Tan Sri Khalid Ibrahim: Menteri Besar Teknokrat

0
3900
views

Bila kita berbicara perihal Tan Sri Khalid Ibrahim, pasti ramai yang mengingati beliau sebagai Menteri Besar Selangor dari tahun 2008 hingga 2014. Sementara bagi peminat sejarah pula, pasti tidak akan lupa peranan beliau dalam serangan subuh atau dawn raid ke atas Bursa Saham London pada tahun 1981 yang membawa kepada pengambilalihan syarikat perladangan Guthrie. Tetapi di sebalik semua ini, siapa sebenarnya beliau pada lembaran sejarah?

Tan Sri Khalid dilahirkan pada 14 Disember 1946 di Kampung Jalan Raja Abdullah, Jeram, Kuala Selangor, Selangor. Pada masa kecilnya, beliau belajar di Sekolah Melayu Jeram pada tahun 1956 dan menduduki Kelas Melayu Khas (Special Malay Class). Apabila Tan Sri Khalid jadi sebahagian daripada kelas tersebut, ia sebenarnya sudah memberi petunjuk berkenaan potensi dan bakat beliau untuk tahun-tahun mendatang. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran di Sekolah Inggeris Kampung Kuantan. Tan Sri Khalid kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan mendapat ijazah dalam jurusan Ekonomi pada tahun 1971 dan Master dalam jurusan sama dari Universiti Queensland pada tahun 1976.

Jetpack Langkawi

Berbekalkan MBA di tangan, Tan Sri Khalid berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun sama hinggalah beliau menyertai sektor swasta sebagai pegawai kredit untuk Malaysia Borneo Finance Corp (M) Sdn. Bhd. Tak lama selepas itu, Tan Sri Khalid berkhidmat pula sebagai pegawai kewangan korporat syarikat Pertanian Baring Sanwa Multinational Bhd. Selepas beberapa lama terlibat dengan sektor kewangan, beliau menyertai Perbadanan Nasional Berhad (PNB) pada tahun 1978 dan bekerja sebagai pengurus pelaburan perbadanan tersebut. Semasa berkhidmat sebagai Timbalan Pengurus Besar PNB, Tan Sri Khalid merupakan antara individu bertanggungjawab merancang serangan Subuh ke atas Bursa Saham London pada tahun 1981. Ia merupakan satu detik bersejarah kerana pengambilalihan Guthrie ini dilakukan melalui beliau.

Dari tahun 1982 hingga 1985, Tan Sri Khalid dilantik sebagai Pengurus Besar PNB tetapi mula menjawat jawatan pengarah di beberapa syarikat senarai awam seperti Golden Hope Plantation. Pada tahun 1985, beliau dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) sebelum jawatan itu dinamakan semula sebagai CEO kumpulan pada tahun 1990. Tan Sri Khalid terus memegang peranan itu hingga tahun 1994. Pada Disember 1992, beliau memperbaharui hubungan dengan Guthrie bila dilantik sebagai salah seorang daripada tiga anggota jawatankuasa eksekutif Guthrie sehinggalah satu CEO baru dilantik. Semasa tempohnya dalam syarikat, sudah wujud khabar angin jawatan CEO akan diisi oleh beliau dan ia akhirnya menjadi kenyataan 18 bulan kemudian. Pada ketika itu, Tan Sri Khalid dilantik sebagai timbalan pengerusi dan CEO Kumpulan Guthrie. Menerusi jawatan itu, beliau diberi ganjaran kencana (golden handshake) untuk membeli pegangan lima peratus atau 50 juta saham Guthrie dengan harga RM2.50 seunit dan diberi pilihan membeli saham tambahan sebanyak 150 juta unit dalam tempoh tiga tahun. Ganjaran kencana ini merupakan yang pertama pernah ditawarkan kepada bekas eksekutif PNB.

Semasa berada di Guthrie, beliau bertanggungjawab melaksanakan pelan pengembangan bisnes syarikat tersebut daripada perladangan kepada cabang perniagaan lain seperti perindustrian dan pembangunan hartanah. Pelan tersebut dilancarkan pada tahun 1994. Antara projek hartanah pertama dilancarkan Guthrie ialah projek bandar Bukit Jelutong di Shah Alam. Selepas pelancaran dan perlaksanaan projek tersebut, ia mendapat maklum balas baik daripada pembeli rumah. Dan ia menjadi antara projek yang paling menguntungkan kepada syarikat itu. Pada tahun 2001, Tan Sri Khalid turut bertanggungjawab merencana perjanjian bagi Kumpulan Guthrie mengambilalih kawasan perladangan di Indonesia dengan keluasan 265,776 hektar per segi dengan nilai RM1.4 bilion. Proses pengambilalihan itu menjadikan Guthrie sebagai antara syarikat perladangan terbesar di dunia. Dua tahun selepas itu, beliau dilepaskan dari jawatan CEO selepas lembaga pengarah Guthrie memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak sebagai CEO berkuatkuasa 31 Disember 2003 dan digantikan oleh Datuk Abdul Wahab Maskan berkuatkuasa 1 Januari 2004.

Dari segi kehidupan peribadinya, Tan Sri Khalid berkahwin dengan isteri tercinta, Puan Sri Salbiah Tunut. Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu seorang lelaki dan tiga orang perempuan. Salah seorang anak perempuan beliau bekerja sebagai pakar bedah veterinar dan mempunyai sebuah klinik khusus untuk kucing di Brisbane, Australia.

