Sekitar 15 km dari bandar Sanliurfa, Turki berdiri monumen bersejarah yang dimegah-megahkan sebagai yang paling tua di dunia. Tua yang bagaimana? Jauh lebih tua berbanding mana-mana monumen yang biasa kita dengar selama ini, misalnya Piramid Giza (sekitar 2500SM) dan Stonehenge (3000SM).

Juga jauh mendahului sistem penulisan kuneiform, yang didakwa sebagai sistem penulisan pertama manusia (3500-3000SM). Dan lebih aneh, usianya lebih awal berbanding petempatan tertua di rantau tersebut yang memiliki kesan jejak amalan pertanian (petempatan Catalhoyuk, Turki, 7500-5700SM)  – bermaksud monumen ini berkemungkinan mendahului amalan pertanian komuniti di situ, pada waktu itu. Setakat ini, monumen yang boleh menandingi usianya adalah sisa runtuhan yang terdapat di tapak Tell Qaramel, Syria.

Monumen yang dimaksudkan adalah Gobekli Tepe, sebuah kompleks batu-batuan dipercayai sebagai kuil yang berkeluasan satu ekar walaupun pakar memperkirakan luas sebenarnya mampu mencecah sehingga 22 ekar. Para penyelidik meletakkan pentarikhan bagi monumen ini adalah sekitar 11 500 tahun dahulu (9500SM).

GOBEKLI TEPE HIDUP SEMULA PADA KURUN KE-20

Keadaan tapak Gobekli Tepe sangat terpelihara ketika ia ditemukan semula oleh manusia di zaman moden. Menurut para arkeologis, Gobekli Tepe dikambus oleh masyarakat setempat sekitar tahun 8000SM sehingga ia tertimbus di bawah bukit buatan. Menerusi kaedah inilah ia dapat terpelihara dengan begitu baik selama ribuan tahun.

Peta lokasi Gobekli Tepe

Gobekli Tepe pertama kali ditemukan semula oleh manusia pada tahun 1960an. Namun pada waktu itu, individu yang menemukannya tidak menjangkakan signifikasi besar yang dimiliki oleh monumen berkenaan. Melihat beberapa bongkah batu kapur yang telah runtuh dan sedikit hancur, mereka menganggap Gobekli Tepe ini tidak lain hanyalah sebuah tapak permakaman biasa sahaja. Telulang manusia, artifak persemadian, sarcophagi, atau artifak-artifak tipikal lain – itulah apa yang mereka jangka tertanam di tapak Gobekli Tapak.

Namun hakikat sebenar hanya terdedah kira-kira 30 tahun kemudian, tepatnya, tahun 1994 apabila seorang ahli arkeologi Jerman yang bernama Klaus Schmidt melawat tapak berkenaan. Sebaik tiba di sana, beliau langsung sahaja menyedari terdapat sesuatu yang ‘besar’ terkambus di tapak tersebut. “Sekilas pandang sahaja, saya tahu bahawa saya hanya ada dua pilihan – iaitu beredar dari situ tanpa memaklumkan (apa yang saya temui itu) kepada sesiapa atau meluangkan seluruh hidup saya untuk bekerja di tapak ini.”

Sama benarnya dengan telahannya itu, Schmidt membuat pilihan yang betul. Beliau kekal mengusahakan kerja-kerja ekskavasi di Gobekli Tepe sejak tahun 1995 dengan bantuan Institusi Arkeologi Jerman. Pentarikhan karbon ke atas tapak berkenaan yang mengisyaratkan bahawa ia dibina pada 11 500 tahun dahulu membuatkan Schmidt terus bertekad dengan usahanya itu.

CIRI BINAAN KOMPLEKS BERSEJARAH GOBEKLI TEPE

Setakat apa yang telah ditemukan, Gobekli Tepe bukanlah sebuah petempatan manusia. Oleh kerana itu jika kita membuat carian tentang ‘tamadun manusia tertua di dunia’, bukan nama Gobekli Tepe yang hadir sebaliknya petempatan Catalhoyuk memandangkan Catalhoyuk memiliki ciri yang lengkap untuk diperakui sebagai sebuah tamadun sama seperti tamadun-tamadun purba lain – Indus, Mesopotamia, dan lain-lain.

Ujian geomagnetik dan kerja-kerja ekskavasi yang dijalankan di tapak Gobekli Tepe mendapati terdapat paling kurang 200 bongkah batu yang didirikan sehingga membentuk 20 buah bulatan. Menurut penelitian para penyelidik, monumen ini memiliki satu pola asas di mana dua buah tiang batu bersaiz besar diletakkan di tengah-tengah setiap bulatan. Lalu, kedua-dua tiang batu tersebut dikelilingi oleh sejumlah bongkah batu yang membentuk seakan-akan pagar atau tembok.

Kesemua tiang batu ini berbentuk huruf ‘T’ dengan ketinggian antara 3 hingga 6 meter. Berat setiap satunya pula antara 40 hingga 60 tan, angka yang cukup untuk membuatkan kita tergaru-garu kepala dek memikirkan bagaimana manusia pada zaman itu mampu mencipta, menggerakkan, mendirikan dan malah menyempurnakan kesimetriannya.

Bongkah berbentuk ‘T’ (kiri) dan ukiran haiwan pada batu di Gobekli Tepe

Tidak cukup dengan ketinggian dan ukuran berat, tiang-tiang batu ini juga memiliki ukiran pelbagai haiwan seperti kerbau, ular, musang, burung jenjang, singa dan lain-lain. Bukan setakat ukiran, wujud juga di sana patung-patung berbentuk singa. Ciri-ciri sebeginilah yang membuatkan Gobekli Tepe sangat signifikan dalam kalangan sejarahwan dan arkeologis, kerana menghadirkan hipotesis bahawa manusia yang hidup di sana pada waktu itu jauh lebih maju berbanding apa yang ditanggapi kita sebelum ini.

FUNGSI KEAGAMAAN GOBEKLI TEPE

Memandangkan tidak terdapat binaan atau kesan tinggalan yang merupakan keperluan hidup bagi sesebuah komuniti masyarakat, seperti ketuhar tanah, lubang membakar sisa buangan atau bahkan kebun tanaman, Gobekli Tepe dianggap bukan petempatan manusia di zamannya. Paling tidak, masyarakat yang berhubung secara langsung dengan Gobekli Tepe tidak hidup secara tetap di situ. Kalau begitu, apakah kefungsian Gobekli Tepe?

Secara umum, kebanyakan penyelidik berpendapat bahawa Gobekli Tepe merupakan sebuah kompleks kuil atau kompleks keagamaan (kepercayaan), mungkin yang paling tua di dunia selain Ka’bah sebelum ia dibangunkan oleh Nabi Adam alaihissalam.

Pendapat ini berdasarkan daripada ciri-ciri yang terdapat pada kompleks berkenaan – baik dari seni binanya yang berbentuk bulatan mahupun ukiran-ukiran pada bongkah batunya, dan bahkan menurut Schmidt, hakikat bahawa ia merupakan tempat kunjungan suci manusia purba.

Bahkan menurut Profersor Klaus Schmidt, Gobekli Tepe merupakan tempat suci yang menerima kunjungan manusia di zaman purba, baik dari Jerusalem mahupun Mesir. “Saya berpendapat kami sedang berhadap-hadapan dengan sebuah simbolisasi terawal (kepercayaan terhadap) para dewa,” ujarnya. Jika benar pendapat Schmidt ini, maka Gobekli Tepe sememangnya merupakan sebuah monumen keagamaan yang sangat penting di zaman purba.

