Tapak Kaki Dinosaur, Asteroid & Kepupusan

231
views

Cal Orcko.. itulah nama sebuah kawasan yang terletak hanya 3 batu dari arah selatan bandar Sucre, di negara Bolivia. Ia sangat terkenal di kalangan pelancong. Bagi pakar akademik pula, ia ibarat gedung ilmu, terutama sekali bagi mereka yang belajar bidang arkeologi dan paleontologi.

Istimewanya Cal Orcko kerana ia merupakan ‘kediaman’ kepada koleksi terbesar dan pelbagai jenis dan saiz kesan tapak kaki haiwan purba yang telah pupus, yakni Dinosaur dari zaman Cretaceous.

Tapak-tapak kaki tersebut dapat dilihat tersebar dengan banyaknya pada permukaan cerun batu kapur yang berketinggian 300 kaki (91 meter) dan mempunyai lebar sepanjang 1.6 kilometer itu.

Dianggarkan bahawa, terdapat sekurang-kurangnya 5000 kesan tapak kaki, dari 8 sehingga 15 spesies dinosaur yang berbeza.

Cretaceous Ke Paleogene

Secara ringkasnya, zaman Cretaceous ialah zaman terakhir dan segmen paling lama dalam Era Mesozoic yang bertahan sekurang-kurangnya selama 79 juta tahun.

Peralihan ke zaman Cretaceous telah bermula dari peristiwa kepupusan kecil, iaitu setelah berakhirnya zaman Jurassic, kira-kira 145.5 juta tahun dahulu.

Menemui nasib yang sama seperti zaman Jurassic, Cretaceous berakhir selepas terjadinya peristiwa kepupusan Cretaceous-Paleogene besar-besaran pada 65.5 juta tahun dahulu. Yang menurut teori serta dapatan daripada kajian saintis dari seluruh dunia, kepupusan ini adalah disebabkan oleh hentaman asteroid ke muka bumi.

Pada tahun 1979, seorang ahli geologi yang sedang dalam kajian mengkaji lapisan batu memisahkan zaman Cretaceous dan zaman Paleogene, telah menemui sesuatu yang sangat menarik. Yakni pembentukan lapisan nipis tanah liat berwarna kelabu.

Lapisan tanah berdasarkan tempoh masa geologi

Analogi mudah, cuba bayangkan:

– Zaman Cretaceous ibarat sekeping roti yang diletakkan di bawah.

– Kemudian lapisan tanah liat kelabu berada di atas ‘roti’ Cretaceous seakan mentega.

– Manakala Paleogene pula ibarat satu lagi lapisan roti di atas ‘mentega’ tanah liat kelabu itu tadi.

Seterusnya, melalui kajian dilaksanakan oleh saintis lain, juga turut menemui pembentukan nipis tanah liat kelabu ini di seluruh dunia. Adakah signifikan kewujudan tanah liat ini?

Berdasarkan ujian untuk mengenal pasti mineral yang terkandung pada tanah liat tersebut, ia mengandungi konsentrasi tinggi Iridium, sejenis elemen yang sangat jarang dijumpai di bumi, namun Iridium ini kebiasaannya ditemui di dalam batuan meteorit.

Seterusnya, di dalam lapisan tanah liat ini juga menunjukkan pembentukan “shocked quartz”. Ia berbeza dari kuarza (quartz) biasa, kerana “shocked quartz” hanya terbentuk di bawah tekanan yang sangat tinggi.

Selain itu, terdapat pembentukan globe kecil seakan kaca dikenali dengan nama tektites, yang hanya terbentuk apabila sesuatu batuan itu mengewap serta-merta, yang kemudiannya disejukkan dengan cepat. Sesuatu yang hanya terjadi sekiranya objek dari angkasa lepas (meteor / asteroid) menghentam bumi dengan kuasa yang sangat dahsyat.

Bagaimana tapak kaki dinosaur ini menjadi fosil?

Ia telah dispekulasikan bahawa, bandar Sucre ini pada puluhan juta tahun dahulu, merupakan sebuah teluk yang terletak di tepi laut. Dan kawasan Cal Orcko ini adalah sebahagian daripada pantai nya.

Dinosaur yang berjalan melalui garisan pantai ini semasa zaman Cretaceous dahulu, telah meninggalkan kesan tapak kakinya pada tanah liat lembut dan ia telah terfosil apabila tanah liat itu menjadi kering semasa musim kemarau.

Tidak terhenti begitu sahaja, mendapan tanah liat baru akan terbentuk, menutupi tanah liat keras yang mempunyai kesan tapak kaki terdahulu.

Perkara ini dibuktikan melalui satu kejadian runtuhan pada satu bahagian cerun batu kapur pada tahun 2010. Ia telah mendedahkan lapisan lain yang mempunyai bekas tapak kaki dinosaur.

Pembentukan Cerun

Soalan ini mungkin sedang bermain di fikiran anda. “Cerun ni menegak, takkan dinosaur panjat macam Spiderman?”

Melalui sebuah hipotesis yang diketengahkan, kawasan teluk purba ini akhirnya telah menjadi sebuah tasik air tawar. Ini adalah berdasarkan penemuan fosil hidupan air tawar di kawasan yang sama. Tambahan lagi, anda perlu tahu bahawa pada puluhan juta tahun dahulu, bentuk daratan pada muka bumi ini bukanlah seperti zaman sekarang ini.

Spesies dinosaur yang meninggalkan kesan tapak kaki di kawasan ini.

Justeru ini bermaksud, tasik tersebut telah terbentuk melalui pergerakan pada plat tektonik. Pergerakan plat tektonik ini juga lah yang telah menolak dataran yang mempunyai fosil kesan tapak kaki dinosaur ini ke atas, sehinggalah ia menjadi sebuah dinding seperti sekarang. Satu proses yang sama dalam pembentukan banjaran atau gunung-ganang.

Pergerakan plat tektonik yang menyebabkan benua super Pangaea berpecah menjadi seperti sekarang. Satu proses yang memakan masa ratusan juta tahun.

RUJUKAN:

A wall in Bolivia is covered in thousands of dinosaur footprints, and it’s becoming a major tourist attraction. Retrieved from:  http://www.businessinsider.com/cal-orcko-in-bolivia-is-covered-in-dinosaur-footprints-2015-6?IR=T&fbclid=IwAR3ow9e1qx8qEaiw-AYPnvZ38nyz4I3IA3WXmrcFXPAQxKfaOBsP610fkjY

Dinosaur tracks in Bolivia threatened with extinction. Retrieved from:  https://phys.org/news/2014-10-dinosaur-tracks-bolivia-threatened-extinction.html?fbclid=IwAR1SwPBg9aiMue-MiDntVLp6K4IBXrBk-Bv0WRb5NzZG33WBTC5PKzdrB-4

Dinosaur Dance Floor. Retrieved from:  https://www.atlasobscura.com/places/dinosaur-dance-floor?fbclid=IwAR2YbxTwTfRFGAcu80KoR8F9T0vZrLtk5pXZ6kdzwDomXxLHunAMIVX8SOs

Cretaceous Period: Animals, Plants & Extinction Event. Retrieved from:https://www.livescience.com/29231-cretaceous-period.html