Tanggungjawab Perang Dan Memori Silam: Roh Hirohito

0
620
views

Apabila Jepun melancarkan kempen ketenteraannya pada tahun 1930-an, ianya dilakukan atas nama Maharaja Hirohito. Dan korban akibat kempen ini amat besar bukan saja pada pihak tentera bahkan orang awam. Bagi Hirohito sendiri yang berumur 41 tahun tatkala Jepun memutuskan untuk menyerah kalah tanpa sebarang syarat, baginda tidak menjangka situasi yang melanda Jepun akan berubah 360 darjah. Gelaran Showa (keamanan yang masyhur) yang diberi selepas menaiki takhta dua dekad sebelumnya sepatutnya membawa kepada keamanan berpanjangan kepada negara Matahari Terbit. Tetapi yang muncul di mata penduduk Asia dan Pasifik ialah kezaliman dan keganasan.

JEPUN MUDA

Antara tahun 1921 hingga Disember 1926, Hirohito menaiki takhta menggantikan maharaja sebelumnya, Taisho. Dan baginda menunjukkan imej Jepun progresif dan dinamik yang ditakdirkan untuk mengembalikan semula kekuasaan keluarga diraja. Dua tahun berikutnya, maharaja dan rombongannya mengukuhkan lagi hubungan baginda dengan agama Shinto, agama dianuti majoriti rakyat melalui upacara pertabalan yang berlangsung selama setahun. Upacara tersebut menggabungkan tradisi ketenteraan Barat dengan upacara agama di mana ia menaikkan lagi status baginda sebagai dewa hidup.

Kenaikan takhta Hirohito sebenarnya mendorong Jepun ke arah pergerakan kebangsaan. Ia berdasarkan mitos di mana keluarga diraja dengan takdirnya ditentukan oleh maharaja – dalam bentuk manusia tetapi secara spiritual ialah dewa yang memerintah negara. Tak kiralah apa jenis projek yang dijalankan baginda, rakyat perlu dan dianggap setia perlu membantu dari bawah. Mesej Hirohito yang tersebar ke seluruh negara melalui radio dan akhbar bahawa Jepun sudah meninggalkan masa silamnya dan mempunyai maharaja yang mengikut jejak langkah nendanya, Meiji. Menurut Hirohito, Maharaja Meiji berjaya meningkatkan kehebatan empayar dan tidak pernah membiarkan dirinya dilayan seperti boneka.

Dan seperti mana-mana ketua negara kuasa-kuasa besar, empayar, pertahanan dan kehebatan negara amat diberi tumpuan. Dan tidaklah mengejutkan jika baginda merupakan seorang oportunis dengan meningkatkan pengaruh Jepun di China jika diberi peluang. Dengan kata lain, Hirohito bersedia mempertahankan kepentingan Jepun di luar negeri walaupun itu bakal mencetuskan penentangan anti-koloni. Tetapi pada masa sama, baginda juga mahu memastikan kepentingan monarki terus terpelihara. Untuk mencapai objektif sedemikian, Hirohito menggunakan taktik Machiavelli untuk mengukuhkan kuasa monarki dan meningkatkan pengaruh Jepun.

Baginda menggabungkan elemen nilai, moral dan etika untuk membawa negara ke kancah perang. Dan untuk mengelak kecaman masyarakat antarabangsa, Hirohito dan kelompok elit menyifatkan undang-undang antarabangsa sebagai ancaman kepada kebebasan bertindak dan menggunakan apa saja taktik atas nama pertahanan negara. Baginda tidak ketinggalan turut menunjukkan pengaruhnya sebagai tanda kepimpinan dan ini ada kaitan tradisi diraja silam Jepun. Sejak kecil, Hirohito diajar sumber kekuatan maharaja bukanlah rakyat tetapi nenek moyangnya dan mereka seharusnya diberi perhatian kerana baginda mempunyai tanggungjawab moral terhadapnya. Dan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada keengganan Hirohito mengakui kesilapan berkenaan polisi dan keputusan membabitkan perang yang mempengaruhi jentera kerajaan Jepun.

Hirohito bukanlah seorang yang suka bertelagah dan dangkal, sebaliknya baginda seorang yang serius, teliti, bertenaga dan bijaksana. Dari segi fizikal, baginda mempunyai tubuh badan yang kurus dan tidak petah berkata-kata. Dan di istana, Hirohito dididik untuk menggunakan kuasa diraja melalui pembinaan dan mengekalkan konsensus untuk mencapai perpaduan dari segi penentuan keputusan. Paling utama, baginda juga dilatih untuk membuat keputusan rasional sebagai ketua negara dan ketua angkatan tentera. Namun itu tidak menghalang Hirohito daripada melakukan kesilapan, kesilapan yang akhirnya menghantui Jepun pada Perang Dunia Kedua (WWII).

Kesilapan pertama Hirohito ialah memecat Perdana Menteri, Jeneral Tanaka Guchi. Tidak tahu apa puncanya sama ada ghairah menunjukkan kuasa diraja atau tidak, pemecatan Guchi disokong oleh para penasihat baginda. Alasannya, keengganan beliau untuk menutup malu insiden dua tentera Jepun yang membunuh panglima perang China merangkap rakan kolaborasi mereka di Manchuria, Chang Tso-lin. Dan baginda juga bertanggungjawab mempengaruhi dasar dan tindakan dua perdana menteri Jepun berikutnya. Ini disusuli sikap terburu-buru mendapatkan kawalan senjata dengan Amerika Syarikat dan Britain menyebabkan baginda dan para penasihatnya tidak memberi tumpuan kepada konsensus dalam kalangan kelompok elit. Mereka memaksa Jepun menerima Perjanjian Tentera Laut London pada tahun 1930 walaupun ditentang pihak tentera laut yang menyifatkan keupayaannya perlu dipertingkatkan seiring dengan kekuatan tentera laut Anglo-Amerika. Maklum balas keras terhadap pemimpin kedua-dua pasukan tentera dan ahli politik Diet Jepun amat pantas. Dengan kemunculan maharaja sebagai pemain utama dalam era di mana kabinet terdiri daripada anggota parti, Hirohito secara tidak langsung mengancam sistem kerajaan kabinet terdiri daripada anggota parti politik yang wujud selepas kematian Meiji.

Sementara itu, Hirohito turut membina institusi dan proses yang rumit untuk melindungi monarki agar baginda menunjukkan kepimpinan positif dan bersifat pasif semata-mata. Dan untuk tahun-tahun berikutnya, baginda turut memperbaiki modus operandinya dengan berhati-hati mengeluarkan kenyataan dan sebarang tindakan yang dibuat tanpa mengundang kritikan dan kecaman. Walau bagaimanapun, insiden Manchuria 1931 dan Zaman Kemelesetan yang melanda dunia mula mengancam kestabilan domestik Jepun.

Dan seperti apa yang berlaku pada Guchi, daripada menghukum mana-mana pegawai yang terlibat dengan insiden tersebut, Hirohito menerima keputusan tentera yang merahsiakan insiden tersebut dan meneruskan serangan di situ serta gagal menyokong keputusan kabinet untuk mengheret kepimpinan tentera Kwantung ke mahkamah. Kesilapan ini membenarkan pihak tentera mengambilalih polisi luar Jepun ke atas China dan mengubahnya menjadi lebih agresif. Dan selepas pembunuhan Perdana Menteri Inukai Tsuyoshi pada musim bunga 1932, baginda tidak lagi menyokong kabinet sedia ada dan mengalihkan sokongan kepada kerajaan perpaduan dipimpin oleh laksamana-laksamana tentera laut. Secara tidak langsung, ia mempercepatkan lagi langkah Jepun dikuasai oleh pihak tentera.

Pada dekad 20-an, Jepun menandatangani Perjanjian Sembilan Kuasa (1922) dan Pakatan Kellogg-Brand (1928). Kedua-dua perjanjian ini seharusnya menjamin Jepun mengiktiraf kedaulatan dan integriti wilayah China serta tidak menggunakan kuasa ketenteraan ke atas mana-mana negara. Malangnya selepas apa berlaku di Manchuria, kedua-dua perjanjian tersebut dicabuli dan ini membolehkan Jepun mengembangkan empayarnya untuk mendapat akses bahan mentah seperti besi dan arang batu serta tanah pertanian dan hasilnya. Gembira dengan perubahan polisi sebegini walaupun mendapat tentangan China dan Amerika Syarikat, tidak hairanlah mengapa Hirohito bersetuju dengan tindakan Tokyo menarik diri dari Liga Bangsa-Bangsa pada Mac 1933.

