Tartarus – Neraka Bagi Masyarakat Yunani Purba

813

Tartarus merupakan neraka dalam mitologi Yunani yang berfungsi sebagai tempat penghukuman buat orang-orang yang jahat dan kurungan buat Titans. Tartarus juga adalah nama bagi satu dewata yang merupakan kemenjadian purbakal yang wujud jauh sebelum wujudnya dewata Olympia, atau bahkan pendahulu mereka, Titans.

Konsep pemahaman terhadap Tartarus sebagai sebuah tempat lebih masyhur berbanding konsepnya sebagai nama bagi satu dewata. Pada mulanya, bayangan masyarakat Yunani purba terhadap Tartarus hanyalah sebagai sebuah lubang besar di bawah tanah. Kemudian, imaginasi ini mengalami perubahan di mana ia mula dianggap sebagai sebuah neraka yang menempatkan orang-orang yang melakukan jenayah besar semasa hidup.

TARTARUS DALAM KARYA HESIOD YANG BERJUDUL THEOGONY


Dalam Theogony yang dikarang oleh Hesiod, Tartarus merupakan salah satu kemenjadian pertama yang muncul semasa fasa penciptaan alam. Ia merupakan kemenjadian yang berbalikan bagi Gaia (Bumi).

“Pertama-tama, hadir Gegaung; dan kemudian Bumi terhampar meluas; menyediakan tempat yang abadi buat seluruh dewata yang menghuni puncak Olympus; Tartara (jamak bagi ‘Tartarus’) yang berkabus hadir di sebuah persemayaman terpencil di ceruk bumi.”

Manuskrip Theogony kurun ke-16

Sama seperti figura-figura purbakala yang lain, Tartarus dianggap sebagai kemenjadian yang semata-mata bersifat elemental dan bukanlah bersifat dewata seperti para Titan mahupun Dewata Olympia. Malah, ia juga lebih cenderung terhadap konsepnya sebagai sebuah tempat, seperti misalnya, Gaia bukanlah dewata bumi akan tetapi ia adalah Bumi itu sendiri. Begitu juga halnya dengan Tartarus. Ia bukanlah Dewata Neraka, akan tetapi Neraka itu sendiri.

Perbezaan ketara antara dua figura ini adalah Gaia hadir dengan lebih kerap di dalam mitologi Yunani terutama dalam mitos yang menjelaskan tentang kenaikan kuasa Kronos dan usahanya dalam menggulingkan Ouranos, bapanya. Dalam proses penceritaan tersebut, Gaia yang walaupun pada asalnya adalah kemenjadian elemental semata, diubah menjadi sesuatu yang boleh difahami dengan lebih jelas (menjadi personafikasi bumi).

Gaia diilhami dengan helah untuk mengembiri Ouranos, menghimpunkan anak-anaknya (Titans), dan menyerahkan tugas kepada Kronos. Sebaliknya bagi Tartarus, ia tidak meraih signfikasi sebegini dalam mitos Yunani.

Aion dan Gaia bersama empat orang anak mereka, yang mungkin adalah personafikasi musim. Mozek dari sebuah villa om di Sentinum

Sebagai sebuah tempat, Tartarus diimaginasikan sebagai sebuah kubah yang terbalik. Masyarakat Yunani purba membayangkan bahawa alam semesta ini berbentuk telur ataupun sfera. Sfera kosmik ini terbahagi kepada dua, dengan bahagian tengahnya dipisahkan oleh cakera rata iaitu bumi. Separuh atas sfera ini membentuk kubah langit sementara separuh bawah pula membentuk gegaung Tartarus. Dalam Theogony karangan Hesiod, jarak di antara Langit, Bumi dan Tartarus dinyatakan seperti berikut:

“Sebagaimana jauhnya jarak antara langit dan bumi, sebegitulah pula jarak antara bumi dan Tartarus. Jika sebuah andas gangsa dijatuhkan dari langit, ia akan mengambil masa selama sembilan hari dan sembilan malam sebelum tiba di permukaan bumi pada hari yang kesepuluh; dan sembilan hari dan sembilan malam jugalah andas gangsa itu terbang jatuh dari bumi sebelum tiba di Tartarus pada hari yang kesepuluh.”

