Tan Sri Musa Aman: Ketua Menteri Berjasa Dari Sabah

0
383
views

Sepanjang penglibatannya dalam arena politik terutamanya di Sabah, Tan Sri Musa telah menyumbang bakti dalam pelbagai bidang. Antaranya termasuklah pembangunan pendidikan, pembangunan belia, penyediaan peluang pekerjaan, pembasmian kemiskinan, pengukuran Geran Komunal dan tanah, pembangunan PR1MA, dan pengukuhan benteng pertahanan dan keselamatan negeri untuk kesejahteraan rakyat Sabah. Dari sudut ekonomi, beliau memberi penekanan pada pertumbuhan sektor komersial termasuklah sektor pelancongan yang boleh membuahkan hasil yang lumayan buat negeri Sabah.

Untuk itu, beliau memastikan pemuliharaan hutan dan alam sekitar dilaksanakan, projek Lebuhraya Pan Borneo digiatkan, manakala sistem pengangkutan dimantapkan. Di samping pembangunan sektor komersial, industri kecil dan sederhana, industri pertanian dan perladangan serta isu-isu kepenggunaan rakyat tidak diabaikan agar terus bergerak seiring dengan kemajuan sektor berskala besar.

Tan Sri Musa juga memastikan sistem pengurusan kewangan berganjak menuju pemodenan selari dengan perkembangan pendapatan Negeri di Bawah Bayu ini. Kecekapannya dalam memastikan Sabah terus menerima perolehan yang sewajarnya daripada syarikat milik kerajaan juga harus dipuji, di samping kebijaksanaan beliau dalam mengendalikan hubungan dan kerjasama dengan kerajaan persekutuan. Untuk mendalami setiap aspek yang dinyatakan di atas, ayuh kita lihat perinciannya di bawah, demi menghayati calon #YBYBCONTOH dari Sabah ini pula.

Pendidikan
Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Tan Sri Musa Aman percaya bahasa pelaburan dalam pendidikan, latihan, kemahiran, keusahawanan dan pembelajaran sepanjang hayat adalah kunci kepada penghasilan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, kreatif, dan inovatif. Justeru, Kerajaan Negeri Sabah telah menyalurkan biasiswa bernilai RM40 000 000 (40 juta) yang memberi manfaat kepada kira-kira 700 orang pelajar setiap tahun.

Di samping menggalakkan penubuhan IPTA dan IPTS, Kerajaan Negeri turut memberi sumbangan kepada sekolah-sekolah bukan kebangsaan. Sejumlah RM21.04 juta dana telah disalurkan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah mubaligh, dan sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) di Sabah pada tahun 2015. Pecahan pembahagian adalah seperti berikut: RM6.49 juta kepada SJKC, RM12 juta kepada sekolah mubaligh dan RM2.55 juta kepada SMJK. Ini membuktikan komitmen berterusan dan perhatian penuh kerajaan dalam menyelenggara infrastruktur pendidikan di semua jenis sekolah di negara ini bukan sahaja sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Pembangunan Belia
Merupakan negeri pertama di Malaysia yang menubuhkan indeks belia sendiri, Sabah komited dalam memastikan kesejahteraan hidup para belia di negeri ini terus menjadi keutamaan. Melalui Indeks Belia Sabah (IBS.15), kesejahteraan hidup golongan belia dapat diukur dan hasilnya pula digunakan untuk menyediakan dasar pembangunan buat mereka secara menyeluruh. Laporan IBS.15 menunjukkan paras kesejahteraan belia Sabah masih berada di tahap sederhana, justeru, usaha peningkatan kualiti hidup golongan belia telah dan sedang dilaksanakan bagi mencapai sasaran untuk meletakkan kesejahteraan golongan belia di tahap lebih tinggi.

Antara pendekatan yang dilakukan termasuklah pemberian peruntukan tambahan bernilai RM 10 000 000 (10 juta) atas peruntukan sedia ada untuk memperkasa pembangunan belia dan menjana kecemerlangan sukan. Inisiatif ini memberi manfaat kepada 682 buah persatuan atau pertubuhan belia dan sukan di seluruh negeri yang meliputi seramai 798 400 orang belia tempatan.

Peluang pekerjaan dan kerancakan ekonomi
Antara mekanisme penting untuk menjayakan misi kesejahteraan belia ialah penyediaan peluang pekerjaan buat anak Sabah. Antara Januari dan Mac 2016, sektor pembuatan di Sabah berjaya menyediakan sebanyak 3 907 peluang pekerjaan. Sektor pembuatan sahaja telah merekodkan RM3 172.14 juta nilai purata export tahunan untuk tempoh 5 tahun berturut-turut sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-10. Perangkaan mulai Januari sehingga Mac 2016 pula menunjukkan sektor pembuatan telah mencatatkan jumlah pencapaian eksport yang lebih tinggi iaitu bernilai RM598.6 juta.

Kesuburan ekonomi Sabah meletakkannya di kedudukan kelima dalam carta kepesatan pembangunan ekonomi negeri di Malaysia selepas Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sarawak, dan Johor. Sejak 2010, nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) adalah berjumlah RM58.1 bilion, dan nilai itu telah meningkat kepada RM70.4 bilion pada awal 2015 dengan pendapatan per kapita sebanyak RM19,734. Pemerintahan di Sabah yang diketuai Tan Sri Musa Aman layak diberi pujian kerana mampu membawa negeri ini ke mercu kecemerlangan dalam pelbagai aspek terutamanya ekonomi.

Pembasmian kemiskinan

Pembasmian kemiskinan adalah antara agenda utama Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpimam beliau. Kadar kemiskinan negeri telah MENURUN dengan SANGAT KETARA daripada 19.7% pada tahun 2009 kepada 3.9% pada tahun 2014. Antara usaha Kerajaan Negeri yang berjaya adalah Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ), Geran Komunal, Agropolitan, di samping skim bantuan-bantuan khas seperti PPRT dan bantuan kebajikan kepada golongan miskin, warga emas, OKU, ibu tunggal, dan anak-anak yatim piatu.

Pada 2016, Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan jutaan ringgit untuk meneruskan pelaksanaan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar dan memperbaiki kebajikan rakyat. Kini, terdapat 52 unit MESEJ Pertanian, MESEJ Akuakultur, dan MESEJ Mikro yang telah siap atau masih beroperasi di seluruh negeri. Ia dijangka memberi faedah kepada lebih 2 000 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) di seluruh negeri.

Geran Komunal dan Pengukuran Tanah

YAB Ketua Menteri Sabah telah memperkenalkan Fast Track Planned Land Alienation atau Communal Title dalam urusan tanah Sabah. Pelaksanaan Communal Title telah dibuat di beberapa kawasan antaranya Kabintaluan, Tenom (2 554.78 ha, dengan 601 peserta), Sepulut, Nabawan (2 428.11, dengan 180 peserta), Sumantalun, Nabawan (1 214.06 ha, dengan 264 peserta), Lalampas, Tongod (3 690.73 ha, dengan 1022 peserta), dan Kg. Iburu, Sipitang (1 120 ha, dengan 191 peserta). Kerajaan pimpinan Tan Sri Musa Aman telah berjaya menyiapkan pengukuran 57 Geran Komunal dengan jumlah keluasan 24 016 hektar di seluruh Sabah. Pengukuran ini telah dijalankan sejak 2012 lagi. Jabatan Tanah dan Ukur Sabah telah berjaya menyelesaikan pengukuran 9 037 Lot Pendudukan Individu dengan jumlah keluasan 15 138 hektar yang melibatkan 73 kampung di seluruh Sabah.

Selain itu, pada Mac 2017, Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah mengumumkan, seluas 59.344 ekar tanah telah diberikan tajuk lantas memberikan manfaat kepada 8 986 orang penduduk. Selain itu, 9 037 lot individu telah disukat dan dikeluarkan hak milik tanah di 73 buah kampung di seluruh negeri ini yang melibatkan kawasan seluas 37.508 ekar. Urusan pentadbiran tanah yang sistematik ternyata memberi kesan positif buat penduduk Sabah terutamanya di kampung-kampung.

Perumahan

Inisiatif untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri juga telah dilaksanakan melalui skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ilham kerajaan persekutuan. Kerajaan negeri Sabah menyasarkan pembangunan 20 000 unit rumah PR1MA di seluruh Sabah. Kinarut merupakan satu daripada beberapa kawasan yang dikenal pasti kesesuaiannya untuk pembangunan perumahan PR1MA selain Tawau, Sandakan, Kota Marudu, Tuaran, Sepanggar, Papar, dan Beaufort. Di Kinarut, sebanyak 502 unit apartmen akan dibina daripada 8 683 unit rumah pelbagai jenis yang telah diluluskan.

Keselamatan

Dalam usaha mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), perintah berkurung iaitu dari pukul 7 malam sehingga 5 pagi dikuatkuasakan di 7 daerah iaitu di Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan, dan Beluran. Pada tahun 2014, seramai 17 700 orang PATI telah dihantar balik dan jumlah ini meningkat kepada hampir 28 000 pada tahun 2015. Setakat ini, seramai 54 941 PATI telah dihantar balik sepanjang tahun 2014 sehingga Mei 2016.