Retorik kecemasan negara dan membahayakan kedudukan mereka yang tercetus daripada Insiden Manchuria terus memberi kesan kepada situasi domestik Jepun. Golongan politikus radikal berhaluan kanan mendesak parti-parti politik dimansuhkan. Sementara golongan tentera yang tidak berpuas hati dengan peruntukan yang diterima mendesak Tokyo menamatkan semua perjanjian dengan Washington dan memutuskan hubungan dengan negara Uncle Sam itu. Bagaimanapun hasrat mereka ditolak Hirohito kerana Jepun pada ketika itu masih bergantung kepada Amerika dari segi sumber, teknologi dan akses kepada pasaran. Cara terbaik ialah mengekalkan kerjasama dengan Amerika dan London serta mengasingkan China secara diplomatik.

Untuk empat tahun berikutnya, baginda berusaha memulihkan semula disiplin dalam kalangan pegawai tentera yang sudah tidak sabar dengan reformasi domestik atau mengikut mereka, proses persenjataan semula negara. Walaupun bimbang dengan situasi tentera di China, Hirohito lebih bimbang dengan kekacauan domestik yang berpotensi mengancam kedudukannya sebagai maharaja. Kemudian pada tahun 1935, berlaku pertembungan antara ekstremis tentera dan rakyat dengan kabinet berkenaan peruntukan perlembagaan yang dilihat menghalang maharaja memerintah secara terus tanpa bergantung kepada para penasihat baginda. Kedua-dua kumpulan ini mendapat sokongan Hirohito untuk mengelak kuasa baginda terhakis dan melindungi penasihat-penasihat baginda daripada menjadi mangsa keganasan kelompok radikal. Namun pada 26 Februari 1936, satu cubaan rampasan kuasa digerakkan mengakibatkan ramai penasihat baginda terbunuh.

Sebagai tindak balas, Hirohito mengarahkan rampasan kuasa ditamatkan dan menghukum semua yang terlibat dengan insiden tersebut. Selepas itu, barulah baginda memberi lampu hijau kepada penambahan belanjawan tentera Jepun bagi menjadikan mereka satu kuasa kestabilan di Timur Jauh. Kedua-dua tentera dan tentera laut memberi bimbingan kepada baginda dari segi dasar domestik dan Hirohito mula menonjolkan dirinya sebagai panglima tentera. Dan ini dibuktikan melalui Insiden Jambatan Marco Polo yang berlaku pada tahun 1937. Insiden tersebut berlaku gara-gara tindakan seorang tentera Jepun yang tertinggal unitnya selepas membuang air kecil. Bagi kepimpinan tentera, respon kepada insiden ini berbeza-beza. Sesetengah mahu memilih pendekatan diplomasi di mana ia dapat memberi keuntungan dari segi sumber bahan mentah dan ekonomi Jepun. Sementara satu lagi kelompok mahu menghapuskan terus tentangan yang dilancarkan oleh kerajaan kebangsaan yang dipimpin Jeneral Chiang Kai-shek, cadangan yang mendapat sokongan Hirohito.

Baginda mengarahkan kempen besar-besaran tentera di kawasan Peking-Tietsin tetapi tindak balas China mengejutkan Tokyo. Antara 29 hingga 30 Julai, pasukan garison Jepun di bandar Tungchow dibunuh tentera, pelajar dan pekerja China. Mereka turut membunuh 223 warga Korea dan Jepun termasuk wanita dan kanak-kanak. Kai-shek sendiri mengarahkan pertempuran dibawa ke Shanghai, satu kawasan yang menjadi tumpuan kuasa-kuasa besar. Ini mengakibatkan perang tanpa sebarang deklarasi dan memaksa Hirohito mengarahkan bantuan pasukan tentera serta mengebom bandar-bandar besar China. Dan baginda turut menyokong tindakan tentera untuk membuang semua peruntukan undang-undang antarabangsa terhadap layanan tawanan perang (POW) China.

Pada lewat November 1937, Jepun mula beralih arah ke Nanking selepas berjaya menawan Shanghai. Hirohito membenarkan penubuhan markas utama tentera dan menyusun semula struktur kepimpinan agar kuasanya itu dipenuhi dan wujud secara harmoni dengan kepimpinan sedia ada. Ini menyebabkan baginda berada pada kedudukan baik untuk menilai maklumat perisikan, memberi kebenaran dan mengadakan operasi serta meneruskan peranan sebagai komander tentera dari istana. Selepas Nanking jatuh, ramai tentera China gagal keluar dari bandar tersebut dan menyamar sebagai orang biasa dengan memakai pakaian orang awam. Ini memberi justifikasi kepada pihak Jepun yang mahu membalas dendam membunuh beramai-ramai POW dan orang awam China. Baginda yang mendapat tahu insiden tersebut hanya berdiam diri dan tidak mengarahkan sebarang siasatan dilakukan ke atas jenayah yang dilakukan pihak tentera.

Dan apabila ia semakin berterusan dan pihak tentera enggan mematuhi undang-undang antarabangsa, kadar jenayah perang yang dilakukan Jepun juga semakin tinggi. Dan bagi semua jenayah ini, secara tidak langsung Hirohito dianggap bersubahat dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Baginda turut dikatakan bertanggungjawab membenarkan Jepun menggunakan gas beracun dan menandatangani arahan Tairikumei 241 yang menyebabkan kempen Tentera Kawasan Utara China lebih kejam yang mengakibatkan 2.5 juta orang awam Jepun dibunuh menurut anggaran seorang ilmuan Jepun.

Setahun selepas itu, perang antara China dan Jepun menemui jalan buntu. Walaupun sudah mengerah 38 divisyen dan 1.13 juta tentera di China, masih tiada jalan keluar dari lumpur buatan mereka ini sehinggalah Adolf Hitler, diktator Nazi Jerman melancarkan kempen ketenteraannya sendiri sehingga berjaya menguasai sebahagian besar Eropah Barat. Pada ketika itu, Jepun memutuskan untuk pergi ke sebelah selatan dan mengepung China sepenuhnya. Dari situ, ia meletakkan mereka dalam kedudukan strategik untuk menyerang Asia Tenggara yang kaya dengan sumber bahan mentah. Pada September 1940, arahan dikeluarkan Hirohito untuk masuk ke rantau Indo-China, satu tindakan yang mendorong Amerika Syarikat mengenakan sekatan ekonomi ke atas Tokyo. Ini memaksa baginda bersetuju dengan pakatan Axis dengan Nazi Jerman dan Itali. Pada Disember tahun sama, Jepun memeterai perjanjian persahabatan dan keamanan dengan Thailand, sebagai tanda menghormati kedaulatan Thailand. Dengan perjanjian ini, ia sebenarnya memberi akses kepada laluan selatan bagi pihak Jepun melaluinya. Ini ditambah dengan tindakan rejim Vichy Perancis turut memberi akses kepada Indo-China kepada Jepun sebagai tapak perlancaran operasi ke atas Asia Tenggara.

Pada Januari 1941, beberapa bulan sebelum berlakunya Operasi Barbarossa, Hirohito menggunakan sepenuhnya kedudukannya sebagai maharaja. Pada 8 Disember 1941, serangan mengejut Jepun ke atas Pearl Harbor berlaku disusuli dengan serangan ke atas dua kapal perang Britain, Repulse dan Prince of Wales dua hari berikutnya. Sepanjang tempoh itu, baginda meneliti draf memorandum berbeza ke atas Amerika bagi memastikan tidak ada frasa yang memberi petunjuk kepada deklarasi perang. Dan tidaklah mengejutkan baginda tidak berminat untuk mengisytiharkan perang ke atas Belanda yang menguasai Indonesia ketika itu, sebaliknya mengarahkan serangan terus dibuat. Begitu juga syor Perjanjian Persahabatan Thai-Jepun yang dimeterai setahun sebelumnya dilanggar bagi membolehkan Jepun memulakan serangan di Singora, Selatan Thailand dan Kota Bharu, Kelantan.

Bagi setiap jenayah perang dan perlanggaran undang-undang antarabangsa pasca-7 Disember 1941, kebanyakannya ditanggung oleh Hirohito sebagai panglima tentera dan ketua negara. Sepanjang peringkat perang dari Singora, Kota Bharu dan Pearl Harbor, baginda boleh saja mencari alternatif lain berbanding terlalu bergantung dengan ketua-ketua tentera. Namun bagi setiap pilihan keamanan yang dibuat sehingga pertengahan 1945, Hirohito memilih perang. Contoh paling mudah, apabila Perdana Menteri Konoe Fumimaro memberi peluang kepada baginda untuk menghentikan keinginan berperang dengan Amerika dan Britain, Hirohito menolak usul Fumimaro itu.

Bagaimanapun menjelang tahun 1944, maharaja mula sedar prospek kekalahan merupakan satu realiti pahit yang harus diterima. Namun pada masa sama, Hirohito mahukan Jepun mencatat satu kejayaan tentera bagi menambahbaik peluang rundingan mereka dengan pihak Bersekutu. Baginda turut menolak idea membenarkan pihak Bersekutu menghukum penjenayah perang Jepun, atau menghapuskan tentera Jepun bagi mencegah kemaraan Kesatuan Soviet dan menghalang penyebaran fahaman komunisme dari bertapak di situ. Menjelang pertengahan 1945, Hirohito menerima semua usul yang ditolak setahun sebelumnya tetapi masih berusaha mendapatkan keamanan melalui Soviet untuk melindungi dirinya dan monarki.

Hakikatnya, Hirohito sebenarnya amat berdegil dalam soal peperangan walaupun kajian yang dibentangkan dua tahun sebelumnya menunjukkan Jepun tidak berpeluang untuk menang. Baginda cuba melengah-lengahkan proses penyerahan kalah negara tersebut sehinggalah kedudukan baginda terjamin. Pengeboman bom atom di Hiroshima dan Nagasaki serta kemasukan Soviet di teater Pasifik akhirnya mewujudkan situasi di mana kelompok elit bersedia menerima Deklarasi Potsdam. Selepas Jepun menyerah kalah, Hirohito tidak turun takhta seperti dijangka ramai walaupun mendapat desakan daripada kerabat diraja sendiri. Sebaliknya, baginda menggunakan pengaruh politiknya sepanjang tempoh dua kabinet pasca-penyerahan kalah. Walaupun status Hirohito hanyalah figura upacara dan bukan lagi raja berperlembagaan berdasarkan perlembagaan baru Jepun, baginda masih lagi cuba mempengaruhi apa yang berlaku ketika itu. Bagi Menteri Luar Jepun, mereka mengecam tindakan Soviet melanggar Perjanjian Keneutralan Soviet-Jepun tetapi tidak menyebut pencabulan Perjanjian Persahabatan Jepun-Thailand kerana itu akan merosakkan angin perubahan dan menarik perhatian pihak Bersekutu ke atas Hirohito.

MENGAPA HIROHITO TIDAK DIBICARAKAN

Selepas tamat perang, kebiasaannya ramai penjenayah perang akan dibicarakan sama ada dari pihak Nazi Jerman, Itali, Jepun atau mana-mana pihak yang bersubahat dengan mereka. Tetapi dalam kes Hirohito, itu sama sekali tidak berlaku. Mengapa?=

Faktor dalaman:

  1. Tindakan maharaja itu sendiri dan kelompok pemerintah elit yang merahsiakan peranan sebenar baginda dalam WWII. Kelompok elit menyifatkan Hirohito sebagai pejuang keamanan dan mendorong orang ramai menyalahkan diri mereka berbanding pemimpin-pemimpin yang mengheret mereka ke neraka buatan sendiri ini. Dengan merahsiakan peranan maharaja, mereka berharap dapat melindungi maharaja, sistem monarki dan diri mereka sendiri. Ini kerana perang mengakibatkan kemiskinan di Jepun sekaligus menyamakan status kehidupan masyarakat dan memberi suara kepada kumpulan-kumpulan sosial miskin. Dan ini pastinya mengancam kedudukan kelompok elit ini.
  2. Menghapuskan semua bentuk dokumentasi yang boleh mengaitkan maharaja dengan pelbagai jenayah perang Jepun seperti pembunuhan beramai-ramai, buruh paksa dan layanan ke atas POW. Selain itu, kelompok ini turut menyalahkan pihak tentera kerana mengheret Jepun ke kancah WWII dan mencipta mitos tentera laut tidaklah terlalu radikal dan bersifat rasional.
  3. Dalam ucapan serah kalah Hirohito, baginda langsung tidak menyebut perkataan kalah. Ia memberi petunjuk perang Jepun lebih kepada mempertahankan diri dan kepentingannya, menekankan masa hadapan dan memberi galakan untuk bangkit semula. Ini yang mendorong baginda dan penasihat politiknya, Kido Koichi memilih Putera Higashikuni Naruhiko untuk mengetuai kabinet diraja pertama dibentuk selepas pengisytiharan tersebut. Higashikuni dan penggantinya, Shidehara Kijuro mahukan rakyatnya bertaubat dan tidak menghukum pihak-pihak bertanggungjawab atas kekalahan ini serta menafikan penglibatan Hirohito dalam WWII.