Pada mulanya, Tartarus disifatkan sebagai tempat di mana dewata Olympia mengurung mereka yang mengancam kekuasaannya. Antara banduan yang paling utama dalam kalangan mereka adalah Titans. Rentetan daripada peperangan yang berlaku antara para Titan dan Dewata Olympia, pihak yang pertama itu ditundukkan lalu dihumban ke dalam Tartarus. Hesiod memerincikan peristiwa tersebut seperti berikut:“Dan mereka (dewata Olympia) menghumban mereka (para Titan) dalam keadaan terbelenggu, menewaskan mereka dengan segala kekuatan (yang dimiliki) demi (memelihara) maruah mereka…

Di sana, para Titan dikurung di sebuah tempat yang suram lagi berkabus, atas perintah Zeus si pengumpul awan, yang tempatnya itu terletak di hujung ceruk dunia. Mereka tidak memiliki sebarang jalan keluar; Poseidon menutup rapat pintunya dan sebuah tembok yang bersambungan dengan pintu tersebut dari dua sisi. Di sana terdapat Kottos, Gyges, dan Obriareos, pengawal-pengawal kepercayaan Zeus yang memikul naungan.”

PERUBAHAN DALAM IMAGINASI TERHADAP TARTARUS

Pada masa-masa yang lebih terkemudian, barulah masyarakat Yunani purba membayangkan Tartarus tidak semata-mata sebagai tempat kurungan buat musuh-musuh Dewata Olympia, akan tetapi juga sebagai tempat hukuman bagi manusia yang melakukan jenayah besar semasa hidupnya. Sebagai sebuah alam di mana roh manusia yang jahat dihukum, pandanan terhadap Tartarus seperti ini melahirkan konsep yang berbalikan dengan Elysium – tempat di mana roh orang-orang yang baik dihimpunkan.

Antara figura masyhur yang dikatakan menjalani hukuman di Tartarus adalah Tantalus, Sisyphus, Ixion dan Danaides. Terdapat pelbagai jenayah yang jika dilakukan, ia boleh mengakibatkan roh seseorang manusia dihumban ke dalam Tartarus. Hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas mereka pula setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Di dalam Aeneid karangan Virgil, beliau memerincikan pengembaraan Aeneas ke Alam Kematian di mana suasana di dalam alam tersebut turut digambarkan.

Pada suatu ketika, Aeneas dimaklumkan oleh Sibyl tentang jenayah-jenayah yang dilakukan oleh roh manusia yang dihumban ke dalam Tartarus, serta bentuk hukuman yang dikenakan ke atas mereka.

“Roh yang dikurung di dalam tempat ini dan dijatuhi hukuman adalah mereka yang semasa hidupnya membenci saudara mereka, memukul bapa mereka, menipu tanggungan mereka, menemukan harta lalu membelanjakannya untuk diri peribadi tanpa menghulurkan sebahagiannya untuk kerabat dan – yang paling ramai pelakunya – mereka yang mati dalam perzinaan, mereka yang mengangkat senjata melawan kaumnya sendiri dan mereka yang tidak berasa bersalah ketika memecahkan amanah yang diberikan oleh tuan mereka.

Sebahagian daripada mereka dihukum dengan digulingkan batu besar ke atas mereka (atau mereka dipaksa menggulingkan batu-batu yang besar), atau diikat pada roda bergerigi lalu digulingkan. Jika saya mempunyai seratus lidah, seratus mulut dan suara besi (suara yang tidak akan kehabisan) sekalipun, saya tidak akan mampu memerincikan seluruh jenayah yang mereka lakukan, atau menamakan hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas mereka.”

Persephone memerhatikan Sisyphus di Alam Neraka

DITERJEMAHKAN DARI:

Wu Mingren. (14 April 2019). The Hell of Tartarus, Ancient Greek Prison of the Damned. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends/hell-tartarus-ancient-greek-prison-damned-005527

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.