Taiping: Bandar Paling Bahagia di Malaysia

1,276

Beriadah seawal jam tujuh pagi di Taman Tasik Taiping sangat menenangkan, dikelilingi pokok-pokok yang berusia ratusan tahun, dan udara segar, namun pemandangan yang lebih menarik perhatian ialah kebanyakan pengunjung ketika itu ialah warga emas yang sedang berjoging, melakukan senaman yoga berkumpulan dan bersantai-santai di tepi tasik.

Tidak hairanlah bandar Taiping dipilih sebagai bandar mesra usia di Malaysia, dengan perancangan pada tahun lepas, kerjasama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Tabung Pembangunan PBB bagi merangka projek rintis ke arah mewujudkan Age-Friendly City, atau bandar mesra usia di Taiping. (Ismail, 2019)

Mungkin ini salah satu sebabnya kenapa Taiping disenaraikan dalam Pengiktirafan Bandar Paling Bahagia tahun 2019 bersama sembilan bandar yang lain berdasarkan Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2019 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.  (Asmaini, 2020) Berdasarkan kajian, semakin bahagia seseorang itu, memungkinkan usianya lebih panjang. (Warner, 2011)

Negeri Perak sememangnya terkenal sebagi negeri dengan peratusan warga emas yang tertinggi. Pada tahun 2010, hampir 12 peratus populasi rakyat negeri Perak merupakan warga emas, manakala pada tahun 2020, Perak mencatatkan 14.9% atau 385,800 warga emas berusia 60 tahun ke atas- peratusan tertinggi di Malaysia. (Hamid, 2019)

Bandar Mesra Alam

Pada tahun 2019, Taiping mengukir nama di persada antarabangsa apabila diiktiraf sebagai bandar ketiga destinasi lestari di dunia pada Anugerah Peringkat Antarabangsa Bagi Pelancongan Lestari Di Dunia 2018 yang berlangsung di Berlin, Jerman. (Loh, 2019) Bandar Lestari ini didefinisikan sebagai Bandar Eko, bandar yang menawarkan kualiti hidup yang baik dari segi sosial, ekonomi, alam sekitar dan habitat yang boleh bertahan lama untuk generasi kini dan akan datang. (BBC, 2020)

Taman Tasik Taiping merupakan antara bukti bagaimana usaha pemeliharaan alam sekitar oleh pihak berkuasa dan masyarakat Taiping. Pada 2018, sebatang pokok hujan-hujan tumbang di Taman Tasik Taiping akibat akar yang tidak stabil. Pokok itu tidak ditebang terus, tetapi tanah di kawasan itu dibaikpulih oleh syarikat lanskap- sehingga kini boleh dilihat ia masih tunduk, menaungi pejalan kaki di tengah laluan riadah Taman Tasik itu. (Bernama, 2018)

Malahan, pada tahun lepas, Menteri Besar Perak memohon perkenan Sultan untuk mewartakan Taman Tasik Taiping sebagai Taman Tasik Diraja, cadangan yang bernas bagi melindungi kawasan itu dari sebarang aktiviti pembangunan yang boleh mencatatkan keindahan semulajadinya pada masa akan datang. (Bernama, Kerajaan Perak Mohon Perkenan Sultan Warta Taman Tasik Diraja, 2019)

Sehingga kini, pelancong yang berkunjung ke ikon utama bandar Taiping itu, dapat melihat tasik yang dikeliling pokok hujan-hujan yang kelihatan seolah-olah tunduk mencium tasik, masih berdiri kukuh dan cantik menghiasi kawasan tasik sekaligus memberikan rasa nyaman kepada pengunjung, dengan usia pokok-pokok ini menjangkau 130 tahun.  (Hamdan, 2017) Menariknya, Taman Tasik ini dibuka 24 jam sepanjang hari kepada para pengunjung.

Zoo Taiping

Zoo Taiping merupakan antara tarikan pengunjung di bandar ini. Ia menjadi tempat tinggal lebih dari 1,200 haiwan dari 140 spesis, termasuk harimau, singa, gajah, badak, zirafah, Orang Utan dan lain-lain. Lokasi Zoo Taiping ini adalah di dalam kawasan Taman Tasik, dikelilingi alam semulajadi yang indah. (Zoo, 2020)

Zoo Taiping ini banyak menyumbang dalam mengekalkan spesis haiwan yang diancam kepupusan. Program Pembiakan spesis terancam yang dijalankan menampakkan hasil seperti Program Konservasi Burung Botak Upeh dan lain-lain. (Bernama, Taiping biak spesis terancam, 2020)

Baru-baru ini, Zoo Taiping mengumumkan berita gembira apabila tiga ekor anak harimau yang comel dilahirkan  pada 1 Mei, dengan berat antara 700-900 gram,menambah bilangan Harimau Malaya di zoo itu kepada lapan harimau. Anak harimau ini dinamakan Puntum, Teja dan Bayu hasil dari penilaian juri dalam sebuah pertandingan sempena Hari Harimau Sedunia pada 29 Julai. (Looi, 2020)

Bandar Hujan

Walaupun negara sering mengalami musim panas, Taiping menacatatkan taburan hujan dengan jumlah signifikan sepanjang tahun. Kajian menunjukkan bandar Taiping mengalami hujan paling banyak berbanding tempat lain, dalam tempoh lima tahun kajian, 2010-2014 yang lepas. Bulan Oktober merupakan bulan paling kerap hujan, manakala bulan Mac merupakan permulaan bulan yang paling kering di Taiping. (Nazri, Mohd Zamani, & Jit Singh, 2018)

Inilah sebabnya tanah di Taiping menjadi subur, kerana mendapat air dan nutrien yang cukup untuk pertumbuhan pokok. Kajian lanskap yang dijalankan di Taiping menunjukkan gambaran bandar Taiping yang terdiri dari empat bahagian – kawasan berbukit di Banjaran Titiwangsa yang kaya dengan biodiversiti, kawasan pertanian di kaki bukit yang diliputi hutan, kawasan campuran antara pertanian dan kampung, dan kawasan bandar di tanah rendah di yang sedang membangun. (Teh, Ahmad Pugi, & Abdul Rahman, 2017)

Bandar Bersejarah

Di sebalik pembangunan pesat di Taiping, pihak berkuasa komited dalam mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah di Taiping. Tidak menghairankan jika pengunjung melihat banyak bangunan-bangunan lama yang kekal utuh setelah dibaik pulih oleh pihak berkuasa.

Taiping diiktiraf sebagai bandar yang pertama di Malaysia berdasarkan 33 perkara pertama yang telah dinyatakan oleh Majlis Perbandaran Taiping. Ini termasuklah Penjara Taiping (1883), Landasan Kereta Api dari Taiping ke Port Weld (1885), Zoo Taiping (1961), Hospital Taiping (1880) dan Muzium Perak (1883).

Bangunan yang pertama lain ialah Maktab Perguruan (1831), Bangunan Mahkamah (1870), Bangunan Pasar Besar (1884), Lapangan Terbang Tekkah (1930) dan lain-lain. Terdapat juga perkara pertama lain yang bukan bangunan seperti lombong bijih timah (1844), pasukan polis pertama (1879), Akhbar Melayu- Seri Perak (1890), Akhbar Inggeris -Perak Pioneer (1894) dan Akhbar Tamil- Perak Varthamenan (1894). (Hafis, 2012)

Taiping menjadi bandar pertama di Malaysia yang menjalankan konsep ‘Machinoeki’ di Jepun, dengan mewujudkan stesen-stesen kemudahan tertentu untuk pelancong yang berjalan kaki, seperti stesen bangunan-bangunan bersejarah dan lain-lain supaya pelancong boleh berehat, mendapatkan maklumat dan bersosial dengan penduduk setempat dalam keadaan santai. (Loh, New Paradigm for Development, 2017)

Pelbagai jenis makanan yang menyelerakan

Taiping sememangnya terkenal dengan makanan-makanan yang menyelerakan.Terdapat beberapa tempat persinggahan yang wajib dikunjungi dan sememangnya terkenal di Taiping. Antaranya Ansari Famous Cendol, yang telah beroperasi selama tiga generasi, menghidangkan cendol yang segar dan pasembor yang enak kepada pelanggan. Cendol ini dicampur dengan jagung manis, kacang ataupun pulut.

Doli Kuey Teow pula menumpukan kelazatan kuetiau goreng yang kaya dengan rencah. Kuetiau kerang dan udang menjadi pilihan ramai, namun ada juga pilihan seperti kuetiau sup dan sup ayam. Bagi yang meminati hidangan Arab, Oasis Restaurant merupakan pilihan yang paling tepat. Masakan seperti kabsa, mandy dan madghout daripada air tangan keluarga Melayu ini dikatakan lebih menjadi berbanding pengusaha Arab.

Antara tempat yang dikunjungi ramai juga adalah di stesen kereta api lama di Taiping. Di situ terdapat beberapa restoran seperti The Train yang menyajikan kepak ayam yang enak. Medan Selera di belakang bangunan Balai Bomba dan Penyelamat Taiping juga menjadi tumpuan ramai terutamanya di waktu malam, dengan pilihan makanan yang pelbagai, serta harga yang sangat berpatutan. (Hamid H. , 2018)

Berdasarkan maklumat dari Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Indeks Kebahagiaan ini dinilai dari kesejahteraan penduduk termasuklah kesihatan dari segi mental dan fizikal. Antara komponen yang diambil kira dari tinjaunan 60,000 responden di seluruh negara ialah kegembiraan dengan keluarga dan kenalan, keseronokan bekerja, hubungan dengan jiran, aktiviti masyarakat dan kualiti alam sekitar.

Taiping bukan sahaja menerima satu pengiktirafan tersebut, bahkan ia juga menerima Anugerah Pengurus Destinasi Terbaik 2016 di Bandar Asia Pasifik, Anugerah Bandar Pelancongan Terbersih ASEAN 2017, Anugerah Emas Eko-Pelancongan dan Bandar Bersejarah Terbaik 2017 dan lain-lain lagi. (Looi, Taiping among Malaysia’s 10 happiest cities, 2020)

Bagi mengekalkan status Taiping sebagai Bandar Lestari dan Mesra Alam, masyarakat dituntut untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dalam menjaga kebersihan alam sekitar. Pihak berkuasa juga perlu menunjukkan tanggungjawab yang sepenuhnya dalam memastikan aktiviti berasaskan ekonomi tidak mengakibatkan kerugian dan kemusnahan alam sekitar yang teruk. Bandar Taiping berjaya membuktikan bahawa sesebuah bandar boleh memelihara alam sekitarnya di sebalik kerancakan pembangunan bandar.

RUJUKAN:

Asmaini, F. (2020, Jun 25). Bandar paling bahagia. Retrieved from my Metro: https://www.google.com/amp/s/www.hmetro.com.my/node/593268/amp

BBC. (2020). Sustainable Living. Retrieved from BBC: https://www.bbc.co.uk/bitesize/guides/zqvxdmn/revision/1

Bernama. (2018, Oktober 18). Pengunjung Sedih Pokok Hujan-Hujan Tumbang di Taiping. Retrieved from Astro Awani: https://www.google.com/amp/www.astroawani.com/berita-malaysia/pengunjung-sedih-pokok-hujan-hujan-tumbang-di-taiping-188618%3famp=1

Bernama. (2019, November 10). Kerajaan Perak Mohon Perkenan Sultan Warta Taman Tasik Diraja. Retrieved from BH Online: https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/node/626906/amp

Bernama. (2020, Mei 29). Taiping biak spesis terancam. Retrieved from BH Online: https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/node/694240/amp

Hafis, A. (2012). Pemeliharaan Bandar Taiping Sebagai Bandar Warisan dan Pelancongan di Negeri Perak. Sarawak: Universiti Malaysia Sarawak.

Hamdan, M. (2017). Pulihara pokok 130 tahun. Perak: Sinar Harian.

Hamid, H. (2018, Mac 19). Ini senarai terlazat! Lebih 10 tempat makan wajib anda kunjungi di Taiping. Retrieved from Astro Awani: https://www.google.com/amp/www.astroawani.com/gaya-hidup/ini-senarai-terlazat-lebih-10-tempat-makan-wajib-anda-kunjungi-di-taiping-170797%3famp=1

Hamid, T. A. (2019). Ageing in Malaysia. Expert Group Meeting on Measuring Population Ageing: Country Case Studies. Bangkok: Universiti Putra Malaysia.

Ismail, S. (2019, Oktober 30). Taiping dipilih sebagai bandar mesra usia. Retrieved from BH Online: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/623004/taiping-dipilih-sebagai-bandar-mesra-usia

Loh, I. (2017, December 28). New Paradigm for Development. Retrieved from The Star: https://www.thestar.com.my/metro/metro-news/2017/12/28/new-paradigm-for-development-taiping-selected-to-exemplify-concept-promoting-inclusive-growth

Loh, I. (2019, March 7). Taiping is No 3 Most Sustainable City in The World. Retrieved from The Star: https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/03/07/taiping-is-no-3-most-sustainable-city-in-the-world/

Looi, S. (2020, June 2). Taiping among Malaysia’s 10 happiest cities. Retrieved from Malay Mail: https://www.google.com/amp/s/www.malaymail.com/amp/news/life/2020/06/02/taiping-among-malaysias-10-happiest-cities/1871680

Looi, S. (2020, Ogos 10). Taiping Zoo and Night Safari’s newborn cubs named Puntum, Teja and Baayu. Retrieved from Malay Mail: https://www.google.com/amp/s/www.malaymail.com/amp/news/life/2020/08/10/taiping-zoo-and-night-safaris-newborn-cubs-named-puntum-teja-and-bayu-video/1892521

Nazri, F., Mohd Zamani, N., & Jit Singh, M. (2018). Analisis Ramalan Pelemahan Hujan Semenanjung Malaysia Menggunakan Peta Rekaan Berkontur. Jurnal Kejuruteraan 30 (1), 77-82.

Teh, M., Ahmad Pugi, N., & Abdul Rahman, N. (2017). Visual Lanscape Assesment for Development Lanscape Structure: Case Study at Taiping. Environment-Behaviour Proeedings Journal. Bangkok: e-International Publishing House.

Warner, J. (2011, October 31). Happy People Live Longer? Retrieved from WebMD: https://www.webmd.com/balance/news/20111031/happy-people-live-longer

Zoo, T. (2020). About Us. Retrieved from Taiping Zoo: https://zootaiping.gov.my/frame-aboutus.html

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.