Perjalanan Tan Sri Khalid sebagai ahli politik bermula pada tahun 2006 apabila menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebuah parti yang ditubuhkan oleh penyokong gerakan Reformasi diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau turut dilantik sebagai bendahari parti tersebut. Semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Ijok pada tahun 2007, Tan Sri Khalid dipilih sebagai calon untuk berhadapan dengan calon Kongres India Malaysia (MIC)/Barisan Nasional (BN), K. Parthiban.

Bagaimanapun, beliau kalah dengan majoriti 1,850 undi. Namun, Tan Sri Khalid berjaya membuat kemunculan semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dengan merampas kerusi Ijok dengan mengalahkan calon Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)/BN, Mohamed Sayuti Said dengan majoriti 1,920 undi. Pada PRU yang sama, beliau turut berjaya memenangi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dengan mengalahkan penyandang merangkap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu, Datuk Tan Chai Ho dengan majoriti 2,515 undi.

Kejayaan PKR dan rakan komponen Pakatan Rakyat (PR) iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membentuk majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor membolehkan beliau dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baru pada 13 Mac 2008. Tan Sri Khalid turut mencipta sejarah tersendiri kerana menjadi menteri besar Selangor yang pertama bukan dilantik dari BN.

Semasa penggal pertamanya sebagai Menteri Besar, beliau melaksanakan beberapa polisi seperti memberi 20 meter padu air kepada isirumah di Selangor dan meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2010, undang-undang seumpamanya pertama di negara ini. Pada dasarnya, pentadbiran beliau boleh dianggap baik dari segi perlaksaan polisi sosial dan ketelusan kerajaan.

Semasa penggal kedua menjawat jawatan MB, Tan Sri Khalid merancang menubuhkan Dana Pembangunan Bandar Selangor sebagai cara membangunkan bandar-bandar utama seperti Petaling Jaya dan Klang menjadi bandar-bandar bertaraf dunia. Dana ini akan diraih dengan sebahagian daripadanya dari sektor swasta dalam bidang hartanah dan pembangunan infrastruktur dengan menggunakan aset seperti tanah negeri. Dana ini akan diletakkan di bawah seliaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, Menteri Besar Inc. Jika ia berjaya dilaksanakan, ia akan menjadi syarikat pelaburan luar kedua selepas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun, malangnya rancangan Tan Sri Khalid tidak kesampaian apabila dilucutkan jawatan dari MB Selangor. Meskipun sedemikian, Tan Sri Khalid pula, selepas disingkirkan dari jawatan Menteri Besar, beliau meneruskan peranannya sebagai Ahli Parlimen dan Adun Bebas untuk Bandar Tun Razak dan Pelabuhan Klang. Melihat kepada pengalamannya sebagai ahli perniagaan dan ahli ekonomi, tidak mengejutkan mengapa pada tahun ini, pihak kerajaan melantiknya sebagai Ketua Kluster Ekonomi Majlis Perundingan Islam (MPI) menggantikan ketua kluster sebelumnya iaitu bekas pengerusi dan CEO Johor Corporation (JCorp), Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Sempena PRU yang bakal menjelang tidak lama lagi, Tan Sri Khalid turut mengumumkan tidak akan mempertahankan kedua-dua kerusi yang dimenanginya pada PRU lepas iaitu Bandar Tun Razak dan Pelabuhan Klang.

Perjalanannya sebagai ahli politik penuh dengan warna-warni, sama ada baik atau buruk. Walau apapun pandangan kita terhadap beliau, ciri-cirinya sebagai ahli ekonomi dan pentadbir yang baik seharusnya diikuti oleh generasi pemimpin akan datang. Maka amat layak jika kita mengangkat Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai seorang ahli politik yang patut dicontohi.

SUMBER

  1. The Star. (2003). Teacher who rose to become PNB group chief exec. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2003/12/10/teacher-who-rose-to-become-pnb-group-chief-exec/
  2. Kamiso, Sidek. (2003). The Star. Khalid to leave as Guthrie CEO. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2003/12/10/khalid-to-leave-as-guthrie-ceo/
  3. Utusan Malaysia. (2008). Khalid Ibrahim angkat sumpah jawatan MB Selangor. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_12.htm
  4. Astro Awani. (2013). Khalid angkat sumpah MB Selangor Selasa. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/khalid-angkat-sumpah-mb-selangor-selasa-14087
  5. Vijian, P. (2013). Free Malaysia Today. Selangor plans RM1b sovereign wealth fund. http://www.freemalaysiatoday.com/category/business/2013/10/22/selangor-plans-rm1b-sovereign-wealth-fund/
  6. Ahmad, Razak. Yunus, Akil. Muthiah, Wani. Nik Anis, Shahanaaz Habib Mazwin. Azhar, Syed dan Chua, Eddie. (2014). The Star. PKR sacks Khalid from party. https://www.thestar.com.my/news/nation/2014/08/10/pkr-sacks-khalid-from-party-decision-made-after-mb-did-not-turn-up-for-disciplinary-hearing/
  7. Astro Awani. (2015). “Langkah Kajang, langkah kecundang.”- Khalid Ibrahim. http://www.astroawani.com/berita-politik/langkah-kajang-langkah-kecundang-khalid-ibrahim-70066
  8. Malaysia Gazette. (2018). Khalid dilantik Ketua Kluster Ekonomi MPI. http://malaysiagazette.com/v2/blog/2018/01/10/khalid-dilantik-ketua-kluster-ekonomi-mpi/
  9. Ngah, Nazura. (2018). Berita Harian. ‘Saya tidak akan bertanding.’. https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/02/385949/saya-tidak-akan-bertanding

 

Previous articleIsaac Newton: Ahli Fizik Berpengaruh Ketika Revolusi Saintifik
Next articlePerang Jepun Di Brunei 1941-1945
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE