiada apa-apa bahan yang digunakan (Gambar 3). Bukan itu sahaja, kaolin juga mempunyai kesan yang memaksa pelekatan darah platelet pada mana-mana tempat yang diletakkannya (Gambar 4).

Kaolin yang diletakkan bersama gauze ini kini menjadi pilihan semua US Army Military Branch yang mana mereka mengenali produk ini yang dinamakan sebagai QuikClotTM. Bukan itu sahaja, QuikClotTM ini juga digunakan oleh beberapa hospital yang terpilih dan ia berada di pasaran untuk mana-mana pihak yang berminat untuk membeli dan menggunakan teknologi ini, yang mana sebagai orang awam juga, kita boleh membeli produk ini walaupun harganya amat mahal. Produk ini boleh dibeli oleh orang awam seperti mana dalam gambar di bawah.

Jadi, inilah penerangan mengenai bahan yang sering digunakan di dalam filem-filem peperangan ataupun yang melibatkan aksi tembak menembak. Sekarang, apabila anda menonton filem ini, anda pasti akan teringat perkataan kaolin yang mana merupakan nama bahan utamanya ini.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.