Taburlah Bunga Di Atas Pusara

698

“Andai kata kami gugur semua
Taburlah bunga di atas pusara
Kami mohon doa
Malaysia berjaya.”

Lagu ‘Inilah Barisan Kita’ ni, sudah tentu semua rakyat Malaysia dah hafal kan. Lagi-lagi abang askar kita, yang lebih menjiwai dengan mempertaruhkan nyawa untuk negara. Jika terkorban, akan dimakamkan secara terhormat.  Seperti lagu tadi, taburlah bunga di atas pusara. Dah tu, siram air lagi. Eh? Kenapa kena tabur bunga, jirus air pulak? Abang askar kita buat benda bidaah ke?

Haaa..di sinilah kena faham adat bersendi syariat, syariat bersendi kitabullah.

Rasulullah ﷺ melalui kawasan perkuburan dari perkuburan di Madinah atau Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang yang sedang diazab di dalam kubur mereka. Maka ﷺ bersabda: “Kedua-duanya diazab dan diazab kedua-duanya bukan kerana dosa besar”, kemudian Baginda bersabda:

“Salah seorang daripada kedua-duanya diazab kerana tidak bersuci setelah kencing dan yang satu lagi kerana dia melaga-lagakan orang lain.” Kemudian, Rasulullah ﷺ meminta pelepah kurma dan membahagikannya kepada dua bahagian, lalu meletakkan (mencacak) setiap dua kubur itu dengan setiap pelepah. Lalu ditanya kepada Baginda: “Wahai Rasulullah ﷺ, kenapa Tuan berbuat sebegini?” Baginda bersabda: “Mudah-mudahan ia (pelepah) tadi boleh meringankan azab kedua-duanya selama ia belum kering. (HR Bukhari)

Para ulama’ beristinbat daripada perbuatan Nabi ﷺ mencacak dua pelepah tamar di atas kubur, untuk bolehnya mencacak pokok dan bunga pada kuburan orang islam. Ia difatwakan dalam kitab al-Fatwa al-Hadisyyah. Imam Al-Qurtubi menyatakan, hadis ini merupakan isyarat, selama ianya basah, maka ia akan bertasbih, dan sekiranya ia sudah kering, maka jadilah dia sebagai “jamad”.

Imam Nawawi mensyarahkan, “Hukuman kepadanya (ahli kubur) akan dikurangkan kerana selagi ia segar, ia akan menyebutkan tasbih.” Daripada ini ulama mengharuskan pula bacaan al-Quran dan berdoa di sisi kubur, kerana bacaan zikir daripada lidah manusia yakni khalifatullah lebih afdhal daripada tasbih pelepah tamar tadi.

Namun meletakkan tumbuhan itu pun ada kebaikannya. Jikalau tidak, mengapa Nabi ﷺ mencacakkannya sedangkan boleh sahaja Nabi ﷺ berdoa semata-mata. Jikalau tidak, mengapa Nabi ﷺ mengatakan, “selama ia belum kering.” Maknanya kerana tasbih tumbuhan tadi, azab ahli kubur diringankan.

Dalil agama ada 4 iaitu Al-Quran, Hadis, qias dan ijma’ ulama’. Perbuatan menabur bunga adalah qias atau kiasan kepada perbuatan Nabi memacak pelepah tamar. Kedua-duanya tumbuhan yang hidup. Sama. Begitu juga dengan menanam atau mencacak bunga.

Bunga yang ditabur atas kubur itu, bukanlah benda mati. Ia berzikir dan bertasbih. Allah berfirman: “Bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi; hanya Allah lah yang mempunyai semua kerajaan dan semua pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu”. (QS. At-Taghabun: 1)

Macam mana pulak dengan menjirus air?

Nabi ﷺ melakukan sedemikian pada kubur anak baginda, Saidina Ibrahim sebagaimana diriwayatkan oleh Imam asy-Syafie dan juga pada kubur Saad sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah. Nabi juga memerintahkan dijirus air pada kubur Saidina Uthman bin Mazhun sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Tirmizi.

Syeikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi dalam kitabnya I’anah ath-Tholibin menyebutkan, “Dan (disunatkan) menyiram (menjirus) kubur dengan air agar debu-debu tanah tidak ditiup angin dan kerana bahawasanya Nabi ﷺ melakukan sedemikian pada kubur anak baginda Saidina Ibrahim”. Pada ayat lain, “Dan yang mustahab adalah air tersebut suci lagi menyucikan dan sejuk (air mutlaq) sebagai tafa’ul mudah-mudahan Allah menyejukkan kubur si mati.”

Kitab Nihayah az-Zain menambah, “Tidak mengapa dengan sedikit air mawar kena malaikat menyukai bau yang harum.”

Begitulah, tiada salahnya perbuatan menabur bunga dan menjirus air di atas kuburan. Manfaatnya, jikalau ahli kubur itu pendosa, maka azabnya akan diringankan. Jikalau ahli kubur itu orang soleh, maka darjatnya akan diangkat. Hati-hati menilai amalan orang tua-tua kita. Salah bicara, memecahbelahkan masyarakat. Ingat, kita bersyukur tidak berada di negara yang penduduknya tidak sibuk dikafir-kafirkan. Aman damai. Aqidah rasmi kita; Ahli Sunnah wal Jamaah. Sultan yang kita sayang pun Ahli Sunnah wal Jamaah. Alhamdulillah.

Last sekali, ingat wasiat Altimet:

Tujuh kali pergi usrah sudah pandai tepis fatwa
Amboi amboi
Amboi amboi amboi amboi amboi amboi
Amboi amboi amboi amboi amboi amboi amboi
Amboi amboi amboi amboi amboi amboi
Amboi amboi amboi amboi amboi amboi amboi


RUJUKAN:

  1. Hadrat Mufti Ahmad Yamer Khan Naomi. The Obliteration of Falsehood.
  2. Ustaz Muhadhir Haji Joll. Kekeliruan Umat Inilah Jawapannya.
  3. Syamsul Meiji ZainAl Abidin
  4. I’anatutthoolobin
  5. Kasful Litham
Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.