
Tatu merupakan salah satu daripada “body modification” atau pengubahan kepada tubuh badan, dimana reka bentuk dibuat dengan memasukkan “warna” yang sama ada diperbuat daripada dakwat, pigmen dan pewarna @ dye ke lapisan dermis kulit bagi memberi warna kepada kulit tersebut.
Tatu mempunyai 3 kategori dan ianya adalah seperti berikut;
💮Tatu Perhiasan.
Tatu ini dibuat dengan mengambil mana-mana reka bentuk dan tidak mempunyai apa-apa makna kepada si pemakai tatu.
💮Tatu Simbolik
Tatu ini dibuat bagi melambangkan “kehidupan” atau “kejahatan” si pemakai. Tatu kategori ini biasanya dibuat di penjara-penjara.
💮Tatu Grafik
Tatu ini mengambil mana-mana reka bentuk, yang disukai dan berkaitan dengan si pemakai tatu. Seperti artis, haiwan, kepercayaan atau ideologi si pemakai tatu.
Namun, apa yang ingin saya ketengahkan di dalam artikel ini adalah berkenaan Tatu Penjenayah Rusia di penjara dan kem tahanan. Dimana setiap reka bentuk, simbol, serta huruf itu mempunyai makna-makna tersendiri.
—–
🌟Sejarah Perbuatan Mentatu di Penjara dan Kem Tahanan Rusia.
Memberi tanda atau dalam bahasa inggerisnya “branding” kepada penjenayah bukan lah sesuatu yang asing. Mentatu tubuh badan seseorang bagi mengenal pasti bahawa si pemakai tatu merupakan seorang penjenayah atau bekas penjenayah dilakukan sebelum perbuatan mentatu itu menjadi “trend” atau “adat” bagi seorang penjenayah di penjara.
Ia telah lama dilakukan sebelum ini di dalam tamadun Jepun pada tahun 300-600 AD yang dikenali sebagai Zaman Kofun atau ‘Kofun Period’ dimana penjenayah akan ditatu sama ada pada dahi, pipi, badan, atau lengan mereka bagi membezakan seorang penjenayah dengan individu yang lain.
Di Rusia, perbuatan mentatu badan bagi penjenayah telah diharamkan sejak tahun 1863. Walaubagaimanapun, pada sebelum itu tatu telahpun digunakan bagi mengenal pasti penjenayah. Contohnya tatu simbol salib di tangan kiri menandakan bahawa si pemakai seorang tentera yang melarikan diri.
Seterusnya, sehingga tahun 1846, tatu perkataan ‘VOR’ diberikan kepada penjenayah pada dahi dan pipi mereka menandakan si pemakai dikenakan hukuman kerja berat di Gulag.
“Tanda” juga dikenakan pada bahagian belakang di tulang belikat dan lengan kanan, dan ia terbahagi kepada 3 kategori;
✴“SK” untuk Ssylno-Katorzhny
(pesalah kerja berat)
✴“SP” untuk Ssylno-Poselenets
(orang buangan kerja berat)
✴“B” untuk Begly
(mereka yang pernah melarikan diri).
Tahun 1846, menyaksikan perkataan VOR digantikan “KAT”; diambil dari 3 huruf pertama perkataan katorzhnik yang membawa maksud “pesalah hukuman kerja berat”.
Pada tahun 1930 an, kasta diantara penjenayah Rusia mula timbul terutamanya dengan kemunculan kumpulan Masti (suits) dan Vory v Zarkone serta Blatnye yang membawa maksud (“authoritative thieves”). Dengan ini, tatu yang dicacah pada badan menandakan kedudukan dan hierarki.
Sehingga menjelang Perang Dunia ke-2, sebarang bentuk tatu menandakan si pemakai seorang penjenayah profesional. Pengecualian diberi kepada anak kapal dan mereka yang berkhidmat di dalam tentera laut.
—–
Tatu di penjara Rusia bukanlah seperti tatu yang biasa lihat “menghiasi” tubuh badan mereka yang kita perhatikan di tepi-tepi jalan. Ia membawa maksud tersendiri dan tatu-tatu ini “diberi hak dipakai” dan bukanlah ditatu mengikut sesuka hati si pemakai.
Tatu ini dibuat atau “diterima” penjenayah bagi “menonjolkan diri” dan ia juga berfungsi sebagai “pengenalan diri” atau identifikasi si pemakai kepada banduan-banduan lain serta ia juga menunjukkan “hierarki” atau pangkat si pemakai tatu di dalam penjara.
ℹ Peralatan yang digunakan untuk mentatu didalam penjara?
Peralatan yang digunakan di penjara adalah dengan cara yang primitif dan menyakitkan serta berdasarkan “apa yang ada” sahaja. Kadangkala, cuma hanya jarum yang dicucuk-cucuk berulang kali kebawah lapisan kulit berserta dengan dakwat. Tidak tahan dengan cara manual ini? Ada juga tatu yang dibuat dengan pencukur elektrik yang telah diubah suai dipasang jarum.
ℹ Dakwat jenis apakah yang digunakan?
Kerana sumber yang terhad di dalam penjara, banduan-banduan hanya menggunakan ramuan dakwat yang diperbuat daripada cecair getah yang dibakar, arang serta dicampur bersama dengan urin atau air kencing mereka sendiri. Seterusnya, oleh kerana untuk mengelak komplikasi kesihatan, ianya lebih baik jika urin orang yang hendak ditatu itu sendiri digunakan bagi mentatu badannya.
—–
🌟 Faktor kebersihan dan kesan keatas kesihatan.
Oleh kerana perbuatan mentatu itu dilarang didalam penjara dan jika ditangkap hukuman yang berat bakal dikenakan, ia dilakukan secara rahsia di tempat-tempat yang kotor dan tidak steril.
Oleh itu, banyak komplikasi yang berbangkit daripada perbuatan mentatu di dalam penjara ini antaranya adalah penyakit serius seperti gangren dan tetanus @ kancing gigi yang disebabkan oleh bakteria Clostridium tetani. Selain itu, kebiasannya mereka yang ditatu akan menghidap lymphadenitis, keadaan dimana nodul limfa membengkak beserta demam tinggi.
Kemudian, terdapat risiko tinggi penyebaran penyakit berjangkit seperti sifilis, AIDS dan sebagainya.
—–
🌟 Apakah maksud tatu-tatu ini di dalam institusi penjara?
Setiap grafik, imej, ayat dan huruf yang ditatu mempunyai maksudnya yang tersendiri. Sebuah atau setiap tatu itu boleh menjadi sebab sama ada si pemakai tatu tersebut hidup atau mati di dalam persekitaran penjara.
Apabila seorang banduan baru tiba di sesebuah penjara serta mempunyai tatu dibadannya, beliau akan disoal banduan “otai” apakah maksud disebalik tatu yang dipakai. Dan jika banduan baru itu tidak dapat menjawab, salah dalam memberi jawapan serta diketahui “menipu” dalam pemerolehan tatu itu, beliau akan diberikan pisau, kaca atau batu yang tajam dan dipaksa “memadamkan” tatu itu dari tubuh badannya.
Gagal berbuat demikian, hukuman yang berat akan diberikan si pemakai tatu sama ada dipukul dengan teruk, dirogol/diliwat atau dibunuh.
Oleh sebab-sebab ini, tatu merupakan sesuatu perkara yang dihormati serta ditakuti di dalam kelompok banduan-banduan di penjara.
—–