Faktor luaran:

  1. Tanggapan Jeneral Douglas MacArthur yang menyangka Hirohito hanyalah boneka bagi pihak tentera untuk mengesahkan pemerintahan mereka. Taktik ini kemudiannya digunakan pihak Amerika untuk memudahkan proses pendudukan, merancang reformasi dan perlaksanaannya.
  2. Mitos bahawa Hirohito tidak bersalah dan baginda dikelilingi oleh orang-orang sederhana dicetuskan bekas duta Amerika ke Jepun merangkap pemangku Setiausaha Negara, Joseph C. Grew. Alasannya ialah untuk melindungi maharaja, maka tidaklah mengejutkan jentera propaganda cuba menggambarkan baginda sebagai pencinta keamanan melalui artikel surat khabar dan radio serta menyalahkan kekalahan dan perang ke atas pihak tentera.

Selepas tamat perang, ramai penjenayah perang ditahan dan dibicarakan di Tribunal Jenayah Tentera Antarabangsa Timur Jauh. Bagi pihak Jepun sendiri, masyarakat mereka hanya mengetahui apa yang berlaku ke atas Tso-lin, Nanking dan Manchuria melalui tribunal tersebut. Begitu juga dengan isu hamba seks yang dibawa ke mahkamah berserta bukti menunjukkan tentera dan tentera laut melakukan jenayah perang sepanjang wilayah jajahannya di Asia dan Pasifik. Bagaimanapun ironinya, jenayah perang Amerika termasuk kolonialisasi Barat tidak pernah dibincangkan dalam tribunal tersebut.

MacArthur turut membuang Artikel 6 dari Piagam Nuremberg yang digunakan tribunal Timur Jauh iaitu sebarang rujukan kepada ketua negara. Beliau dan anak-anak buahnya turut bertanggungjawab menyediakan prinsip imuniti ketua negara ke atas Hirohito dan hartanya. MacArthur turut bertanggungjawab memastikan nama maharaja itu tidak disebut sepanjang proses perbicaraan termasuk mempengaruhi testimoni Hideki Tojo yang dipaksa menjalani hukuman mati dengan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa yang berlaku.

Hirohito juga tidak berdiam diri. Menerusi desakan pihak tentera Amerika, baginda menjelajah ke seluruh negara dengan harapan dapat memulihkan semula monarki, menaikkan semula kedudukannya secara mistik dan menonjolkan baginda sebagai pejuang keamanan. Mereka turut melayan pendakwaraya tribunal, Joseph B. Keenan, mengumpul maklumat apa yang difikirkan pegawai-pegawai MacArthur terhadap maharaja dan mempengaruhi peguam-peguam bahagian pendakwaan yang membina kes terhadap penjenayah-penjenayah perang. Ada juga penasihat Hirohito turut berperanan sebagai pemberi maklumat pendakwaraya dengan memilih mana-mana yang dirasakan sebagai suspek jenayah perang dan membalas dendam pada masa sama. Baginda turut membuat satu monolog iaitu keterangan baginda semasa perang sebagai satu cubaan memberi versi peristiwa baginda dan menyerahkan kepada MacArthur.

Apa yang dilakukan MacArthur menyediakan contoh tradisi imuniti kepada ketua negara daripada pendakwaan, sesuatu yang dianggap mencabar Piagam Nuremberg. Tetapi bila sesetengah hakim tribunal merasakan wajib untuk mereka memberi penghakiman berkenaan imuniti baginda, mereka memastikan kes tersebut sentiasa dihormati.

SUMBER

  1. Bix, Herbert. (2008). The Asia-Pacific Journal. War Responsibility and Historical Memory: Hirohito’s Apparition. https://apjjf.org/-Herbert-P.-Bix/2741/article.html

 

Previous articleSistem Satuan Sukatan Berat, Isipadu, Perangkaan, Waktu (Takwim) Dan Ukuran Alam Melayu Pada Zaman Dahulu
Next articlePeralihan Kuasa Dan Pembentukan Kabinet
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE