Tamadun Sarmatia: Para Penunggang Kuda Yang Menggerunkan

616

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Dunia klasik sememangnya dipenuhi dengan pelbagai macam suku kaum, kebudayaan dan masyarakat yang berbilang bangsa, di mana setiap satunya terlibat dalam peristiwa-peristiwa penting yang membentuk dunia yang kita kenali pada hari ini. Budaya demi budaya baru muncul dan dibentuk menjadi suku mahupun bangsa-bangsa tertentu. Lalu, suku dan bangsa-bangsa ini lenyap sepantas mana ia muncul.

Pada hampir keseluruhan zaman klasik dan zaman-zaman yang lebih awal daripadanya, Steppe Eurasia merupakan tanah tumpah bagi sejumlah tamadun dominan. Salah satu daripadanya adalah tamadun Sarmatia; iaitu sebuah konfederasi kaum-kaum nomad yang lahir daripada kumpulan masyarakat Scythia yang lebih meluas.

Sebagai sebuah tamadun yang perkasa lagi mahir dalam aspek pep3rangan, tamadun Sarmatia berupaya meluaskan sempadan wilayah mereka sekaligus membayangi tamadun Scythia-lama. Pengaruh mereka benar-benar dirasai oleh tamadun-tamadun kontemporar. Pada suatu tahap, mereka bahkan menjadi seteru utama Rom dan Yunani. Namun, apakah takdir yang menimpa tamadun ini? Artikel kali ini akan cuba memerihalkan serba-sedikit tentangnya.

Steppe Eurasia merupakan kampung halaman yang cukup subur untuk melahirkan kebudayaan, seperti Sarmatia yang berkembang masyhur

SARMATIA DARI STEPPE EURASIA

Tamadun Sarmatia disepakati secara meluas muncul pada kurun ke-7 SM dan mengalami kepesatan di rantau Steppe Eurasia. Padang rumput menghijau yang luas ini membentuk sebuah koridor gigantik yang terbentang dari China hingga ke dataran Hungary.

Apapun, tamadun Sarmatia bukanlah sebuah bangsa tunggal. Sebaliknya, ia merupakan sebuah konfederasi yang menyatukan sejumlah suku nomad yang berkongsi jalur leluhur yang sama dan menuturkan bahasa atau dialek yang sama. Pada skala yang lebih besar, tamadun Sarmatia boleh dianggap memiliki hubungan yang rapat dengan tamadun Scythia.

Suku-suku nomad yang secara kolektifnya disebut sebagai Sarmatia ini mengamalkan gaya hidup nomad, dan bergerak ke barat secara berperingkat dengan membawa bersama kuda-kuda ternakan mereka.

Bagi memberikan kefahaman yang lebih mendalam tentang suku-suku nomad Sarmatia, Strabo menggolongkan suku-suku berikut sebagai antara suku utama dalam tamadun Sarmatia:  Roxolani, Iazyges, Siraces, Aorsi dan Sauromatae. Ramai sejarahwan turut mengandaikan suku Alan berkongsi rumpun yang sama dengan Sarmatia, namun tidak mengkelompokkan mereka ke dalam konfederasi berkenaan.

Sama seperti tamadun Scythia, Sarmatia menuturkan bahasa dari kelompok Irani dari bahasa Indo-Eropah, sekaligus mempunyai kaitan dengan bahasa Parsi moden. Bahasa ini sendiri merupakan kumpulan bahasa yang luas, dikenali sebagai kumpulan bahasa Scythia-Sarmatia, yang dahulunya disebut sebagai bahasa Irani Lama.

Seiring peredaran waktu, dialek bahasa ini berkembang dan membentuk bahasa unik yang terpisah, terutama apabila suku-suku tersebut mula mendiami kawasan yang berbeza-beza. Dialek Sarmatia berkembang menajdi bahasa-bahasa Irani-Utara, yang mana pada hari ini dianggap sebagai leluhur kepada bahasa Alania dan Ossetia moden.

Sarmatia adalah sebuah konfederasi kesukuan yang perkasa dari kumpulan masyarakat Scythia. Patung pemanah Scythia ini diemui di kota purba Yunani, Panticapaeum yang kini terletak di Ukraine moden

Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, tamadun Sarmatia muncul sekitar kurun ke-7SM dan mendiami bahagian timur steppe Sungai Don dan bahagian selatan Pergunungan Ural. Mereka mengamalkan gaya hidup yang hampir sepenuhnya nomad, dengan memusatkan kegiatan mereka pada ternakan kuda yang daripadanya pelbagai barangan penting diperoleh: bermula dari kegunaan sebagai tunggangan p3rang, susu yang diperah dari kuda betina, sumber makanan, hinggalah ke kulit dan bulunya.