Teks pada buku lima ditulis NADYA. (nama perempuan)
“Cincin” di jari telunjuk melambangkan “Tidak berharap kepada sesiapa kecuali diri sendiri”. Ia juga tanda bahawa si pemakai seorang ‘patsan’ gelaran mereka yang mempunyai kedudukan tinggi.
“Cincin” di jari hantu simbol salib melambangkan “salib seorang penjenayah”.
“Cincin” di jari manis melambangkan si pemakai pernah ditangkap dan menjalani hukuman sepenuhnya.
“Cincin” di jari kelingking simbol kepada “dark life” atau kehidupan yang gelap. melambangkan si pemakai menghabiskan banyak masa di sel hukuman isolasi yang gelap gelita.
Tengkorak, tulang yang memangkah, pistol, pisau serta huruf “K” melambangkan bahawa si pemakai merupakan seorang pembunuh.



Harimau melambangkan keengganan untuk tunduk kepada sistem pemerintahan.













—–
References & Credit:
© Arkady Bronnikov / FUEL
Vice: The Visual Encyclopaedia of Russian Jail Tattoos. Retrieved from: https://www.vice.com/…/russian-criminal-tattoo-fuel-damon-m…
c. 1970-1990, Russian criminal tattoos. The human iconography of the Russian underground. Retrieved from:https://mashable.com/2014/10/29/russian-prison-tattoos/…