Data ini menunjukkan langkah mewujudkan perintah berkurung berhasil bagi menangani masalah kemasukan PATI. Untuk makluman, berdasarkan rekod Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, jumlah keseluruhan PATI di Sabah yang telah diusir sejak tahun 1990 sehingga 3 Mac 2017 adalah seramai 553 692 orang. Bagi tahun 2017 sahaja, jumlah pengusiran sehingga 3 Mac 2017 adalah seramai 1 120 orang. Kerajaan Sabah benar-benar komited untuk mencegah pencerobohan asing termasuklah yang dilakukan oleh golongan PATI.

Aktiviti Komersial dan Pelancongan

Menyentuh isu pembangunan Sabah dari sudut ekonomi sekali lagi, pelbagai projek berimpak tinggi dilaksanakan di Sabah yang sekaligus bakal meningkatkan pelaburan sektor swasta, antaranya,dalam Projek Aeropod, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Grand Merdeka Mall, Maya@Likas, PacifiCity, Sutera Avenue, Harbour City, Jesselton Quay (termasuk International Cruise Terminal), Kota Kinabalu City Waterfront, Jesselton Residences, Hotel Hilton, Holiday Inn, Hotel Mercure, dan Hotel Marriot.

Kegiatan merancakkan pengkomersialan di lokasi-lokasi ini adalah sebagai salah satu langkah untuk mendorong perkembangan sekotor pelancongan Sabah. Prestasi sektor pelancongan negeri Sabah dikategorikan sebagai kekal cergas dan dapat dibuktikan melalui penerimaan seramai 1 337 126 orang pelawat dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2016. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 3.2 peratus berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2015 (1,295,484 orang). Pelancong domestik yang masuk ke Sabah adalah seramai 882 109 orang manakala seramai 455 017 orang yang lain merupakan pelancong antarabangsa.

Pemuliharaan hutan dan pengindahan alam

Antara tarikan utama Sabah ialah keindahan alam semulajadi dan kelestarian ekosistemnya. Mengerti akan kepentingan alam, YAB Ketua Menteri mengumumkan dan mengarahkan pada Mac 2006 agar sebarang aktiviti pembalakan di Sabah dihentikan sama sekali bermula 31 Disember 2007. Sebanyak 53% atau kira-kira 3.9 juta hektar tanah telah diwartakan sebagai Hutan Rizab. Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk mengekalkan 30% atau 2.2 juta hektar kawasan terlindung. Ia kini telah mencapai hampir 1.9 juta hektar (kira-kira 26%) dan dijangkakan akan mencapai sasaran dalam tempoh 5 tahun lagi.

Pihak kerajaan pimpinan Tan Sri Musa juga telah mewartakan Taman Tun Mustapha sebagai taman marin pada 19 Mei 2016. Taman yang berkeluasan 898.76 ribu hektar ini merupakan taman marin terbesar di Malaysia dan antara yang terbesar di rantau Asia. Pewartaan ini merupakan antara inisiatif berterusan kerajaan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar negeri Sabah. Selain itu, Projek Pembangunan Eco Tanjung Aru (TAED) telah mula dijalankan pada 2017. TAED ialah projek tebingan bersepadu mesra alam berkeluasan 348 hektar. Projek ini membabitkan pembangunan semula kawasan pantai Tanjung Aru sepanjang 1.35 km serta Taman Prince Philip. Kawasan ini akan kekal sebagai tempat awam dengan ciri-ciri baharu dan bakal membuka peluang pekerjaan dalam bidang hospitalitI, pelancongan, dan industri runcit kepada penduduk tempatan.

Lebuh Raya Pan Borneo

Sebagai langkah yang memungkinkan kesuburan ekonomi dan kerancakan industri di Sabah, sistem pengangkutan dan capaian di negeri ini ditambah baik dari semasa ke semasa. Antara projek terbesar seperti yang kita sedia maklum ialah projek Lebuh Raya Pan Borneo. Projek ini merupakan bukti komitmen kerajaan dalam memenuhi keperluan rakyat Sabah. Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo telah dimulakan pada Mac 2016 yang melibatkan tiga pakej awal iaitu Jalan Donggongon-Papar (sejauh 11.7 km), Jalan Tawau-Semporna (dari km 45 hingga km 49.7) dan Jalan Lahad Datu Bypass (7.1 km). Ketiga-tiga pakej awal ini melibatkan jarak jalan raya sejauh 23.5km.

