Tamadun Sungai Batu Lebih Tua Dari Usia Sukan Olimpik

1,129

Berita terbaru ini mengesahkan bahawa melalui salah sebuah tapak di situ (SB2H), Tamadun Sungai Batu sah telah dianjak pentarikhannya dari 582 Sebelum Masehi ke pentarikhan maksimum setakat ini, yakni 788 Sebelum Masehi!

Dalam makalah bertajuk ‘Artifak Besi Dalam Industri Besi Sungai Batu, Lembah Bujang’ oleh Naizatul Akma Mohd Mokhtar dan Prof. Dato’ Dr. Mokhtar Saidin telah menyatakan:

“Berdasarkan kajian terkini, tapak SB2H telah mendedahkan tarikh 788-537 Sebelum Masehi iaitu tarikh terawal bagi rantau Asia Tenggara.”

Apabila pentarikhan sudah sah dianjak lagi ke tahun 788 Sebelum Masehi melalui bukti tercatat dalam makalah akademik begini maka Tamadun Sungai Batu sudah terbukti lebih tua dari Dinasti Mesir Purba (Dinasti ke-24) dan sezaman dengan Empayar Assyria (Neo-Assyria)!

Malah lebih tua dari sejarah sukan Olimpik di Yunani Purba dan lebih awal dari penubuhan Rom!

Ini juga bermaksud, tidak ada mana-mana tamadun atau peradaban purba di Asia Tenggara yang mampu menyaingi usia Tamadun Sungai Batu setakat ini. Namakan… Angkor Wat, Borobudur, Ayutthaya, Bagan atau kompleks Champa, Mỹ Sơn atau tapak-tapak arkeologi Funan seperti Oc Eo… semuanya masih muda berbanding tapak peleburan besi di Sungai Batu.

Walaupun kita sudah sah memiliki tapak sejarah dan arkeologi PALING TUA, PALING BERNILAI dan PALING BERPOTENSI namun malangnya sambutan dari pihak-pihak yang sepatutnya membangunkan tapak sejarah ini amatlah… membingungkan kita semua. Menyedihkan itu satu hal. Tapi reaksi mereka semua ini amatlah membingungkan kita. Sebab apa?

Jika Tamadun Sungai Batu ini berada di negara Indonesia atau Thailand misalnya, sudah pasti dan pasti ia akan dibangunkan dengan diberi peruntukan yang besar dan digazetkan sebagai ‘NATIONAL TREASURE’ yang super-duper- mega penting. TAMADUN TERTUA ASIA TENGGARA kot.

Alangkan candi-candi muda mereka itu pun mereka jaga, pulihara dan promosikan bersungguh-sungguh. Inikan pula tamadun paling tua! Satu kompleks pelabuhan purba akan dibangunkan sebagai usaha-usaha membina kembali (reconstruction) tapak sejarah sebagai galeri atau ‘muzium hidup’ untuk tatapan generasi masa depan.

…dan sudah tentu, KAPAL-KAPAL PURBA di tapak arkeologi Sungai Batu ini dinaikkan!

Tapi itulah… tapak paling berharga seluruh Asia Tenggara ini berada di satu negara yang para pemimpinnya tengah bercakaran berebut kuasa. Malah ada pengganas dilantik menjadi wakil rakyat, ape ke hei. Jadi, tolong. Tolong angkat punggung dan majukan tapak sejarah kami!

Satu lagi, sudah tiba masanya Prof. Dato’ Dr. Mokhtar Saidin ini ditawarkan menjadi salah seorang panel PAKAR RUJUK BUKU TEKS SEJARAH atau ahli dalam Jawatankuasa Penambahbaikan Kurikulum dan Buku Teks Sejarah negara kita. Cuba perati bagaimana Prof. John N. Miksic, seorang ahli arkeologi Amerika yang menjadi penasihat buku teks sejarah Singapura yang baru, ‘Singapore: The Making of a Nation-State, 1300-1975’.

Adalah merugikan kerja-kerja cemerlang beliau ini tidak diangkat ke peringkat lebih tinggi. Bayangkan, Singapura terpaksa ‘upah’ ahli arkeologi Amerika nak ‘decode’ Sulalatus Salatin dan berjaya membuktikan lagi kewujudan kerajaan Singapura Purba. Kita pula dah ada ahli arkeologi yang hebat yang MENEMUI TAMADUN PALING TERTUA ASIA TENGGARA YANG LEBIH TUA DARI PENUBUHAN ROM!

Fikir-fikirkanlah. Takkan nak sejarah negara kita asyik berpusing-pusing pasal Hang Buah ke Hang Buha? Ini kerja-kerja arkeologi bukan setakat main teka silangkata. Dengan memberikan tumpuan kepada tapak tertua Asia Tenggara ini seperti memberikan peruntukan kepada pembangunan Tamadun Sungai Batu, maka ia akan menjana pendapatan negara pada masa depan melalui sektor pelancongan, di samping fungsi utamanya memperkasakan sumber manusia kita dengan pembinaan jatidiri dan semangat patriotik yang padu.

Kita sudah ada tamadun tertua Asia Tenggara, malah kita ada tapak peleburan besi, teknologi perkilangan besi tertua Asia Tenggara. Ini bukan tahyul bukan mitos dongeng penglipurlara. Ini betul-betul bukan cobaan.

Lawan tesis adalah antitesis. Lawan saintifik adalah tahyul. Sekarang sejarah kamu saintifik & empirikal. Bersemangat mahu melihat sejarah dari fikiran yang merdekakah atau masih lagi berfikiran toyol.

~Srikandi

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.