Tarian Manortor Suku Batak

0
258
views

Bagi yang sudah menonton filem Dukun tempoh hari lakonan mantap Ummie Aida, semestinya anda sudah familiar dengan nama suku kaum Batak. Filem tersebut sebenarnya telah selesai penggambarannya pada tahun 2006 lalu. Pada perancangan awal, Dukun bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada tahun berikutnya tetapi atas sebab filem ini berkait rapat dengan kontroversi pembunuhan kelas tinggi – Mona Fandey – maka Dukun tidak mendapat kebenaran untuk ditayangkan pada waktu itu. Dukun juga mendapat bantahan langsung daripada pihak keluarga Mona Fandey yang berasa tidak senang hati atas pembikinan filem tersebut. Namun demikian, producers Dukun berpendirian tegas bahawa filem ini dihasilkan atas pengalaman mereka sendiri.

Jadi, sehubungan dengan semakin meningkatnya populariti suku kaum Batak (selepas Dukun ditayangkan), saya tertarik untuk mengulas serba sedikit tentangnya. Tulisan ini akan berfokuskan terhadap budaya perkahwinan dalam suku kaum Batak yang sebenarnya tidak diketahui oleh masyarakat umum. Sudah beberapa kali saya menyaksikan upacara perkahwinan suku Batak dan berasa rugi kalau orang ramai tidak dapat mengetahui hal ini.

Suku Batak merupakan antara suku terbesar yang ada di Indonesia. Frasa ‘Batak’ merupakan satu istilah kolektif yang digunakan untuk mengklasifikasikan beberapa suku lain di Pantai Barat dan Pantai Timur Sumatera Utara. Antara suku Batak yang ada ialah Toba, Karo, Pakpak, Simalungun, Angkola dan Mandailing. Batak adalah rumpun suku-suku yang mendiami sebahagian besar wilayah Sumatera Utara.

Orang Batak merupakan penutur Bahasa Austronesia tetapi masih tidak diketahui rangka waktu yang spesifik nenek moyang orang Batak pertama kali menjejakkan kaki dan bermukim di Tapanuli dan Sumatera Timur. Bahasa dan bukti arkeologi menunjukkan bahawa penutur-penutur Austronesia dari Taiwan telah berhijrah ke wilayah Filipina dan Indonesia sekitar 2500 tahun dahulu.

Orang Batak kebiasaannya menganut agama Kristian Protestan, Kristian Katolik dan Islam. Namun, ada juga yang masih menganut pegangan Malim dan kepercayaan Aminisme tetapi dalam jumlah populasi yang minoriti.

Selayaknya suku kaum yang lain, Batak juga tidak ketinggalan dalam kekayaan adat dan budaya yang pelbagai. Salah satu budaya menarik suku Batak adalah ‘Tor-Tor Batak’ atau dipanggil ‘Tarian Manortor’. Tarian ini kebiasaannya dilakukan pada acara perkahwinan di pihak lelaki yang dikenali sebagai Pesta Margondang dan dilaksanakan oleh kedua-dua orang mempelai. Secara mudahnya, dalam acara ini akan dipanggil seorang ketua yang digelar Paronang-onang. Paronang-onang ini kemudiannya akan mendendangkan kisah-kisah para mempelai sambil diiringi alunan muzik. Ini secara mudahnya upacara Tarian Manortor atau Tor-Tor Batak.

Tarian Manortor sebenarnya bukan sekadar tarian yang biasa sahaja. Manortor mempunyai nilai estetika dan filosofinya yang tersendiri malah setiap gerakannya mempunyai makna khusus. Pada awalnya, tarian ini sering dikaitkan dengan ritual-ritual yang bersifat spiritual ataupun dengan alam roh.

Alunan muzik dalam upacara Manortor yang dikenali sebagai Gondang merupakan elemen yang tidak dapat dipisahkan. Sebelum Manortor berlangsung, satu ritual khusus akan terlebih dahulu dilaksanakan dengan melaksanakan mambuat tuah ni gondang (mensucikan gondang). Setelah Gondang selesai disucikan, proses seterusnya dimulakan yang dikenali sebagai ‘Tor-Tor Mula-Mula’. Tor-Tor ini adalah satu bentuk pengakuan manusia terhadap penciptaan bahawa seluruh isi yang ada di muka bumi ini mempunyai permulaan.

Waqaf Saham

Kemudian, setelah selesai Tor-Tor Mula-Mula, upacaranya akan dilangsungkan pula dengan ‘Somba-Somba’ bertujuan untuk menyembah Mulajadi Nabolon (Sang Pencipta) yang dianggap sebagai Sang Asal-Muasal itu. Lalu dilanjutkan pula dengan ‘Tor-Tor Liat-Liat’ yang mempunyai maksud bahawa manusia harus menyusun kehidupan mereka dengan percaturan Mulajadi Nabolon. Pasangan mempelai akan manortor dengan berkeliling di kawasan setempat.

Setelah selesai kesemua proses Tor-Tor di atas, maka dilanjutkan lagi dengan tarian lainnya yang tujuan da nisi tarian tersebut disesuaikan dengan latarbelakang atau hajat pasangan mempelai.

Setiap gaya atau pergerakan dalam Tarian Manortor mempunyai nilai mereka yang tersendiri. Apabila seseorang mengangkat tangan dan menunjukkan satu jari tangan kanan lalu menggenggam atau mengepal tangan kiri bermakna dia memiliki seorang sahaja anak lelaki. Jika seorang penari (panortor) meletakkan kedua-dua tangan di pundaknya, maksudnya semua anak dan perilaku mereka masih menjadi beban atau tanggungjawab yang masih harus dipikul olehnya.

Apabila panortor perlahan-lahan meletakkan tangannya di pinggang, maka ini membawa maksud bahawa dia mempunyai tahap kesetiaan yang sangat baik terhadap pasangannya. Jika si penari menyilangkan tangannya di dada, ini membawa maksud bahawa dia sering menjadi mangsa kepada cemuhan dan caci maki dalam kehidupan. Ada juga antara panortor yang meletakkan kedua-dua tangannya di atas kepala.

Perbuatan ini membawa maksud bahawa dia memohon belas kasihan dan perlindungan daripada manusia sekeliling dan terhadap Yang Maha Esa. Gerakan yang satu ini membuatkan saya sangat tertarik dengan adat Tor-Tor Batak ini. Jika seseorang penari merapatkan kedua-dua tangannya di pinggang serta telapak tangannya digenggam lalu diarahkan ke belakang, ini bermakna masih terdapat banyak rahasia kehidupannya yang masih belum diberitahukan kepada orang ramai. Wah! Boleh main True or Dare? ini.

Jika seseorang penari itu merentangkan tangan ke depan dengan telapak tangan kanan dibuka dan tangan kiri diletakkan di perut, ini bermakna penari tersebut mengharapkan hadirnya rezeki atau bantuan kerjasama untuk mendapatkan keberuntungan kepada dirinya. Sekiranya tangan kiri dirapatkan di dada dan telapak tangan kanannya dibuka bermakna dia mengharapkan kepada persahabatan dan kerukunan bersama masyarakat sekeliling.

Demikianlah maksud yang tersirat di sebalik Tarian Manortor yang terkenal dalam kalangan suku Batak. Begitulah serba sedikit yang dapat saya kongsikan tentang adat dan budaya rumpun Melayu di Nusantara kita. Sewajarnya adat dan budaya rumpun Melayu harus dihayati dan dilindungi kerana ia melambangkan jati diri dan pendirian kita.

Gambar 1 : Pakaian tradisional dalam adat perkahwinan suku Batak dan kedua-dua mempelai bersedia untuk melaksanakan Tarian Manortor. Sumbangan ikhlas daripada Andi Saputra Harahap Gelar Raja Tongku Lobe Muktar Harahap.
Gambar 2 : Gambar bersama pasangan Batak di Masjid Tanah, Melaka.

Sumber Rujukan:       :