Tata Escobar – Penderitaan Balu Raja Kokain

69

Pada tahun 1961 di Palmira Valle del Cauca, Colombia, pasangan Carlos Henao Vallejo dan Leonor Zuleta dikurniakan seorang anak perempuan comel yang diberi nama Maria Victoria Henao. Henao hidup seperti kanak-kanak biasa yang lain tanpa mengetahui apa yang akan terjadi kepadanya di masa hadapan.

Maria Victoria Henao atau nama timangannya – ‘Tata’ dikenali sebagai seorang pereka dan usahawanita. Namun, isemuanya tidak dapat menandingi popularitinya sebagai seorang isteri kepada Raja Dadah, Pablo Escobar yang menjalankan aktiviti kartel dadah di Madelline. Untuk rekod, kartel dadah yang dikendalikan oleh Escobar telah menguasai 85% penyeludupan dadah ke U.S.

Dia menjadi balu pada umur 33 tahun setelah suaminya dibunuh oleh pihak berkuasa Colombia. Walaupun suaminya adalah ancaman kepada orang awam pada ketika itu, tetapi pada mata Tata, Escobar adalah seorang yang sangat menyayangi keluarganya.

Tidak banyak kisah hidup Tata direkodkan pada masa awal kehidupannya kerana dia bukan dari keluarga bangsawan atau berada. Tapi semuanya bermula apabila Tata menganjak usia remaja.

Pada usia tiga belas tahun, seperti remaja-remaja lain yang sebaya dengannya, Tata telah bertemu dengan seorang lelaki yang bernama Pablo Emilio Escobar Gaviria. Escobar merupakan kawan baik kepada abang Tata, Mario. Mario bekerja dengan Escobar menjalankan aktiviti jenayah kecil-kecilan.

Sambil menyelam sambil minum air, Escobar menjalinkan hubungan cinta dengan Tata. Pada masa itu Tata berusia tiga belas tahun manakala Escobar berusia dua puluh empat tahun.

Seperti pasangan muda bercinta yang lain, hubungan mereka mendapat halangan dari orang tua. Keluarga Tata tidak bersetuju dengan hubungan mereka disebabkan aktiviti jenayah Escobar. Malah jarak umur yang jauh juga menjadi satu faktor yang menyebabkan hubungan mereka ditentang. Yelah, sebelas tahun kot?

Walaupun mendapat tentangan, Tata dan Escobar masih tegar dengan percintaan mereka dan mereka berterusan mejalinkan hubungan. Dua tahun kemudian, mereka mereka pun mengambil keputusan untuk hidup bersama. Pada hari ke-29 bulan March 1976, mereka berkahwin dah hidup bersama-sama.

Mereka berkahwin sebelum Escobar menjadi ketua kepada sindiket kartel kokain yang besar.

Walaupun hidup bersama, tapi Tata tak tahu apa sebenarnya pekerjaan Escobar. Bila ditanya, Escobar akan hanya jawab dia menjalankan beberapa perniagaan  dan salah satunya adalah perniagaan hartanah.

Selepas setahun mendirikan rumah tangga, Tata mengandung anak pertama. Semasa mengandungkan anak pertama, Tata dikejutkan dengan penahanan Escobar atas kesalahan menyeludup kokain di Ecuardor. Untuk menyejukkan hati Tata, Escobar memberi alasan yang dia hanya ingin membantu rakannya yang dalam kesusahan, tetapi gagal kerana urusan mereka diganggu oleh polis.

Tata mempercayai Escobar tetapi lama kelamaan dia mencurigai Escobar setelah kes kematian Menteri Keadilan – Rodrigo Lara Bonilla yang dikaitkan dengan pembunuh upahan yang dihantar oleh Escobar.

Walaupun Escobar dikaitkan dengan aktiviti keganasan dan penyeludupan dadah, Tata boleh dikatakan bertuah juga kerana dikurniakan seorang suami yang amat menyayangi ahli keluarganya – family person. Escobar amat menyayangi kesemua ahli keluarganya termasuk dua anaknya, Juan Pablo Escobar Henao dan Manuela Escobar. Malah Escobar tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika ahli keluarganya diganggu.

Walaupun Tata melihat Escobar ini sebagai seorang amat menyayangi keluarga, Escobar juga tidak terlepas dari mengadakan hubungan sulit dengan ramai wanita simpanannya. Dan wanita yang paling terkenal dalam hubungan sulit Escobar adalah seorang wartawan Colombia bernama Virginia Vallego.

Walaupun Escobar berkali-kali ketahuan kerana menjalinkan hubungan dengan perempuan lain, Tata tetap setia disamping Escobar kerana terlalu sayangkan Escobar dan anak-anaknya.

Semasa ketiadaan Escobar akibat daripada kesibukannya menguruskan aktiviti ‘perniagaannya’, Tata merasakan kekurangan dan kesunyian dalam hidupnya sehinggakan dia hanya menghabiskan masa mendengar lagu-lagu sentimental Colombia.

Kehidupannya sebagai isteri serta ibu kepada dua anak bagi pengedar dadah yang terkaya dan paling berjaya tidak menjanjikan bulan dan bintang mahupun matahari. Dia perlu sentiasa bertahan dengan segala ancaman dan bahaya yang diberikan oleh pesain-pesaing Escobar.

Walaupun dia menikmati kekayaan Escobar yang bernilai 30 bilion itu, dia juga perlu sentiasa bersedia untuk berpindah-pindah dan hidup dalam buruan demi mengelakkan dari ditangkap pihak berkuasa dan musuh suaminya.

Dua Disember, 1993, Tata mendapat tamparan yang hebat. Suaminya, Escobar telah dibunuh atas sebab sifat family man suaminya itu. Pihak berkuasa dapat menjejak panggilan telefon yang dilakukan Escobar terhadap anak lelakinya dan operasi memburu Escobar pun digerakkan. Escobar bertempur dengan pihak berkuasa dan memberikan tentangan hebat kepada pihak berkuasa.

Semasa pertempuran, Escobar naik ke atas bumbung, dan disitulah riwayatnya berakhir. Walaupun banyak laporan mengatakan Escobar ditembak oleh pihak berkuasa, tetapi anaknya mengatakan bahawa Escobar sendiri yang menamatkan riwayatnya dengan menembak dirinya sendiri.

Setelah kematian Escobar, bermulalah kehidupan Tata sebagai balu. Pihak berkuasa membekukan semua aset Escobar dan meletakkan Tata dan keluarganya hidup dalam kesusahan.

Walaupun Escobar telah mati, tetapi musuh-musuhnya masih menanam dendam yang sangat mendalam kepada Escobar. Bagi mereka tidak cukup hanya dengan kematian Escobar tetapi seluruh keturunan Escobar perlu dihapuskan. Secara tidak langsung, ancaman dari musuh-musuh Escobar ini menjadikan Tata hidup dalam bahaya.

Bagai mencurah minyak ke dalam api yang sedang marak membakar, anak Escobar, Juan Pablo mengisytiharkan akan membalas dendam terhadap kematian bapanya. Ini membuatkan keadaan mereka semakin terdedah dengan bahaya. Tata mengambil keputusan untuk melarikan diri dari Colombia.

Walaupun Tata berhasrat untuk meninggalkan Colombia, tetapi tiada sebuah negara pun ingin menerima apatah lagi memberi kebenaran kepada Tata untuk tinggal di tempat baru. Mereka hidup sebagai pelarian di banyak negara. Ada juga berita mengatakan dia mencari perlindungan di German.

Akhirnya pada tahun 1994, kerajaan Mozambique memberikan kebenaran kepada Tata untuk tinggal di Mozambique. Tata menuju ke Mozambique bersama kedua anaknya dan dua orang ahli keluarga.

Mungkin suasana di Mozambique tidak memberikan ketenangan buat Tata, dia meninggalkan Mozambique dua minggu kemudian dan pada 24 Disember 1994, Tata terbang menuju ke Buenos Aires, Argentina sebagai pelancong dan secara senyap-senyap tinggal di sana.

Semasa tingal di Argentina, Tata menggunakan identiti baru bernama Maria Isabel Santos Caballero, manakala Juan Pablo dikenali sebagai Juan Sebastian Marroquin Santos dan adiknya Manuela dikenali sebagai Juana Manuela Marroquin Santos.

Mereka hidup secara sederhana dan mengelak untuk menonjolkan diri selama lima tahun disana sebelum pihak berkuasa Argentina mengetahui identiti sebenar mereka. Tata dan anaknya Juan ditahan pihak berkuasa Argentina atas pertuduhan penggubahan wang haram dan pemalsuan dokumen. Tata bernasib baik kerana di lepaskan dari pertuduhan penggubahan wang haram kerana kekurangan bukti .

Semasa perbicaraannya Tata berkata – “Aku ditahan adalah disebabkan aku seorang rakyat Colombia. Mereka cuba untuk mencabar hantu Escobar kerana mereka ingin membuktikan bahawa Argentina memerangi penyeludupan dadah.”

Sejak dari peristiwa itu, Tata tidak bercakap dengan media dan hidup secara ‘low profile’.

Sehingga ke hari ini, tidak ada sesiapa pun yang pasti dimana lokasi keberadaan Tata dan anak perempuannya. Terdapat laporan yang mengatakan mereka hidup secara low profie dan menghindarkan diri dari perhatian pihak media di Argentina.

Mungkin juga, Tata masih lagi meratapi dan berduka dengan kehilangan suaminya yang tercinta, yang telah membuka mata banyak pihak dan meninggalkan banyak kesan yang tidak dapat di lupakan di seluruh dunia atau, mungkin juga melepaskan diri dan cengkaman kegelapan masa lalu.

Rujukan :

Michelle Andrews (2017) She married the world’s richest and deadliest criminal : Where is Pablo Escobar’s wife now?

King Panks (2017) Know everything abaout Pablo Escobar’s wife

Gerrard Hayley (2017) Pablo Escobar wife Maria Victoria Henao Wiki, Biography, Age, Facts

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.