Teguhnya Peribadi Seorang Taruna

759

1. “Biar busuk dagingku mamah, asalkan kau terhindar cemar”. Salah satu petikan oleh seorang Taruna dari filem arahan kedua arahan allahyarham seniman Tan Sri P. Ramlee. Hebatnya seorang Taruna kerana lebih kesalkan dosa yang telah dilakukan oleh sahabat baiknya yang dianggap bagaikan saudara sendiri iaitu Aduka.

Taruna ditimpa kekesalan yang terlalu berat kerana Aduka yang lebih disayanginya daripada si Dara (tunang Taruna) telah tewas kepada nafsu dengan melakukan zina; dosa yang berat di sisi agama. Jika Dara yang Aduka mahukan, Taruna boleh serahkan. Tetapi kerana Dara, Aduka terlanjur melakukan zina, ia adalah beban kekesalan terbesar yang harus ditanggung oleh Taruna.

Tidak tergamak Taruna menghukum Aduka, tetapi dibiarkannya memohon keampunan dari Tuhan dan diadili sendiri oleh hukum undang-undang agama kerana menyakiti Aduka bererti menyakiti dirinya sendiri.

2. Jika kita merenung semula dengan hadis nabi riwayat dari Imam Al-Bukhari yang berbunyi, “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” Pada saya filem ini sudah berjaya untuk menyampaikan maksud dari hadis nabi ini dan ia adalah satu-satunya filem P.Ramlee yang berjaya mengangkat semangat persaudaraan dan cinta pada agama melebihi kepentingan diri.

Jika ditanya pada saya filem karya P.Ramlee yang manakah menjadi pilihan saya, sudah tentu jawapan saya adalah filem Semerah Padi. Kerana filem ini sangat kaya dengan mesej yang tersirat sehingga ke hari ini pun generasi kini masih lagi mengulang tayang filem ini.

3. Taruna dalam filem ini sedikitpun tidak menyimpan dendam kepada Aduka yang telah merampas mahkota tunangannya. Tetapi apa yang lebih dikesalinya adalah hukum agama. Perkara pertama yang keluar dari mulut Taruna adalah apakah Aduka sudah lupa pada Tuhan dan apakah sudah hilang kepercayaan Aduka kepada agama Islam.

Taruna benar-benar dihimpit kekesalan dek keterlanjuran Aduka yang telah tewas dan terjerumus melakukan dosa zina. Kerana kasih akan sahabatnya, Taruna mahu Aduka segera lari menyelamatkan diri dan Taruna sendiri mahu mempercepatkan pernikahannya bersama Dara demi menjaga nama dan air muka Aduka, Dara, dan nama kampung Semerah Padi yang penduduknya sangat berpegang teguh pada hukum agama.

4. Melalui filem ini, boleh kita lihat bagaimana adat dan kesopanan diangkat tinggi oleh masyarakat Melayu dahulu hinggakan anak gadis dan teruna apabila berjalan di belakang ibu bapa pun perlu meminta izin. Bayangkan, hanya berjalan di belakang pun mereka dengan santun meminta izin laluan. P.Ramlee dalam filem ini memberi dua situasi zina di kampung Semerah Padi yang sangat tegas dengan hukum Islam.

Situasi zina yang pertama adalah bagaimana dua orang penzina yang telah melakukan zina kemudian dengan bongkak mahu menegakkan keadilan diri dengan sedikitpun tiada rasa bersalah kerana telah melanggar hukum agama. Manakala situasi zina kedua adalah zina yang dilakukan oleh Aduka dan Dara. Walaupun telah terjerumus melakukan dosa zina, namun dua orang penzina ini dihimpit kekesalan dan tidak lari dari diadili oleh hukum agama, sebaliknya berani bertanggungjawab menerima pengadilan.

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

5. Bapa si Dara yang juga merupakan Ketua Kampung dalam filem ini dengan sendiri menjalankan hukuman sebat 100 kali kepada Aduka dan Dara. Bukan dia tidak kasihan, tetapi kerana taat pada undang-undang agama, diteruskannya juga sehingga selesai 100 kali sebatan hukuman bagi penzina. Apa yang menarik perhatian saya adalah setiap kali rotan hinggap di belakang tubuh si Dara, setiap kali itu juga bibirnya menyebut “Allah”; menggambarkan keinsafan dan taubatnya. P.Ramlee sangat bijak mencipta dua situasi berbeza ini untuk kita renungi dan ambil pengajaran darinya.

6. Sebagai penutup, sekarang saya mahu mengajak teman-teman untuk merenung dosa apa yang telah kita lakukan. Adakah kita ini sebagai hamba dengan sombong dan bongkak mahu mempertahankan dosa yang kita lakukan? Atau kita mahu dengan rendah diri dan hina kembali dan memohon taubat kepada Allah? Yang mana satu menjadi pilihan kita? Juga, boleh kita perhatikan dengan kejadian di sekeliling kita.

Baru-baru ini kes Sajat dan Safiey yang mendapat perhatian netizen. Dosa-dosa yang dilakukan secara terang-terangan tanpa sedikitpun takut akan hukum Allah, apa janji-janji Allah yang diceritakan dalam al-Quran. Sebagai ibu bapa pula, bagaimana manifestasi cinta kita kepada anak-anak? Adakah kita cinta pada anak-anak kita hingga kita sanggup menjadi seorang yang lemah dengan merelakan dosa-dosa yang anak kita lakukan? Atau kita bertegas dengan menegakkan apa yang halal dan apa yang haram dari sisi agama?

RUJUKAN:

‘Fikir kenapa P Ramlee hasilkan Semerah Padi’ – https://www.hmetro.com.my/utama/2018/08/371497/fikir-kenapa-p-ramlee-hasilkan-semerah-padi-metrotv

Filem Semerah Padi (1956) – https://www.youtube.com/watch?v=mEcSiAbEJrw&t=2843s

Artikel dikirimkan oleh Nurul Shukur untuk The Patriots. 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.