Pengangkutan

Selain penyediaan infrastruktur jalan raya, kemudahan pengangkutan juga ditambah baik agar pergerakan penduduk Sabah boleh dilakukan dengan efisyen. Kerajaan negeri Sabah berusaha membangunkan sektor pengangkutan awam bagi tujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan juga demi menyediakan perkhidmatan terbaik bagi rakyatnya. Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) sedang menjalankan kajian bagi menyediakan perkhidmatan rel ke utara dan timur negeri Sabah.

Mengikut rekod JKNS, bilangan penumpang yang menggunakan pengangkutan rel pada tahun 2016 adalah sebanyak 494,638 orang dengan jumlah perjalanan sebanyak 6 170 (6 170 trips). Selain sistem rel, kemudahan pengangkutan awam lain seperti bas juga diberikan perhatian. Selaras dengan Pelan Induk Penambahbaikan Pengangkutan Awam (Bas) Bandaraya Kota Kinabalu, empat terminal bersepadu akan dibangunkan iaitu Terminal Bas Bersepadu Utara Inanam, Terminal Bas Bersepadu Selatan Kepayan (berhampiran KKIA), Terminal Bas Bersepadu Timur Penampang, dan Terminal Pusat Wawasan Kota Kinabalu yang sedang dibina. Malah, pembinaan Sistem Bus Rapid Transit di Kota Kinabalu (BRT KK) yang sedang dibina sudah boleh dinikmati oleh penduduk setempat tidak lama lagi, yang dijangka siap pada tahun 2020.

Industri Kecil dan Sederhana

Usaha penjanaan ekonomi berskala besar tidak merencatkan insiatif kerajaan pimpinan Tan Sri Musa Aman untuk mengembangkan potensi perusahaan kecil dan sederhana (IKS) yang mencatatkan peningkatan sebanyak 5% setiap tahun dan meletakkan Sabah di tangga keenam dalam negara bagi tahun 2015. Bagi meningkatkan inovasi dan produktiviti IKS, kerajaan negeri Sabah telah menubuhkan SME Corp melalui program-program di bawah pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang dirancang dan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

Pembangunan Pertanian (Pengairan)

Bagi menyokong pembangunan kawasan jelapang padi di negeri Sabah, kerajaan melaksanakan program pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur pengairan dan saliran bernilai RM8.05 juta di daerah Kota Belud, Tambunan, Beluran, dan Kota Marudu yang aktif dengan aktiviti penanaman padi.

Pembangunan Pertanian (Padi)

Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) yang terletak di Kota Belud dibangunkan bagi meningkatkan pengeluaran padi seluruh negeri. Pertanian padi menerima subsidi tertinggi oleh kerajaan dengan nilai RM2,007 setiap hektar untuk baja dan bahan kimia, dan tambahan RM300 per tan sebagai insentif apabila dijual kepada kilang yang diselia kerajaan.

Pembangunan Pertanian (KPD, LIGS, Ko-Nelayan)

Dalam Bajet Negeri 2017, sektor pertanian menerima peruntukan RM122.31 juta untuk hal pembangunan bagi memantapkan dan memodenankan sektor pertanian negeri Sabah. Peruntukan sebanyak RM51.81 juta disediakan khusus kepada agensi-agensi berkaitan iaitu Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), dan Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-NELAYAN) untuk tujuan pembangunan pertanian.

Perladangan (Kelapa Sawit)

Sabah juga sebenarnya merupakan antara pengeluar terbesar minyak sawit mentah (CPO) negara. Pada tahun 2016, Sabah telah menyumbang lebih 28% atau 4.8 juta tan metrik kepada jumlah pengeluaran negara (17.3 juta tan metrik). Dari segi pendapatan, cukai jualan CPO merupakan penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negeri dengan purata antara RM800 juta ke RM1 billion sejak pelaksanaannya.

Penternakan

Satu pencapaian yang membanggakan, Sabah telah diiktiraf sebagai zon bebas daripada pelbagai penyakit ternakan termasuk Penyakit Kuku dan Mulut (FMD) oleh World Organisation for Animal Health. Ini membolehkan Sabah mengeksport produk-produk seperti susu, telur, dan daging ayam ke luar negara seperti Vietnam, Maldives, Timor Leste dan Sierra Leone. Sehubungan itu, RM71.02 juta diperuntukkan dalam Bajet 2016 kepada JPHPT untuk menyokong perkembangan industri ternakan negeri.

