Tanah Melayu Terbakar Seperti California 2017

0
1189
views

Tanggal 6 Januari 2018 lalu genaplah sebulan kisah tragedi kebakaran hutan terbesar yang pernah berlaku di California, Amerika Syarikat. Kebakaran yang diberi nama “Thomas” ini telah menyebabkan President US, Donald Trump mengambil langkah untuk mengishtiharkan darurat di kawasan tersebut. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Gabenor California, kebakaran yang terjadi telah memusnahkan kediaman dan membakar kawasan seluas 70,000 hektar dan dianggap sebagai tragedi terburuk yang pernah berlaku dalam sejarah California.

Dalam minda kita sekarang ini sudah pasti tertanya-tanya adakah perkara sedemikian pernah berlaku di Tanah Melayu pada masa dahulu?. Sudah semestinya, di Tanah Melayu kisah yang hampir sama dengan peristiwa yang terjadi di Amerika Syarikat juga pernah melanda bandar pelabuhan (port-town) seperti Melaka (jajahan Belanda) dan Pulau Pinang (jajahan Brirish) sewaktu mereka mencapai kemuncak kegemilangan sekitar abad ke-18. Pada waktu itu, kemusnahan dan kerosakan yang berlaku di bandar-bandar pelabuhan boleh dianggap sebagai suatu kebiasaan kerana dalam tempoh awal pembukaan kota tersebut, kebanyakkan rumah kediaman dan gudang yang dibina diperbuat daripada bahan-bahan yang mudah terbakar seperti daun (atap) dan batang pokok (tiang). Maka tidak hairanlah mengapa perkara ini sering berlaku pada waktu itu. Untuk mengawal dan menangani, British memiliki kaedah dan prosedur yang tersendiri bagi menghadapi “malapetaka” tersebut.

Gambar 2: Sumber daripada www.pinterest.com

Berdasarkan rekod-rekod British yang dikaji oleh seorang sarjana tempatan, Nordin Hussin (2007), kebakaran yang pertama terjadi di Pulau Pinang ialah pada 23 April 1789,  di Chulia Street. Tragedi hitam ini telah memusnahkan hampir keseluruhan bandar pelabuhan Pulau Pinang. Kemaraan api daripada kebakaran tersebut telah menjilat 56 buah rumah milik penduduk Chulia (orang India Muslim). Dalam suasana yang kelam kabut tersebut, terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan memecah masuk ke dalam kedai dan gudang untuk mencuri barang-barang kepunyaan mangsa dan peniaga. Walaupun kebakaran yang pertama telah mengakibatan banyak kemusnahan harta benda, masih ramai dalam kalangan peduduk yang bersikap cuai dan berterusan mengambil risiko dengan membina rumah yang berasaskan daripada bahan-bahan yang mudah terbakar.

Ekoran daripada sikap sambil lewa dan acuh tidak acuh tersebut, kebakaran kembali berulang pada tahun 1812 dan memusnahkan separuh kawasan bandar. Satu-satunya kawasan yang terselamat daripada terkena kebakaran tersebut ialah perumahan yang terdapat di Beach Street. Kawasan ini merupakan wilayah kediaman yang kebanyakkan dimiliki oleh pihak pegawai kerajaan British. Peristiwa hitam itu telah menyebabkan kerugian yang amat besar kepada orang-orang kaya Cina seperti Tequa, Che Em, Low Amee, Khoo Hooan dan Baba Yair. Etnik yang lain juga mengalami kerugian. Satu-satunya orang Melayu yang menderita akibat daripada kebakaran tersebut ialah Syed Harron. Dikatakan bahawa jumlah kerugian yang ditanggung oleh Syed Harron bersamaan dengan SpD 10000.

Gambar 3: Sumber daripada www.gettyimages.com

Rentetan daripada itu, pihak berkuasa kemudianya mengambil beberapa inisiatif untuk membangunkan semula bandar yang telah musnah tersebut. Antara inisiatif yang dijalankan ialah menggalakkan penduduk di sekitar bandar untuk membina kediaman menggunakan bahan-bahan yang berasakan batu-bata dan mengelak daripada mengunakan bahan-bahan yang mudah disambar api. Bagi menjadikan saranan yang diajukan oleh pihak berkuasa mendapat mendapat sambutan, Kerajaan Kolonial telah menurunkan harga bata dan barang-barang yang digunakan untuk membuat rumah dan premis. Larangan untuk membina rumah berasaskan bahan mudah terbakar seperti bumbung yang diperbuat daripada atap daun juga dikuatkuasakan. Sekiranya terdapat individu atau penghuni yang gagal mematuhi arahan dan larangan telah ditetapkan, mereka akan dihalau keluar daripada kawasan bandar. Selain itu, pihak berkuasa juga telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mewujudkan sebuah jabatan baharu yang dikenali sebagai “Jabatan Bomba” yang bertanggungjawab bagi mengawal selia sebarang kejadian yang tidak diingini. Jabatan Bomba yang ditubuhkan telah dilengkapi dengan peralatan yang secukupnya dan anggota yang terpilih.

Waqaf Saham

Namun demikian, walaupun kerajaan telah melaksanakan beberapa perubahan terutamanya perubahan terhadap dasar perancangan bandar. Masyarakat pada waktu itu masih tidak mampu untuk bergerak seiring dengan perubahan yang dilaksanakan. Perkara ini dapat dilihat menerusi tindakan Kerajaan yang meletakkan syarat dan polisi baharu dalam penggunaan bahan pembuatan premis dan rumah, majoriti daripada penduduk bandar masih tidak berkemampuan untuk mematuhi peraturan tersebut. Antara punca yang menyebabkan kegagalan rakyat untuk mematuhi arahan tersebut adalah disebabkan oleh kos pembinaan premis berasakan batu-bata dan marmar yang terlalu tinggi kerana ianya perlu diimport daripada Melaka sebelum dibawa ke Pulau Pinang untuk di jual. Sekalipun pihak kerajaan telah menurunkan harga komoditi tersebut, masyarakat masih tetap tidak berupaya untuk membeli bahan binaan disebabkan faktor harga dan kuasa beli rakyat yang sangat rendah pada saat itu.

Rujukan

Nordin Hussin. 2007. Trade and Society In The Straits Of Melaka: Dutch Melaka and English Penang, 1780-1830. Copenhagen: NIAS Press.

Patrik Hipes (2017) Donald Trump Declares State Of Emergency For SoCal Fires. Deadlines. http://deadline.com/2017/12/california-fires-state-of-emergency-donald-trump-latest-numbers-1202222886/

Sinar Harian (2017) California Terbakar Lagi. http://www.sinarharian.com.my/global/california-terbakar-lagi-1.766918