Tarakan “Pearl Harbor” Borneo Januari 1942

0
824
views

JIKA kita menggodek sejarah Perang Dunia Kedua menyaksikan kempen Perang Pasifik Borneo bermula di Sarawak iaitu di bumi Miri pada malam sambutan Krismas 1941.  Pada ketika itu tentera Nippon Go telah membantai bumi Miri terlebih dahulu kerana disinilah berpusatnya segala sumber “emas hitam” iaitu minyak bagi Sarawak mahupun Brunei (Seria) itu sendiri.  Setelah bumi Miri jatuh ke tangan Jepun barulah mereka mula bergerak ke seluruh Sarawak, North Borneo dan Brunei.

Untuk wilayah yang dikuasai oleh Koloni Belanda di Borneo iaitu Kalimantan masih lagi berkisar di kawasan minyak iaitu di Tarakan yang menjadi zon ekonomi terpenting pada masa itu.  Menurut sejarahnya sebelum pendudukan Jepun di Kalimantan, Tarakan itu sendiri telah menghasilkan 80,000 barel minyak pada akhir tahun 1941 yang menjadikan ianya adalah lokasi terpenting untuk Jepun kuasai di Borneo selepas Miri dan Seria.

Sebenarnya di ketika Jepun mula menghampiri bumi Tarakan iaitu seperti juga Sarawak yang mana menyaksikan Tuan Rajah Charles Vyner Brooke telah mengarahkan agar teknik bumi hangus dikenakan ke atas kesemua sumber minyak dan infrastruktur di Miri sehingga menyebabkan kemusnahan yang teruk pada andaian beliau bagi menidakkan Jepun mampu menggunakan sumber yang telah dibina.  Namun andaian Tuan Rajah CV Brooke turut meleset kerana hanya selepas tiga bulan pendudukan segala infrastruktur telah berjaya dibangunkan semula oleh Jepun ketika Perang Dunia Kedua berlangsung.

Begitulah juga yang terjadi di pihak Koloni Belanda kerana atas dasar tidak mahu Jepun sewenang-wenangnya menggunakan kemudahan yang mereka dirikan sejak di tahun 1876 lagi maka teknik yang sama digunapakai.  Dikatakan selang satu hari sebelum Jepun tiba, Tarakan dilihat seolah-olah seperti sebuah pulau yang terbakar dengan asap hitam berkepul-kepul ke udara akibat daripada banyak kemudahan dibumihanguskan oleh Leftenan Kolonel S. de Waal dengan dibantu askar-askar garison Koloni Belanda di Tarakan.

Melalui risikan tentera menyatakan bahawa tentera Jepun sebelum mula menjejakkan kaki mereka di Tarakan iaitu ketika dinihari tanggal 11 Januari 1942 terlebih dahulu sudahpun mula menghantar misi-misi intipan udara dengan melakukan penerbangan di ruang udara Tarakan menggunakan empat buah pesawat tenteranya pada tanggal 25 Disember 1941.  Pada masa itu ianya hanya penerbangan biasa manakala pada tanggal 28 Disember 1941 pula, lapan buah lagi pesawat tentera Jepun mencabul ruang angkasa Tarakan namun pada kali ini ianya ditentang hebat oleh lima pesawat Koloni Belanda.  Pada hari itu telah berlaku aksi tembak menembak dan kejar mengejar di udara sehingga tiga buah pesawat Koloni Belanda terjunam di laut Tarakan dan infrastruktur lapangan terbang mereka turut rosak teruk dibantai oleh pesawat Jepun.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa selepas aksi yang berlaku pada 28 Disember 1941 iaitu pada tanggal 1 Januari 1942, Jepun pernah menghantar telegraf kepada Koloni Belanda di Batavia untuk berdamai dan menyerahkan jajahan mereka “secara baik”.  Namun Koloni Belanda dengan penuh sombong telah menginjak-nginjak ajakan “perdamaian” daripada Jepun sehingga menyaksikan satu perang sudah tidak mampu lagi dielakkan di bumi Tarakan pada masa itu.  Dalam pada itu juga, Koloni Belanda dibawah Gabenor Jeneral Koloni Belanda di Batavia iaitu Jhr. A.W.L Tjarda van Starkeborgh-Stachower dikatakan telah mengarahkan agar kesemua kapal-kapal dagang mereka yang berada di wilayah Borneo untuk segera beredar dan berlabuh di luar kawasan perang.

Menjelang dinihari pada tanggal 11 Januari 1942 akhirnya tentera Nippon Go mula menghampiri Tarakan.  Dikatakan ada lebih kurang 20,000 orang tentera Jepun yang mendatangi Tarakan pada masa itu dengan kekuatannya dua ketumbukan angkatan laut Jepun iaitu dari Nihon Rikugon dan Teikoku Kaigun yang bergerak dari Pulau Davou, Filipina.  Bersama-sama mereka adalah dua buah “heavy Cruiser”, lapan buah kapal “destroyer” dan satu batalion tempur angkatan tentera udara yang dinamakan Zero.  Dibawah pemerintah tentera Jepun yang menyerang Tarakan pada masa itu iaitu Admiral Takeo Kurita akhirnya menjelang pagi tanggal 12 Januari 1942 selepas bertempur hampir satu hari satu malam akhirnya Tarakan jatuh jua menjadi jajahan takluk Jepun sekaligus mencatat sejarahnya tersendiri sebagai tanah jajahan Koloni Belanda yang pertama jatuh ke tangan Jepun.

Bumi Tarakan hampir “lumat” dibantai oleh Jepun kerana pada sebenarnya ia adalah satu pertempuran yang berat sebelah.  Dikatakan berat sebelah kerana bumi Tarakan hanya dipertahankan oleh seramai 1,300 orang askar garison Koloni Belanda berbanding 20,000 askar Jepun.  Pada masa pertempuran itu berlangsung juga menyaksikan hanya 225 orang tentera Jepun yang terkorban manakala separuh daripada tentera Koloni Belanda menemui mautnya samada oleh peluru tanpa mata Jepun atau dipenggal kepalanya oleh samurai tajam tentera Jepun.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

Book Title: Battle Of Tarakan (1942). Edited by Frederick P. Miller, Agnes F. Vandome, John McBrewster

Buku: Tarakan “Pearl Harbor” Indonesia (1942-1945) oleh Iwan Sentosa

Battle of Tarakan (1942) https://worldhistoryproject.org/1942/1/11/battle-of-tarakan-1942

Perebutan Minyak Dan Perang Pasifik Di Tarakan https://nasional.kompas.com/read/2010/10/09/03550019/about.html

Bombardir Tarakan http://muhammadzarkasy-bulungan.blogspot.my/2010/07/bombardir-tarakan.html

Strategi Jepang “Membelit” Nusantarahttp://nationalgeographic.co.id/berita/2013/11/strategi-jepang-membelit-nusantara