Tikus jarang membawa kebaikan. Kalau tidak membawa penyakit, silap-silap tikus membawa ular masuk dalam rumah. Macam-macam orang sanggup buat untuk pastikan tikus tidak bermaharajalela. Lubang dicari sampai jumpa. Racun diletak sampai cukup. Perangkap dipasang sampai sudah. Tetapi tanpa disangka, orang ramai hanya perlu letak satu buah ini saja. Cukup untuk halau tikus… tetapi tikus jantan sajalah, sebab salah sentiasa pada lelaki.

Saintis daripada Universiti McGill yang terletak di Montreal, Canada, menemui perkara ini semasa mengkaji pasal hormon stres tikus. Umumnya, tikus adalah haiwan yang hidup ikut fitrah. Ia tiada akal. Jadi ia tidak mampu mengawal stres dengan cara selain keluar daripada pencetus stres itu sendiri.

Paras stres tikus jantan didapati meledak apabila berdekatan dengan tikus betina yang hamil atau sedang menyusu. Bukan stres kerana tikus hamil meragam atau mengidam macam-macam. Sebaliknya apabila tikus hamil, ia mengeluarkan sebatian kimia dipanggil n-pentyl acetate dalam air kencingnya.

Advertisements
Gambaran Tikus Hamil. (Dezidor/CC-BY 3.0).

Dan n-pentyl acetate adalah sebatian yang merupakan punca bau pisang. Penemuan ini agak mengejut. Jadi saintis mencuba nasib tengok kadar stres apabila tikus jantan diletak bersama pisang. Jika reaksi tikus adalah sama, maka penemuan ini boleh mengubah perspektif harian kita tentang tikus. Kadangkala kaedah pencegahan tikus yang baik adalah dengan cara semulajadi – tanpa ada apa-apa racun yang boleh membahayakan diri atau orang sekeliling (terutamanya haiwan peliharaan seperti kucing misalnya).

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

Cetusan Kekeliruan

Tidak ramai tahu yang tikus sebenarnya rabun dekat. Jadi tikus amat bergantung pada deria bau, dengan misai yang sangat sensitif. Tanpa dua deria ini, tikus ibaratkan buta segalanya. Namun deria yang terlalu sensitif boleh mengundang masalah pada tikus jantan. Salah satu masalah yang diketahui hari ini adalah n-pentyl acetate.

Memandangkan ini adalah hormon pisang, saintis melaksanakan beberapa eksperimen tentang pisang. Mereka melumurkan kapas dengan minyak pisang. Kapas tersebut kemudian diletak bersama tikus jantan dalam sangkar. Apa yang mereka temui sangat konsisten dengan penemuan mengejut. Kadar stres tikus melonjak bukan main tinggi lagi. Ledakan stres nampak seolah-olah tikus sedang berlawan dengan tikus lain.

Tak sangka tikus boleh takut pisang.

Badan tidak bergerak. Hormon mencanak berlawan. Memang keliru habis dibuatnya. Sebab tikus sekali lagi tiada akal untuk meluaskan batasan fitrah. Mereka tidak tahu itu adalah minyak pisang, bukannya air kencing tikus hamil. Dan ada satu penjelasan sangat menarik dalam bab ini.

Evolusi Menentukan Fitrah Tikus

Cuba bayangkan – tikus jantan benci n-pentyl acetate. Tikus hamil pula mengeluarkan n-pentyl acetate. Bukan tikus betina semata-mata. Tikus hamil dan tikus yang sedang menyusu. Ada korelasi yang jelas di sini. Dalam proses evolusi tikus yang mengambil masa selama 3.5 juta tahun sekurang-kurangnya (Modlinska & Pisula, 2020), fitrah ini dikurniakan secara semulajadi sebagai mekanisme perlindungan. Tikus jantan terutamanya yang teruna cukup benci pada n-pentyl acetate. Bermakna ini adalah mekanisme perlindungan untuk memastikan mereka tidak bunuh anak-anak tikus (Nalewicki, 2022).

Kalangan tikus memang terkenal dengan perangai makan anak tikus. Unsur kanibalisme ini sangat biasa dalam fitrah mereka. Jadi n-pentyl acetate merupakan satu-satunya mekanisme keselamatan menjadi jaminan spesis. Jika anak-anak tikus terdedah pada bahaya, nescaya spesis tikus secara keseluruhan akan terancam. Walaupun perosak, tikus masih ada peranan besar dalam mengimbangi alam. Andainya pupus, alam ini tentu sekali akan rugi.

RUJUKAN:

Modlinska, K., & Pisula, W. (2020, Januari 17). The Natural History of Model Organisms: The Norway rat, from an obnoxious pest to a laboratory pet. Ecology, Evolutionary Biology.

Nalewicki, J. (2022, Mei 28). Male mice are terrified of bananas. Here’s why. Live Science.

 

Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply