Tahukah Anda Pulau-Pulau Ini Bakal Ditenggalami Air?

0
2612
views

Baru-baru ini, dunia telah dikejutkan dengan berita hilangnya 5 buah pulau kecil yang terdiri daripada gugusan Kepulauan Solomon yang telah ditenggelami laut akibat krisis perubahan iklim ini. [1]

Menurut kajian saintis Australia, keadaan paras air laut yang sedang naik dan hakisan tanah telah menyumbang kepada tragedi ini.

Daripada 5 buah pulau yang ditenggelami oleh laut tersebut, dua daripadanya pernah diduduki manusia. Namun begitu, setelah paras air laut telah naik secara mendadak, penduduk pulau-pulau tersebut telah diarahkan untuk berpindah dengan serta-merta. Sebanyak 25 keluarga telah dipindahkan dan 11 buah rumah telah habis dimusnahkan dan ditenggelami laut. [1]

Sekarang ini, menurut kajian saintis dan aktivitis perubahan iklim, terdapat banyak lagi kepulauan atau pulau-pulau yang bakal ditenggelami laut akibat krisis perubahan iklim. Antara kepulauan atau pulau-pulau yang bakal ditenggalami laut sekiranya krisis perubahan iklim ini tidak dihentikan serta-merta termasuklah:

Kepulauan Kiribati.

Kiribati merupakan sebuah negara pulau, dan lebih dikenali sebagai ‘The Republic of Kiribati’, jumlah populasi mereka ialah 102,351. Kepulauan ini mempunyai altitude setinggi 3 meter sahaja, dan setiap tahun, paras air laut akan naik sebanyak 1.2 cm! [3] [4]

Akibat kenaikan paras air yang mendadak, kerajaan Kiribiati telah mengisytiharkan darurat dan mengarahkan penduduk-penduduk di kawasan Tebunginako lagun yang terletak di Pulau Abaiang untuk berpindah ke ibu kota mereka serta merta.

Menurut Datuk Bandar Abaiang, iaitu Nauran Gano, beliau berkata: “Sebanyak 200 meter kawasan tanah kami ditenggelami air, dan penduduk yang tinggal di situ telah dikeluarkan dari situ secepat mungkin…”

Pulau Kribati

Sehingga kini, Tebungkinako lagun masih lagi ditenggelami air laut, jika anda pergi ke sana, anda cuma akan nampak bangunan seperti gereja dan rumah yang musnah akibat banjir. [2]

Air laut juga telah memusnahkan beberapa kebun dan ladang penduduk Kiribati sekaligus mencemar sumber air tawar mereka yang digunakan sebagai sumber minuman utama. Tragedi ini secara tidak langsung akan meruntuhkan ekonomi Kiribati.

Kerajaan Kiribati sedang ambil langkah berjaga-jaga iaitu dengan membina tembok setinggi 1 meter untuk menghalang kenaikan paras air laut dan gelombang laut yang semakin ganas. Selain itu, kerajaan Kiribati sedang mempersiapkan rakyat mereka dengan menghantar rakyatnya belajar dan mencari kerja di negara Australia dan New Zealand sekiranya negara pulau mereka akan ditenggelami laut pada suatu hari nanti.

Selama sedekad, bekas Presiden Kiribati, Anote Tong (berkhidmat dari 10 July 2003 sehingga 11 March 2016) telah cuba mencari jalan dengan melobi dan memujuk negara-negara maju dan negara-negara yang sedang membangun untuk mengurangkan kadar karbon yang dikeluarkan daripada industri-industri mereka. Kenaikan kadar karbon ini merupakan salah satu faktor berlakunya krisis perubahan iklim ini yang secara langsung menyumbang kepada kenaikan paras air laut secara mendadak.

Namun begitu, tidak ada banyak tindakan yang telah dibuat oleh negara-negara tersebut, seakan-akan usul dan pujukan Anote Tong telah diendahkan.

“Saya mempunyai anak-anak, dan saya mempunyai cucu yang ramai, scenario ini [perubahan iklim] merupakan suatu bahaya kepada mereka [rakyat Kiribati], dan kita tidak boleh megendahkan perkara ini. Jika tiada tindakan yang akan diambil untuk mengatasi masalah ini, maka kami tiada ada lagi pilihan kecuali untuk memindahkan rakyat kami ke tempat lain…” – Anote Tong, Bekas Presiden Kiribati, 2014. [2]

Persoalannya, ke manakah mereka akan berpindah sekiranya seluruh Kepualauan Kiribati akan ditelan laut?

Jika ia berlaku, para penduduk Kiribati perlu lari ke negara-negara besar seperti Australia dan New Zealand. Tetapi kedua-dua negara ini akan mengiktiraf mereka sebagai pelarian atau “refugees”. Status ini akan menyusahkan rakyat Kiribati, terutamanya jika mereka ingin mencari tempat tinggal untuk menyara hidup keluarga mereka.

Kepulauan Maldives

Anda semua pasti tahu atau pernah dengar Kepulauan Maldives kan? Maldvies dikenali sebagai salah satu tempat perlancongan yang terbaik di dunia dan merupakan salah satu tempat terbaik untuk berbulan madu. Tetapi Maldives terkenal kerana itu sahaja ke?

Tahukah anda, Kepulauan Maldives merupakan satu lagi kepulauan yang bakal ditenggalami air laut sekiranya tiada tindakan yang diambil oleh komuniti global untuk menghalang krisis perubahan iklim?

Disebabkan altitude dan ketinggian tanah mereka yang begitu rendah, Maldives dikira sebagai negara ke-3 yang paling terancam akibat perubahan iklim.

Menurut kata-kata Presiden Maldives, Mohammad Nasheed:

“Sekiranya kadar karbon akan terus naik secara mendadak seperti hari ini, negara saya akan ditenggalami air dalam tujuh tahun” [3][4]

Kepulauan Solomon

Seperti yang admin kupaskan awal-awal tadi, sebanyak 5 buah pulau yang terdiri daripada Kepulauan Solomon telah habis ditenggelami laut. Sesetengah rakyat Solomon yang duduk di pulau-pulau tersebut terpaksa berpindah ke ibu kota mereka iaitu Honiara. [4]

Adakah kita semua dan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu perlu menunggu sehingga SEMUA 990 buah Pulau Solomon tenggelam kemudian baru kita akan ambil tindakan? [3]

Kepulauan Samoa

Kebanyakan penduduk Samoa terdiri daripada bangsa Polynesia dan bahasa mereka mempunyai persamaan dengan bahasa saudara-saudara mereka di Hawaii dan di New Zealand.

Seperti negara Polynesia yang lain mereka mempunyai sejarah dan budaya yang sangat kaya yang telah diamalkan sejak zaman-berzaman. Sejarah dan budaya mereka ada juga bercampur aduk dengan budaya dan adat rumpun Austronesia.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini, Kepulauan Samoa sedang menghadapi krisis kenaikan paras air laut dan krisis perubahan iklim.

Menurut kajian, terumbu-terumbu karang di sekitar Kepualaun Samao sedang mati akibat suhu air laut yang sedang meningkat. Peningkatan suhu air laut ini telah membunuh pelbagai spesis terumbu karang. Terumbu-terumbu karang ini amat penting untuk menjaga ekosistem kehidupan marin seperti ikan, plankton dan spesis Krustasea. Kemusnahan ekosistem ini akan memberi kesan kepada kehidupan laut dan secara tidak langsung menjejaskan kehidupan penduduk tempatan kerana kebanyakan sumber ekonomi mereka adalah berkisarkan aktiviti kelautan dan maritim sahaja.

Lagi satu, terumbu-terumbu karang ini penting kerana ia berfungsi sebagai satu tembok atau benteng semula jadi untuk menghalang dan memperlahankan gelombang air laut yang ganas. Tanpa terumbu karang, gelombang air laut ini mampu menghakis tanah dan akan mengecilkan kawasan tanah milik sesebuah pulau. [2][3]

Akibat kematian terumbu-terumbu karang ini, kerajaan Kepulauan Samao perlu membina tembok mereka sendiri untuk menghalang gelombang air laut daripada menghakis tanah mereka.

