Tapaw: Apps Penghantaran Makanan Baru?

407

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Sepertimana jenama ‘Foodpanda’, ‘GrabFood’, ‘DeliverEat.my’ dan ‘DahMakan’ telah mempermudahkan urusan orang ramai untuk membeli makanan serta barangan tanpa perlu keluar rumah, rakyat Malaysia kini diberikan ‘option’ penghantaran terbaharu yang dikenali sebagai ‘TAPAW’.

Tapaw adalah sebuah syarikat ‘startup’ baharu keluaran Malaysia, yang mula menjengah pasaran perniagaan tempatan pada bulan September 2020. Syarikat Tapaw Groups Sdn Bhd yang berpengkalan di Shah Alam, Selangor ini dikatakan memiliki potensi nilaian sebanyak RM1 Juta.

Pada 15 Disember 2020, jenama ini telah diperkenalkan secara rasmi oleh Kerajaan Negeri Perlis menerusi penganjuran majlis pelancaran aplikasi Tapaw yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, Kangar. Menurut kenyataan YAB Datuk Seri Azlan Man (Menteri Besar Perlis), Tapaw adalah jenama yang dibangunkan oleh anak jati Perlis.

Tambah beliau, syarikat ini berpotensi untuk menawarkan sebanyak 100 000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia, khususnya anak-anak muda yang berminat untuk menjadi seorang ‘driver’, ‘rider’ penghantar makanan mahupun ‘runner’ penghantar barangan persis jenama-jenama besar yang lain.

Setakat bulan Disember, Tapaw berjaya mendaftarkan kira-kira 47000 unit kenderaan penghantaran menurut laporan daripada portal Berita RTM. Angka ini diperoleh kurang daripada tujuh bulan, dan dijangka akan meningkat seiring dengan perkembangan semasa.
Selain makanan, Datuk Anuar A Rahman selaku Ketua Pegawai Eksekutif turut menyatakan bahawa Tapaw memiliki kepelbagaian rangkaian perkhidmatan berasaskan ‘delivery’ yang merangkumi penghantaran barang dapur, ubat-ubatan, bungkusan (parcel), dokumen dan sebagainya, termasuk khidmat pindah rumah.

Jika anda meneliti portal rasmi tapaw.com, terdapat lima jenis kenderaan penghantaran yang didaftarkan di bawah jenama ini, iaitu; motorsikal, kereta, van, ‘pickup’ trak, lori 1 tan & 3 tan. Kesemuanya menjalankan khidmat mengikut kesesuaian permintaan pengguna, tertakluk kepada had berat dan kadar caj yang ditetapkan.

Dalam pada itu, pengguna-pengguna telefon pintar boleh memuat turun aplikasi Tapaw yang tersedia di ‘Google Play Store’, ‘Apple App Store’ atau ‘Huawei AppGallery’, iaitu ‘TAPAW- Food & Parcel Express Delivery’ untuk pengguna ataupun ‘TAPAW Driver- Drive & Earn Extra Income’ untuk kegunaan para ‘rider’ dan ‘runner’.

Seperti apa yang kita ketahui, pasaran ‘ekonomi gig’ sudah lama bertapak dan berkembang di seluruh pelosok dunia. Di Malaysia sahaja, terdapat kira-kira 4 juta pekerjaan bebas atau lebih dikenali sebagai ‘freelancer’. Angka ini mewakili 26% daripada keseluruhan pasaran tenaga buruh, berdasarkan statistik terkini.

Pekerjaan sebagai penghantar makanan dan barangan adalah tergolong di dalam pasaran tenaga buruh sektor ‘ekonomi gig’, yang mana pekerjaan jenis ini memiliki struktur kerja yang agak berbeza berbanding dengan pekerjaan atau tenaga buruh ‘konvensional’.
Hal ini dikatakan demikian kerana, pekerjaan jenis ini memiliki tahap ‘flexibility’ yang tinggi, khususnya berkenaan dengan tempoh masa bekerja, keberadaan tempat kerja, jenis kerja, serta kadar upah yang bergantung sepenuhnya terhadap daya produktiviti serta kemahiran tertentu.

Sebagai contoh, seorang ‘rider’ Food Panda boleh menikmati bayaran sehingga RM3680 sebulan menerusi skim pembayaran terbaharu jika mereka berjaya mengekalkan konsistensi. Perkiraannya adalah seperti berikut; RM7 untuk setiap pesanan; RM168 sehari jika berjaya memperoleh 24 pesanan, berserta bonus tambahan sebanyak RM80 seminggu. ‘Rider’ memiliki autonomi sendiri untuk menentukan masa bekerja.

Oleh itu, boleh kita rumuskan di sini bahawasanya ekonomi gig memiliki hipotesis mudah seperti; semakin banyak ‘job’ kita buat dalam sehari, semakin banyak pendapatan kita peroleh.

Menurut laporan ‘Global Gig Economy Index’ terbitan tahun 2019, Amerika Syarikat mendahului carta peningkatan pendapatan (revenues) di dalam pasaran tenaga buruh sektor ekonomi gig dengan rekod sebanyak 78%, diikuti United Kingdom (59%), Brazil (48%), Pakistan (47%), Ukraine (36%), Filipina (35%), India (29%), Bangladesh (27%), Russia (20%), dan Serbia (19%).

Hasil kajian yang dijalankan oleh ‘Payoneer’ mendapati bahawa, kelas umur 18 hingga 24 tahun mewakili 16% daripada keseluruhan tenaga buruh sektor ekonomi gig pada tahun 2019. Manakala, kelas umur 24 hingga 34 tahun pula memiliki peratusan tertinggi iaitu 48%, diikuti 35 hingga 44 tahun (23%), 45 hingga 54 tahun (9%) dan 55 tahun ke atas (5%).

Semestinya penularan pandemik Covid-19 memberikan impak positif ke atas ‘platform’ penghantaran makanan dan barangan, memandangkan orang ramai memilih untuk mengurangkan pergerakan di luar rumah. Perkara ini telah pun dibuktikan dengan peningkatan tempahan penghantaran sebanyak 30% seawal bulan Mac 2020, seiring dengan langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

Berdasarkan laporan FMT, Foodpanda merekodkan peningkatan permohonan pekerjaan sebanyak 37% di sepanjang bulan Mac yang lalu, di samping peningkatan 6.7% jumlah penghantar berdaftar sepertimana yang diperkatakan oleh Shubham Saran, selaku Ketua Logistik Foodpanda Malaysia.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.