۞ إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلْإِحْسَـٰنِ وَإِيتَآئِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ وَٱلْبَغْىِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” [Surah An-Nahl 90]

Ayat di atas sering kedengaran apabila ia selalu dibacakan oleh khatib-khatib di mimbar Jumaat terutamanya di penghujung khutbah.

Tahukah pembaca bahawa tradisi ayat ini yang diulangsebut dalam setiap kali khutbah itu sebenarnya telah berlangsung sejak ratusan tahun lalu di kepulauan Nusantara dan serantau alam Melayu.

Ia sebenarnya diambil daripada pengamalan Kesultanan Aceh Darussalam di utara kepulauan Sumatera yang berpaksikan kepada intipati satu karya ketatanegaraan yang masyhur di alam Melayu khususnya Aceh iaitu Taj al-Salatin karangan Bukhari Al-Jauhari.

Taj al-Salatin atau dalam bahasa Melayu bererti ‘Mahkota Raja-raja’ adalah satu karya ketatanegaraan iaitu tulisan yang berkonsepkan nasihat, teguran serta bimbingan terhadap sultan dan pemerintah (mirror for Princes). Ia dikenalpasti ditulis pada tahun 1604 sewaktu era hujung pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Sayyid al-Mukammil (1588-1604). Karya ini mengandungi 24 fasal yang menyentuh pelbagai topik dan isu-isu pemerintahan, kemasyarakatan, ilmu kemanusiaan serta kumpulan fatwa dan risalah tauhid.

Kitab ini ditulis sebagai sumbangan seorang ulama (Bukhari al-Jauhari) kepada sultan dalam menjalankan pemerintahan pada ketika itu disebabkan situasi Aceh yang dilanda kemelut politik dan perebutan kuasa dalam kalangan para pembesar dan sultan. Kitab ini dijadikan panduan dan manual para sultan dalam memimpin Aceh menurut kehendak syariat Islam selepas itu untuk keluar dari krisis kepimpinan dan menuju kegemilangan.

Menurut Abdul Hadi W. M. iaitu penulis buku Tasawuf Yang Tertindas, krisis ini tercetus pada era akhir pemerintahan Sultan ‘Alauddin Riayat Shah al-Qahar (1568-1571M) yang melibatkan ahli keluarga Diraja sendiri sehingga berlakunya pembunuhan, berleluasanya fitnah dan kelemahan institusi pentadbiran. Justeru, terhasillah Taj al-Salatin ini yang impaknya terlihat pada fasa Sultan Iskandar Muda, Sultan Iskandar Thani dan Sultanah Safiatuddin yang digelar Zaman Kegemilangan Aceh.

Taj al-Salatin juga merupakan antara kitab pertama yang menyentuh permasalahan politik dan pentadbiran di alam Melayu. Dan pengaruh kitab ini terus menular apabila ia dijadikan inspirasi kepada penulisan ketatanegaraan yang lain seperti Bustan al-Salatin (Nuruddin al-Raniri), Thammarat al-Muhimmah (Raja Ali Haji) dan lain-lain.

Kitab ini menekankan pengaruh konsep adil dan ihsan dalam pemerintahan yang dilaksanakan sultan dan pembesar Melayu di Aceh, sebagaimana firman Allah di dalam ayat 90 Surah an-Nahl ini.

Dan ia bukan sekadar diulangsebut tetapi turut dipasakkan konsep tersebut melalui gelaran yang diberikan kepada Sultan dan pembesar seperti “Sultan al-‘Adil” dan “Malik al-‘Adil”. Jika pembesar dan mufti pula, gelaran “Qadi Malik al-‘Adil” digunapakai bagi menyambut baik seruan dan nasihat Taj al-Salatin dalam melestarikan sistem pemerintahan mengikut acuan syariat Islam.

Pemuka Aceh iaitu Sultan Iskandar Muda itu sendiri terkenal dengan sifat keadilannya dalam melaksanakan hukum Islam. Sebagai contoh, baginda sendiri telah menghukum anaknya sendiri iaitu Meurah Pupok dengan hukuman rejam apabila dia ditangkap melakukan zina dengan isteri seorang tentera Aceh.

Ini menunjukkan pengaruh dan implikasi yang sangat kuat terhadap penghayatan isi kandungan Taj al-Salatin yang membimbing sahsiah raja serta rakyatnya.

RUJUKAN:

Pemikiran Politik Islam di Aceh oleh Shah Rul Anuar Nordin

Impak Dakwah Kitab Taj al-Salatin kepada Masyarakat Melayu di Aceh (Dr Shah Rul Anuar Nordin & Nik Kamal Wan Mohamed, UTHM)

The Islamization of The Malay Worldview. A Study of Malay Historical Literature (Taj al-Salatin) (Nabila Yasmin, UIN Sumatera Utara Medan)

Artikel oleh Adlin Shaimi bin Baharom Mahasiswa Tahun 3, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam Universiti Malaya


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.