Tapai Merah Dan Sains Mikrob

9,602

Semasa aku cuti pertengahan semester, aku singgah sebentar ke pejabat TP di Seri Rampai untuk melepak dan juga berbincang tentang projek video. Sementelah lama aku berada di situ, salah seorang staf editor video menanyakan soalan pelik kepada aku:

“Kenapalah kan, kalau perempuan tu ada haid, dia tak boleh buat tapai? Kalau dia buat tapai jugak, mesti tapai tu jadi merah.”

Untuk seketika, aku termenung. Aku cuba fikirkan jawapan dan tak lama kemudian aku dapat jawapannya. Ia lebih kepada hipotesis sebenarnya sebab aku tak jumpa kertas kajian tentang bend ani, tapi itu lah, kalau aku nak cerita rasa macam tak senonoh pula.

Apa apa hal, kita mulakan dahulu dengan prinsip asas tapai merah tu. Dalam sains mikrobiologi, kita ada satu terma yang dipanggil sebagai mikrobiota.

Selalunya apabila disebut habitat, pasti kita akan terbayang haiwan, pokok dan sungai. Demi menyeimbangkan ekosistem, mereka selalunya mempunyai hubungan antara satu sama lain seperti hubungan pemburu-diburu, parasitism, mutualism dan sebagainya.

Tempat di mana mereka mampu hidup dan membiak ini kita panggil sebagai habitat. Bezanya, ia lebih kepada makrohabitat. Habitat besar. Makhluk hidup dalam habitat tersebut pula kita panggil sebagai makrobiota. Biota besar.

Namun, kita juga ada mikrohabitat dan anda tak perlu tengok jauh pun. Kulit anda tu sendiri ialah mikrohabitat. Kulit pada tapak tangan anda sahaja barangkali mempunyai sejumlah mikrobiota yang tak terkira. Mikrobiota di sini merujuk kepada mikrob seperti bakteria, virus, arkea dan kulat. Hidupan halus.

Sebagaimana ekosistem hutan yang mempunyai biota berbeza mengikut habitat masing masing, seperti hutan hujan dan hutan tundra, begitu jugalah mikrobiota kepada mikrohabitat. Beruang polar tak boleh hidup di hutan hujan, dan bakteria yang hidup pada kulit tak semestinya boleh hidup dalam mulut.

Image result for microbiota human

Antara contoh terkenal mikrohabitat dan mikrobiota ialah usus manusia. Untuk mewujudkan makrobiota dan mikrobiota yang banyak dan berbilang, habitatnya perlulah mempunyai makanan dan keperluan asas yang cukup untuk menampung mereka. Bagi usus manusia, tahi kita adalah sumber makanan tersebut. Antara sebab kenapa kentut anda berbau adalah bakteria inilah.

Ada yang menapai makanan yang tak dihadam dan ada juga yang memecahkan komponen makanan seperti kekacang supaya menjadi lebih senang dihadam. Disebabkan itulah, bakteria usus ini penting sebab ia membantu kita menghadam makanan.

Ada sesetengah binatang tak boleh hidup kalau bakteria ini hilang seperti lembu dan kambing. Mereka perlukan mikrob untuk hadamkan rumput kepada bahan yang lebih senang dihadam.

Selain daripada kulit dan usus, kemaluan manusia juga mempunyai biota dan flora unik. Hal ini penting bagi wanita kerana ia membantu faraj anda mempunyai kadar pH yang seimbang. Kalau tak seimbang, kebarangkalian untuk dapat penyakit adalah senang. Sumber makanan mikrob faraj ni tak lain tak bukan ialah darah haid. Wah, serupa jin dah mikrob ni. Kalau ikut secara teknikal pun, terjemahan secara literal ‘microorganism’ pun dah bermaksud makhluk halus, begitu.

Jadi, sekarang ni mungkin kalian dapat fikirkan kenapa aku rasa jawapan tapai merah tu tak senonoh, bukan? Kita nak buat tapai, bukan nasi kangkang. Fikiran aku pun menerawang kembali, cuba memikirkan jawapan sang penanya.

Jawapannya terletak pada perubahan hormon semasa haid. Tindak balas hormon semasa kitaran haid berlaku sebenarnya membawa banyak perubahan pada badan wanita dan sebab itulah mikrobiota mereka unik dan tak kekal. Antara contoh perubahan tersebut ialah mereka kekerapan berpeluh.

Tapai tu sendiri mempunyai mikrobiota tersendiri untuk menapai beras menjadi tapai. Namun, mikrob lain boleh sahaja masuk ke dalam tapai untuk menapai nasi, seperti mikrob pada kulit manusia.

Oleh itu, aku berhipotesis kemungkinan besar mikrob unik yang muncul pada kulit wanita semasa haid dek berpeluh inilah yang membentuk tompok dan corak merah pada tapai. Serupa kulat yang tumbuh pada roti dan bakteria yang tumbuh pada keju biru.

Yang ni baru senonoh jawapannya.

RUJUKAN:

Ley, R. E.; Peterson, D. A.; Gordon, J. I. (2006). “Ecological and Evolutionary Forces Shaping Microbial Diversity in the Human Intestine”. Cell. 124 (4): 837–848. doi:10.1016/j.cell.2006.02.017. PMID 16497592.

Salvucci, E. (2016). “Microbiome, holobiont and the net of life”. Critical Reviews in Microbiology. 42 (3): 485–494. doi:10.3109/1040841X.2014.962478. PMID 25430522.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.