Sejarahwan secara meluas bersepakat mengatakan bahawa Sarmatia hidup bersama Scythia secara aman sehingga kurun ke-3 SM, di mana pada kurun tersebut mereka mula melebarkan sempadan wilayah dengan agak signifikan. Diodorus mencatatkan bahawa pada era tersebut, Sarmatia mula merentasi Sungai Don dan memasuki steppe Pontic di sebelah utara Laut Hitam. Di sana, mereka berkonflik dengan Scythia dan mengusirnya dari tanah tersebut. Sarmatia kemudiannya mendominasi rantau berkenaan selama lima kurun.

Pahlawan wanita Amazon, dipercayai hidup bersama Sarmatia

PAHLAWAN WANITA AMAZON DAN GASAR PERKASA DI TANAH JAUH

Sarmatia mempunyai satu ciri sosial yang unik, di mana ciri ini membangkitkan banyak mitos dalam dunia klasik. Salah satu mitos yang paling utama tidak lain dan tidak bukan adalah mitos Pahlawan Amazon. Bagi masyarakat Yunani, Pahlawan Amazon merupakan pahlawan-pahlawan wanita yang mendiami tanah yang jauh. Sememangnya, wujud kemungkinan wanita-wanita tersebut benar-benar hidup dalam kalangan tamadun Sarmatia.

Herodotus mencatatkan bahawa kaum wanita Sarmatia mahir menunggang kuda dan bermain senjata sama seperti kaum lelaki; mereka lazim berburu, cekap memanah sambil menunggang kuda dan mahir melontar lembing. Mereka turut memakai pakaian pelindung yang sama dengan kaum lelaki. Namun sebaik sahaja kaum wanita Sarmatia berkahwin, gaya hidup mereka mula berubah dan perhatian mereka lebih tertumpu kepada pengurusan rumahtangga.

Beberapa orang penulis Yunani lain yang hidup sezaman dengannya turut mencatatkan bahawa masyarakat Sarmatia mengamalkan konsep matriarki dan kaum wanita diangkat sebagai pemimpin.

Walau bagaimanapun, butki arkeologi dan penyelidikan sejarah mendapati bahawa pada beberapa kurun kemudian, kaum wanita mula meninggalkan medan p3rang secara berperingkat. Rangka-rangka wanita dari era awal Sarmatia kebiasaannya memiliki kaki yang melengkung ke luar. Keadaan ini mengisyaratkan kepada kita bahawa  kaum wanita meluangkan hampir seluruh kehidupannya dengan menunggang kuda, sama seperti kaum lelaki.

Mozek Rom dari Daphne (di Turki moden) menunjukkan seorang pahlawan Amazon yang bertempur di atas kuda.

Apapun, hanya pada kurun pertama Masihi barulah Sarmatia memasuki panggung sejarah dengan agak menonjol. Pada masa-masa inilah catatan klasik mula merekodkan mereka sebagai bangsa gasar yang mencerobohi wilayah jiran dan mencetuskan pep3rangan. Bersama suku Alans, mereka merentasi Asia Kecil dengan bilangan yang agak ramai, lalu meny3rang Parthia, Armenia dan Media dengan ganas. Mereka malah turut menembusi Danube, menggempur wilayah Moesia dan Pannonia milik Rom. 

Sepanjang berada di sana, Sarmatia mengukuhkan pengaruh mereka dengan cukup signifikan dan kekal mendiami Dataran Hungary. Sebagai catatan sampingan, suku Sarmatia yang paling berpengaruh di Danube ketika itu adalah Iazyges, di mana jejak tinggalan mereka kekal sehingga ke hari ini, iaitu pada masyarakat Jasz di Hungary yang menuturkan bahasa Jassi.

MENUJU KE BARAT DENGAN MATA PEDANG

Lantaran menduduki Danube yang hampir dengan Rom, Sarmatia serta-merta dianggap sebagai suatu ancaman yang besar buat tamadun ulung itu. Tambahan lagi, pergerakan Sarmatia agak sukar dijangka. Mereka kerap melakukan s3rangan walau tanpa sebarang provokasi. Tamadun Sarmatia bukan sahaja gagah dan cekap bertempur di atas kuda, malah mahir bermain busur dan lembing.

Patung relif pada Tiang Trajan di Rome (Itali) yang menggambarkan sebuah pertempuran kavalri melibatkan Sarmatia

Sarmatia membangunkan sejumlah kaedah pep3rangan yang unik, di mana ianya kemudian mempengaruhi kesemua tamadun yang berinteraksi dengan mereka. Seandainya bekalan besi tidak didapati, Sarmatia mencipta alatan senjata dengan menggunakan bahan-bahan lain; misalnya mata anak panah dan bilah lembing diperbuat daripada tulang-belulang, manakala kayu kornel digunakan bagi menghasilkan pemegang lembing dan busur panah. Mereka juga masyhur mengenakan pelitup dada bersisik, di mana pada era awal, ianya diperbuat daripada telapuk kuda ataupun tulang-belulang.

Di samping itu, Sarmatia juga terkenal dengan penggunaan laso (tanjul) yang dilontar pada musuh yang berada di atas kuda, di mana musuh tersebut kemudiannya akan diheret lalu dikerjakan beramai-ramai. Kegagahan pasukan kavalri Sarmatia tiada tolok bandingan, di mana ia secara langsung memberikan pengaruh yang besar kepada pemantapan unit kavalri Rom.

Sejak bermulanya interaksi pertama mereka dengan tamadun Rom di Danube, suku-suku Sarmatia sentiasa terlibat dalam pep3rangan. Suku Sarmatia yang paling besar di Danube ialah Iazyges, yang bergabung dengan suku-suku Jerman pada tahun 167-180 semasa berlakunya P3rang Marcommanic, menentang Rom. Pada tahun 173-174M pula, Iazyges cuba meny3rang Pannonia secara sendirian, namun kalah di tangan Marcus Aurelius.

Kekalahan tersebut memaksa mereka memeterai perjanjian damai dengan Rom pada tahun berikutnya, iaitu 175M. Melalui perjanjian ini, Iazyges dituntut membekalkan Rom dengan pasukan tentera yang agak besar, sekitar 8000 orang tentera kerahan. Daripada keseluruhan jumlah itu, kira-kira 5000 orang daripadanya berkhidmat di Britannia.

Pada dekad-dekad berikutnya, Sarmatia-Iazyges terus-menerus mengganggu gugat keamanan Rom. Justeru, Rom kerapkali melancarkan ekspedisi ketenteraan bagi menangani mereka. Sarmatia sekali lagi memasuki panggung sejarah sekitar tahun 236M, iaitu ketika Maharaja Maximinus Thrax memimpin pasukannya memerangi Iazyges sekaligus meraihkannya gelaran ‘Sarmaticus Maximus’. Selepas Iazyges ditewaskan sekali lagi pada tahun 282M oleh Maharaja Carus, mereka mula muncul dalam sejarah sebagai tentera kerahan di tengah-tengah barisan tentera Rom.

SUKU-SUKU SARMATIA: SIRACES, AORSI, ROXOLANI, DAN IAZYGES

Siraces mungkin merupakan suku Sarmatia yang paling kecil. Pun begitu, kekuatannya masih tetap dirasai sehingga mereka digeruni oleh seteru-seteru mereka. Sekitar penghujung kurun ke-5SM, Siraces berpindah secara besar-besaran dari Kazakhstan moden menuju ke barat dan pada kurun ke-4SM, mula mendiami kawasan sekitar pergunungan Kaukasus dan Sungai Don. Di sinilah Siraces memulakan interaksi awal dengan tamadun Yunani, khususnya menerusi koloni-koloni mereka yang bertempat di Laut Hitam.

Sarmatia adalah sebuah masyarakat nomad gasar yang mahir bertempur di atas kuda

Pada dekad-dekad berikutnya, Siraces mula berkembang secara bertahap dari gaya hidup nomad yang diwarisi secara turun-temurun. Hanya golongan bangsawan sahaja yang masih mengekalkan tradisi nomad, sementara golongan lain mula hidup secara menetap.

Walaupun saiz mereka lebih kecil berbanding suku-suku lain, Siraces masih berupaya menggalang tentera yang agak ramai. Strabo mencatatkan bahawa Raja Siraces, iaitu Abeacus (yang memerintah sezaman dengan Pharnakes si raja Bosporan pada 63-74SM) mampu menghimpunkan kira-kira 20 000 orang tentera berkuda. Siraces menerapkan banyak unsur Hellenistik dalam kehidupan mereka, namun identiti Sarmatia masih tetap dikekalkan.

