Tariq Ramadan: Pejuang Hak Asasi Manusia Muslim Kontroversi Eropah

0
666
views

Tariq Ramadan adalah seorang sarjana dan juga tokoh falsafah Muslim. Beliau berasal daripada keluarga yang berbangsa Arab-Mesir dan merupakan anak bongsu daripada enam adik-beradik. Beliau telah dilahirkan pada 26 Ogos 1962 di Geneva, Switzerland. Kebiasaannya dikenali dengan nama penuh beliau Tariq bin Sacīd Ramadan atau secara ringkasnya Tariq Ramadan.

Beliau telah berumah tangga dan kini menetap di Eropah (Perancis, Switzerland & United Kingdom). Tariq Ramadan boleh bertutur dengan fasih dan lancar di dalam 3 bahasa iaitu bahasa Arab, Inggeris dan Perancis. Beliau merupakan cucu kepada Hasan al-Banna, pengasas salah satu gerakan politik Islam di Mesir iaitu al-Ikhwān al-Muslimīn yang dijatuhkan hukuman bunuh pada 1949 kerana didakwa terlibat dengan kes pembunuhan presiden Mesir.

Ayah beliau, Saīd Ramadan adalah salah seorang ahli kanan dalam gerakan al-Ikhwān al-Muslimīn yang telah melarikan diri ke Arab Saudi dan kemudiannya ke Switzerland apabila Presiden Mesir ketika itu, Jamal Abdel Nasir menjatuhkan hukuman buang negara kepadanya. Ibu kepada Tariq Ramadan, Wafā’ al-Banna pula merupakan anak sulung kepada Hasan al-Banna. Menurut ibu beliau, nama Tariq Ramadan dikatakan diambil sempena inspirasi Ṭāriq bin Ziyād, iaitu Muslim pertama yang menjejakkan kaki ke Sepanyol.

Tariq Ramadan menjelaskan bahawa kedua ibu bapa beliau sangat berfikiran terbuka dan menyokong pilihan kehidupan, kepercayaan dan masa depan anak-anak. Walau bagaimanapun, dapat dilihat bahawa hanya Tariq Ramadan yang mengekalkan kehidupan beragama berbanding abang-abangnya yang lain. Tariq Ramadan mendapat pendidikan awal di School of Tremblay, iaitu sebuah sekolah awam di Geneva, Switzerland.

Di sekolah ini beliau telah didedahkan kepada pembelajaran kesusasteraan Perancis dan falsafah Eropah. Selepas selesai zaman persekolahan, beliau telah menyambung pengajian di University of Geneva dalam bidang sosiologi, falsafah dan sastera. Setelah menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, beliau telah menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang falsafah (Masters Degree in Philosophy) pada tahun 1984, seterusnya sarjana dalam bidang kesusasteraan Perancis (Masters Degree in French Literature) pada tahun 1985.

Penulisan disertasi sarjana beliau bertajuk Nietzsche as a Historian Philosophy memfokuskan kepada perbincangan mengenai ketokohan Nietzsche sebagai seorang ahli falsafah dan juga tokoh rujukan dalam bidang sejarah.ada tahun 1986, beliau telah berkahwin dengan adik kepada kawan baik beliau yang bernama Iman, iaitu seorang wanita warganegara Switzerland (berketurunan Perancis) yang telah memeluk Islam. Perkahwinan beliau bersama Iman telah dikurniakan empat orang anak, dan diakui oleh Tariq Ramadan bahawa kesemua anak beliau hanya dihantar ke sekolah awam di Switzerland dan Britain untuk mendidik anak-anaknya bergaul dan berintegrasi dengan kanak-kanak setempat.

Pada tahun 1991, Tariq Ramadan dan keluarganya telah berhijrah ke Mesir dan menetap di sana selama dua tahun. Kepulangannya ke Mesir daripada Eropah adalah bertujuan untuk mengenali dan mempelajari budaya asal ibu dan ayahnya di samping menuntut ilmu Islam daripada para ulama di Universiti al-Azhār. Di Mesir, Tariq Ramadan telah menuntut pengajian secara bersanad di Mesir selama dua tahun pada 1992 hingga 1993.

Pengalaman selama dua tahun di Mesir membolehkan beliau untuk mendalami ilmu falsafah Islam di sana, di samping diberi peluang untuk mengajar di masjid dan juga seminar-seminar di Mesir. Selain itu, corak kehidupan masyarakat Mesir yang berbeza daripada penduduk Switzerland telah membuka minda beliau untuk melihat Islam dari perspektif Arab dan juga bukan Arab khususnya masyarakat Eropah, memandangkan beliau sendiri lahir dan membesar di Eropah.

Tujuan Tariq Ramadan berpindah ke Mesir bersama anak dan isterinya adalah untuk mendapatkan ilmu tentang Islam dan membolehkan beliau mempertahankan Islam daripada sebarang salah faham dan diskriminasi. Kaedah pembelajaran di Mesir secara talaqqī yang berbeza daripada sistem pembelajaran di Eropah. Pembelajaran melalui sistem talaqqī ini membolehkan Tariq Ramadan memahami ilmu mengenai pengajian Islam dengan lebih mendalam.

Namun begitu, pengalaman tinggal dan belajar di Mesir mengubah persepsi dan pandangan Tariq Ramadan mengenai corak kehidupan umat Islam di Eropah dan negara Arab. Beliau menyatakan bahawa walaupun agama Islam bermula di tanah Arab dan berkembang ke seluruh dunia sehingga ke Mesir, lantas menjadikan bumi Mesir sebagai salah satu pusat pembelajaran ilmu Islam yang menjadi tumpuan Muslim seluruh dunia suatu ketika dahulu, akan tetapi budaya yang diamalkan penduduk Mesir adalah budaya masyarakat Arab atau adat penduduk setempat semata-mata.

Tariq Ramadan mengakui walaupun dirinya bergelar Muslim, akan tetapi jiwa dan pemikiran beliau lebih mudah menerima dan mirip penduduk Eropah dari banyak sudut seperti soal budaya, amalan dan sebagainya. Gaya kehidupan penduduk Eropah ini cukup berbeza berbanding yang dipraktikkan oleh Muslim di Mesir.

Selepas tinggal di Mesir selama dua tahun, beliau dan keluarganya telah kembali ke Switzerland. Sekembalinya dari Mesir, beliau seterusnya menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang pengajian Islam dan memperoleh ijazah Ph.D. pada tahun 1998.

Penulisan yang dihasilkan beliau di peringkat Ph.D. adalah mengenai tokoh pembaharuan Islam di Mesir merangkap datuk beliau sendiri iaitu Hasan al-Banna. Penulisan tesis beliau pada awalnya ditolak oleh panel penilai atas alasan tokoh yang dikaji oleh beliau (Hasan al-Banna) dikaitkan sebagai pengganas. Namun selepas bantahan dilakukan oleh Tariq Ramadan, akhirnya tesis beliau telah dinilai semula dan diterima oleh panel penilai dengan mendapat kelulusan tanpa kepujian.

Kerjaya Dan Penulisan Akademik

Sebagai seorang tokoh Muslim yang dikenali dalam bidang akademik, Tariq Ramadan memegang jawatan sebagai pensyarah di beberapa institusi pengajian tinggi terkemuka di Eropah di samping memegang beberapa jawatan lain untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim. Kelayakan sarjana yang dimiliki oleh Tariq Ramadan dalam bidang falsafah dan sastera Perancis membolehkan beliau untuk mendapat pekerjaan sebagai seorang pengajar dan dekan di College de Saussure yang terletak di Geneva, Switzerland.

Di sini, beliau telah menubuhkan program ‘Helping Hand’, iaitu satu program yang membolehkan Tariq Ramadan dan pelajar beliau mengaplikasikan konsep hubungan antara masyarakat pelbagai latar belakang. Dengan tajaan kewangan daripada pejabat pendidikan daerah Geneva, Tariq Ramadan dan pelajar beliau telah melawat, bertemu serta berinteraksi dengan pelbagai tokoh dunia seperti Mother Teresa (m. 1997M), Sister Emmanuelle (m. 2008M), Dalai Lama dan ramai lagi.

Selain itu, kelayakan sarjana beliau juga membolehkan Tariq Ramadan dilantik sebagai pengajar sambilan di University of Fribourg, Perancis dalam bidang falsafah dan pengajian islam (philosophy and Islamic studies), sejak tahun 1996 hingga 2004. Pada tahun 2004, Tariq Ramadan pernah ditawarkan untuk memegang jawatan sebagai tutor bersama Kroc Institute for International Peace Studies, University of Notre Dame.

Akan tetapi beliau telah meletakkan jawatan apabila visa beliau dibatalkan oleh kerajaan Amerika Syarikat kerana mengesyaki Tariq Ramadan terlibat dengan satu organisasi Islam yang dilabelkan oleh kerajaan Amerika Syarikat sebagai organisasi pengganas. Pada bulan Oktober 2005, Tariq Ramadan telah ditawarkan untuk memegang jawatan akademik di St. Anthony College, University of Oxford. Beliau memegang juga jawatan sebagai Professor di Oriental Institute, St Anthony’s College di samping menjadi pengajar di Faculty of Theology, University of Oxford.

Selain itu, beliau juga memegang jawatan sebagai Professor Pelawat untuk Fakulti Pengajian Islam di Qatar dan juga University Malaysia Perlis (UNIMAP). Jawatan lain yang dipegang oleh Tariq Ramadan ialah sebagai Senior Research Fellow di Doshisha University yang terletak di Kyoto, Jepun dan sebagai Director of the Research Centre of Islamic Legislation and Ethics (CILE) di Doha, Qatar.

Selain memegang jawatan di dalam bidang akademik, Tariq Ramadan juga ialah Presiden di European Muslim Network (EMN), satu pertubuhan yang menggabungkan tokoh pemikir Islam Eropah. Beliau juga merupakan ahli kepada International Union of Muslim Scholars yang keahliannya terdiri daripada ulama-ulama dan tokoh akademik Islam berpengaruh dari seluruh dunia.

Sebagai seorang jurucakap yang berani dan lantang, Tariq Ramadan juga dikenali melalui penulisan beliau yang banyak menyuarakan pandangan dan suara berkaitan kehidupan dan keadaan masyarakat minoriti Muslim di Eropah. Beliau telah menulis banyak jurnal akademik, artikel, buku dan juga penulisan internet dan juga di blog beliau sendiri.

Penulisan Tariq Ramadan memfokuskan kepada isu-isu berkaitan pemikiran Islam semasa, sirah Rasulullah dan sejarah Islam, ekonomi, politik dan isu-isu antarabangsa khususnya berkaitan Islam Penulisan Tariq Ramadan dilakukan di dalam 3 bahasa, iaitu bahasa Arab, Inggeris dan Perancis. Laman web rasmi Faculty of Oriental Studies, University of Oxford, di bahagian maklumat kakitangan pengajar di carian http://www.orinst.ox.ac.uk/staff/iw/tRamadan.html memaparkan senarai hasil penulisan Tariq Ramadan. Senarai penulisan ini merangkumi buku-buku yang ditulis oleh beliau sendiri dan penulisan dengan kerjasama penulis lain. Senarai penulisan beliau ialah menurut lawan web (sesawang) tersebut adalah seperti:

  1. Tariq Ramadan – Muslims in secular societies, responsibilities and rights of Muslim people in Western societies
  2. Tariq Ramadan – At the sources of the Islamic revival, one century of Islamic reform
  3. Tariq Ramadan – To Be A European Muslim
  4. Tariq Ramadan – Muslim in France
  5. Tariq Ramadan – Islam, the West and the Challenge of Modernity
  6. Tariq Ramadan – Western Muslim and the Future of Islam
  7. Tariq Ramadan – Globalisation, Muslim Resistances
  8. Tariq Ramadan – In the Footsteps of the Prophet: Lesson from the life of Muhammad
  9. Tariq Ramadan – Radical Reform Islam Ethics and Liberation
  10. Tariq Ramadan – What I Believe
  11. Tariq Ramadan – The Quest for Meaning, Developing a Philosophy of Pluralism
  12. Tariq Ramadan – The Arab Awakening, Islam and the New Middle East

Laman sesawang rasmi Faculty of Oriental Studies, University of Oxford ini juga menyatakan bahawa, sejak tahun 1991 sehingga 2008, Tariq Ramadan sudah menerbitkan sebanyak 960 hasil sumbangan dalam bidang penulisan, samada penulisan dalam bentuk buku, artikel, ulasan akademik, dan sebagainya. Di dalam satu artikel, Tariq Ramadan juga ada menyebut mengenai jumlah penulisan beliau: “I have also written over 700 articles. In my books and articles, I have written about Muslim identity, democracy, human rights, feminism, freedom of speech and conscience, and the practice of Islam in Europe”.

Tariq Ramadan Dan Kontroversi 

Tariq Ramadan merupakan seorang tokoh pemikiran Islam yang dipandang tinggi oleh masyarakat Muslim di seluruh dunia. Sebagai seorang tokoh akademik serta pejuang nasib umat Islam, beliau banyak membentangkan idea dan pemikiran berkaitan dengan keadaan Muslim di Eropah.

Namun begitu Tariq Ramadan juga sering dikaitkan dengan isu-isu kontroversi dan telah dilabelkan dengan pelbagai gelaran sama ada negatif dan positif oleh masyarakat dunia. Antara label yang diberikan kepada beliau ialah seperti doublespeak, ambiguous statements, rhetorical skills, anti-Semite, bridge builder, Martin Luther of Islam dan lain-lain lagi.

Label ini timbul kerana hasil kefahaman dan interpretasi yang berbeza akibat pembacaan hasil penulisan dan kuliah atau temu ramah yang dijalankan bersama Tariq Ramadan. Tariq Ramadan juga pernah dilabel sebagai ‘pengganas’ dan juga ‘penyokong keganasan’ akibat latar belakang beliau sebagai cucu kepada Hassan al-Banna. Hassan al-Banna terkenal di seluruh dunia sebagai pengasas gerakan Ikhwan al-Muslimin yang dituduh membawakan pemikiran politik Islam yang dikatakan radikal.

Tuduhan yang timbul bahawa Tariq Ramadan cuba menghidupkan kembali idea dan perjuangan datuk Hassan al-Banna kepada masyarakat Muslim di Eropah dinafikan sekeras-kerasnya oleh beliau. Tariq Ramadan menegaskan bahawa beliau hanya menyokong idea pembaharuan pemikiran Islam dan cuba memberi nafas segar dalam bidang pemikiran Islam di seluruh dunia. Beliau bukannya menyokong ideologi perjuangan gerakan Ikhwan al-Muslimin.

Tariq Ramadan pernah menjelaskan pendirian bahawa beliau bukanlah penyokong keganasan sebagaimana yang didakwa oleh media Barat dan tersebar di media sosial ataupun media massa di Barat. Bahkan beliau selalu menegaskan bahawa pendirian beliau ialah mempromosikan keindahan dan mesej keamanan yang dibawa oleh Islam kepada masyarakat dunia. Tariq Ramadan juga menjelaskan pendirian beliau sebagai seorang salafi reformist atau pembaharu pemikiran Islam berasaskan ajaran al-Quran dan hadis khususnya kepada Muslim di Eropah dan Barat.

Sebagai seorang Muslim, Tariq Ramadan mengajak umat Islam di seluruh dunia (khususnya di Eropah) untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bukan mengikuti ajaran pemikiran Islam yang dikelirukan oleh Muslim yang mengelirukan dan memburukkan Islam itu sendiri. Tariq Ramadan cuba untuk membersihkan kembali imej Islam yang telah dicemari dan diburukkan oleh musuh Islam dengan pelbagai isu kontroversi pengganas seperti kewujudan gerakan pengganas Islam Pakistan dan Afghanistan.

Begitu juga berkenaan isu perebutan kuasa dan kepimpinan antara sesama Muslim seperti yang boleh dilihat terjadi di Syria, Mesir dan Iraq. Selain itu isu diskriminasi terhadap wanita sebagaimana yang dilaporkan oleh media Barat berlaku di Arab Saudi apabila wanita dilarang melakukan sesuatu tanpa ditemani keluarga atau isteri memberi persepsi negatif masyarakat dunia terhadap Islam. Inilah antara fokus perjuangan utama Tariq Ramadan, iaitu berusaha untuk menaikkan kembali agama Islam dan masyarakat Muslim agar menjadi satu agama dan masyarakat yang senang didekati, mudah diterima serta tidak ditakuti oleh mereka yang bukan Islam, khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat.

Pada awal tahun 2018, beliau telah ditahan akibat dikenakan tuduhan merogol oleh 3 orang wanita, walaupun Tariq Ramadan menafikan tuduhan tersebut, tetapi mahkamah Perancis telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas beliau. Ada suara-suara mengatakan bahawa tuduhan rogol ini muncul kerana ada beberapa pihak di Eropah yang tidak boleh menerima usaha Tariq Ramadan menyatukan dan mengintegrasikan budaya Eropah dengan Islam, bahkan ada yang takut jika usaha Tariq Ramadan berjaya, ia akan menyebabkan islamisasi tersebar luas. Wallahualam.

Usaha yang dilakukan beliau ini meletakkan beliau sebagai penghubung dan wakil kepada golongan minoriti Muslim untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka perkara yang berlaku dalam masyarakat setempat.

RUJUKAN:

  • Azmi, Mohamad. 2014. European Islam And Reform: A Comparative Study Of The Theologies Of Yusuf Al-Qaradawi And Tariq Ramadan. Tesis PhD. University Of Birmingham.
  • Buruma, Ian. 2007. Tariq Ramadan has an identity issue. New York Times. http://www.nytimes.com/2007/02/04/magazine/04ramadan.t.html?_r=2&adxnnl=0&oref=sl.(15 Oktober 2014).
  • Foreign Policy. T.th. Who’s afraid of Tariq Ramadan. Foreign Policy. foreignpolicy.com. (14 April 2014).
  • Kechichian, Joseph A. Ramadan, Tariq Said. Oxford Encyclopaedia of the Islamic World. 21 Ogos 2015.
  • Nor Faridah Mat Nong.2015. Identiti Muslim Eropah, Perspektif Tariq Ramadan. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad.
  • Tariq Ramadan. 2004. Biography. http://www.tariqramadan.com/blog/2004/08/22/biography/ ?lang=fr. (8 Januari 2015).
  • https://www.sant.ox.ac.uk/people/tariq-ramadan