Tangisan Srebrenica

0
2373
views

“Ia umpama permainan kucing mengejar tikus. Pastilah jumlah kami melebihi orang-orang Islam, dalam setiap keadaan kami ini pemburu dan mereka itu mangsa buruan. Kami paksa mereka menyerah diri, tapi bagaimana kamu hendak buat orang menyerah diri dalam perang sebegini? Lalu kami buatkan mereka kebuluran hingga mati. Kami sedar bukan senjata yang diseludup ke Srebrenica yang harus kami khuatirkan, tapi makanan sebenarnya. Mereka sangat lapar, jadi mereka akan keluar dari persembunyian mencari makanan, lalu tugas kami adalah cari dan bunuh orang-orang Islam ini. Tiada tahanan, sebab semuanya dibunuh. Ya, kami boleh dapatkan maklumat daripada orang yang ditangkap itu, kami biarkan mereka hidup sementara, pengakhirannya tiada yang ditahan (sebab habis semua dibunuh). Mereka yang membocorkan rahsia dan dedah maklumat akan kami serahkan semula pada orang-orang Srebrenica, bila dapat tahu rahsia bocor, mereka jadi marah, lalu dibunuh pula si pembelot. Itu lah taktik kami, mengkebulurkan dan membunuh orang-orang Islam Srebrenica.”

Pendedahan seorang bekas anggota Beret Merah tentang tragedi berdarah Srebrenica.

Pada 11 Julai 1995, berlaku satu pembunuhan besar-besaran paling dahsyat di dunia selepas era Perang Dunia Kedua, apabila masyarakat Islam di Pekan Srebrenica disembelih, dipenggal, dibunuh beramai-ramai oleh Army of Republika Srpska (VRS), yang diketuai oleh Ratko Mladic. Pembunuhan beramai-ramai ini turut didalangi oleh unit separa tentera Kementerian Dalam Negeri Serbia, iaitu ‘Scorpions’ selain turut dibantu oleh ratusan sukarelawan dari Russia dan Greece.

Lebih 8,000 terkorban dalam kempen pembunhan beramai-ramai selama 3 hari. Majoriti mangsa pembunuhan adalah lelaki samada dewasa dan kanak-kanak. Tujuannya satu, supaya ‘pelindung’ kepada umat Islam Bosnia bisa dilenyapkan, maka mudahlah tugas puak Serb ini untuk menjarah bumi Bosnia yang ketika itu sedang berura-ura mahu keluar dari Kesatuan Yugoslavia.

Yang wanita seperti kita sedia maklum, dirogol dan diseksa, agar wanita-wanita ini tidak kira tua atau muda akan melahirkan ‘anak Serb’.

Mayat-mayat dilonggokkan dan ditanam satu lubang besar sebelum dikambus. Begitu banyak kubur berskala besar digali di sekitar kota Srebnica.

Waktu ini, pekan Srebrenica yang mempunyai beberapa buah perkampungan dikawal oleh tentera pengaman PBB dari Belanda. Unit dari Belanda ini dinamakan Dutchbat.

Betullah orang kata, kalau dah ‘sejalur dan sekapal’ tak akan lah mahu melawan. Dutchbat hanya mampu memerhatikan puak Serb melakukan kekejaman. Mereka hanya jadi ‘saksi’ tanpa sebarang tindakan untuk menghalang kekejaman puak Serb.

Waqaf Saham

Berita pembunuhan beramai-ramai Srebrenica menggemparkan dunia. TV dan media di Malaysia saban masa melaporkan keadaan semasa dari Srebrenica. Cukup menyentuh hati dan mendukacitakan bilamana cerita bagaimana orang-orang Islam dibunuh kejam didedahkan.

Dua minggu selepas itu, kerajaan Malaysia membuat berpendirian yang bertentangan dengan hasrat PBB. Waktu itu, PBB telah membuat satu resolusi melarang mana-mana pihak membekal senjata kepada Muslim Bosnia, kononnya bagi mengelak konflik yang lebih parah.

Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu dengan tegas berkata Malaysia akan melanggar resolusi PBB tersebut dan menghantar senjata ke Bosnia.

“PBB dan NATO membenarkan orang-orang Bosnia disembelih oleh puak Serb.”– ujar Dr. Mahathir Mohamad.

Malaysia waktu itu sudah pun menghantar tentera pengaman ke Bosnia. Malbat di Bosnia mempunyai kekuatan anggota kira-kira 1,500 orang, kontinjen tentera pengaman ketiga terbesar di Bosnia selepas Britain dan Perancis.

Tan Sri Razali Ismail, wakil tetap Malaysia ke PBB turut senada. Sungguhpun Malaysia tidak mahu konflik Bosnia berakhir dengan peperangan, namun sesuatu harus dilakukan agar Muslim Bosnia dapat mempertahankan diri dari keganasan puak Serb yang rata-rata beragama Kristian Orthodox.

Kementerian Luar Malaysia juga menegaskan akan menggandakan jumlah tentera pengaman Malbatt di Bosnia. Ia termasuklah jentera berat seperti kereta perisai dan kereta kebal.

Hanya selepas kenyataan tegas dari Dr. Mahathir, baharulah Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), dalam satu persidangan, bersepakat dan bersetuju untuk membekalkan senjata dan bantuan kepada Muslim Bosnia. Menteri Luar Bosnia, Mohammed Sacirbey turut mengesahkan tawaran dari OIC, namun merahsiakan negara mana yang sedia membekalkan senjata dan bantuan kepada Bosnia. Ia kekal menjadi rahsia hingga kini.

Jenayah perang puak Serb di Srebrenica kemudiannya dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Tribunal Jenayah Perang Antarabangsa. Puluhan inkuiri dari pihak-pihak terbabit diwujudkan, dan masih lagi dibicarakan hingga kini.

Info foto : Imej bertarikh 20 Oktober 1995, penemuan salah satu kubur mangsa pembunuhan beramai-ramai Srebrenica.

Nota Editor: Ini ialah artikel dari Retro Bola Sepak yang pernah dinaikkan di laman The Patriots 3 tahun yang lalu atas ehsan salah seorang penulis mereka pernah bernaung dibawah NGO kami.