Selain itu, tamadun Sarmatia juga terdiri daripada suku Aorsi yang lebih signifikan. Mereka menetap bahagian utara Siraces, tepatnya di belakang Sungai Don. Aorsi menempati kawasan ini selepas berpindah dari Timur dan mereka lebih berupaya menggalang tentera yang besar, kira-kira 200 000 orang berkuda.

Dicatatkan bahawa Aorsi merupakan penguasa di rantau Caspian. Sekitar tahun 50 Masihi, mereka mula berkonflik dengan Siraces di mana Aorsi memilih untuk menyokong faksi yang pro-Rom dalam P3rang Bosporan. Kekuatan Siraces musnah sepenuhnya sesudah pep3rangan ini dan mereka hilang dari rekod sejarah sekitar tahun 193M.

Satu lagi suku Sarmatia yang signifikan ialah Roxolani, yang berkelana jauh ke barat bersama Iazyges. Secara lebih mengkhusus, mereka mendiami kawasan sekitar Laut Azov yang bertempat di Ukraine selatan.

Roxolani kali pertama memasuki rekod sejarah sekitar tahun 107SM. Pada waktu itu, mereka berkonflik dengan Raja Mithridates VI dan kekuatan mereka yang berjumlah 50 000 orang kavalri ditumpaskan. Selepas mengalami kekalahan tersebut, Roxolani dikerah untuk berkhidmat di bawah Mithridates dan memerangi Rom.

Tanpa dapat diragukan lagi, suku Sarmatia yang paling menghadirkan ancaman buat Rom ialah Iazyges, lebih-lebih lagi lantaran kedudukan mereka yang lebih jauh ke barat berbanding suku-suku Sarmatia yang lain.

Sikap mereka terhadap Rom dan Roxolani sentiasa berubah seiring peredaran masa, di mana kadangkala Iazyges bersekutu dan ada masa berseteru pula dengan mereka. Apa yang jelas, Iazyges menghadirkan ancaman yang besar buat Rom selama tempoh beberapa kurun.

Sekitar kurun ke-4 Masihi, suku-suku Sarmatia mengharungi tempoh keruduman apabila Goth-Jerman mula memasuki panggung sejarah dan mengganggu gugat kedudukan Sarmatia di Danube. Kemudian pada lewat kurun ke-4 dan awal kurun ke-5 Masihi, Sarmatia dibayangi pula oleh Hun yang meluaskan kuasa mereka secara drastik.

Sarmatia terpaksa tunduk kepada Attilia dan seterusnya, saki-baki Sarmatia yang masih terselamat berasimilasi pula dengan suku-suku Slavik pada 600M. Saudara jauh mereka, iaitu suku Alan, berupaya bertahan dengan lebih lama dan sempat memasuki Zaman Pertengahan Awal. DNA mereka hidup sehingga kini dalam pembuluh darah etnik Ossetia moden.

Gambaran pertempuran antara Rom, Sarmatia dan Jerman yang diukir pada sarchopagus marmar di Rome

HILANGNYA SARMATIA DARI PANGGUNG SEJARAH

Takdir buat tamadun purba sentiasa berputar dalam roda yang sama; kurun demi kurun berlalu melahirkan sejumlah generasi. Lalu, pep3rangan demi pep3rangan dan perpindahan demi perpindahan bersilih-ganti di mana ia secara efektif melenyapkan seluruh kebudayaan dan tamadun.

Nasib yang serupa menimpa tamadun Sarmatia. Pada suatu sudut, mereka dengan perkasa memperagakan kekuatan dan melebarkan pengaruh terhadap setiap musuh yang menghalangi perjalanan mereka. Namun, kejayaan yang sama inilah seterusnya mendorong kepada perpecahan dan permusuhan sesama suku Sarmatia itu sendiri. Setiap suku menjadi tentera upahan bagi pihak yang berlawanan, sekaligus membuatkan mereka saling berseteru. Dengan demikian, takdir buruk Sarmatia tidak lagi dapat dielakkan.

TERJEMAHAN:

Aleksa Vuckovic. (15 Julai 2020). The Fierce Warriors of the Steppes: Who Were the Sarmatians? Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/sarmatians-0013985

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.