Kepulauan Fiji

Kepulauan Fiji merupakan satu lagi destinasi selain Kepulauan Maldives yang terkenal sebagai pusat pelancongan.

Malangnya, keadaan cuaca yang tidak menentu arah akibat perubahan iklim seperti hujan lebat selama 9 hari berturut-turut telah mengakibatkan banjir dan kerajaan Fiji terpaksa memindahkan sebanyak 9000 rakyatnya ke pulau yang lain untuk sementara waktu. [3] [4]

Selain daripada masalah keadaan cuaca yang tidak menentu arah ini, kenaikan paras air laut secara mendadak telah memaksa sebilangan rakyat Fiji untuk mencari tanah baru untuk bercucuk tanah, kerana sebelum ini, air laut serta gelombang laut yang ganas akan menghakis tanah sekaligus memusnahkan ladang tebu milik rakyat Fiji.

Sekiranya krisis ini berterusan, industri perlancongan Fiji akan turut terjejas. Pelancongan merupakan salah satu daripada sumber utama pendapatan negara mereka.

—————————————————————————————-

“Sekarang ini kita sedang mengalami kehilangan kawasan yang banyak yang sebelum ini sepatutnya tidak dapat ditenggelami air laut dengan begitu senang sahaja apabila air laut sedang pasang …”

“Sekarang, ia bukan lagi persoalan tentang ‘Adakah kita akan menetap di negara [Kepulauan Kiribati] ini untuk selama-lamanya? Tetapi ianya persoalan tentang ‘Bilakah kita perlu tinggalkan tempat ini’. Sains telah menunjukkan kepada kita tentang perkara ini secara jelas”. [2]

“Fizik perubahan iklim secara asasnya sangat jelas dan sangat senang: Jika laut mengembang dan jika suhu air laut meningkat, isi padu laut akan mengembang. Satu lagi, jika semua ais di kedua-dua kutub cair, semua ais tersebut akan menjadi air yang kemudian akan mengalir ke laut. Jika perkara ini akan berterusan, Kepulauan Kiribati akan hilang daripada peta dunia pada abad ini juga.” – Andrew Teem, Senior Policy Advisor on Climate Change, 2014. [2]

Ais kutub sedang mencair dengan cepat akibat pemanasan global

“Alahai admin, yang tenggelam pulau-pulau ini sahaja, Malaysia, Indonesia, Singapura semua akan selamat, tak perlu risau.”

Apa maksud kamu kita tidak perlu berasa risau? Kita semua perlu berasa resah dan takut. Menurut sesetengah kajian, jika kadar karbon tidak menurun sebelum tahun 2050 dan jika ais di kedua-dua kutub terus cair, paras air laut akan meningkat sebanyak 2 meter pada tahun 2100 dan SEMUA negara akan terjejas. Malah negara yang tidak terletak berdekatan laut pun akan terjejas. Hal ini demikian kerana, krisis perubahan Iklim ini bukan sahaja tentang paras air laut atau pencairan kutub, tetapi ia juga melibatkan cuaca yang ekstrim dan tidak menentu arah. [5][8][9]

Jika negara seluruh dunia tidak membuat apa-apa tindakan untuk membendung masalah ini sebelum tahun 2050 atau 2070, maka krisis perubahan iklim akan berlaku berterusan tetapi dengan lebih ganas.

Suhu dunia sedang meningkat menurut kajian NASA

Jangan hairan jika pada tahun 2090 atau 2100 nanti, negeri Melaka, Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Redang, Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pinang akan hilang daripada peta Malaysia kerana ditenggelami air laut.

————————————————————————————

Apa yang kita harus buat untuk menghalang dan menghadapi krisis perubahan iklim ini demi menyelamatkan pulau-pulau kita di seluruh dunia?

Saya sarankan kita ikut telunjuk kerajaan Kiribati, Samoa , Australia dan negara-negara lain.

Mewujudkan atau menambah lagi kawasan paya bakau.

Selain daripada terumbu karang, Pokok Bakau atau “Mangrove trees” dapat berfungsi sebagai benteng atau tembok semula jadi untuk memperlahankan dan memecahkan gelombang air laut yang ganas. Ini dipanggil sebagai proses “Wave Breaking”. [2]

Malah, ekosistem pokok bakau ini juga dapat melindungi ekosistem marin dengan menjadi tempat perlindungan untuk melindungi spesis ikan-ikan yang terancam.

Akar-akar pokok bakau merupakan pengutip sampah semula jadi. Apabila air pasang, sampah-sarap yang dibawa oleh laut akan terperangkap di antara akar-akar pokok bakau. Perkara ini akan memudahkan aktiviti gotong-royong dan kempen membersihkan pantai.

Penduduk-penduduk Kiribati yang tinggal berdekatan pantai telah mengalakkan anak-anak muda mereka untuk menanam beratus-ratus bijih benih pokok bakau di sepanjang pantai bagi melindungi pesisiran pantai mereka daripada dihakis air laut. Menanam pokok bakau ini agak senang kerana ia hanya memerlukan beberapa minggu sahaja untuk membesar.

Mewujudkan dan melindungi kawasan terumbu karang

The Great Barrier Reef akibat pelunturan

Terumbu Karang dikenali sebagai “hutan hujan lautan”. Menurut kajian saintis Australia, ‘The Great Barrier Reef’, iaitu taman terumbu karang yang terbesar di dunia sedang nazak, dan jika tindakan yang betul tidak diambil dengan serta merta, taman terumbu karang ini akan musnah sebelum tahun 2100. [10][15]

Di Sabah, kerajaan telah bekerjasama dengan Tropical Research and Conservation Centre (TRACC) untuk melindungi kawasan taman terumbu karang di sekitar Sabah. Kerajaan Sabah juga telah memberi garis panduan kepada industri perlancongan dan kepada para pembangun untuk tidak membina berdekatan persisiran pantai di sesetengah kawasan yang diikitiraf sebagai taman terumbu karang.

Menurut Reef Check Malaysia (RCM), pada tahun 1998, sebanyak 40% terumbu karang di Semenanjung Malaysia telah mati akibat pelunturan. Sebelum terumbu karang ini sempat pulih semula, satu lagi pelunturan secara besar-besaran berlaku pada tahun 2010. Tetapi kali ini, ianya tidak seteruk 1998. [11]

Bagaimana terumbu karang boleh mati akibat pelunturan?

Kebanyakan keluaran CO2 akan berubah kepada H2CO3 (carbonic acid). Keadaan laut yang asid akan melunturkan terumbu karang sekaligus membunuhnya. [12]

CO2 datang daripada kadar karbon yang meningkat akibat peningkatan industri berat dan pencemaran air laut. Selain daripada itu, pengunaan letupan untuk menangkap ikan [11] [13],

penangkapan ikan berlebihan dan sikap sesetengah pelancong yang suka menyentuh dan mengacau terumbu karang juga membawa kepada kematian terumbu karang secara besar-besaran. [12]

Terumbu karang benda hidup juga okay? Mereka boleh mengalami stress seperti kita, tetapi mereka lagi sensitif. Kalau anda sentuh atau pijak terumbu karang pun, entah-entah terumbu itu boleh mati dalam seminggu. Jadi tolong berjaga-jaga.

Malah pada tahun 2016, di dalam artikel ‘The Star’ yang bertajuk “GM: Reduce tourists, save our corals” oleh Joash Ee De Silva, beliau menyatakan bahawa jumlah pelancong yang meningkat dan pelancong yang tidak mengikut undang-undang yang sedia ada juga merupakan salah satu sebabnya terumbu karang di Pulau Redang dan di seluruh Semenanjung Malaysia sedang terancam. [6][7]

Menurut pengurus ‘Reef Watch’, Julian Hyde pula, kebanyakan terumbu karang yang mengalami stress adalah disebabkan sesetengah sikap pelancong yang tidak reti mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dan dengan sewenang-wenangnya menyentuh, memijak dan mematahkan terumbu karang [6].

Beliau menyarankan kepada pentadbiran Pulau Redang untuk mengurangkan jumlah pelancong yang ingin melakukan aktiviti snorkel di kawasan terumbu karang Pulau Redang tersebut.

Admin sendiri pernah pergi ke Pulau Redang pada tahun 2014, dan perkara ini benar-benar berlaku. Saya berasa amat marah apabila melihat sesetengah pelancong dengan sengaja mematahkan dan memecahkan terumbu karang hanya untuk mengambil gambar.

Tetapi apa yang admin boleh buat? Pada masa itu pun, tidak adanya satu jawatankuasa atau pihak berkuasa untuk menghalang tindakan yang keji pada masa itu.

Keadaan terumbu karang di Sabah baik, dan boleh diperbaikkan lagi jika terdapat kerjasama yang hebat di antara penduduk tempatan dengan pihak berkuasa dan pihak NGO. Keadaan terumbu karang di Semenanjung Malaysia pula tidak begitu baik dan perlu diberi perhatian yang secukupnya. [11]

Kempen Kesedaran di bandar-bandar atau kampung-kampung yang terletak berdekatan laut

Jika anda ingin melakukan kempen kesedaran di bandar-bandar atau kampung-kampung yang duduk berdekatan laut, saya sarankan anda buat program itu di sekolah-sekolah di situ dahulu.

Pendedahan tentang bahaya perubahan iklim dan apa yang kita boleh buat untuk menghalangnya kepada generasi muda dapat membantu kita semua mengurangkan bahaya perubahan iklim pada masa yang akan datang. Antara beberapa perkara yang saya sarankan ialah:

1- Di perkampungan nelayan, penganjur kempen kesedaran haruslah mengajar para nelayan dan anak-anak mereka tentang bahaya menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan. Ia sudah terbukti bahawa penggunaan bahan letupan bukan sahaja menjejaskan populasi ikan, malah ia juga akan sekaligus memusnahkan terumbu karang kita.[13][14]

2- Kerajaan mesti menjadikan aktiviti konservasi terumbu karang, pokok bakau dan hidupan marin sebagai kokurikulum yang wajib di sekolah-sekolah yang terletak berdekatan persisiran pantai untuk membantu melindungi kawasan terumbu karang dan paya bakau. Aktiviti seperti menanam pokok bakau, membina terumbu karang buatan dan lain-lain wajib diadakan setiap bulan.

Sampai ke sini sahaja admin akan mencadangkan langkah-langkah admin. Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda mempunyai cadangan anda sendiri yang lebih baik untuk membendung krisis perubahan iklim, dan apa pendapat anda tentang krisis ini?

*Penulis ingin meminta maaf jika terdapat sebarang kesilapan.

-OF-

Sumber:

[1] https://www.theguardian.com/…/five-pacific-islands-lost-ris…

[2]https://www.facebook.com/ajplusenglish/videos/488381567970022/

[3] http://www.activesustainability.com/…/countries-risk-disapp…

[4] http://zeenews.india.com/…/climate-change-10-islands-may-di…

[5] http://www.huffingtonpost.com/…/countries-most-threatened-c…

[6] http://www.thestar.com.my/…/gm-reduce-tourist-save-our-cor…/

[7]http://www.nst.com.my/news/2016/02/129988/saving-our-corals

[8] https://phys.org/news/2017-01-scientists-bar-sea.html

[9] https://www.washingtonpost.com/…/antarctic-loss-could-dou…/…

[10]https://www.facebook.com/ajplusenglish/videos/922777894530385/

[11]https://data.nodc.noaa.gov/…/20150320_RCM_Survey_Report_201…

[12] https://www.youtube.com/watch?v=P7ydNafXxJI

[13]https://www.facebook.com/natgeo/videos/vb.23497828950/10153751338818951/?type=2&theater

[14] https://www.youtube.com/watch?v=1Y_8x4TGm3A

Gambar 1: Salah satu pulau Kiribati

Gambar 2: Great Barrier Reef, terumbu karang sedang nazak akibat pelunturan.

Gambar 3: Suhu yang sering berubah-ubah dan tidak menentu akibat krisis perubahan iklim/ pemanasan global.

Gambar 4: Ais kutub sedang cair dengan cepat.

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here