Salah sebuah dari sekalian patung batu di Gobekli Tepe

Naratif yang hampir serupa turut disuarakan oleh seorang lagi arkeologis yang turut terlibat secara langsung dalam kerja-kerja ekskavasi di tapak berkenaan, iaitu Jens Notroff. Menurut beliau, Gobekli Tepe adalah sebuah mercu tanda tempat manusia zaman dahulu kala saling bertemu.

Beliau melampirkan beberapa buah penemuan telulang haiwan seperti gazel, rusa, burung dan auroch yang diandaikan telah diburu dan dibawa ke tapak berkenaan sebagai hidangan dalam pertemuan-pertemuan yang dilangsungkan di situ. Selain itu, terdapat juga beberapa buah kendi batu yang agak besar, cukup besar untuk menampung kira-kira 40 gelen air sebagai bekalan semasa perjalanan jauh yang ditempuh.

Berikutan kefungsiannya yang diandaikan melibatkan hal-hal keagamaan atau kepercayaan masyarakat di zaman itu, sebahagian ilmuwan membuat suatu lagi andaian. Menurut mereka, Gobekli Tepe berkemungkinan adalah Kebun Eden (atau sebuah kuil di Kebun Eden) yang disebutkan di dalam Kitab Kejadian.

Tambahan lagi, sejak dahulu lagi Hilal Subur (Fertile Crescent) dikaitkan dengan Kebun Eden dan Gobekli Tepe sememangnya terletak di dalam Hilal Subur, lebih-lebih lagi ia diapit oleh dua batang sungai penting iaitu Sungai Furat dan Sungai Tigris. Walau apapun keadaannya, hal ini merupakan suatu nilai tambah bagi signifikasi yang dimiliki oleh Gobekli Tepe.

Gambaran bentuk sebenar Gobekli Tepe

MENGUBAH PANDANGAN TERHADAP SEJARAH KETAMADUNAN MANUSIA

“Gobekli Tepe telah mengubah segala-galanya,” ujar seorang ahli antropologi dari Universiti Stanford yang bernama Ian Hodder. Kenyataan beliau ini sememangnya bukanlah suatu romantisme atau berlebih-lebihan.

Setiap sudut pada batang tubuh Gobekli Tepe menghadirkan seribu macam persoalan yang sama sekali berbalikan dari pemahaman kita selama ini tentang peradaban manusia. Manusia yang pada zaman itu, kita perkirakan tidak memiliki sebarang peralatan tangan asas, tiada sistem penulisan, tiada struktur ketamadunan – sama sekali primitif.

Bahkan kita juga mempercayai bahawa sesebuah ketamadunan itu bermula apabila berkembangnya aktiviti pertanian di dalam sesebuah komuniti masyarakat. Namun memetik daripada sumber-sumber yang dirujuk, Gobekli Tepe menghadirkan sebuah konsep bahawa ketamadunan manusia bukanlah bermula apabila kelangsungan hidup manusia terjamin (menerusi perkembangan aktiviti pertanian), akan tetapi apabila kepercayaan dan kebudayaan manusia terpelihara (menerusi pembinaan monumen keagamaan).

Pandangan tapak Gobekli Tepe dari udara

RUJUKAN

Mark Oliver. (14 Jun 2018). Built 6000 Years Before Stonehenge, Gobekli Tepe is the Oldest Temple in the World. All That Interesting.
https://allthatsinteresting.com/gobekli-tepe

Ancient Origins. (8 Mac 2013). The Mysterious Gobekli Tepe in Turkey.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mysterious-gobekli-tepe-inturkey-00186

Gobekli Tepe. The Oldest Temple of the World.
http://gobeklitepe.info/

CPilgrim. (n.d.). Gobekli Tepe. Atlas Obscura.
https://www.atlasobscura.com/places/gobekli-tepe

Stephan Roget. This Archaeological Site is Rewriting Our Entire Understanding of Human History. Ranker
https://www.ranker.com/list/facts-about-gobekli-tepe-turkish-archaeological-site/stephanroget


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.