Penyeragaman Harga Barangan

Selain membantu golongan pengusaha, kerajaan Sabah turut memberikan perhatian kepada golongan pengguna melalui pelbagai inisiatif. Kerajaan telah melaksanakan beberapa program untuk menyeragamkan harga barangan keperluan bersubsidi gula, minyak masak, dan tepung gandum (GMT), Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), Coop1Malaysia, dan FAMA di Sabah, Sarawak dan Labuan–sama seperti yang dinikmati oleh penduduk di semenanjung. Barangan bersubsidi ini boleh didapati di kedai-kedai KR1M, Coop1Malaysia, Agrobazar Kedai Rakyat, FAMA dan peniaga-peniaga (Point-of-Sales) di seluruh Negara.

Pengurusan Kewangan

Apabila pertumbuhan ekonomi menjadi rancak dan negeri menjana pendapatan yang lumayan, tentulah sistem pengurusan hasil perlu diberi pembaharuan. Pada tahun kewangan 2014, 24 buah kementerian/jabatan/agensi Kerajaan Negeri Sabah diberikan penarafan empat bintang iaitu penarafan tertinggi dalam Indeks Akauntabiliti. Pengiktirafan ini menjadikan Sabah sebagai negeri yang mempunyai rekod pengurusan kewangan terunggul dalam Indeks Akauntabiliti di Malaysia untuk 3 tahun berturut-turut.

Pujian harus diberikan kepada pengurusan negeri ini atas usaha memperkukuh kedudukan kewangan yang menampakkan hasil, misalnya melalui pencapaian positif yang berterusan pada masa ini. Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2014, Sabah berupaya mengekalkan “Sijil Tanpa Teguran” (Clean Bill) yang membolehkan Sabah mengekalkan pengiktirafan tersebut selama 15 tahun berturut-turut.

Syarikat Milik Kerajaan

Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri Sabah telah menerima dividen lebih daripada RM286 juta yang dibayar oleh syarikat milik kerajaan. Antara badan-badan berkanun dan agensi-agensi negeri yang telah membayar dividen pada tahun 2016 adalah Bank Pembangunan Sabah, Warisan Harta Sabah Sdn. Bhd, Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC), Progressive Insurance Bhd. (PIB), Perbadanan Pinjaman Sabah, Sawit Kinabalu dan Suria Capital Holdings Bhd. Malah, syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri Sabah (GLC) juga telah menunjukkan peningkatan yang cemerlang sejak 5 tahun belakangan ini. Beberapa syarikat telah mula membayar balik dividen kepada Kerajaan Negeri sekaligus memperkukuhkan lagi situasi kewangan negeri. Ini membuktikan GLC di Sabah telah diuruskan dengan efisyen dan menepati sasaran.

Kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan

Kemesraan dan diplomasi yang ditonjolkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dipancarkan oleh keupayaan Tan Sri Musa Aman mengekalkan hubungan kerja yang kukuh dengan Kerajaan Persekutuan. Ia terbukti apabila Sabah diberikan peruntukan yang lebih tinggi berbanding negeri lain untuk memenuhi keperluan pembangunan sosio ekonomi di negeri ini. Hubungan rapat ini juga terbukti dengan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang menyediakan rangkaian jalan raya yang berkualiti dan akses sambungan antara wilayah.

Manifesto

Manifesto yang digariskan oleh beliau sebagai MB Sabah ialah mengembalikan semula hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Walaupun perkara ini ada disentuh dalam manifesto parti politik lain, tetapi apa yang cuba dicapai oleh beliau ialah mewujudkan kesepakatan dan perkongsian kuasa sebenar antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri selain meneruskan usaha memperkasakan terma perjanjian. Beliau sudah mula membentuk satu Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak MA63 di mana ia dipengerusikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Kedua, beliau meletakkan keharmonian dalam kalangan kaum dan agama. Menyedari kunci kepada keamanan dan perpaduan dalam negeri ialah keharmonian antara kaum dan agama, selaku ketua Menteri Sabah, beliau bersedia mewujudkan sebuah unit khas iaitu Unit Perhubungan Bangsa dan Agama di mana ia diletakkan di bawah seliaan Jabatan Ketua Menteri. Unit ini akan bertanggungjawab menguruskan hal ehwal masyarakat bukan beragama Islam di negeri Sabah.

Ketiga, beliau dikatakan berjanji untuk meningkatkan usaha membasmi kemiskinan di negeri itu. Walaupun kadar kemiskinan di negeri tersebut berkurangan dari 16.7% pada tahun 2009 kepada 2.7% pada tahun 2016, usaha ini perlu diperhebatkan lagi. Beliau akan meneruskan dan menambahbaik program pembasmian kemiskinan seperti Mini Estet Sejahtera (MESEJ), Geran Komunal dan program Agropolitan. Selain itu, Beliau juga akan melancarkan pelbagai aktiviti untuk menarik lebih ramai penduduk menjana pendapatan, sekaligus selaras dengan manifesto BN peringkat pusat yang dilancarkan pada 9 April lepas.

