Tan Sri Shahrir Samad – Permata di Hujung Benua.

825

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Di Parlimen ketika ini, antara ahli parlimen yang boleh dikatakan sering membuat bising ialah Khalid Samad dari Shah Alam. Berbeza dengan abangnya, Tan Sri Shahrir Samad, Shahrir dianggap sebagai permata yang tumbuh di hujung benua.

Kredit: Astro Awani

Abang kepada Ahli Parlimen Shah Alam ini dilahirkan di Kuantan pada 22 November 1949 dan membesar serta bersekolah di sana. Kemudian melanjutkan pelajarannya ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

Di peringkat sekolah menengah, Tan Sri Shahrir terinspirasi dengan idea-idea Tun Razak supaya orang-orang Melayu menceburi bidang swasta. Di peringkat Universiti, Tan Sri Shahrir menyambung pelajarannya ke Universiti Malaya dan mengambil jurusan Ekonomi. Semasa di universiti, Tan Sri Shahrir telah ditawarkan biasiswa dan latihan dari Standard Chartered Bank.

Menjadi ahli politik bukanlah satu cita-cita awal buatnya . Segalanya bermula ketika beliau masih belajar di Universiti Malaya, Tan Sri Shahrir kerap menulis di dalam sebuah ruangan di dalam sebuah majalah. Antara penulis lain di majalah tersebut ialah Tun Musa Hitam. Tun Musa Hitam menyedari bakat yang ada pada Tan Sri Shahrir di dalam penulisannya. Pada masa yang sama, Tan Sri Shahrir turut merasakan Tun Musa merupakan orang yang layak untuk membimbingnya.

Oleh sebab itu, sekitar tahun 1973, Tun Musa Hitam telah melantik beliau sebagai Setiausaha Politiknya dan dari situlah perjalanan Tan Sri Shahrir di dalam politik bermula. Dalam berusia 24 tahun pada ketika itu, Tan Sri Shahrir menjadi Setiausaha Politik termuda di dalam negara pada ketika.

Pada tahun 1975 pula, Tan Sri Shahrir juga sempat menjadi Setiausaha Politik kepada Tun Abdul Razak sehinggalah kem4tiannya setahun kemudian. Tan Sri Shahrir terus kekal di dalam jawatannya sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri apabila Tun Hussein Onn dilantik menjadi Perdana Menteri.

Pada tahun 1977, berlaku satu pertembungan ideologi di antara sosialis dan konservatif. Jadi, Tan Sri Shahrir mengambil peluang ini untuk berehat seketika di dalam bidang politik dan melanjutkan pelajarannya ke Lausanne, Switzerland selama setahun.

Pada Pilihanraya Umum 1978, Tan Sri Sharir telah diberi mandat untuk bertanding bagi Parlimen Johor Bahru dan beliau berjaya memenangi pilihanraya di peringkat parlimen tersebut. Tan Sri Shahrir kemudian dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri. Dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Menteri Kewangan ketika Tengku Razaleigh memegang jawatan menteri. Berpindah kemudiannya ke Kementerian Perdagangan dan Perindustrian semasa Tengku Ahmad Ritauhudeen sebagai menterinya.

Pada 1984, Tan Sri Shahrir dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan hinggalah tahun 1987. Walaupun tempoh yang singkat, Tan Sri Shahrir melakukan banyak perubahan semasa menerajui kementerian tersebut. Antaranya, Labuan berjaya menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan pada 1985.

Beliau juga berjaya membangunkan kawasan setinggan di Pandan sehingga menjadi satu kawasan perumahan yang kita kenali hari ini sebagai Desa Pandan. Tan Sri Shahrir juga berjaya menggazetkan sebahagian daripada kawasan di Bukit Kiara bagi membuat sebuah kawasan perkuburan orang Islam. Di peringkat sukan dan belia, beliau juga berjaya menganjurkan Larian Marathon Kuala Lumpur yang diadakan buat julung kalinya.

Tahun 1987 mencatatkan permulaan episod hitam buat parti UMNO. Shahrir Samad yang berada di dalam kem Tengku Razaleigh tewas di dalam pemilihan UMNO pada tahun tersebut dan menyebabkan UMNO diharamkan setahun kemudian.

Beliau kemudian mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru dan bertanding sebagai calon Bebas di dalam Pilihanraya kecil parlimen itu. Beliau menggunakan simbol kunci dan seterusnya berjaya memenangi semula kerusi parlimen tersebut dengan majoriti yang besar. Beliau menyertai UMNO semula tidak lama kemudian.

Kredit foto: FB Shahrir Samad- Tok Uban

Menjelang dekad 90an, Tan Sri Shahrir tidak dipilih langsung sebagai calon bagi siri-siri pilihanraya Umum yang dijalankan di dalam dekad tersebut. Beliau menfokuskan kehidupannya di dalam bidang perniagaan dobi yang dijalankan di sekitar Damansara.

Menjelang awal 2000 an, Tan Sri Shahrir membentuk sebuah NGO yang bernama PROWARIS. Setelah Tun Abdullah dilantik menjadi Perdana Menteri, khidmat Tan Sri Shahrir diperlukan untuk menghadapi Pilihanraya Umum 2004 dan sebagaimana yang telah tercatat di dalam sejarah, Tan Sri Shahrir tiada masalah untuk menduduki semula kerusi Parlimen Johor Bahru. Beliau telah menolak jawatan sebagai menteri dan kemudiannya dilantik sebagai salah seorang ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negaea

Pada 2006, Tan Sri Shahrir telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Barisan Nasional BackBenchers kerana tidak bersetuju dengan satu isu yang berkaitan dengan seorang Ahli Parlimen mengenai konsesi balak di Melaka.

Setelah berjaya mempertahankan kerusinya di dalam Pilihanraya Umum 2008, Tan Sri Shahrir kembali ke barisan kabinet menteri setelah 22 tahun dan dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri. Beliau memainkan peranan penting dalam mengurangkan subsidi minyak dengan begitu tinggi pada ketika itu.

Beliau kemudian meletakkan jawatannya sebagai menteri setelah tewas di dalam pemilihan UMNO 2009. Pada 2017, Tan Sri Shahrir dilantik sebagai Pengerusi FELDA yang baharu. Beliau banyak memperjuangkan isu-isu di dalam Felda seperti hak pemilikan tanah di Jalan Semarak, isu-isu peneroka, minyak sawit dan sebagainya.

Tahun 2018 di mana Barisan Nasional tewas kepada Pakatan Harapan, Tan Sri Shahrir juga turut terpalit dan tewas di dalam arus fenomena yang dibawa oleh pihak Pakatan Harapan. Alasan penyokong Pakatan Harapan cukup mudah, “kami terpaksa jatuhkan Tan Sri kerana kami hendak jatuhkan Datuk Seri Najib”.  Nampaknya, segala bakti beliau dilupakan begitu saja oleh pengundi-pengundi di sana dan beliau juga antara permata yang tersungkur akibat permainan persepsi yang dimainkan oleh pihak Pakatan Harapan pada ketika itu.

Kini, Tan Sri Shahrir masih lagi aktif berpolitik dan selalu turun padang bagi menyelesaikan masalah para pengundi di kawasannya walaupun ada di antara mereka yang pernah menjatuhkan beliau di dalam pilihanraya yang lalu.

Selamat maju jaya diucapkan pada Tan Sri Shahrir!

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.