Tekanan Kerja

0
94
views

Setiap orang, baik penulis sendiri mahupun anda tidak akan terlepas dari tekanan kerja. Pastinya anda mengetahui bahawa pada hari pertama anda bekerja, anda akan menghadapi pelbagai jenis tekanan sama ada luaran mahupun dalaman. Tekanan kerja boleh menimbulkan kesan positif atau negatif. Ada juga yang kata tekanan kerja ini hanyalah ‘mindset’ semata, tapi sejauh mana keberkesanan penyataan tersebut? Artikel ini akan membincangkan punca tekanan kerja yang umum hadapi.

1. Jenis Pekerjaan

Setiap orang mempunyai impian pekerjaan yang sendiri. Kadangkala bila kita minat melakukan sesuatu, maka penat pun tidak akan diendahkan. Pekerjaan yang anda idamkan adalah kerani, tapi mungkin bukan rezeki anda maka anda dapat kerja sebagai seorang operator pengeluaran. Dari situ, anda sudah bekerja hanya untuk membayar bil-bil bulanan serta komitmen anda. Timbul perasaan ‘kalau tak kerja, maka tak ada gaji untuk bayar komitmen.’

2. Pengampu

Pengampu sudah tentu wujud dalam kalangan organisasi pekerjaan. Mereka mementingkan diri sendiri dan hanya mempergunakan orang lain. Biasanya mereka ini baik di hadapan majikan saja. Kadangkala prestasi mereka tidaklah sebagus mana pun tapi merekalah orang pertama dinaikkan pangkat. Malah, memburuk-burukkan rakan sekerja pula. Istilah kasar yang selalu digunakan untuk golongan ini ialah kaki bodek atau kaki jilat.

Waqaf Saham

3. Masalah Pengurusan

Apabila sesuatu syarikat tidak menguruskan pekerjanya dengan baik, maka emosi pekerja juga akan turut terganggu. Ada sesetengah syarikat sukar memberikan pekerjanya untuk bercuti panjang. Kadangkala apabila bercuti juga perlu membuat kerja pejabat. Bonus juga tidak diberi. Kebajikan pekerja sebenarnya adalah tanggungjawab majikan. Sewajarnya majikan perlu memahami situasi pekerja mereka. Prestasi syarikat bergantung pada pekerja. Bayangkan jika seseorang pekerja dilayan seperti hamba, adakah seseorang itu akan menetap di syarikat itu untuk tempoh masa panjang? Tentu tidak sekali!

4. Gaji

Gaji adalah sebab mengapa seseorang itu bekerja. Prestasi seseorang pekerja itu boleh jatuh apabila gaji mereka tidak bayar mengikut waktu dan juga jika gaji mereka ditolak atas sebab yang tidak munasabah. Pengalaman penulis sendiri, ada juga sebuah syarikat membayar gaji pekerjanya secara ansuran tanpa dinyatakan dalam kontrak (Kontrak bertulis gaji dibayar sepenuhnya pada sekian tarikh). Gaji yang tidak dibayar penuh boleh dituntut. Menurut Akta Kerja 1955 ; Pekerja sepatutnya dibayar gaji dalam masa 7 hari.

5. Suasana Tempat Kerja

Suasana tempat kerja memainkan peranan yang penting juga. Bayangkan suasana tempat kerja anda tidak sihat dan menimbulkan tekanan (gosip, debu, majikan, rakan sekerja, dll.), adakah anda akan meneruskan kerja anda? Pastinya anda akan berfikir dua atau tiga kali. Emosi pekerja terletak pada suasana tempat kerja. Jika baik suasananya, maka prestasi pekerja akan lebih baik. Namun, semuanya terletak di atas pemikiran sendiri. Suasana hanyalah asbab kepada tekanan.

Sekarang, anda sudah pun mengetahui beberapa jenis tekanan kerja yang umum hadapi. Pilihan untuk meneruskan pekerjaan atau tidak berada di tangan anda. Ingat, bahawa anda juga mempunyai hak untuk bersuara sebagai seorang pekerja. Tekanan dalam kerja juga sewajarnya diuruskan dengan baik. Jika tidak, tekanan itu akan membuatkan anda tidak ikhlas lagi melakukan kerja anda.