Keempat, meneruskan usaha membanteras kehadiran pendatang asing di negeri Sabah. Isu kebanjiran pendatang asing ini bukan saja mengancam kedaulatan negara tetapi juga memberi implikasi buruk untuk jangka masa panjang. Pada tahun 1970-an, bilangan penduduk Sabah hanya 651,304 orang dan meningkat kepada 929,299 pada tahun 1980. Kemudian ia bertambah lagi kepada 1.5 juta pada tahun 1990-an sebelum meningkat kepada 2,486,246 orang pada tahun 2000.

Berdasarkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing, bilangan penduduk Sabah meningkat lebih 300% berbanding Sarawak dengan peningkatan 106% antara tahun 1970 hingga 2000. Ia disumbang dengan peningkatan kehadiran warga asing pada tahun 1991 sebanyak 78%.

Berdasarkan statistik, bilangan warga asing ini saja sudah mencecah hampir 900,000 orang. Angka sebegini amat membimbangkan pihak berkuasa di sebalik pelbagai tindakan penguatkuasaan yang dijalankan. Beliau mahu meneruskan langkah mencegah dan mengawal kehadiran pendatang asing ini serta meneruskan usaha agensi-agensi kerajaan untuk mengusir mereka kembali ke negara-negara asal.

Kelima, meneruskan komitmen meningkatkan kebolehan Pasukan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM). Berdasarkan respon penduduk, ramai merasa gembira apabila Beliau bersedia meneruskan komitmen itu. Ini kerana menerusi pengukuhan itu, ini bukan saja menjadikan Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone) lebih selamat tetapi juga memberi kelegaan kepada penduduk yang menetap dan orang luar yang bertandang ke situ. Dengan peranan mereka semakin mencabar berikutan jenayah merentas sempadan seperti penyeludupan dan penculikan (KNR), maka perlunya pasukan ini ditingkatkan lagi kemampuan dari segi peralatan dan logistik. Ini bagi menjadikan ESSZone benar-benar bebas dari semua elemen itu.

Keenam, beliau akan berusaha mewujudkan peluang pekerjaan yang saksama kepada semua rakyat dalam semua sektor. Ini bermakna semua orang diberi peluang merebut pekerjaan secara saksama tanpa terikat dengan mana-mana bentuk diskriminasi. Selain itu, Beliau turut berikrar akan mewujudkan tenaga kerja yang kompetitif yang dapat menyumbang kepada produktiviti Negeri Di Bawah Bayu itu.

Untuk merealisasikan hasrat tersebut, ia bermula dengan pendidikan selaras dengan manifesto ke-12 parti, pembangunan sumber manusia. Untuk menjadikan ini satu realiti, sistem pendidikan sedia ada perlu ditambahbaik dan ditambah dari segi latihan untuk menjadikannya lebih berdaya saing. Ini kerana dengan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan penekanan pendidikan dan latihan vokasional (TVET), ia bakal mewujudkan sumber tenaga manusia diperlukan dalam menghadapi IR 4.0. Ini juga sekaligus menyediakan asas yang baik bagi generasi seterusnya membawa Malaysia ke arah lebih gemilang pada masa hadapan. Selain menyediakan pelbagai insentif kepada pelajar dari segi kewangan, pendidikan dan kemudahan, Beliau turut bertindak berani dengan mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) untuk manifesto ini. Ianya satu langkah yang bersifat kontroversi tetapi ianya juga bersyarat. Untuk memastikan sijil itu diiktiraf, pelajar yang mengambilnya perlu juga lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dengan kredit di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini sebagai komitmen kerajaan untuk terus memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat pendidikan dan mahu memastikan generasi berikutnya tidak buta sejarah.

Manifesto ketujuh beliau ialah menjadikan pengurusan tanah negeri tersebut lebih berkesan. Menurut statistik, keluasan tanah kerajaan yang diperuntukkan rakyat Sabah melalui kaedah seperti hak milik tanah adat, ekuiti dan pewartaan sebanyak 890,626.47 hektar atau 45% daripada keluasan tanah kerajaan yang telah diberimilik pada tahun 2012. Sementara pada tahun sama, lebih 17 ribu permohonan tanah diproses dengan 6,872 permohonan sudah diluluskan oleh Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah (LUC), majoritinya anak negeri. Sedar prosedur sedia ada perlu ditambah baik, Beliau akan berusaha meningkatkan pemilikan tanah oleh warga Sabah. Antara kaedah yang dicadangkan dalam manifesto ialah menganugerahkan geran komunal agar lebih ramai rakyat memiliki tanah, menambahbaik dan mempercepat proses tinjauan dan permohonan tanah serta berusaha memastikan tanah adat terus dilindungi.

Seterusnya, Beliau mahu meneruskan agenda teknologi hijau demi menjamin keselesaan rakyat. Ini termasuklah memantau dan menguatkuasa pengurusan industri pembuangan sampah, melaksanakan lebih banyak aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan, menggalakkan teknologi hijau dan perkhidmatan bas elektrik di Sabah. Agenda teknologi hijau bukanlah sesuatu yang baru dalam pentadbiran Datuk Seri Musa kerana agenda ini sudah dilaksanakan selaras dengan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkenaan teknologi hijau dalam Belanjawan 2014. Melalui agenda ini, Beliau mahu memastikan sebarang bentuk pembangunan yang dirancang bersifat inklusif, praktikal dan menjadikan matlamat bandar hijau tercapai.

Manifesto kesembilan dan kesepuluh beliau ialah merapatkan jurang pendapatan penduduk bandar dan luar bandar, pembangunan hak wanita dan kesaksamaan gender. Isu sebegini bukanlah sesuatu yang patut dipandang remeh. Dengan merapatkan jurang pendapatan dua kelompok ini, ia sebenarnya membantu meningkatkan lagi keselesaan yang dinikmati penduduk hari ini. Ini boleh dicapai dengan menambah lagi kemudahan sedia ada seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air serta perkhidmatan kesihatan. Penduduk yang gembira akan menambah produktiviti negeri. Sementara pembangunan hak wanita dan kesaksamaan gender ini pula dilihat selaras dengan agenda manifesto BN pusat yang turut memilih memartabatkan hak wanita. Ia dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada perjuangan kaum wanita yang turut menyumbang kepada pembangunan negara dari dahulu sehingga sekarang. Melalui manifesto ini, peranan mereka akan terus diperkasakan dan mewujudkan pelbagai inisiatif yang bersifat mesra wanita.

Selain itu, beliau juga tidak pernah melupakan aspek pembangunan belia dan sukan di negeri ini. Buktinya menerusi Belanjawan Negeri Sabah 2018. Menerusi belanjawan ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM76.9 juta untuk meneruskan aspirasi belia dan pembangunan sukan Sabah. Ini ditambah dengan cadangan RM5 juta untuk Skim Keusahawanan Belia Sabah dan Kecemerlangan Belia menerusi Skim Sukan Sabah di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah. Ramai memuji belanjawan tersebut kerana ia bersifat inklusif kerana melibatkan semua persatuan termasuk persatuan sukan orang kelainan upaya (OKU). Dan agenda ini akan diteruskan beliau pasca-PRU 2018 sekiranya terus diberi mandat mentadbir negeri tersebut. Antara cadangannya ialah menaiktaraf dan menambahbaik kemudahan sukan lebih moden dan profesional, memantapkan sistem latihan atlet dan memantapkan lagi program pembangunan sukan akar umbi serta kebajikan atlet negeri.

Demi mewujudkan suasana ekonomi yang lebih baik, sesebuah kerajaan perlu berusaha menjaga integriti dan mengelakkan berlakunya ketirisan dan pembaziran. Bagi beliau, ia bukan saja boleh dicapai, bahkan sudah diterjemah dalam bentuk kejayaan. Buktinya semasa pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2018, kerajaan mencatat lebihan belanjawan sebanyak RM64 juta. Untuk mengekalkan rekod cemerlang ini jika terus diberi mandat, pihak parti berikrar mengurangkan ketirisan dalam sistem pencapaian awam, memberi lebih banyak ruang kepada rakyat bersuara dalam soal dasar dan keputusan, meneruskan usaha membanteras rasuah dan meningkatkan keberkesanan serta kecekapan kakitangan awam. Sementara dari segi ekonomi pula, pentadbiran Datuk Seri Musa meneruskan rentak cemerlang berjaya meningkatkan rizab kewangan sebanyak RM3.74 bilion pada tahun lalu. Jika pentadbiran sebegini diteruskan, maka tiada masalah bagi parti meneruskan agenda pentadbiran kewangan yang mapan dan kukuh jika diberi mandat pasca-PRU 2018. Sementara bagi soal pelaburan asing pula, Beliau turut memberi jaminan mewujudkan suasana ekonomi yang baik bagi menarik lebih banyak pelaburan masuk. Ini kerana apabila suasana ekonomi stabil ditambah dengan keamanan di negeri itu, ia memberi keyakinan kepada para pelabur untuk menanam modal di Negeri Di Bawah Bayu.

Beliau sedar mereka tidak boleh berhenti setakat di sini saja dalam meningkatkan lagi kegiatan ekonomi negeri Sabah. Ini kerana dengan dengan merancakkan sektor sedia ada seperti pertanian, pelancongan, industri minyak dan gas, ini bukan saja menambah pendapatan negeri. Malah secara tidak langsung, ia turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Dan ini juga dilihat dapat membantu merapatkan lagi jurang pendapatan penduduk seperti yang digariskan dalam senarai awal manifesto. Melalui manifesto ini, Beliau mahu memperkenalkan pelbagai inisiatif kepada sektor berkaitan seperti teknologi baru bagi sektor pertanian, mewujudkan sektor hiliran untuk industri gas dan minyak serta mengenalpasti produk pelancongan berpotensi untuk negeri Sabah. Mengapa agenda ini ditekankan sekiranya diberi mandat untuk penggal berikutnya? Rekod pentadbiran Datuk Seri Musa menunjukkan Sabah menjadi pengeluar minyak sawit mentah terbesar di Malaysia sementara bilangan pelancong yang mengunjungi Sabah mencecah 2.74 juta orang pada tahun 2016. Sudah tiba masanya statistik sebegini ditingkatkan kerana ia dilihat boleh menambah lagi kantung kewangan negeri yang sememangnya berisi bukan saja dari segi belanjawan tetapi juga dari segi akaun hasil disatukan.

Isu perumahan mampu milik ini bukan saja berlaku di Sabah tetapi juga di seluruh negara. Dengan harga rumah di pasaran yang semakin mahal, ini menyukarkan ramai pembeli rumah yang mencari peluang membeli rumah untuk memenuhi keperluan keluarga masing-masing. Maka atas sebab itu, BN pusat dan negeri-negeri terutama Sabah melancarkan manifesto menekankan aspek pemilikan rumah mampu milik. Komitmen ini sudah dizahirkan melalui penawaran lebih 30 ribu rumah Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) di Sabah dengan harga yang ditawarkan 20% lebih murah berbanding harga pasaran. Ini bagi membolehkan penduduk mempunyai akses kepada rumah yang selesa. Selain mewujudkan lebih banyak rumah untuk penduduk tempatan, secara tidak langsung anak-anak tempatan diberi peluang mempelajari teknologi baru dan menambah lagi peluang pekerjaan yang disediakan dalam sektor perumahan.

Beliau tidak pernah melupakan industri kreatif negeri tersebut. Ini kerana melalui industri ini, pelancong dan orang luar dapat mengenali adat dan kebudayaan masyarakat Sabah. Dan ramai penggiat industri turut melihat ia sebagai satu lagi sumber ekonomi baru yang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Atas sebab itulah, ia menjadi sebahagian daripada manifesto yang dilancarkan pada 25 April lepas. Antara komitmen parti sekiranya diberi mandat ialah mewujudkan pusat sehenti industri kreatif di Sabah. Penubuhan pusat ini dilihat mengiktiraf peranan penggiat seni sebagai aset negeri dan mengelakkan bakat mereka tidak disia-siakan begitu saja sehingga memaksa mereka berkelana ke luar Sabah untuk mencari rezeki.

Akhir sekali, beliau sedar dunia kini sedang menghadapi IR 4.0 di mana teknologi sedia ada dilihat tidak lagi sesuai dengan cabaran era baru itu. Untuk memastikan rakyat Sabah tidak ketinggalan, Beliau menggariskan manifesto menggalakkan lebih ramai rakyat Sabah menyertai komuniti global dan menimba lebih banyak ilmu dan kemahiran berasaskan teknologi. Jika Sabah mahu menuju ke arah negeri maju seperti negeri-negeri lain, IR 4.0 ini dilihat kunci kepada kemajuan negeri tersebut pada masa akan datang. Kesediaan Sabah menerima IR 4.0 mengikut manifesto Beliau bukan saja membuka peluang ekonomi baru tetapi membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutama generasi muda. Untuk mencapai agenda tersebut, lebih banyak talian jalur lebar akan dipasang di Sabah membabitkan talian 3G dan 4G dengan lebih empat ribu menara dinaiktaraf bagi mendapatkan kualiti perkhidmatan yang lebih baik.