Sebut saja nama Taj Mahal, ramai melihatnya sebagai simbol cinta abadi pemerintah Mughal Shah Jahan terhadap isterinya yang tercinta, Mumtaz Mahal. Tetapi kerana obsesinya dengan monumen ini, ia memberi tekanan besar kepada kedudukan kewangan Empayar Mughal. Seterusnya, ia membawa kepada kejatuhan baginda dan kebangkitan Aurangzeb sebagai pemerintah Mughal seterusnya.

Empayar Mughal merupakan sebuah kerajaan Islam yang mempunyai asal-usul Mongol dengan pengasasnya, Babur merupakan keturunan Genghis Khan. Mughal merupakan perkataan Parsi yang merujuk kepada Mongol dan sumber kepada perkataan Bahasa Inggeris ‘mogul’ yang bermaksud orang kaya dan berpengaruh.

Dari 1526 hingga 1857 dengan kemuncak empayar sekitar abad ke-17, Empayar Mughal merupakan empayar terbesar dan terkaya di dunia. Jajahan takluknya pernah merangkumi sebahagian kawasan Iran dan Afghanistan hinggalah Pakistan dan Uzbekistan serta sebahagian besar India. Pemerintah Mughal juga dikenali kerana mempunyai citarasa tinggi dari segi kesenian, bersikap toleransi terhadap orang bukan Islam, kekuatan ketenteraan dan aktiviti perdagangan yang pesat ketika itu.

Advertisements

Sebelum menelusuri sejarah Taj Mahal, amat molek mengenali simbol cinta Shah Jahan, Mumtaz Mahal. Mumtaz atau nama sebenarnya Arjumand Benu Begum dilahirkan di Agra, India pada tahun 1593. Ayahandanya merupakan kekanda ipar pemerintah Mughal dan ayahanda Shah Jahan, Jahangir.

Rajah 1: Mumtaz Mahal

Menurut pelbagai riwayat, kecantikan Arjumand mempesonakan ramai lelaki termasuk yang berstatus bangsawan dan kerabat diraja. Apabila Shah Jahan atau nama sebenarnya Putera Khurram menatap wajahnya, baginda sudah jatuh hati pandang pertama. Selepas bertunang pada 1607, mereka dikahwinkan lima tahun kemudian dalam satu majlis perkahwinan yang meriah.

Sebelum dan selepas berkahwin dengan Mumtaz, Shah Jahan berkahwin dengan beberapa wanita lain. Pertama, dengan Kandahari Begum, seorang puteri dari Dinasti Safavid pada 1610. Perkahwinan ini merupakan perkahwinan yang diatur oleh Jahangir bagi mengelakkan campur tangan dinasti itu yang boleh mengganggu kempen ketenteraan kekanda Shah Jahan, Parviz Mirza di Deccan. Perkahwinan itu menghasilkan seorang cahaya mata bernama Parhez Bani Begum.

Tidak lama selepas berkahwin dengan Mumtaz, Shah Jahan berkahwin pula dengan seorang puteri bangsawan Mughal bernama Izz-un-Nissa Begum pada 1617. Seperti perkahwinannya dengan Kandahari Begum, ia juga merupakan perkahwinan politik yang direka untuk mengekalkan kesetiaan bapanya Abdul Rahim Khan-I-Khana terhadap Shah Jahan selepas menaiki takhta.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang putera bernama Jahan Afroz Mirza pada 1619. Bagaimanapun, Jahan Afroz mangkat akibat penyakit cacar di Burhanpur pada Mac 1621.

Yang pasti, bagi kedua-duanya, ia hanya sekadar perkahwinan politik untuk kedudukan Shah Jahan. Tetapi menerusi perkahwinannya dengan Mumtaz, ia merupakan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta. Mumtaz sentiasa menemani Shah Jahan dalam pelbagai keadaan termasuk di medan perang dan semasa mengandungkan 14 orang cahaya mata mereka. Ya, penulis ulang, mengandungkan 14 orang putera dan puteri baginda!

Selepas menaiki takhta pada 1628, Mumtaz berperanan sebagai penasihat dan mendengar setiap masalah yang dihadapi suaminya dengan setia. Dengan kedudukan ini, baginda boleh saja mendapatkan sedikit kuasa politik untuk dirinya. Tetapi Mumtaz tidak berbuat demikian – sama sekali berbeza dengan bonda saudaranya dan isteri Jahangir, Nur Jahan.

Semasa era pemerintahan Shah Jahan, baginda banyak memberi fokus kepada pembinaan monumen-monumen indah sekaligus meneruskan tradisi pemerintah Mughal sebelumnya. Antara projek yang diberi perhatian ialah menyiapkan Kubu Agra, Kubu Lahore (dikenali kerana mempunyai dinding marmar dan jubin indah), Kubu Merah (Red Fort), Delhi dan masjid-masjid sekitar Delhi dan Lahore. Tetapi monumen yang menjadi simbol pemerintahan Shah Jahan ialah Taj Mahal.

Daripada 14 orang cahaya mata baginda dan Mumtaz, tujuh daripadanya mangkat semasa kecil lagi. Lebih memilukan buat Shah Jahan, Mumtaz mangkat akibat pendarahan selepas kelahiran cahaya mata mereka yang ke-14. Peristiwa ini berlaku semasa Shah Jahan menggerakkan kempen ketenteraan Mughal di Deccan pada 1631. Selepas kempen ini, Shah Jahan hanya memberi fokus kepada menyiapkan monumen bersesuaian untuk Mumtaz iaitu Taj Mahal.

Walaupun arkitek sebenar monumen ini tidak diketahui, rekod sejarah menunjukkan pembabitan beberapa orang figura semasa pembinaannya. Ismail Khan direkrut untuk menghasilkan kubah Taj Mahal disebabkan hasil kerjanya yang berkualiti di Turki. Sementara tiga figura dari Shiraz iaitu Amanat Khan (pakar kaligrafi) dan pentadbir awam Mukrimat Khan dan Mir Abdul-Karim diambil untuk kerja kaligrafi dan pengurusan projek.

Selain mereka, ramai artisan direkrut untuk membantu menyiapkan projek ini. Menurut saudagar batu berharga Perancis Jean-Baptiste Tavernier pada 1676, lebih 20,000 orang buruh dan seribu ekor gajah diperlukan untuk menyiapkan Taj Mahal. Bagi memastikan peruntukan untuk Taj Mahal tidak diganggu oleh masalah kewangan, ia dibiayai menerusi perlaksanaan cukai yang tinggi.

Tempoh pembinaan Taj Mahal mengambil masa lebih 21 tahun untuk disiapkan dan menjadi lubang hitam kepada kewangan Mughal. Tetapi apabila ia siap, ia menjadi simbol negara India dan diangkat sebagai antara monumen terindah sepanjang zaman.

Taj Mahal yang terletak di tebing Sungai Yamuna di Agra dikelilingi oleh sebuah taman indah di mana airnya dibekalkan oleh terusan-terusan. Kompleks Taj Mahal terletak dalam kawasan seluas 42 ekar yang dikelilingi oleh sebuah dinding besar. Untuk memasuki kompleks ini, pengunjung perlu melalui pintu gerbang tiga tingkat yang dikenali sebagai iwan. Struktur besar ini diperbuat daripada batu pasir merah dengan muka bangunan diperbuat daripada marmar.

Apabila pengunjung dapat melihat imej Taj Mahal, ia merupakan satu pemandangan yang indah. Imejnya dipantulkan oleh kolam berbentuk segi empat tepat yang panjang dengan ukurannya menyamai panjang taman sekitar Taj Mahal. Dua bangunan mengapit monumen itu iaitu sebuah masjid dan sebuah jawab atau cerminan masjid berkenaan. Kedua-dua bangunan ini turut dibina daripada batu pasir merah.

Rajah 2: Masjid dan jawab yang mengapit Taj Mahal.

Pada bahagian atas masjid dan jawab ialah chhatri atau kanopi dalam bentuk pavilion yang dinaikkan dan ditutup dengan kubah besar. Elemen ini biasa dilihat dalam mana-mana bangunan yang dipengaruhi oleh senibina India.

Bagi setiap pemerintah Mughal termasuk Shah Jahan, keseimbangan amat penting dalam setiap pembinaan monumen mereka. Batu marmar yang digunakan untuk Taj Mahal mengalami perubahan warna mengikut peredaran masa: putih (waktu siang yang terik), merah jambu (bila matahari terbenam) dan lut cahaya (waktu malam).

Jika di luarnya saja sudah indah, bahagian dalaman Taj Mahal memukau mata yang memandang. Bahagian dalamannya dibina menggunakan batu-batu berharga dan dihias menerusi ukiran-ukiran geometri dan lukisan alam semulajadi yang indah. Bahagian dalaman Taj Mahal turut dihias dengan Asma’ul Husna (99 Nama Allah s.w.t) dan ayat-ayat suci al-Quran.

Jadi, apa yang berlaku kepada Shah Jahan selepas Taj Mahal siap? Apabila baginda jatuh gering pada 1658, putera sulung kesayangannya Dara Shikoh diangkat sebagai pemangku Maharaja. Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak disenangi oleh putera-putera Shah Jahan termasuk Aurangzeb sekaligus mendorong mereka untuk memberontak. Selain menyingkirkan Shikoh, baginda juga mensasarkan dua lagi saudaranya yang mensasarkan takhta yang sama.

Pada akhir konflik berdarah tersebut, Aurangzeb muncul sebagai pemenang dan mengambil alih takhta pada 31 Julai 1658. Walaupun Shah Jahan sudah pulih, baginda diisytiharkan tidak berkemampuan untuk menguruskan pemerintahan Mughal. Lantas, Aurangzeb memenjarakan baginda di Kubu Agra dengan tingkap tempat kurungannya menghadap Taj Mahal. Shah Jahan mangkat pada Januari 1666 dengan jenazah baginda dikebumikan bersebelahan Mumtaz di Taj Mahal.

Rajah 3: Makam Mumtaz Mahal dan Shah Jahan di Taj Mahal

RUJUKAN

Del Campo, E. F. (2022, 10 Februari). A husband’s love built the Taj Mahal—but cost him an empire. National Geographic.

Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply